Archives for Uncategorized - Page 2

Kenyataan Rasmi: Kutipan Yuran Tahunan PERUBATAN Cawangan Kaherah

PERUBATAN-SMALL-Color-

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya, kita dapat merasai nikmat kewujudan kita sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini dalam iman dan Islam. Seterusnya selawat dan salam atas junjungan yang mulia Nabi Muhammad S.A.W dan seluruh ahli keluarga baginda.

Firman Allah S.W.T:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
(2:261)

Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui.

Sejajar dengan pembukaan sesi pengajian yang baharu, PERUBATAN Cawangan Kaherah di bawah kelolaan Jabatan Bendahari akan menjalankan kutipan yuran tahunan PERUBATAN.

Untuk makluman, PERUBATAN Cawangan Kaherah kali ini akan menjalankan sistem kutipan yuran secara kolektif. Kolektif yang dimaksudkan ialah sistem kutipan yuran ahli yang mengandungi tiga jenis kutipan yang disekalikan iaitu Tabung Kasih Sayang (TKS), Sistem Bakti Markas (SBM) dan yuran PERUBATAN. Sistem ini dijalankan bertujuan untuk mengurangkan pertindanan kutipan yang pelbagai, seterusnya mengurangkan beban ahli melalui kutipan secara sekaligus.

Justeru, yuran bagi ahli yang mendapat tajaan adalah sebanyak 60 (Egyption Pound) manakala bagi ahli yang tiada tajaan adalah sebanyak 55 (Egyption Pound).

Seperti yang termaktub dalam perlembagaan PERUBATAN Fasal 8, Perkara 1 yang menyebut;

Setiap ahli perlu membayar yuran pendaftaran keahlian sebanyak 5 (lima) Egyptian Pound dan yuran tahunan sebanyak 20 (dua puluh) Egyptian Pound.

Hasil kutipan yuran ini akan digunakan bagi menampung perbelanjaan tahunan PERUBATAN. Di sini ingin diingatkan bahawa ahli yang telah membayar yuran sahaja yang layak untuk mengundi dan menghadiri Mesyuarat Tahunan PERUBATAN Cawangan (MTC) dan Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN (MAT).

Dengan ini diumumkan bahawa fasa kutipan yuran bagi PERUBATAN Cawangan Kaherah akan bermula pada 28/9/2017 dan berakhir ketika hari pengundian Pilihan Raya PERUBATAN Cawangan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Bayaran boleh dijelaskan kepada Bendahari organisasi batch masing-masing. Setiap bayaran yang dilakukan akan disertakan resit sebagai bukti.

Kerjasama daripada pihak anda kami dahulukan dengan ucapan terima kasih. Semoga keterlibatan semua ahli dapat memberi manfaat yang besar dalam menggerakkan PERUBATAN Cawangan Kaherah yang tercinta, di samping dapat menjadi saham amalan kebaikan kita di akhirat kelak.

Siiru Ala Barakatillah. Sekian, terima kasih.

“Pengurusan Kewangan Berkualiti, Kredibiliti PERUBATAN Diperakui”

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”


A IZHAM
Izham bin Rossli,
Ketua Jabatan Bendahari,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

A Hidayah

Nur Hidayah binti Zaharan,
Timbalan Ketua Jabatan Bendahari,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

 

Kenyataan Rasmi: Muhasabah Separuh Penggal (MSP) Sesi 2017/2018

PERUBATAN-SMALL-Color-
بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya, kita dapat merasai nikmat kewujudan kita sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini dalam iman dan Islam. Seterusnya, selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia Nabi Muhammad S.A.W dan seluruh ahli keluarga baginda.

Saidina Umar R.A pernah berkata: “Hisablah diri kamu sebelum kamu diperhitung amalan kamu”.

Bagi menyahut seruan tersebut, PERUBATAN Cawangan Kaherah akan mengadakan Muhasabah Separuh Penggal (MSP) bagi sesi kali ini. MSP pada kali ini diadakan bertujuan untuk  membuat penilaian terhadap beberapa aspek seperti Misi PERUBATAN, Pembawaan PCK, KKD Biro dan Unit Khas serta muhasabah ahli.

