Archives for PENERBITAN & PENERANGAN - Page 3

Kenapa Memilih Untuk Stres ?

PICEDITOR-SMHStres adalah perkara lumrah. Stres berlaku hasil tindak balas semulajadi terhadap sistem tubuh apabila berhadapan dengan situasi debar dan cemas. Setelah otak menerima isyarat tersebut, kalenjar hormon akan merembes produk kimia iaitu kortisol dan adrenalin menyebabkan kenaikan paras tekanan darah,denyutan jantung, dan peningkatan ritma pernafasan untuk meraih lebih oksigen dan tenaga kepada otot secara pantas. Kesannya, anda menjadi hyperfocus malah daya tumpu ingatan dan pemprosesan maklumat menjadi langsung efektif. Maka tidak ajaib jika mahasiswa sains kesihatan seperti kita, puluhan halaman buku teks mampu dihafal dalam sehari tatkala musim peperiksaan menjengah. Namun awas pula dengan simptom stres yang kronik. Di mana akan terdapat perubahan emosi negatif pada individu tersebut serta mudah terkena penyakit berikutan pencernaan dan imuniti yang melemah. Andai stres berjaya ditawan dengan bijaksana,ia benar menguntungkan anda. Juga begitulah sebaliknya.

Susun Keutamaan

how-to-be-happy-diagram

Anda perlukan masa lengah antara percikan stres dan tindakan susulan. Atur rapi jadual hidup anda kemudian lakukan tugasan berdasarkan keutamaan semasa. Tempelkan beberapa ungkapan pencetus semangat pada ruang dinding bilik,skrin telefon pintar atau buku nota anda. Tidur yang cukup sangat diperlukan untuk sel-sel berehat dan aktif semula. Jika menangis bagi anda melegakan kadar bebanan stres, silakan tanpa segan silu. Ketawa apabila menonton rancangan realiti komedi pula contohnya, mampu merangsang mood ceria. Menurut kajian integrasi perubatan di Arizona, ketawa boleh mengembangkan kembali saluran darah di samping membakar kalori sepertimana satu bentuk latihan kecergasan kardiovaskular yang lain. Hilangkan kerutan di dahi, ukirlah senyuman di bibir.

Mahu Cerdas Perlu Cergas

exam stress_ food

Sesiapa punyai rekod fizikal yang baik akan lebih mudah mendepani stres. Di sini, rekreasi bermaksud giat pergerakan yang boleh menyegarkan kembali kesihatan dan kelapangan minda. Aktiviti keluar bersukan, jogging, marathon, berjalan kaki, mahupun senaman ringan akan menghasilkan endorfin yang membantu mempromosi fikiran positif. Berekreasi juga menyediakan ruang fizikal untuk melepaskan tenaga terkumpul hasil stres dalam badan anda. Jauhkan diri dari meja belajar anda sebentar selama lima minit, regang-regangkan bahagian otot yang kian tegang. Disamping itu, bernafas menggunakan teknik tepat juga memaksima pengagihan oksigen ke otak dan organ penting yang lain. Lagipun mahu cerdas harus cergas !

Menjadi Pendengar Yang Bersedia

sleeping-med-student2Student: I feel very discouraged. What should I do?
Master: Encourage others.
-Peribahasa Zen-

Jangan pernah berasa keseorangan menempuh halangan stres. Hubungi keluarga di tanah air, pohon kemaafan dan doa daripada mereka adalah lebih sesuai berbanding menyatakan keluhan berat yang bakal menambah kerunsingan mereka. Luahkan dilema stres yang sedang anda alami kepada sahabat akrab. Minta respon daripada orang lain kerana mereka turut mahukan segala yang terbaik untuk anda. Sebagai alternatif, rakaman audio bimbingan jiwa oleh sosok motivasi terkenal juga sudah boleh dilayari di saluran-saluran maya seperti laman web youtube. Jadilah resipien akur yakni penerima atau pendengar yang sanggup dinasihati demi kemajuan diri. Pesanan kepada penyampai kaunseling amatur pula, pastikan saranan anda berkisar galakan bukan cemuhan yang boleh menerbitkan rasa inferiority complex dalam diri penghidap stres.

