Archives for Uncategorized

Kenyataan Rasmi : Pemangkuan AJKT Cuti Musim Panas

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Syukur ke hadrat Ilahi atas segala limpah dan kurnia-Nya kepada kita. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Semoga kita tergolong dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW yang mendapat syafaat baginda kelak.

Berikutan cuti musim panas pada kali ini, beberapa orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Kaherah akan pulang ke Malaysia. Sehubungan dengan itu, portfolio AJKT tersebut akan dipangku oleh AJKT yang berada di Mesir.

Sebarang urusan yang melibatkan AJKT tersebut dan mana-mana biro, bolehlah berhubung terus dengan pemangku yang telah dilantik.

Berikut merupakan Jadual Pemangkuan AJKT PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) sepanjang cuti musim panas tahun 2017:

Sepanjang masa di Mesir :

    1. Wan Nusairi bin Wan Mohd Nasruddin
    2. Muhammad Aiman bin Adnain
    3. Izzat bin Ibrahim
    4. Nor Shahida binti Mohamad Raduan
    5. Nur ‘Ain Syahirah binti Mohd Yazid

PORTFOLIO

NAMA AJKT TARIKH PEMANGKUAN PEMANGKU
Timbalan Pengerusi Najihah binti Janudin 4 Julai – 31 Julai Nurul Atikah binti Mohd Rafi
1 Ogos – 14 Ogos Nabihah binti Mohammad Azman
Naib Pengerusi Husaini Bin Abdul Malik 23 Jun – 2 Ogos Wan Nusairi Bin Wan Mohd Nasruddin
Nurul Atikah Binti Mohd Rafi 31 Julai – 13 Ogos Nur Hidayah binti Zaharan
14 Ogos – 18 September Najihah binti Janudin
Jabatan Setiausaha Muhammad Faris Bin Ahmad Fath 22 Jun – 2 Ogos Muhammad Aiman bin Adnain
Hidayatul Naadiah Binti Zulkifli 31 Julai – 11  September Nur ‘Ain Syahirah binti Mohd Yazid
Jabatan Bendahari Dan Biro Ekonomi (BIKON) Izham Bin Rossli 16 Julai – 31 Julai Wan Nusairi bin Wan Mohd Nasruddin
1 Ogos – 26 Ogos Husaini bin Abdul Malik
Nur Hidayah Binti Zaharan 21 Jun – 12 Julai Aida Ilyana binti Zuki
13 Julai – 2 Ogos Nurul Fasehah binti Zulkelnain
Biro Akademik (BCAD) Muhammad Izzat Hafizi Bin Zaaba 5 Julai – 15 Julai Izham bin Rossli
16 Julai – 8 Ogos Faiq bin Saroni
Nur Huda Hanisah Binti Abdul Mutalib 22 Jun – 3 Ogos Nor Shahida binti Mohamad Raduan
Biro Pembangunan Insan (BPI) Nabihah Binti Mohammad Azman 20 Jun – 2 Ogos Hidayatul Naadiah binti Zulkifli
Biro Penerbitan & Penerangan (BPP) Muhammad Habibullah Bin Isa 22 Jun – 5 Julai Izzat Hafizi bin Zaaba
6 Julai – 8 Ogos Ahmad Adib bin Zainuddin
Nurul Fasehah Binti Zulkelnain 31 Julai – 11 September Huda Hanisah binti Abdul Mutalib
Biro Kebajikan (BCARE)  Faiq Bin Saroni 22 Jun – 2 Ogos Izzat bin Ibrahim
Biro Sukan & Aktiviti Luar (BSAL) Ahmad Adib Bin Zainuddin 16 Julai – 31 Julai Izzat bin Ibrahim
1 Ogos – 26 Ogos Muhammad Habibullah bin Isa
Aida Ilyana Binti Mohamad Zuki 12 Julai – 31 Julai Ain Syahirah binti Mohd Yazid
1 Ogos – 22 Ogos Nor Shahida binti Mohamad Raduan

Selamat bercuti kepada seluruh warga PCK. Semoga segala amalan kita di bulan Ramadan ini diterima oleh Allah SWT. Di kesempatan ini, kami juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

كُلُّ عَامٍ وَ أَنْتُمْ بِخَيْرٍ .تَقَبَّلَ اللّهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ

Sekian, terima kasih.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“At-Taqwa, As-Syifa, Ar-Rahmah”

A WAN
Wan Nusairi bin Wan Mohd Nasruddin,
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

Najihah
Najihah Binti Janudin,
Timbalan Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

[MTC-4: Usul]

Berikut merupakan usul yang telah diterima dan diluluskan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Kaherah untuk dibahaskan dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Ke-4:

USUL 1

PENGHANTAR USUL:

Nur Amalina binti Mustaffa
Tahun 6, Universiti Kaherah
Jurusan: Perubatan

MATAN USUL:

“Menggesa perbincangan intensif antara PCK & PCS sebagai persediaan menghadapi pengecilan komuniti.”

