Archives for Uncategorized - Page 3

Kenyataan Rasmi: Tarikh Buka Kuliah Sesi 2016/2017

Color NEW

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW di atas pengorbanan Baginda sehingga kita sempat merasa nikmat Islam pada hari ini.

Tahun silih berganti, membuka lembaran hidup baharu dengan harapan mendapat keberkatan dan keredaan Ilahi. Sehubungan itu, Biro Akademik PERUBATAN Cawangan Kaherah berbesar hati memaklumkan bahawa tirai sesi akademik 2016/2017 secara rasminya akan bermula pada 25 September (Ahad) ini.

“Ilmu itu kehidupan hati daripada kebutaan, sinar penglihatan daripada kezaliman dan tenaga badan daripada kelemahan”

-Imam al-Ghazali-

Sebagai penuntut ilmu, kita haruslah mengorak langkah agar tidak berada di takuk lama dengan meletakkan azam dan berusaha untuk menjadi lebih baik serta melonjakkan prestasi diri.

Bagi membantu wawasan tersebut, Biro Akademik PERUBATAN Cawangan Kaherah mengambil inisiatif untuk mengadakan program Glow with Flow (GwF) di peringkat batch masing-masing pada 10 Oktober hingga 15 Oktober. Perjalanan yang jauh haruslah dibekalkan dengan persediaan yang rapi melalui perkongsian, tip dan nasihat daripada senior untuk dijadikan pedoman. Semoga program ini memberikan ilmu yang bermanfaat di dunia bahkan menjadi bekalan di akhirat kelak. Insya-Allah.

Di kesempatan ini juga, kami mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar baharu yang akan memulakan kehidupan sebagai pelajar perubatan di Fakulti Perubatan, Kasr al-Ainy, Universiti Kaherah. Semoga kalian terus mempunyai iltizam dan istiqamah menuntut ilmu dalam melahirkan seorang doktor yang cemerlang bukan sahaja dari sudut profesyen bahkan akhlak keperibadian muslim.

“Seorang mukmin terhadap mukmin (lainnya) bagaikan satu bangunan, satu sama lain saling menguatkan.”

(HR. al-Bukhari dan Muslim)

Akhir kata, kami menyeru semua ahli PCK bersama berganding bahu, saling membantu dan tolong-menolong antara satu sama lain baik dari segi akademik mahupun kebajikan di rantau ini. Komuniti ahli yang makin mengecil tidak menjadi faktor yang akan melemahkan kita bahkan akan menguatkan tautan ukhuwah antara adik-beradik PCK. Kini dan selamanya “Kita Keluarga PCK”.

Allahu taala a’lam.

Sekian, terima kasih.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

untitled-1
Husaini Bin Abdul Malik
Ketua Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

aqeela
Nur Aqeela Binti Mohd Tahir,
Timbalan Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

Menyembuhkan Pesakit, Penghargaan Tertinggi  Bagiku -Dr. Magdi Yacoub-

Wawancara Bersama Dr. Magdi Yacoub

Menyembuhkan Pesakit, Penghargaan Tertinggi  Bagiku

-Dr. Magdi Yacoub-

***

Raja Jantung…

Tokoh perubatan…

Duta perubatan Mesir ke seluruh dunia…

Pelbagai gelaran layak diberikan kepada pakar jantung antarabangsa ini, Dr. Magdi Yacoub. Beliau benar-benar figura contoh yang mengangkat nama bidang perubatan. Seluruh dunia terpesona dengan ilmu dan kajian perubatan tokoh yang sangat luar biasa ini. Walaupun sudah berusia melebihi 80 tahun, tetapi beliau masih berbakti dalam projek-projek besar dan khidmat kemanusiaan di merata tempat.

Sewaktu di institusi khas beliau yang menjadi tempat kajian dan rawatan pesakit jantung di Aswan, kami menyelami lautan perjalanan dan pengalaman hidupnya.

***

MY1

S: Berdasarkan perjalanan Dr. yang panjang, sejauh manakah perkembangan bidang perubatan di Mesir?

J: Keadaan di Mesir sudah menjadi semakin teruk kerana terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi oleh para doktor dalam kehidupan mereka. Antaranya ialah dari sudut latihan dan hubungan doktor dan pesakit. Sebagaimana yang kita tahu, tugas sebagai seorang doktor adalah untuk berkhidmat kepada pesakit dan bukannya untuk menjadikan karier itu sebagai suatu bisnes sebagaimana yang berlaku pada hari ini.

