بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya, kita dapat merasai nikmat kewujudan kita sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini dalam iman dan Islam. Seterusnya selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia Nabi Muhammad SAW dan seluruh ahli keluarga baginda. Setelah hampir dua bulan lebih kita melaksanakan program dan aktiviti selepas cuti musim sejuk yang lalu, kini tibalah masanya untuk kita berhenti seketika bagi memberi laluan kepada ahli untuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan.

Seperti yang kita sedia maklum, pada akhir bulan Jun hingga awal bulan Ogos ini fatrah peperiksaan akhir tahun bagi pelajar klinikal Tahun 4 dan Tahun 5 bakal bermula. Sudah pastinya pelajar-pelajar Universiti Kaherah memerlukan suatu tempoh masa untuk menumpukan segala usaha dan tenaga dalam menelaah pelajaran. Oleh itu, PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) akan memberi laluan kepada ahli dengan menangguhkan (tawaqquf) program dan aktiviti persatuan kepada batch klinikal yang akan menghadapi fatrah peperiksaan bermula pada 8 Jun 2021 sehingga berakhirnya peperiksaan.

Namun, terdapat beberapa bentuk program yang tidak akan diberhentikan berikutan kesesuaian program dengan keperluan ahli yang sedang menghadapi peperiksaan. Antaranya ialah Exam Fever Campaign (EFC) dan Smart Circle (SC) yang tidak berfokus kepada silibus. Manakala, kelas tafaquh berkala akan diteruskan secara atas talian terutamanya untuk pelajar yang tidak menghadapi peperiksaan.

Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan PCK menyeru kepada semua ahli agar mengambil peluang ini untuk mengulangkaji pelajaran sebaiknya.

Marilah kita bersama-sama menjadikan peperiksaan ini sebagai medan dalam mencari keberkatan Allah SWT serta mencapai kecemerlangan ke arah menjadi pengamal perubatan yang kompeten dalam segenap aspek.

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرُُ

Maksud: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Akhir kalam, selamat maju jaya kami ucapkan kepada semua ahli PCK. Pasakkan tekad untuk berjaya, teruskan usaha selagi masih diberikan peluang. Jangan berputus-asa mencari rahmat Allah, Dia bersama hamba-Nya yang tekun berusaha.

Sekian, terima kasih.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

Muhammad Faiq bin Mohamad Saroni,

Naib Pengerusi I,

PERUBATAN Cawangan Kaherah 2021/2022.