USUL 2

PENGHANTAR USUL:

Nurul Atikah binti Mohd Rafi
Tahun 5, Universiti Kaherah
Jurusan: Perubatan

MATAN USUL:

“Menyalurkan baki unjuran kewangan PCK kepada PERUBATAN”

Jika anda menghadapi sebarang masalah atau kemusykilan, sila hubungi Setiausaha atau Timbalan Setiausaha PCK.

”Kita Keluarga PERUBATAN”

“Kita Keluarga PCK”

Jawatankuasa Mesyuarat Tahunan Cawangan Kaherah,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

Notis 1: Panggilan Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Ke-4

 

1.Logo PERUBATAN

Bismillahirahmanirahim,


Dengan nama Tuhan yang menciptakan nikmat ijad dan imdad , hidup di dunia ini merupakan satu kurniaan ditambah pula dengan nikmat melihat, mendengar, berbicara, merasa dengan lidah mahupun bergerak dengan tubuh sebagai bukti berfungsinya jasad. Kesemuanya  patut disyukuri tanpa ada sekelumit perasaan kufur. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW kerana berkat perjuangan baginda, terangkatnya sifat mahmudah dan tertolaknya sifat mazmumah. Sabda baginda, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Memetik surah Ali Imran ayat 159:

“Maka, berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut kepada mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertakwa”.

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat di atas sebagai: “Syura terjadi kerana perbezaan pendapat. Maka seseorang yang bermusyawarah hendaknya melihat perbezaan tersebut kemudian melihat kepada pendapat yang paling dekat dengan al-Quran dan as-Sunnah jika ia mampu. Lalu jika Allah membimbingnya kepada apa yang Allah kehendaki, maka hendaknya ia berazam untuk melakukannya dengan bertawakal kepada Allah. Dimana inilah penghujung dari ijtihad yang diminta dan dengan inilah Allah perintahkan nabi-Nya dalam ayat ini”.

Penekanan ke atas perlaksanaan perbincangan atau musyawarah adalah tidak lain dan tidak bukan kerana perbuatan ini dilakukan para rasul, khulafa’ ar-Rasyidin, para ulama dan juga hamba-hamba Allah yang soleh yang terkenal dalam sejarah perkembangan Islam seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Sesungguhnya, Rasulullah ialah contoh yang paling baik bagi umat manusia.

Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang pandai adalah orang yang mengintrospeksi dirinya dan beramal untuk bekalan setelah kematian, sedang orang yang lemah adalah orang yang jiwanya selalu tunduk pada nafsu dan mengharap pada Allah dengan berbagai angan-angan”.  (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Hadis di atas menekankan kepentingan introspeksi diri dalam apa jua perkara. Setiap kali iman tergoncang tatkala melakukan dosa, cepat-cepat kembali kepada Tuhan dengan bertaubat dan melakukan kebaikan. Muhasabah diri dalam sesebuah organisasi adalah langkah yang baik ke arah membentuk masyarakat yang saling mengingati antara satu sama lain.

Tidak terbina sesebuah negara dan tamadun yang agung jika ada padanya sifat kuku besi dan kepala batu pemerintah,tetapi sebaliknya akan hancur.

Dengan itu, Jabatan Setiausaha (JSU) PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) sesi 2016/2017, dengan ini menjemput ahli PCK untuk menjadi perwakilan  Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali keempat agar kalian dapat membawa suara-suara ahli ataupun hadir sebagai pemerhati. 

Moga Allah SWT mempertautkan hati-hati kita dalam ketaatan dan ikatan ukhuwah yang terbentuk agar lebih kukuh dari utuhnya sebutir berlian.

Negeri kecilku moga kekal malar, jika bukan di buana, biar abadi di kalbu.