Maka, perlunya wujud hubungan antara doktor dan pesakit atas dasar kepercayaan dengan meletakkan hubungan kemanusiaan pada tingkat yang utama. Apabila perkara ini tidak wujud, maka karier itu seolah-olah hilang kemuliaannya. Kemuliaan doktor itu sendiri terletak pada kepercayaan pesakit kepada mereka hatta di negara-negara membangun seperti di Amerika sekalipun. Ketika saya di sana, saya selalu diingatkan mereka akan perkara ini.

S: Adakah isu ini berlaku disebabkan perbezaan antara sistem pembelajaran kuliah perubatan sekarang dan dahulu?

J: Sebenarnya, sistem pembelajaran perubatan kini telah berubah jauh berbanding ketika saya menuntut di Kasr al-Ainy dahulu. Bilangan kami sangat sedikit dan para doktor mengenali nama-nama kami sehingga kami berasa sangat bersemangat untuk belajar dan tidak begitu mudah untuk berputus asa. Hal ini juga disebabkan oleh semangat yang wujud pada guru-guru kami dahulu. Mereka memberikan kami pendidikan rasional , ilmu, moral dan ilmu-ilmu kemasyarakatan yang secukupnya.

Namun, pada hari ini keadaan menjadi sangat berbeza dengan peningkatan bilangan pelajar yang mendadak sehingga menyebabkan para doktor bertambah sibuk dan tidak sempat untuk lebih berinteraksi  bersama anak murid.

Antara perbezaan jelas yang lain ialah dari sudut keprihatinan pelaksanaan kajian pada zaman dahulu iaitu di bawah seliaan doktor disebabkan ketiadaan jaringan internet atau teknologi moden sebagaimana yang wujud pada hari ini. Oleh itu, apabila kita hendak melakukan penambahbaikan sebenar dalam pengajian perubatan, pertama sekali kita perlu menambahbaik hubungan antara pelajar perubatan dan guru-guru mereka.

S: Bagaimana pula dengan pengajian perubatan di Britain?

J: Pengajian perubatan di Mesir dan Britain sangat berbeza. Di Universiti Cambridge, Oxford dan Imperial (tempat saya mengajar sekarang) misalnya, terdapat pelbagai program moden dan unik yang mengambil berat terhadap pembangunan pelajar-pelajarnya. Antaranya ialah mengajar pelajar-pelajar mereka untuk berdikari, mengembangkan peranan mereka dan memupuk rasa bersama dan bertanggungjawab terhadap pesakit sehingga mereka merasakan bahawa peranan asas mereka ialah berkhidmat untuk pesakit, kemudian barulah ke arah  kajian ilmiah.

S: Adakah Dr. berpendapat bahawa masalah asas pembelajaran ini bermula daripada syarat-syarat yang dikenakan sebelum masuk ke kuliah perubatan?

J: Benar, syarat kemasukan ke kuliah perubatan di Mesir bergantung kepada keputusan pelajar ketika di sekolah menengah sedangkan keputusan itu bukanlah segala-galanya. Di England sebagai contoh, seseorang itu tidak boleh menyambung ke kuliah perubatan tanpa proses perjumpaan peribadi antara guru dan pelajar bagi menguji kesungguhan pelajar tersebut untuk menjadi doktor yang boleh berinteraksi baik dengan pesakit.

S: Adakah ini juga berkait dengan isu  Perdana Menteri Britain, David Cameron yang tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan seorang doktor (secara peribadi dan mengabaikan pesakit lain) di salah sebuah hospital di sana?

J: Situasi itu meneguhkan lagi kebenaran pandangan saya akan peranan perubatan dan perbezaan antara situasi di Mesir dan di Britain. Para doktor tidak membenarkan David Cameron bersama-sama pengawal keselamatannya masuk ke dalam hospital untuk menziarahi seorang sahabatnya kerana mereka melihat bahawa menjaga kesihatan pesakit itu lebih utama berbanding kuasa dan di sinilah terlakarnya maruah ilmu perubatan itu sendiri.

S: Bagaimana para doktor Mesir boleh mencapai tahap sebegini?

