Archives for SUKAN DAN AKTIVITI LUAR - Page 4

LiQa 2012/2013 Temui Juaranya

Nadi Syabab Zeinhom, 17 April – LiQa (Liga Qaherah) merupakan sebuah kejohanan berunsurkan liga futsal enam sebelah telah dianjurkan oleh Biro Kejohanan melalui Biro Sukan & Aktiviti Luar (BSAL), PERUBATAN Cawangan Kaherah dengan jayanya.

Liga tersebut yang dianjurkan untuk mahasiswa-mahasiswa perubatan Universiti Kaherah disambut baik oleh setiap batch melalui penyertaan yang sangat memberangsangkan. Barisan-barisan pasukan yang bertanding adalah Koogers FC (Tahun 6), Dragon FC (Tahun 6), DK FC (Tahun 5), Soccernet FC (Tahun 5), J.R.P.K9 FC (Tahun 4), Joga FC (Tahun 3), Bonito FC (Tahun 3), Mia Toretto FC (Tahun 2), Ha FC (Tahun 2), Medi FC (Tahun 1).

Kejohanan yang telah berlangsung sejak awal Oktober 2012 telah berakhir pada 17 April baru-baru ini. Setelah 9 minggu diperuntukkan dan selepas 81 perlawanan telah selesai, akhirnya pasukan DK FC berjaya dinobatkan sebagai juara. Diikuti Joga FC merangkul tempat kedua diikuti oleh Soccernet FC mendapat tempat ketiga kesuluruhan.

Perlawanan tumpuan antara Soccernet FC dan Bonito FC yang merebut tempat ketiga berkesudahan dengan seri satu sama. Manakala, saudara Ahmad Luqman bin Ibrahim, pemain daripada pasukan Joga FC dinobatkan sebagai penjaring LiQa terbanyak iaitu sebanyak 15 jaringan gol. Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah, saudara Ahmad Kamil bin Ahmad Fahmi telah hadir bagi menyempurnakan majlis penutupan LiQa 2012/2013.

Dalam temubual bersama pengarah LiQa 2012/2013, saudara Helmi Izwan bin Abdul Kadir, beliau menyatakan bahawa hakikatnya kemenangan itu sebenarnya adalah daripada Allah. Akhirnya, diharapkan agar kejohanan ini dapat mengukuhkan tali silaturrahim dan ukhuwah antara mahasiswa-mahasiswa perubatan Universiti Kaherah.

liqa4

 

Duta Kecil 1 Malaysia Di Bumi Mesir

Kaherah, 4 April– Tahun ini merupakan kali ke- 5, Universiti Kaherah mengadakan Cairo University International Day Festival .  Pelbagai negara seperti Malaysia, Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain telah menyertai acara yang gilang- gemilang ini. Festival ini  berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga jam 2.30 petang untuk aktiviti pameran. Kemudian, festival disambung pada jam 3.00 petang dengan acara persembahan di Cairo University Conference Center  dan berakhir pada jam 6.00 petang.

Pelajar-pelajar  Malaysia di Universiti Kaherah juga tidak melepaskan peluang memperkenalkan kehebatan dan keistimewaan negara tercinta dengan membuka beberapa booth seperti booth pameran  dan booth buffet (booth makanan).  Ternyata pembukaan booth ini mendapat sambutan yang hangat daripada pelajar-pelajar Mesir serta pelajar dari negara-negara lain.


Booth pameran Malaysia juga telah menerima kunjungan istimewa daripada Dekan Fakulti Perubatan, Prof. Dr. Hussein Khairy serta diiringi oleh Naib Dekan Fakulti Perubatan , Prof. Dr. Amina Borhamy Al-Fadaly. Di samping itu,tidak lupa juga pegawai PPL JPA Kaherah, En. Zikril Azan Abdullah yang turut mengunjungi booth pelajar Malaysia.

Persembahan dari  negara Malayasia telah disertai oleh semua ikhwah Tahun 1 GeneXIIs. Mereka mempersembahkan silat, tarian gamelan dan tarian wau bulan.  Persembahan yang ditampilkan berjaya menarik hati penonton yang menyaksikan persembahan tersebut.

“Pada pandangan saya,festival seperti ini sangat bermanfaat bukan sahaja kepada pelajar Malaysia bahkan juga kepada pelajar dari negara-negara lain. Sebagai duta kecil negara,festival seperti inilah yang menyediakan wacana kepada kita untuk mempamerkan dan memperkenalkan budaya negara kita di mata dunia,” kata Fathiyah Binti Mazlan, pelajar tahun 1 Universiti Kaherah.

Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dan telah  berusaha keras  menjayakan International Day Festival Cairo University.  Semoga usaha untuk memperkenalkan negara Malaysia tidak terhenti di sini sahaja tetapi harus diteruskan pada masa hadapan.