Berikut adalah lampiran surat jemputan ke MTC kali keempat: http://tinyurl.com/suratjemputan

“Kita Keluarga PCK”

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar- Rahmah”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 

habib-dp

Muhammad Habibullah Bin Isa,
Ketua Jabatan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

Zateel (1)

Zateel Fahada Binti Rusli,
Timbalan Ketua Jabatan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

Pahit Manis Pelajar G2G

Sedang aku tekun menyusun dokumen-dokumen yang berada di rak, terjumpa keputusan peperiksaan daripada tahun 1 sehingga tahun 4.  Tersenyum. Bukan bangga dengan pencapaian sendiri, tetapi syukur yang dirasai. Luasnya rahmat Allah membantu aku untuk berjaya dalam setiap peperiksaan. Ibu selalu mengingatkan aku kalam Allah yang bermaksud,

“Jika kamu bersyukur, maka Aku akan menambah lagi nikmat bagi kamu”.

Alhamdulillah, sehingga hari ini aku masih bertahan dalam dunia G2G.

Fikiranku mula melayang pada saat pertama kali aku menjejakkan kaki ke Universiti Kaherah ini.

“Inilah universiti kalian. Kalian akan berada dalam satu kelas dengan pelajar-pelajar Malaysia yang lain dalam kelas MOU,” ujar Kak Adibah yang menemankan kami ke universiti.

“Kak Adibah, kami tidak mahu MOU. Kami hendak masuk G2G sebab dermasiswa yang zakat bagi tidak cukup untuk MOU,” aku bersuara.

“Betulkah? Kalau G2G, kalian akan berada satu kelas dengan pelajar Arab. Doktor akan cakap bahasa Arab Ammiyah. Fikir elok-elok,” balas Kak Adibah.

“Ya, kak. Kami memang dah bersedia,” serentak kami menjawab.

Maka setelah diusahakan, kami berjaya masuk ke kelas G2G. Di sinilah bermula segala pahit manis kehidupan aku sebagai seorang pelajar G2G.

————————————————————————————————————————-

Kebuntuan dan kebingungan.

Itu yang aku mampu ungkapkan sejurus habis kuliah pertamaku. “Tidak mengapa, baru kelas pertama. Biasalah jika tidak faham. Lama-lama nanti mesti faham,” aku cuba menenangkan hati.

img_0250

Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Statik. Tahap pemahaman aku tidak bertambah. Aku sudah mula risau. Bidang perubatan bukan bidang yang mudah. Jika di kuliah tidak faham, bagaimana aku ingin teruskan belajar? Soalan demi soalan bermain di mindaku.

Aku mula menyuarakan masalah aku kepada rakan-rakan yang lain. “Macam mana ini? Apa pun tak faham dalam kelas. Tidak lama lagi ada ujian,” aku mulakan bicara.

“Itulah, saya pun risau juga. Saya lagilah, tiada asas bahasa Arab pun. Tolonglah saya,” sahut seorang sahabat.

“Apa kata kita jumpa doktor selepas kelas nanti?” cadang seorang lagi. Kami mengangguk tanda setuju.

“Doctor, we are Malaysian students. We can’t understand anything from your lectures. Could you help us?”

“Really? Is this because of the language barrier? I’m so sorry. I couldn’t teach in English because this is the Egyptian class. How about I explain to all of you again in English? You can come to my room at the Physiology Department starting tomorrow at 11 am,” kata Doktor Mona.

Maka bermulalah kelas tambahan percuma kami atas ihsan seorang guru membantu anak muridnya. Alhamdulillah satu usaha sudah membuahkan hasil.

Namun, itu sahaja tidak cukup. Bukan semua doktor dapat membantu. Bukan kerana kedekut ilmu tetapi faktor kesempitan masa.

Kami mula mengambil langkah kedua. Waktu rehat pada jam 11 sehingga 12 tengah hari yang biasa digunakan untuk mengisi perut, kami penuhkan dengan study group.

Di hadapan Syu’un Tullab  itulah tempat kami belajar bersama-sama. Study group kami sedikit berbeza dengan orang lain. Kami bukan mengajar, bukan juga membuat latihan. Tapi cukup sekadar kami mengulang apa yang dipelajari pada hari itu.

Kami hanya membaca setiap ayat yang tertera dalam buku. Daripada situ kami berbincang untuk lebih memahami tajuk tersebut. Mulalah keluar pandangan masing-masing yang dirasakan betul. Sudah macam khilaf ulama pula. Tidak mengapa, ini yang dipanggil proses pembelajaran.

—————————————————————————————————————————-

Makin jauh aku mengelamun.