J: Ini menuntut hubungan yang baik antara doktor dan pesakit terlebih dahulu diikuti pengerahan usaha yang kuat dalam membuat kajian tentang kaedah terbaik untuk menyembuhkan mereka sehinggalah pesakit benar-benar meletakkan kepercayaan kepada doktor. Perubatan di Mesir mundur disebabkan renggangnya hubungan antara para doktor dan pesakitnya dan juga sikap pesakit yang menjauhi doktor.

MY2

S: Bagaimana Dr. melihat langkah terbaik untuk menguruskan sistem kesihatan di Mesir?

J: Penambahbaikan sistem kesihatan di Mesir menuntut pelaksanaan program yang komprehensif dan adil untuk setiap individu masyarakat melalui penyediaan khidmat yang cemerlang, menjalinkan kerjasama antara sektor kerajaan dan swasta serta meningkatkan aktiviti kesukarelawanan. Adalah tidak adil untuk meletakkan pengurusan sistem kesihatan di bahu kerajaan semata-mata. Walaupun ini memang menjadi tugas mereka, semua orang perlu tahu bahawa khidmat ini merupakan tanggungjawab bersama. Bermula dengan penjagaan kesihatan fizikal dan tabiat individu itu sendiri untuk mencegah penyakit jantung.

Pihak yang bertanggungjawab juga perlu menyedari signifikan peranan mereka dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik untuk pesakit khususnya kepada golongan kurang upaya. Penanda aras sesebuah tamadun yang baik ialah perkhidmatan yang sama rata dan adil.

Di Britain, terdapat eksperimen dan kajian untuk menerangkan kaedah-kaedah untuk membina kerjasama antara hospital-hospital universiti, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta. Sebagai contoh, pengamal perubatan di sana menggalas tanggungjawab asas untuk bekerja di bawah sistem dan undang-undang perubatan negara tersebut disebabkan mereka telah memperoleh pengetahuan mendiagnosis, merawat dan melakukan pembedahan sepanjang tempoh  pengajian dan praktikal . Maaf. Di Mesir, peranan ini sangat kurang sekali dimainkan.

S: Apakah sistem terbaik di dunia untuk memelihara kesihatan?

J: Tidak wujud sistem pemeliharaan kesihatan yang baik dan cemerlang 100% di dunia ini. Saya tegaskan ini berdasarkan pengalaman praktikal di banyak negara antaranya Amerika Syarikat, England, Mesir dan Jerman. Sebaik-baik sistem yang ada mungkin di England kerana membuka pintu perkhidmatan percuma untuk semua individu tanpa pengecualian.

S: Berkaitan dengan Institusi Kajian dan Rawatan Jantung di Aswan, dari manakah datangnya idea tersebut?

J: Idea ini muncul lebih 25 tahun yang lepas. Ketika saya menulis artikel untuk beberapa majalah sains luar negara, antara perkara yang saya suarakan ialah keinginan untuk kembali bekerja di Aswan, daerah cantik namun terbiar yang banyak memberi kesan kepada saya.

Namun, idea ini tidaklah terus terlaksana pada ketika itu kerana saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaannya  sehinggalah pada suatu hari sekitar 15 tahun yang lepas, saya terjumpa  petikan yang dilontarkan oleh salah sebuah majalah sains di Amerika Syarikat tentang cita-cita yang ingin saya realisasikan. Maka, saya terus menyatakan bahawa  keinginan untuk memajukan ilmu sains dan mereka bertanya di manakah paksi awalnya. Maka saya katakan di Mesir dan mereka bertanya lagi di daerah mana dan saya katakan di daerah Aswan yang cantik. Kini, cita-cita saya telah pun terlaksana.

MY3

S: Adakah Dr. bercita-cita untuk untuk mengulangi semula projek ini di tempat lain?

J: Ya, saya mempunyai impian besar untuk menubuhkan projek serupa khusus di negara-negara miskin.

S: Bagaimanakah pesakit mampu untuk ke pusat tersebut khususnya mereka yang tidak berkemampuan?

J: Kami sering memberikan keutamaan kepada golongan yang susah dan tidak berkemampuan. Majoriti pesakit kami adalah dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai serba-serbi kemampuan material. Kami juga mempunyai dua pekerja di markas tersebut yang ditugaskan untuk menyampaikan maklumat kepada pesakit dan sekumpulan doktor pendidik. Kami turut mempunyai maklumat yang terperinci untuk mengkategorikan pesakit sama ada memerlukan rawatan segera ataupun tidak berkemampuan. Sekiranya pesakit dalam kategori miskin, permintaannya akan disegerakan dahulu.

