Rasulullah S.A.W pernah bersabda kepada seorang wanita: “Solat di bilikmu lebih baik daripada solat di rumahmu. Solat di rumahmu lebih utama daripada solat di masjid kaummu”.(HR Ibn Khuzaimah)

perempuan-itikaf

Walaupun Rasulullah tidak melarang wanita untuk ke masjid tetapi baginda menegaskan bahawa solat di rumah lebih afdhal bagi wanita daripada solat di masjid.Taujihad nabawi ini menjadi dalil bahawa Islam amat menyukai wanita menetap di rumah. Sekiranya Islam menggalakkan wanita keluar daripada rumah, nescaya baginda manggalakkan wanita berkunjung ke masjid kerana masjid merupakan tempat yang paling selamat dan aman daripada fitnah bagi seseorang wanita jika dibandingkan dengan tempat yang lain.
Peraturan yang ditetapkan oleh Islam supaya wanita melazimi rumah bukan bermakna Islam menegah secara mutlak seseorang wanita itu keluar daripada rumah.Islam mengharuskan wanita keluar daripada rumahnya hanya untuk memenuhi hajat dan keperluannya dengan syarat mereka menjaga batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh syara’ ke atas mereka. Antaranya:

• Hendaklah wanita tersebut mendapat keizinan daripada walinya (bapa atau datuk) atau suaminya untuk keluar bekerja.
• Pekerjaan yang hendak dilakukan itu adalah pekerjaan yang diharuskan oleh syara’.
• Hendaklah melazimi adab-adab yang ditentukan oleh syara’ sebagai seorang wanita muslimah, meliputi pemakaian, gaya berjalan, percakapan, pandangan dan segala gerak geri.
• Pekerjaan tersebut tidak menyebabkan dia mengabaikan tanggungjawab dan tugas-tugas asasinya terhadap suami dan anak-anak serta pengurusan rumahtangga.
• Tidak bertentangan dengan fitrah mereka yang lembut seperti bekerja sebagai buruh binaan, tukang kayu, tukang besi dan sebagainya yang biasa dilakukan oleh kaum lelaki.
• Tidak menyebabkan penguasaan wanita ke atas kaum lelaki.
• Berusaha menjauhi kerja yang boleh berlaku khalwat atau ikhtilat.

Dalam kitab Mufassal Fii Ahkam Al-Mar’ah menjelaskan bahawa permusafiran wanita semata-mata kerana menuntut ilmu adalah diharuskan samada menuntut ilmu dunia atau ilmu akhirat. Walaubagaimanapun ia menjadi wajib sekiranya berkaitan dengan fardhu kifayah dalam keadaan tiada seorang pun mempelajarinya dalam sesebuah negara ataupun bandar. Antara syarat untuk wanita bermusafir:

• Bermusafir untuk keperluan atau kemaslahatan mengikut syar’ie, maka wanita dibolehkan bermusafir walaupun melepasi sempadan sesebuah negara. Ketika itu juga tiada sekumpulan manusia yang dapat menyampaikan ilmu yang diperlukan itu.Contohnya dalam perubatan sakit puan penglibatan wanita adalah amat dituntut.

• Permusafiran tersebut mestilah ditemani oleh mahramnya atau suaminya sekiranya telah berkahwin, tidak memadai oleh sekumpulan wanita yang dipercayai mengikut pendapat sesetengah ulama dengan berhujahkan bahawa wanita yang dipercayai itu hanyalah mempunyai ikatan persaudaraan dalam aqidah bukannya mempunyai hubungan persaudaraan darah. Berbeza juga dalam bab haji yang terikat pada tempoh-tempoh tertentu sedangkan menuntut ilmu memerlukan jangka masa yang panjang dan pemerhatian daripada mahramnya memang sewajarnya dilakukan.

SAFAR WAJIB

Iaitu safar untuk menunaikan fardhu haji, sebahagian ulama menyatakan bahawa jihad dan menuntut ilmu juga dikira sebagai musafir wajib. Pendapat-pendapat ulama dalam masalah ini:

Al-Hanafiah – perempuan yang hendak menunaikan haji disyaratkan bersama suami atau mahramnya. Jika tiada suami atau mahram, perempuan tersebut tidak diwajibkan menunaikan haji.

Al-Jaafariah – tidak disyaratkan bersamanya suami atau mahram ketika safar tetapi disyaratkan adanya aman dan thiqah jalan. Oleh itu, seseorang perempuan boleh menunaikan haji seorang diri tanpa suami atau mahram jika aman.

Hanabilah – disyaratkan adanya suami atau mahram.Jika seseorang perempuan bermusafir untuk menunaikan haji tanpa suami atau mahram, hukumnya berdosa tapi hajinya sah.

Imam Malik – tidak disyaratkan perempuan tersebut bersama suami atau mahram yang dithiqahi bahkan disyaratkan aman bagi dirinya. Adalah makruh bagi seorang wanita yang bermusafir sehari semalam tanpa mahramnya tetapi dibolehkan wanita itu menunaikan haji bersama sekumpulan wanita dan orang-orang yang dipercayai sekalipun mereka bukan mahram bagi wanita tersebut.

As-Syafie – tidak wajib haji ke atas perempuan melainkan ada bersamanya suami, mahram atau perempuan yang dithiqahi kerana membawa keamanan dalam permusafirannya.

SAFAR SUNAT

Iaitu samada haji dan umrah sunat, ziarah menziarahi, urusan perniagaan dan sebagainya. Menurut pendapat ulama:

Segolongan ulama menyatakan harus seseorang wanita keluar bersama sekumpulan wanita yang dipercayai.