Jam menunjukkan pukul 3 petang. Kelas amali anatomi sudah pun bermula. Selepas penerangan di papan tulis, kami akan bergerak mengerumuni mayat dan doktor. Aku yang berdiri di belakang sekali menarik kerusi yang berhampiran.
capture

Kenapa? Orang Arab di sini ramai, besar-besar pula! Jadi untuk memastikan penglihatanku tidak terhalang, maka aku pilih untuk berdiri di atas kerusi. Selepas 15 minit doktor menunjukkan bahagian-bahagian yang kami perlu tahu di badan mayat itu, doktor pun beredar.

“Nourhen!” panggil aku.

“Can you teach me again what the doctor said?” aku meminta pertolongan.

“Of course, come here,” Nourhen membalas.

Kami pelajar Malaysia akan berkumpul semula dan mendengar penerangan untuk kali kedua. Ini antara kebiasaan yang kami lakukan, iaitu meminta pertolongan rakan Arab untuk mengajar semula. Memandangkan ramai di antara mereka yang memang baik hati dan sudi membantu.

Jika ditanya apa lagi rahsia pelajar-pelajar G2G, jawapannya tutor. Aku amat suka kelas tutor yang dianjurkan. Senior-senior yang hebat namun tidak lokek ilmu akan turun mengajar subjek yang diminta. Inilah antara medium yang aku gunakan untuk memahami sesuatu subjek dengan lebih baik. Bila mengimbau semula, rasa bersyukur dikelilingi orang yang baik hati lagi pemurah dengan ilmu.

“Saya bukan Mumtaz pun. Tapi saya yang pilih untuk ajar kalian. Kenapa? Sebab ada hadis mengatakan apabila mati seseorang itu, terputus semua amalannya kecuali 3 perkara. Salah satunya, ilmu yang diajarkan. Saya hendak juga manfaat itu walaupun saya tidak Mumtaz,” kata seorang senior bersungguh-sungguh.

amalan-yg-di-tinggalkan

Sumber: google.com

—————————————————————————————————————————

Aku tersentak kembali ke alam nyata. Senyum. Alhamdulillah, aku bersyukur atas semuanya. Pandangan aku beralih pada gambar rakan-rakan G2G di atas meja. Gambar yang diambil sewaktu majlis anugerah cemerlang pelajar tajaan Zakat Selangor.

Jauh sudah perjalanan kami. Ada yang pernah mendapat Mumtaz dan mendapat nombor satu dalam keseluruhan batch. Ada yang sudah menjadi ‘Egyptian girl’, fasih berbahasa Arab Mesir. Inilah produk-produk yang berjaya dihasilkan dalam pahit manis kehidupan sebagai pelajar G2G.

Seorang sahabat pernah berkata, “Nothing is impossible as the word itself is I’m Possible.

Aku tidak menyesal memilih G2G. Tipulah aku tidak pernah mengeluh. Tipulah aku tidak pernah futur. Namun, kawan-kawan sering memberi semangat. Pesanan ibu bapa aku jadikan bekalan, munajat kepada Tuhan aku jadikan kekuatan.

“Alhamdulillah, kami berjaya laluinya. Jom Mumtaz bersama!” ujar aku dalam hati.

15782719_10210772162916851_389389586_n

15782719_10210772162916851_389389586_n

REFLEKSI: REALITI ATAU ILUSI

Waktu terus berjalan tanpa henti. Ia bagaikan berlalu seperti mengalirnya air yang pasti tiada kembali. Namun, adakah ia berlalu dengan sia-sia atau diisi dengan perkara bermanfaat? Tepuk dada, jom tanya diri. Tapi Allah itu pencipta kita, Dia sangat mengenali ciptaan-Nya, masakan Dia sanggup membiarkan kita terkapai-kapai di dunia yang alpa ini. Kerana itu, Allah tinggalkan al-Quran dan hadis sebagai panduan kita dalam menjalani senda gurauan dunia ini. Allah telah berfirman:

(وَمَا هَذِهِ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ لَهْوٌ وَلَعِبٌ وَإِنَّ الدَّارَ الآخِرَةَ لَهِيَ الْحَيَوَانُ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ ( العنكبوت: 64

Ertinya: “Tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan permainan saja. Sesungguhnya akhirat itulah kehidupan sebenarnya, jika saja mereka mengetahui.” (Surah al-Ankabut : 64)