S: Bagaimana ‘Raja Jantung’ (Dr.) menjaga jantungnya?

J: Berkata sambil tersenyum: Saya menjaga jantung dengan memakan makanan yang sihat dan berkhasiat.

S: Sebagai contoh? 

J: Saya sukakan sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan. Saya tidak memakan daging melainkan sekali seminggu. Selain itu, saya konsisten beriadah khususnya berjoging dan berenang.

S: Jika semua orang meminta anda untuk menjaga jantung mereka, siapa pula yang menjaga jantung anda?

J: Ketawa besar sebelum menjawab: Anak-anak dan para pelajar yang telah saya didik.

S: Apakah pula musuh ancaman  jantung?

J: Paling penting, peliharalah jantung daripada tekanan darah tinggi dan merokok. Kedua-dua ini merupakan musuh dan perosak utama jantung namun sesetengah penyakit jantung yang berlaku adalah disebabkan oleh faktor genetik. Riadah, tabiat harian dan pemakanan yang betul serta persekitaran yang baik merupakan satu aspek manakala genetik merupakan satu aspek yang lain. Apabila seseorang individu mempunyai genetik penyakit tersebut ditambah pula dengan pengamalan rutin kesihatan yang salah, maka potensi untuk menghidap penyakit jantung akan berganda dan begitulah sebaliknya.

Oleh itu, sangat penting untuk menjaga tabiat harian kita bagi memelihara jantung. Sains telah pun menyediakan solusi melalui jalan genetik dengan penemuan genetik-genetik khusus untuk setiap manusia bagi menentukan sebaik-baik penawar bagi mereka. Inilah yang dinamakan sebagai rawatan diagnostik (diagnostic treatment); iaitu mendiagnosis rawatan untuk setiap pesakit.

Secara umumnya, terdapat banyak musuh jantung tetapi apa yang penting ialah kita perlu mengenali musuh-musuh ini untuk belajar bagaimana cara mengatasinya.

S: Adakah jantung orang Mesir berbeza dengan jantung orang di negara-negara yang  pernah anda berkhidmat?

J: Semua jantung pada asasnya adalah sama antara satu sama lain. Setiap jantung untuk setiap individu. Semua kajian antarabangsa menunjukkan perkara ini tetapi penyakit jantung di Mesir lebih tinggi nisbahnya berbanding negara-negara lain di seluruh dunia. Hal ini kerana kita tidak mendiagnosis semua gen yang menyumbang kepada penyakit jantung dalam kalangan orang Mesir.

Tambahan pula, kita agak lambat dalam memulihkan penyakit jantung sejak lahir (congenital deformity) ditambah pula dengan nisbah bayi yang terkena demam panas dan rheumatism yang semakin meningkat secara luar biasa. Tabiat kesihatan dan pemakanan yang salah dalam kalangan orang Mesir serta tidak melakukan riadah juga turut menyumbang kepada perkara ini.

Kajian menunjukkan bahawa negara Mesir dan Rusia merupakan antara negara yang mempunyai kes penyakit jantung tertinggi di dunia. Kita perlu membuat tindakan seterusnya melalui kajian bagi memulihkan fenomena ini.

S: Beralih kepada Dr. Magdi Yacoub (sebagai individu), bolehkah kami tahu sebab anda memilih untuk mempelajari ilmu perubatan?

J: Ayah saya merupakan seorang doktor. Saya memilih bidang perubatan atas keinginan sendiri dan kerana  cintakan sains dan kajian. Oleh itu, saya tekad untuk masuk ke dunia ini ditambah pula dengan pandangan positif terhadap ramai tokoh yang berkhidmat untuk ilmu perubatan dan kajian ini.

S: Berapakah bilangan pembedahan jantung yang telah Dr. lakukan sepanjang karier sebagai seorang pakar bedah?

J: Melebihi 25 ribu pembedahan. Walaupun banyak, perasaan saya pada setiap pembedahan tidak pernah berubah. Saya memberikan penghormatan kepada pesakit tidak kira latar keadaan dan status pendidikan mereka yang berbeza sehingga dalam sesetengah keadaan, perkhidmatan yang mereka terima seolah-olah sama sahaja antara satu sama lain.