Selain pimpinan, ahli juga akan dinilai dan diberi ruang untuk membuat penilaian terhadap gerak kerja melalui borang atas talian (online) yang akan dibuka pada 23 September 2017 sehingga 30 September 2017. Kami juga akan mengadakan Minggu MSP merangkumi Ziarah AJKT dan Smart Circle bagi membuka ruang kepada ahli untuk berinteraksi secara langsung dengan wakil pimpinan pada bulan November akan datang.

Nantikan juga brosur dan artikel khas yang akan dikeluarkan oleh unit Research and Development (R&D) PERUBATAN Cawangan Kaherah berkaitan kepentingan sistem evaluasi dalam gerak kerja dan kehidupan seharian.

Akhir sekali, saya menyeru kepada semua ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah untuk sama-sama kita menjayakan MSP pada kali ini. Semoga usaha ini dapat memacu PERUBATAN Cawangan Kaherah ke arah yang lebih baik untuk terus berkhidmat sebagai persatuan kebajikan di bumi Sayeda Zainab ini.

Sekian, terima kasih.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”
Husaini
Husaini bin Abdul Malik,
Naib Pengerusi I,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.
Atikah
Nurul Atikah binti Mohd Rafi,
Naib Pengerusi II,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

 

Kenyataan Rasmi : Makluman Yuran Universiti Kaherah & ‘Glow with Flow’

PERUBATAN-SMALL-Color-

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, secara rasminya sesi pengajian bagi tahun 2017/2018 telah pun bermula sejak 16 September lalu. Setelah hampir dua bulan bercuti, diharapkan seluruh ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) dapat terus mengekalkan momentum untuk menghadiri kelas dan mengutip setiap mutiara ilmu yang terdapat di bumi Mesir ini.

Diingatkan juga kepada ahli PCK agar dapat bersedia untuk membayar yuran pengajian bagi memudahkan segala urusan semasa di universiti. Terdapat sedikit perubahan berkenaan jumlah dan kaedah pembayaran yuran sejak sesi lepas.

Berikut adalah maklumat ringkas berkenaan yuran di Universiti Kaherah :

Bidang Yuran Kaedah Pembayaran
Perubatan Mou : 8000 USD setiap tahun 

 

Draf bank
G2G :1)      Kemasukan sebelum sesi 16/17 : 3000 GBP untuk tahun pertama dan 1500 GBP untuk tahun-tahun seterusnya.

2)      Kemasukan selepas sesi 16/17 : 7500 USD untuk tahun pertama dan 6000 USD untuk tahun- tahun seterusnya.

 

Tunai
Farmasi G2G : 6500 USD untuk tahun pertama dan 5000 USD untuk tahun-tahun seterusnya.  Tunai

 

Untuk maklumat lanjut berkenaan kaedah pembayaran yuran Universiti Kaherah, kalian boleh dapatkan Standard Operating Procedure (SOP) daripada Biro Akademik PCK iaitu Muhammad Izzat Hafizi bin Zaaba dan Nur Huda Hanisah binti Abdul Mutalib.

Program Glow with Flow (Gwf)

Seperti tahun-tahun yang lalu, tirai akademik akan dimulakan dengan program Glow with Flow (GwF) iaitu pada 24 September 2017. Program ini akan memberi pendedahan awal kepada ahli tentang setiap selok-belok subjek yang akan dihadapi dan motivasi daripada senior-senior berpengalaman.

Kami berharap agar program ini dapat membantu setiap ahli dalam merancang dan bersedia meghadapi cabaran yang akan dihadapi pada sesi ini.

Akhir kata,

Ilmu itu lebih baik daripada harta, ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta dan ilmu itu penghukum (hakim) dan harta menghukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu betambah bila dibelanjakan.

– Saidina Ali bin Abi Talib –

“Achieve The Highest, Improve Others”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“At-Taqwa, As-Syifa, Ar-Rahmah”

A IZZAT
Muhammad Izzat Hafizi bin Zaaba,
Ketua Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

HUDA
Nur Huda Hanisah binti Abdul Mutalib,
Timbalan Ketua Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

[MTC-4: Usul]

Berikut merupakan usul yang telah diterima dan diluluskan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Kaherah untuk dibahaskan dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Ke-4:

USUL 1

PENGHANTAR USUL:

Nur Amalina binti Mustaffa
Tahun 6, Universiti Kaherah
Jurusan: Perubatan

MATAN USUL:

“Menggesa perbincangan intensif antara PCK & PCS sebagai persediaan menghadapi pengecilan komuniti.”