Ayat Allah ini tidak lain dan tidak bukan hanya untuk mengingatkan kita sebagai hamba-Nya untuk tidak terlalu cinta kepada dunia fana ini dan supaya kita sedar bahawa akhirat itu yang abadi. Allah menjadikan dunia sebagai ladang untuk kita bercucuk tanam dan di akhirat kelaklah kita menuai. Dalam erti kata lain, dunia inilah tempat untuk kita mencari bekalan amalan bagi menghadapi hari perhitungan kelak di hadapan Allah. Oleh sebab itu, sebagai hamba yang benar-benar cinta dengan kepada-Nya, pasti kita tidak terlena dengan permainan dunia ini dan akan memanfaatkan setiap detik kehidupan ini dengan mengerjakan amal soleh hanya untuk Allah.

Firman Allah dalam Surah al- Hashr,ayat 18:

ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Ertinya : “Hai, orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan perhatikanlah masing-masing kalian amal perbuatannya untuk akhirat! Bertakwalah kepada Allah! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.”

Demi mencapai kejayaan di akhirat, Allah menyarankan kita untuk sentiasa muhasabah diri akan setiap amal seharian kita. Namun bukan sahaja amalan harian bahkan melakukan refleksi dalam gerak kerja organisasi juga amat disarankan. Memandangkan kita warga PCK mempunyai organisasi yang jitu dan mapan, sudah pasti kitalah yang menjadi penggerak organisasi tersebut dan sudah pasti banyak gerak kerja organisasi yang sudah kita implementasikan. Lantaran itu, seeloknya setiap gerak kerja itu dievaluasi dan diperincikan demi kemaslahatan organisasi kita.

Mungkin kebanyakan kita sering mempersoalkan kenapa perlunya evaluasi ini dalam gerak kerja kita. Spekulasi demi spekulasi dibuat tentang wujudnya evaluasi ini. Setiap program ada evaluasi, ada sesi muhasabah, kita hendak mencari kesalahan orangkah? Kita hendak mencari siapa yang terbaikkah? Jom kita renungkan kembali kenapa perlunya evaluasi ini. Saidina Umar al- Khattab pernah berkata, “Hisablah diri kamu dahulu sebelum kamu dihisab kelak dan bersiaplah kalian untuk akhirat.” Kata-kata ini jelas menegaskan bahawa kita perlu melakukan evaluasi bukan sahaja kepada diri kita malah terhadap gerak kerja organisasi juga. Kerana apa? Kerana kepentingannya yang mampu menyelamatkan kita di akhirat kelak.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak akan bergerak telapak kaki ibnu Adam pada hari kiamat, hingga ia ditanya tentang 5 perkara; umurnya untuk apa dihabiskannya, masa mudanya ke mana dipergunakannya, hartanya dari mana ia memperolehnya dan ke mana dibelanjakannya, dan ilmunya sejauh mana pengamalannya.”(HR at-Tirmidzi)

Hadis di atas seakan-akan dekat dengan kehidupan kita sekarang dan seharusnya mampu membuka mata kita untuk menjaga setiap amalan kita. Atas sebab inilah, kita perlu menghayati kepentingan evaluasi atau introspektif dalam organisasi. Yang pertama, kita dapat memperbaiki gerak kerja kita ke arah yang lebih baik serta memastikan gerak kerja kita ini dilakukan dengan lebih efektif agar kita tidak hanyut dalam usaha yang sia-sia tanpa hasil yang jitu kepada organisasi terutamanya kepada ahli. Memang benar Allah tidak memandang hasil tetapi andai terdapat kelemahan yang mampu diperbaiki ke arah yang lebih baik seharusnya kita menggunakan cara yang terbaik itu untuk mencapai matlamat kita.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW  bersabda:

“Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang melakukan sesuatu kerja itu dengan tekun.” (HR al-Baihaqi).

Matlamat kita tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mencapai keredaan Allah. Refleksi ini mengajar kita agar sentiasa tetap teguh dengan matlamat kita yang sebenar agar gerak kerja kita tidak dilakukan untuk kepentingan diri dan mengikut hawa nafsu. Moga-moga segala usaha kita dalam menjayakan program mendapat keredaan Allah dan menjadi pemberat mizan kelak, insya-Allah.