S: Adakah Dr. masih ingat, pembedahan yang paling sukar yang pernah Dr. lakukan?

J: Tiada lagi pembedahan yang susah untuk saya lakukan.

S: Dr. kelihatan sangat tenang berbanding kebanyakan orang. Adakah ini memang fitrah semula jadi atau kesan pekerjaan sebagai seorang pakar bedah?

J: Bersikap tenang itu penting kerana membolehkan manusia berfikir secara rasional. Manakala daripada sudut karier, saya bekerja berlatarkan bilik operasi pembedahan yang senyap dan tenang. Dalam dunia perubatan, pembedahan yang dilakukan dengan suasana yang tidak tenang, akan menghilangkan tumpuan dalam bilik pembedahan.

Sebaliknya, pembedahan yang dilakukan dalam suasana yang tenang akan menghasilkan operasi pembedahan yang berjaya. Suasana bising dan hingar-bingar juga secara tabiinya bukanlah suasana bilik bedah dan suasana yang diinginkan oleh pesakit mahupun ahli bedah  itu sendiri.

Tetapi sebagai manusia biasa, kadangkala saya juga marah terutamanya apabila melihat kecuaian kerja dan ketiadaan sistem lebih-lebih lagi apabila  dilakukan  orang yang dipertanggungjawabkan ketika itu.

S: Di luar bilik bedah, apakah hobi Dr.?

J: Saya banyak membaca dalam bidang falsafah, perubatan dan muzik.

MY4

Beliau menyarankan dua buah buku tulisan ahli falsafah terkenal, Karl Popper iaitu buku The Open Societies and Its Enemies dan buku Conjectures and Refutations pada ucapan perasmian Konferens Kasr al-Ainy 2016.

 

S: Adakah benar, Dr. melakukan pembedahan berlatarkan muzik?

J: Tepat sekali. Saya mendengar melodi-melodi muzik klasik terutamanya Bach dan Mozart.

S: Tetapi terdapat ura-ura yang mengatakan Dr.  juga mendengar lagu Ummu Kalthoum dan Abdul Wahab?

J: Berkata sambil tersenyum: Tak, tidak pernah pun.

S: Adakah anda masih ingat detik-detik memperoleh pengiktirafan daripada kerajaan England?

J: Sudah tentu. Ketika itu mereka menganugerahkan saya gelaran ‘Sir Magdi Yacoub’, anugerah kemuliaan atas sumbangan dalam bidang kesihatan jantung.

S: Anda telah mendapat pingat dan gelaran tertinggi di dunia. Antaranya ialah tokoh perubatan dan pingat Raja Pengkaji dan Raja Jantung. Apakah semua makna ini kepada anda?

J: Apa yang paling penting ialah saya boleh melihat pesakit saya sembuh. Pingat dan anugerah tidak memberi apa-apa untuk sains mahupun manusia tetapi apa yang memberikan kebahagiaan dalaman ialah keupayaan untuk meneroka benda baharu yang bermanfaat untuk umat manusia. 

S: Apa yang  anda pelajari daripada perjalanan hidup yang panjang?

J: Konsisten dengan latihan dan usaha yang berterusan. Di Britain, saya belajar bahawa kejayaan tidak akan diperoleh secara tiba-tiba. Usaha berterusan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh merupakan asas bagi mencapai cita-cita.

S: Apakah nasihat anda kepada pemuda pada hari ini?

J: Saya menasihatkan para pemuda untuk melakukan satu inovasi iaitu mencipta sesuatu yang bermakna daripada tiada. Anda perlu mempunyai tiga sifat ini dalam inovasi iaitu kreativiti, sistematik dan berimpak. Perkara ini tidak akan berlaku melainkan dengan kita mengerah akal kita untuk melakukan kajian terhadap semua benda baharu. Penting juga untuk kita bersifat rendah diri terhadap ilmu kerana kelak, ia akan memudahkan urusan kajian kita. Pada masa yang sama kita juga perlu menerima kritikan bagi menampung kekurangan dalam kajian kita.

S: Sebagai kesimpulan atas pengalaman anda yang cukup unik ini, bagaimanakah Mesir boleh mengambil manfaat dengan pelajar-pelajarnya yang masih menuntut ilmu di luar negara?

