beraya pak long

“Adik, jom kita pergi beraya rumah Pak Long lepas solat Zohor.”

“Tak nak lah. Adik letih. Adik nak rehat-rehat sambil tengok tv plak. Rancangan hari raya semua best-best tau. Lagipun ramai kawan adik yang wish kat fb, kena balas ni,” baju melayu berwarna kuning keemasan  dikibas kuat oleh adik dek kepanasan di luar.

Barangkali kerana sudah letih beraya ke rumah sanak-saudara dari pagi hingga tengahari, kerusi sofa yang terletak di hadapan televisyen pantas menjadi tempat istirehat adik. Sesekali tangan adik meraba-raba balang yang berisi kuih.

Abang duduk di atas sofa yang bersebelahan. Songkok yang tadinya kemas dikepala diletakkan di atas meja.

“Adik ni kan,setiap kali abang ajak beraya rumah Pak Long, macam-macam alasan yang adik bagi. Dah bertahun rasanya adik tak beraya ke rumah Pak Long. Kenapa dengan adik ni?” persoalan itu membuatkan adik diam seketika. Kelu ingin memberikan jawapan.

wifi tak ada

“Abang ni..Kecoh betul. Tak beraya pun nak bising. Ala, tak best la rumah Pak Long. Sofa tak ada, aircond tak ada, wifi lagi la tak ada. Kalau kita datang pun, mesti Mak Long hidang teh panas  dengan biskut kering. Please abang, adik tak nak pergi,” rungut adik panjang lebar. Tangannya sibuk menggelongsor peranti Samsung Tab 10.1.

“Astaghfirullah budak kecik ni. Nak minta maaf dengan orang pun main pilih-pilih juga. Ayah dengan ibu tak pernah ajar begitu tahu.  Kot ya pun nak sambut Aildilfitri biarlah ikut cara Rasulullah saw, “ balas abang sambil mengeleng-gelengkan kepala.

“Dengar sini abang nak cerita satu kisah. Adik tahu tak Rasulullah saw dahulu laluan jalan pergi dan pulang baginda setelah usai solat raya akan berlainan..”

“Kenapa macam itu abang?” adik kelihatan ingin tahu kisah selanjutnya. Abang senyum kecil.

“Jangan menyampuk! Biar abang habiskan kisah ini dulu. Nabi kita buat begitu supaya dapat berjumpa dengan ramai orang. Jadi, bolehlah baginda memohon kemaafan di samping mengucapkan tahniah kerana berjaya menunaikan puasa selama sebulan. Namun, dalam perjalanan pulang, baginda ternampak seorang anak kecil sedang menangis. Baju dia compang-camping. Padahal, anak-anak kecil yang lain seronok bermain. Lalu baginda S.A.W bertanya:

“Wahai anak kecil, hari ini orang ramai bergembira dengan kedatangan Aidilfitri, lalu mengapa kamu bersedih?”

“Aku sedih kerana anak-anak lain bergembira dengan ibu bapa mereka, ditambah dengan perhiasan dan baju baru sedangkan ibu bapa aku sudah bercerai. Ibu aku sudah bernikah lain, namun bapa tiri tidak peduli akan aku. Mana mungkin aku dapat membeli baju baru.”

Rasulullah saw tersenyum lalu memeluk erat anak kecil itu dengan penuh kasih sayang. Baginda saw bertanya lagi, ”Mahukah kamu beribukan  Aisyah, berkakakkan Fatimah, berbapakan Rasulullah dan bersaudarakan Hasan dan Husin?”

Anak kecil itu cukup terharu lantas memeluk baginda S.A.W. Sejurus itu, anak kecil itu di bawa pulang. Setelah dimandikan bersih, dipakaikan pula pakaian baru.

anak yatim beraya

Gambar milik NST

Hah, tengok bagaimana Rasulullah saw mencari sendiri tetamu untuk dikongsikan kegembiraan. Macam itu baru betul.“

Adik mencebikkan bibir.

“Tunggu adik mandi dulu, nanti kita pergi sama-sama,” kata-kata adik itu membuatkan abang berasa lega dan gembira. Adik sudah faham akhirnya nikmat sebenar Syawal yang Allah kurniakan.

Pilih Bulu?

