Dumyat, 11 Januari- Musim mengutip kerang kini kembali. Sekali lagi pantai Dumyat menjadi destinasi kunjungan popular mahasiswa Malaysia dari seluruh Mesir. Tempat ini sememangnya terkenal dengan bilangan kerang yang banyak, besar dan segar. Walaupun cuaca di sana mencecah 10 darjah celcius, ini tidak menghalang para pengunjung untuk masuk ke laut dan mengutip kerang-kerang tersebut.

Kebiasaannya, para pengunjung tidak akan melawat kawasan pantai Dumyat sahaja. Mereka juga akan mengambil kesempatan untuk pergi ke Ras El-Bar yang terletak tidak jauh dari pantai Dumyat tersebut. Ras El-Bar yang menjadi tempat pertemuan di antara Sungai Nil dan Laut Mediterenian pasti memukau pengunjung dengan keindahannya.

Dilaporkan sebanyak dua buah rombongan daripada PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) telah melakukan kunjungan ke tempat ini. Batch GEN X pada hari Khamis yang lalu, manakala GEN 9 pada keseesokkan harinya. Perjalanan mereka ke sana mengambil masa hampir 4 jam. Namun, rata-rata peserta rombongan pulang dengan hati yang gembira kerana dapat mengutip kerang yang banyak secara percuma.

1496610_10200494398961571_1500811499_n

“Bilangan kerang yang kami kutip terlampau banyak, sehinggakan kami kekurangan arang untuk memanggang semua kerang tersebut. Akhirnya lebihan kutipan itu terpaksa dimasak apabila kami pulang ke Kaherah nanti,” ujar Ammar Hamzah Bin Mohd Hanim, pelajar Tahun 5, Universiti Kaherah.

Kunjungan ke Dumyat merupakan satu pengalaman yang istimewa. Para ahli digalakkan untuk melawatnya walaupun sekali. Namun, berikutan situasi politik Mesir tidak stabil, PERUBATAN ingin mengingatkan ahli agar sentiasa cakna tentang keselamatan diri. Sila berhubung dengan pihak AJKT PERUBATAN atau JAKSI untuk mengetahui status keselamatan yang terkini.