J: Saintis Mesir yang berada di luar negara perlu bermula dengan diri mereka dan mengutamakan ilmu dalam bidang mereka itu untuk berbakti kepada negara mereka. Di Mesir juga perlu wujud sebuah institusi kajian sains seperti yang wujud di England dan Amerika Syarikat yang sudah pun mempunyai akademi ilmiah.

Saya melihat perkara ini baru sahaja di peringkat permulaan di Mesir. Maka, kita seharusnya mempunyai keyakinan terhadap kepentingan ilmu sains kerana kajian ilmiah akan menyediakan sesuatu yang mampu memajukan sesebuah negara. Antaranya membawa kepada penemuan-penemuan baru yang memberi kesan kepada kesihatan dan memelihara kemuliaan insan. Maka, sains mampu memberikan sesuatu perkara yang lebih berharga daripada sebekas emas!

***

*Artikel ini diterjemahkan daripada artikel Bahasa Arab bertajuk ‘Syifa al-Mardho: ’Arfa’ Wisam ‘Ala Sodri’ daripada Majalah at-Tobib Masr (Physician) terbitan pertama, Jun 2016 sempena kehadiran Dr. Magdi Yacoub ke perasmian Konferens Kasr al-Ainy pada 19 Mei 2016 bertemakan Medical Education Reform.

*Diterjemahkan oleh Nuruddin Azri bin Zulkifli, pelajar Tahun Empat Perubatan,Universiti Kaherah. Sebarang perubahan dan kesalahan makna terletak di bawah tanggungjawab penterjemah.

Kenyataan Rasmi: Jadual Pemangkuan AJKT 2016/2017

Color NEW

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Syukur ke hadrat Ilahi atas segala limpah dan kurnia-Nya kepada kita. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semoga kita juga tergolong sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang mendapat syafaat Baginda kelak.

Berikutan cuti musim panas kali ini, beberapa orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Kaherah akan pulang ke Malaysia. Sehubungan dengan itu, portfolio AJKT tersebut akan dipangku oleh AJKT yang berada di Mesir.

Sebarang urusan yang melibatkan AJKT tersebut dan mana-mana biro, bolehlah berhubung terus dengan pemangku yang telah dilantik.

Berikut merupakan Jadual Pemangkuan AJKT PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) sepanjang cuti musim panas :

Sepanjang masa di Mesir :

  1. Muhammad Basheer Bin Yahya
  2. Muhammad Habibullah Bin Isa
  3. Izham Bin Rossli
  4. Muhammad Faris Bin Ahmad Fath
  5. Najihah Binti Janudin

Jadual Pemangkuan AJKT :