Jumhur ulama menegaskan tidak harus kecuali bersama suami atau mahram berdasarkan hadis-hadis yang sahih.

Al-Qadhi menyatakan bahawa ulama telah bersepakat bahawa tidak boleh keluar bermusafir selain daripada haji dan umrah tanpa mahram kecuali untuk tujuan hijrah dari negara kafir ke negara Islam.

Al-Qadhi Iyadh menyatakan tidak boleh perempuan muda tanpa mahramnya adapun perempuan tua yang telah mengalami putus haid boleh bermusafir pada bila-bila masa tanpa suami atau mahramnya.Pendapat ini turut disokong dalam kitab Al-Qura yang dikarang oleh Mustafa Al-Hilbi.

SAFAR HARUS

musafir

Contohnya musafir kerana melancong ke sesebuah tempat.

Musafir bersama orang lain (bukan suami atau mahram); hukumnya jika terdapat bahaya disepakati oleh ulama hukumnya haram. Sekiranya tiada mudharat, maka di dalam masalah ini terdapat kekhilafan yang akan kita perbincangkan. Jumhur ulama tidak membolehkan perempuan dalam safar harus kerana berdasarkan hadis-hadis yang sorih (jelas).

Syeikh Sya’rawi, Dr. Yusof Al-Qardhawi dan Syeikh Abdullah Jabra’in iaitu salah seorang ahli Majlis Fatwa Saudi menyatakan boleh dan ia tidak haram. Kata Syeikh As-Sya’rawi, “Apabila keamanan terjamin melalui mana-mana cara atau wasilah, tidak dihalang bagi seorang perempuan untuk bermusafir sekalipun seorang diri terutama di zaman ini, di mana sistem pengangkutan amat menyelesakan serta wujud ciri-ciri keselamatan ke atas maruah dan adab kesopanan seorang perempuan”. Dr. Yusof Al-Qardhawi berkata di dalam كيف نتعامل مع السنة dan والصحوة الإسلامية بين الجحود والتطرف, “Apabila kita melihat kepada safar pada zaman ini dengan segala kemudahannya, kita akan mendapati ia seperti kapal terbang yang dapat memuatkan beratus-ratus penumpang yang membawa manusia dari satu negara ke satu negara yang lain dalam waktu yang singkat. Oleh yang demikian, tidak perlu dibimbangkan tentang keselamatan seseorang perempuan apabila kaum keluarganya menghantar ke lapangan terbang dan perempuan itu disambut oleh kaum keluarganya di destinasi yang ditujunya.Tambahan pula perempuan itu menaiki kapal terbang bersama penumpang yang dithiqahi.

Perkara ini telah ditegaskan oleh kebanyakan fuqaha di dalam safar wanita untuk menunaikan fardhu haji, di mana mereka mengharuskan perempuan bermusafir untuk menunaikan haji bersama perempuan-perempuan atau rombongan yang dithiqahi. Maksud Dr. Yusof Al-Qardhawi sebagaimana ulama yang lain membolehkan perempuan bermusafir tanpa mahram atau suami jika terjamin keamanannya.

Syeikh Jabrain menyatakan terdapat hadis yang melarang perempuan bermusafir tanpa mahram kerana pada zaman Nabi untuk pergi ke suatu tempat memerlukan seseorang itu merentasi padang pasir dan keadaan ini membahayakan kepada seorang wanita. Pada zaman sekarang keadaan sudah jauh berbeza.Oleh itu bolehlah perempuan bermusafir tanpa mahram jika terjamin keamanannya.

Secara keseluruhannya, ulama’ yang membolehkan wanita bermusafir tanpa mahram dan suami dalam keadaan aman itu, mereka berpegang kepada ilah hukum iaitu Rasulullah melarang perempuan bermusafir tanpa suami atau mahram disebabkan perempuan mudah diganggu.

Hukum: Haram bermusafir
Ilah : Diganggu

Di dalam masalah ini ulama membuat satu kaedah iaitu:

Ilah itu akan berjalan dari segi ada atau tiada; ada ilah ada hukum, tiada ilah maka gugur hukum. Tiada bahaya boleh musafir, ada bahaya haram bermusafir.

Oleh yang demikian, dapatlah kita simpulkan bahawa perkara yang disepakati ini adalah dalam masalah safar harus. Sekiranya membawa mudharat kepada perempuan itu dalam musafirnya samada bersama suami, mahram atau perempuan-perempuan yang dithiqahi, maka hukumnya haram.Tetapi, sekiranya aman maka berlaku kekhilafan di kalangan ulama.

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Bisa jadi, kalian membenci sesuatu sementara itu baik bagi kalian, dan bisa jadi, kalian mencintai sesuatu sementara itu buruk bagi kalian.Allah mengetahui, sementara kalian tidak mengetahui.” (QS. Al-Baqarah:216)

Walaupun apa yang telah diputuskan ulama’ tidak sesuai dengan selera kita, tetapi ketahuilah sesungguhnya Allah lebih mengetahui hal yang terbaik untuk kita daripada diri kita sendiri.Allah lebih mengetahui tentang keperluan hidup kita daripada kita sendiri.Oleh itu, yang dijadikan ukuran baik dan buruk dalam kehidupan manusia bukanlah kecenderungan dan selera hati manusia.Namun, yang menjadi ukuran adalah pilihan Allah ta’ala.

“Haq Tertegak ,Bi’ah Terpelihara”
JAKSI PERUBATAN Cawangan Kaherah