USUL 2

PENGHANTAR USUL:

Nurul Atikah binti Mohd Rafi
Tahun 5, Universiti Kaherah
Jurusan: Perubatan

MATAN USUL:

“Menyalurkan baki unjuran kewangan PCK kepada PERUBATAN”

Jika anda menghadapi sebarang masalah atau kemusykilan, sila hubungi Setiausaha atau Timbalan Setiausaha PCK.

”Kita Keluarga PERUBATAN”

“Kita Keluarga PCK”

Jawatankuasa Mesyuarat Tahunan Cawangan Kaherah,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

Notis 1: Panggilan Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Ke-4

 

1.Logo PERUBATAN

Bismillahirahmanirahim,


Dengan nama Tuhan yang menciptakan nikmat ijad dan imdad , hidup di dunia ini merupakan satu kurniaan ditambah pula dengan nikmat melihat, mendengar, berbicara, merasa dengan lidah mahupun bergerak dengan tubuh sebagai bukti berfungsinya jasad. Kesemuanya  patut disyukuri tanpa ada sekelumit perasaan kufur. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW kerana berkat perjuangan baginda, terangkatnya sifat mahmudah dan tertolaknya sifat mazmumah. Sabda baginda, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Memetik surah Ali Imran ayat 159:

“Maka, berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut kepada mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertakwa”.

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat di atas sebagai: “Syura terjadi kerana perbezaan pendapat. Maka seseorang yang bermusyawarah hendaknya melihat perbezaan tersebut kemudian melihat kepada pendapat yang paling dekat dengan al-Quran dan as-Sunnah jika ia mampu. Lalu jika Allah membimbingnya kepada apa yang Allah kehendaki, maka hendaknya ia berazam untuk melakukannya dengan bertawakal kepada Allah. Dimana inilah penghujung dari ijtihad yang diminta dan dengan inilah Allah perintahkan nabi-Nya dalam ayat ini”.

Penekanan ke atas perlaksanaan perbincangan atau musyawarah adalah tidak lain dan tidak bukan kerana perbuatan ini dilakukan para rasul, khulafa’ ar-Rasyidin, para ulama dan juga hamba-hamba Allah yang soleh yang terkenal dalam sejarah perkembangan Islam seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Sesungguhnya, Rasulullah ialah contoh yang paling baik bagi umat manusia.

Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang pandai adalah orang yang mengintrospeksi dirinya dan beramal untuk bekalan setelah kematian, sedang orang yang lemah adalah orang yang jiwanya selalu tunduk pada nafsu dan mengharap pada Allah dengan berbagai angan-angan”.  (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Hadis di atas menekankan kepentingan introspeksi diri dalam apa jua perkara. Setiap kali iman tergoncang tatkala melakukan dosa, cepat-cepat kembali kepada Tuhan dengan bertaubat dan melakukan kebaikan. Muhasabah diri dalam sesebuah organisasi adalah langkah yang baik ke arah membentuk masyarakat yang saling mengingati antara satu sama lain.

Tidak terbina sesebuah negara dan tamadun yang agung jika ada padanya sifat kuku besi dan kepala batu pemerintah, tetapi sebaliknya akan hancur.

Dengan itu, Jabatan Setiausaha (JSU) PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) sesi 2016/2017, dengan ini menjemput ahli PCK untuk menjadi perwakilan  Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali keempat agar kalian dapat membawa suara-suara ahli ataupun hadir sebagai pemerhati. 

Moga Allah SWT mempertautkan hati-hati kita dalam ketaatan dan ikatan ukhuwah yang terbentuk agar lebih kukuh dari utuhnya sebutir berlian.

Negeri kecilku moga kekal malar, jika bukan di buana, biar abadi di kalbu.

Berikut adalah lampiran surat jemputan ke MTC kali keempat: http://tinyurl.com/suratjemputan

“Kita Keluarga PCK”

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar- Rahmah”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

habib-dp

Muhammad Habibullah Bin Isa,
Ketua Jabatan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

Zateel (1)

Zateel Fahada Binti Rusli,
Timbalan Ketua Jabatan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.