PORTFOLIO

NAMA TARIKH PULANG KE MALAYSIA TARIKH PULANG KE MESIR

PEMANGKU

Timbalan Pengerusi Noor Asyireen Binti Ayub 14 Ogos 2016 19 Ogos 2016 Zateel Fahada Binti Rusli
20 Ogos 2016 14 September 2016 Nurul Atikah Binti Mohd Rafi
Naib Pengerusi Wan Nusairi Bin Wan Mohd Nasruddin  3 Julai 2016 20 Ogos 2016 Muhammad Basheer Bin Yahya
Nur Syazwin Binti Mohammad Shukri 27 Julai 2016 13 Ogos 2016 Noor Asyireen Binti Ayub
14 Ogos 2016 4 September 2016 Zateel Fahada Binti Rusli
Zateel Fahada Binti Rusli 3 Julai 2016 26 Julai 2016 Nur Syazwin Binti Mohammad Shukri
27 Julai 2016 12 Ogos 2016 Noor Asyireen Binti Ayub
Jabatan Bendahari Muhamad Faisal Arief Bin Mohd Suhaimi  25 Julai 2016 25 Ogos 2016 Izham Bin Rossli
26 Ogos 2016 21 September 2016 Shahrul ‘Arif Bin Shahrul Azhar
Nurul Atikah Binti Mohd Rafi 3 Julai 2016 12 Ogos 2016 Noor Asyireen Binti Ayub
13 Ogos 2016 19 Ogos 2016 Zateel Fahada Binti Rusli
Biro Pembangunan Insan (BPI) Nur Hamizah Binti Ab Razak 11 Julai 2016 27 Julai 2016 Nur Syazwin Binti Mohammad Shukri
28 Julai 2016 14 Ogos 2016 Najihah Binti Janudin
15 Ogos 2016 19 Ogos 2016 Nur Hidayah Binti Zaharan
Biro Ekonomi(BIKON) Ahmad Syahid Bin Abu Sapian 27 Julai 2016 19 September 2016 Muhammad Habibullah Bin Isa
Nur Adilah Binti Soddri 11 Julai 2016- 27 Julai 2016 Nur Aqeela Binti Mohd Tahir
28 Julai 2016- 12 Ogos 2016 Noor Asyireen Binti Ayub
13 Ogos 2016 19 Ogos 2016 Nur Huda Hanisah Binti Abdul Mutalib
Biro Akademik (BCAD) Husaini Bin Abdul Malik 3 Julai 2016 15 Ogos 2016 Muhamad Aiman Bin Adnain
Nur Aqeela Binti Mohd Tahir 27 Julai 2016 12 Ogos 2016 Noor Asyireen Binti Ayub
13 Ogos 2016 19 Ogos 2016 Nur Hidayah Binti Zaharan
20 Ogos 2016 7 September 2016 Nur Adilah Binti Soddri
Biro Kebajikan (BCARE) Muhamad Aiman Bin Adnain 15 Ogos 2016 19 September 2016 Muhammad Faris Bin Ahmad Fath
Nur Hidayah Binti Zaharan 3 Julai 2016 11 Julai 2016 Nur Hamizah Binti Ab Razak
12 Julai 2016 12 Ogos 2016 Najihah Binti Janudin
Biro Sukan Dan Aktiviti Luar (BSAL) Muhammad Izzat Hafizi Bin Zaaba 1 Ogos 2016 14 September 2016 Izham Bin Rossli
Nurzahirah Aalia Binti Mohd Razali 11 Julai 2016 27 Julai 2016 Nur Aqeela Binti Mohd Tahir
28 Julai 2016 12 Ogos 2016 Najihah Binti Janudin
13 Ogos 2016 23 Ogos 2016 Nur Huda Hanisah Binti Abdul Mutalib
Biro Perumahan (BHOME) Nur Huda Hanisah Binti Abdul Mutalib 3 Julai 2016 10 Julai 2016 Nurzahirah Aalia Binti Mohd Razali
11 Julai 2016 12 Ogos 2016 Najihah Binti Janudin
Biro Penenerbitan Dan Penerangan (BPP) Shahrul ‘Arif Bin Shahrul Azhar 3 Julai 2016 22 Ogos 2016 Muhammad Basheer Bin Yahya


Pemangkuan Pengarah dan Timbalan Pengarah JAKSI sepanjang cuti musim panas 2015
 

Berikutan ketiadaan Pengarah dan Timbalan Pengarah JAKSI PCK, bermula 1 Ogos sehingga 1 September jawatan mereka akan dipangku oleh:

Pengarah JAKSI : Muhammad Basheer Bin Yahya

Selamat bercuti kepada seluruh warga PCK. Semoga segala amalan kita di bulan Ramadan ini diterima. Kami juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

كُلُّ عَامٍ وَ أَنْتُمْ بِخَيْرٍ .تَقَبَّلَ اللّهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ

Sekian, terima kasih.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

basheer (2)

Muhammad Basheer bin Yahya,
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

asyireen (2)

Noor Asyireen binti Ayub,
Timbalan Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

Konferens Tahunan “Medical Education Reform”: Membuktikan Anak Malaysia, Anak Cemerlang

Kasr al-Ainy, 19 Mei – Telah berlangsung acara tahunan Kuliah Perubatan, Universiti Kaherah iaitu sebuah konferens perubatan kali ke-188 yang bertemakan “Medical Education Reform”. Konferens ini berkisar tentang kajian-kajian yang dibuat oleh pelajar-pelajar di universiti ini. Sebanyak 17 buah kumpulan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang tahun dan negara telah bertanding dan  pelajar Malaysia telah berjaya menghantar 2 kumpulan untuk membentangkan 2 hasil kajian dalam konferens tersebut.

Kumpulan pertama yang diwakili oleh saudari Fairuz Nabilah Binti Borhanudin, tahun 5 telah membentangkan hasil kajian yang bertajuk “Effects of Music Therapy in Post-Stroke Rehabilitation”. Kajian ini membincangkan bagaimana muzik itu di samping menjadi terapi strok, mampu untuk meningkatkan efisiensi rawatan sekaligus mempercepat tempoh rawatan. Beliau yang mendapat giliran ketiga telah berjaya menggondol tempat kedua bagi pembentangan secara lisan  sesuai dengan gaya bahasa dan tatacara pembentangan yang penuh berkeyakinan.