Kebiasaannya kedatangan hari raya merupakan momen paling seronok dirasai oleh golongan kanak-kanak. Pada kesempatan inilah, kanak-kanak akan sibuk meronda satu kampung untuk mengutip duit raya.

Permasalahannya timbul apabila fokus ingin mengumpul duit raya terbanyak  membuatkan mereka pilih bulu dalam menziarahi jiran tetangga. Tuan rumah yang pada pengamatan mereka akan memberi duit raya yang banyak akan dikunjungi, manakala sebaliknya pula akan berlaku.

Apa yang lebih menyedihkan apabila ibu bapa dan golongan lebih dewasa turut terlibat sama. Rumah mereka yang berada terlebih dahulu bersua berjumpa, namun apabila dijemput ke rumah  golongan yang kurang bernasib baik, mereka buat-buat lupa. Ke mana perginya kemanisan ziarah-menziarahi yang sepatutnya menjadi fokus utama pada hari lebaran ?

Siapakah di antara mereka yang murah rezekinya turut sanggup berkongsi kegembiraan bersama mereka yang susah ?

Gambar milik Utusan

Gambar milik Utusan

“Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain, yang mana tidak boleh menzalimi antara satu sama lain, dan jangan mengabaikan pertolongan kepadanya dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah sentiasa menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada bala atau sebarang kesusahan, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari qiamat dan sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Daud)

Anak-anak muda pula sering memberi alasan untuk tidak berkunjung kerana asyik berhibur dengan rancangan-rancangan di televisyen. Ada juga memberi alas an bahawa teknologi yang semakin maju tidak memerlukan mereka bersusah-payah untuk berkunjung lagi. Cukup sekadar ucapan di fb. Adakah era ‘facebook-isasi’ telah berjaya melumpuhkan semangat dan ukhuwwah sesama umat Islam? Nah, dua point yang terakhir ini bukan sahaja menyebabkan kita tidak menziarahi golongan yang kurang bernasib baik, malahan semua jiran tetangga!

Graduan Madrasah Ramadan

Seseorang akan bergelar graduan apabila berjaya melepasi semua peperiksaan dan aturan yang telah ditetapkan oleh sesebuah pusat pengajian. Begitu juga apabila kita berada dalam bulan Ramadhan yang lalu. Di samping kita mengikuti semua peraturan bulan mulia itu , kita tambahkan pula dengan ‘ulangkaji’ ibadah supaya berjaya melepasi ujian dunia dan akhirat nanti.

Antaranya  kita dapat melihat ramai golongan berkemampuan meraikan mereka yang kurang bernasib baik samada anak-anak yatim, warga tua dan termasuklah mereka yang kurang upaya.  Apabila habis ‘tempoh pengajian’ 30 hari, Allah kurniakan kepada graduan ini dengan nikmat 1 Syawal.

Apa yang diharapkan adalah, semua graduan tidak melupakan tarbiyah yang dibina selama sebulan yang lalu. Semoga amalan kebaikan dapat diteruskan lagi hingga ke bulan seterusnya.

Gembirakan Hati Mereka

“Sesungguhnya amalan yang sangat dicintai Allah selepas melakukan ibadat fardhu oleh hambaNya ialah mengembirakan hati saudaranya sesama Islam
(Riwayat Baihaqi)

Pada hari ‘Yaumul-al Jaizah’ (hari pengurniaan dan pengijazahan) ini, sama-sama kita kongsikan rasa kegembiraan dengan semua golongan samada tua dan muda, kecil dan dewasa, kaya dan miskin. Islam tidak melarang kita menjadi cantik, kaya, berilmu, terkenal namun janganlah semua kurniaan ini menyebabkan mata kita buta dari melihat mereka yang sempit. Lebih-lebih lagi sekiranya golongan yang kurang berada itu punyai talian persaudaraan dengan kita.

Hanya graduan madrasah Ramadhan yang mampu menjadikan ziarah biasa kepada eratnya silaturahim, bual kosong kepada sampainya peringatan, lagu-lagu lalai kepada butiran zikir dan suramnya aidilfitri si miskin sehingga terukirnya senyuman.

Penulis:
Sumirah Sumiyyah binti Ramli
Tahun 3 Fakulti Perubatan Universiti Kaherah
Unit Karya PCK 2013/2014

Artikel ini disiarkan bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Raya (MESRA ’13) Peringkat Kaherah.