Maimun bin Mihran, seorang tabiin sangat menekankan perlunya refleksi diri dalam gerak kerja sehingga dia mengaitkan refleksi dengan ketakwaan. Kerana dia melihat salah satu ciri orang bertakwa ialah orang yang sering melakukan refleksi diri agar segala amalannya hanya dilakukan untuk reda Ilahi. Refleksi ini juga menjadi satu usaha seorang muslim dalam melakukan pembersihan jiwa seperti dalam firman Allah:

“Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan jiwanya dan dia ingat nama Rabnya, lalu dia solat.” (Surah al-Ala:14-15)

“… dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams:7-10)

Para sahabat dan salafus salih begitu mengambil berat tentang takwa sehingga mereka begitu bermujahadah dalam mencapainya dan sering bertanya mengenainya. Saidina Umar al-Khattab pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang takwa. Ubai bertanya:

“Pernahkah engkau berjalan di jalan berduri? Umar menjawab,”Bahkan!” Ubai bertanya: “Apakah engkau lakukan apabila berjalan di jalan tersebut? Jawab Umar, “Aku berhati-hati dan berusaha melepasinya.” Lalu Ubai berkata, “Maka yang demikian itulah takwa.”

Demikianlah pengertian takwa. Kita merasa kehalusan dalam tindakan, keheningan perasaan, ketakutan yang berterusan, sentiasa berwaspada dan memelihara diri dalam menghadapi cabaran kehidupan. Abdullah Nasih Ulwan pernah mengarang satu kitab bertajuk “Jalan Menuju Ketaqwaan” yang mana menekankan 5M dalam mencapai takwa iaitu mu’ahadah, muraqabah, muhasabah, mua’qabah dan mujahadah. Kitab ini jelas menunjukkan jalan-jalan tersebut maka seharusnya kita terus bersemangat melakukan refleksi ini demi mencari mutiara ketakwaan yang dinanti.

EVALUASI DALAM GERAK KERJA DAN KEHIDUPAN SEHARIAN.

Bulan Oktober hampir melabuhkan tirai. Begitu juga dengan pimpinan PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) yang sudah separuh sesi menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat dan lelah. Tidak mengenal siang dan malam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Namun, kadangkala ada sesetengah perkara yang sepatutnya menjadi fokus utama sesebuah persatuan yang mementingkan kebajikan ahli tidak dijalankan dengan baik. Ada juga gerak kerja sesetengah biro tidak diurus dengan baik.

Atas dasar inilah, wujudnya borang muhasabah separuh penggal (MSP). Borang muhasabah yang telah diisi oleh ahli ini akan diambil kira dan dipertimbangkan sepenuhnya dalam memperbaiki hala tuju perjalanan persatuan ini.

Borang muhasabah ini boleh dianalogikan sebagai servis atau penyelenggaraan  kereta yang telah berfungsi tanpa henti setiap hari. Jika tidak diservis dengan baik, barangkali kereta yang dinaiki akan berhenti berfungsi di tengah-tengah perjalanan anda. Boleh jadi tayar kereta akan pecah, boleh jadi cengkaman brek tidak berfungsi dengan baik atau boleh jadi juga bateri sudah kehabisan kuasa.

Begitu juga dengan persatuan ini. Jika tiada evaluasi atau ‘servis’ daripada ahli, kemungkinan kebajikan ahli terabai, gerak kerja pimpinan PCK menjadi sia-sia kerana tidak menepati keperluan ahli serta yang lebih dahsyat adalah melumpuhkan persatuan yang telah lama menabur bakti ini dengan dikatakan tidak menjalankan tugas yang diamanahkan.

Mafhum ayat al-Quran “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”(Surah al-Hashr:18).

Berdasarkan ayat ini, lihatlah betapa pentingnya akan muhasabah tersebut. Sesuatu perkara tidak akan disebut dalam al-Quran melainkan perkara tersebut adalah perkara yang penting.

Akhir sekali, Khalifah Saidina Umar Abdul Aziz pernah menyebut, “Aku bukan orang yang paling baik dalam kalangan kamu sedangkan aku cuma orang yang paling berat tanggungannya dalam kalangan kamu. Aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang yang paling banyak dosa di sisi Allah”. Maka seharusnya ahli fahami yang pimpinan PCK ini memerlukan sokongan kita bersama dalam memacu hala tuju persatuan ini. Idea dan muhasabah yang dilontarkan bukan untuk dilaksanakan oleh pimpinan sahaja, malah kita sebagai ahli perlu menghulurkan tangan membantu menjayakan gerak kerja yang dirancang.

Wallahu a’lam.

 

 

Disediakan oleh:

Muhammad Hazimin bin Ishak
Nur Azura Ashikin binti Azizi

Unit Research and Development,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.