13256415_1060136674061445_964152359721999976_n

Antara petikan kata-kata beliau yang sangat memberi kesan ialah “When words fail, music speaks. When hands fail,music helps .”

Kumpulan kedua pula diwakili oleh saudari  Fathinah Binti Harun yang juga berada di tahun 5 dan saudari Ummu Helma Binti Hassan, wakil tunggal tahun 6 telah membentangkan hasil kajian yang bertajuk ” The Adverse Childhood Experiences (ACEs) Study Through the Glance of Neuroscience”. Kajian ini membicarakan bagaimana pengalaman-pengalaman buruk kanak-kanak seperti penderaan fizikal, mental, seksual dan lain-lain bentuk pengabaian akan memberi kesan kepada kelakuan dan kesihatan mereka ketika mereka menjadi dewasa kelak. Mereka akan cenderung untuk terdedah dalam suasana tidak sihat seperti merokok, meminum arak, mendapat sakit jantung, strok, kanser dan sebagainya. Kumpulan ini pula berjaya membawa pulang hadiah  tempat kedua bagi pembentangan poster sesuai dengan rangka poster yang padat dan kemas.

13220847_1060136777394768_4135633132470135419_n

Hadiah yang dibawa pulang berbentuk sebuah pingat dan sijil penghargaan.

Walaupun baru sahaja usai peperiksaan end round tahun 5 sehari sebelumnya,ternyata hal ini tidak melemahkan semangat mereka untuk menyertai konferens ini sekaligus mengharumkan nama pelajar Malaysia sebagai antara komuniti asing di sini. Maka sesuailah mereka digelar “Anak Malaysia, Anak Cemerlang.”

Berita oleh: Nur Aqeela Tahir

Kenyataan Rasmi: Pilihan Raya Batch Penentu Generasi Pimpinan Akan Datang.

Logo Perubatan

سم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

  1. Segala puji hanyalah milik pencipta yang satu, Allah SWT atas nikmat Islam dan iman. Selawat dan salam ke atas kekasih Allah yang agung, Nabi Muhammad SAW.
  2. Tempoh pengajian masih berbaki sedikit sahaja lagi sebelum musim peperiksaan bermula. Seiring dengan tamatnya sesi pengajian pada tahun ini, maka tamatlah sesi pentadbiran Organisasi Batch bagi sesi 2015/2016.
  3. Oleh itu, pilihanraya batch akan dilaksanakan bagi menentukan siapa yang bakal menerajui tampuk kepimpinan batch.
  4. Naib Pengerusi dengan kerjasama Organisasi Batch telah bersetuju untuk menyelaraskan tempoh bermula dan berakhirnya pilihanraya.
  5. Berikut merupakan butiran penyelarasan :
    •  Tarikh mula berkempen: 8 Mei 2016
    •  Tarikh Pengundian: 15-21 Mei 2016  (Malam Munajat Perdana Batch)
    •  Tarikh pengumuman keputusan: 30 Mei 2016
  6. Manakala bagi batch GEN11US dikecualikan daripada tarikh-tarikh tersebut atas faktor peperiksaan. Hari penamaan calon mereka sudah dijalankan pada 16 April yang lalu dan hari pengundian akan dijalankan pada 7 Mei 2016.
  7. Justeru itu, kerjasama ahli PCK amatlah diharapkan dalam membantu menjayakan pilihanraya batch masing-masing. Pepatah Melayu ada mengatakan “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.” Ayuh, kita sama-sama berkempen menyokong calon-calon yang bakal bertanding.
  8. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada barisan pimpinan Organisasi Batch sesi 2015/2016 yang menjadi tulang belakang PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK), atas segala jasa dan pengorbanan mereka dalam membantu gerak kerja batch mahupun PCK.

Sekian, terima kasih.

‘Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati’

“At-Taqwa, As-Syifa, Ar-Rahmah”

 

wannus

Wan Nusairi bin Wan Nasruddin,
Naib Pengerusi I,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

aween

Nur Syazwin binti Mohamad Shukri
Naib Pengerusi II,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.