Menelusuri Ibrah Salafus-soleh

Visual-Inspiration-365-If-I-have-seen-further-it-is-by-standing-on-the-shoulders-of-giants-Sir-Isaac-Newton-web

Rasa gelisah turut berpunca daripada dosa lampau kita lakukan. Sedangkan hati yang jernih disuluh keimanan tidak lekas putus asa dek kerencaman dunia. Ayuh kembali kepada fitrah seorang Muslim yang indah harinya dihiasi usaha istiqamah dan diselimuti dingin lenanya dengan pasrah tawakkal. Selusuri sirah Rasulullah s.a.w ,para sahabat, ulamak, cendekiawan, figura-figura hebat pejuang ilmu melalui pembikinan mujahadah mereka. Ceduk ibrah kerana mereka merupakan petunjuk sepanjang zaman manakala kita hanya manusia kerdil yang baru bertatih mengenal getir hidup. Pupuk kesedaran tulen dengan amalan mendekatkan diri kepada Allah seperti selawat,istighfar,solat malam dan refleksi-koreksi diri. Sungguh kebebasan daripada belenggu stres itu sebuah anugerah tidak ternilai.

..dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,serta melakukan kebajikan,mereka mendapat pahala dari Tuhannya, tidak ada rasa takut pada mereka, dan mereka tidak bersedih hati.”
(Al Baqarah:62)

Jangan Berlaku Zalim

Mohon hormati diri anda. Tiada orang lain yang perlukan keprihatinan penuh daripada anda melainkan diri sendiri. Aspek penjagaan kesihatan, pengambilan nutrisi lengkap, mahupun kecelikan rohani dapat mencakupi keperluan tubuh dan akal sementara pengabaian terhadapnya merupakan suatu manifestasi kezaliman tanpa sedar. Seperkara lagi, hormat juga orang lain di sekililing anda kerana bentuk amanah yang perlu dilangsaikan oleh setiap dari kita di muka bumi ini mungkin nyata berbeza. Jika anda terlalu agresif melayan stres tanpa mempertimbang kerukunan akhlak, maka tidak mustahil ada hati yang akan terluka. Ambil sikap toleransi hikmah atas hak bersama sebagai seorang pelajar, ahli bait, anak, sahabat, warganegara dan anggota masyarakat sambil waspada kepada tanggungjawab kepimpinan mandiri.

Bangkit semula selepas jatuh ke dalam gaung stres dikategorikan umpama satu titik tindakan matang dalam sejarah liku perjalanan manusia. Renungi, alasan utama mengapa ramai lekas mengalah adalah kerana mereka melihat betapa jauh lagi matlamat yang hendak dicapai tanpa menoleh sejauh mana telah mereka jejaki demi sampai di tapak mereka berpijak. Semalam biarkan pergi ,esok masih misteri, apa yang kita miliki ialah hari ini untuk kita mulakan dan teruskan legasi kegemilangan ummah tuntasnya.

Tenang,kita menang.
Resah, kita
rebah.

Unit Karya
Hanis Zikri binti Mohd Nahrawi
Tahun 3, Perubatan Universiti Kaherah

Hari Epilepsi, Hari Ungu

Kaherah, 26 Mac – Kempen Hari Epilepsi atau lebih dikenali sebagai Hari Ungu yang dilancarkan oleh Jabatan Akademik PERUBATAN kelmarin, disambut meriah oleh ahli.

Hari Ungu disambut setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit epilepsi. Warna ungu yang merupakan warna bunga lavender, diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai warna rasmi bagi epilepsi. Bunga lavender sering dikaitkan dengan sifat bersendirian, menggambarkan perasaan kesepian orang yang terjejas oleh penyakit ini. Oleh itu, Hari Ungu bertujuan untuk memberitahu bahawa mereka tidak keseorangan.

Pada hari ini, seluruh ahli PERUBATAN berdiri mengenakan pakaian serba ungu, menyatakan sokongan mereka. Selain itu, mereka juga berjaya menyampaikan  mesej kepada orang awam  tentang peningkatan kritikal penyakit ini di seluruh dunia, terutamanya di negara membangun.

Sebagai bukti kejayaan aktiviti ini, seorang  Professor Parasitology, Dr. Hanan baru sahaja mengetahui tentang pewartaan 26 Mac ialah Hari Epilepsi apabila melihat ramai pelajarnya yang memakai baju ungu. “Thank God I wear purple for today’s attire. I just know that today is Epilepsy Day,” ujar beliau.

Hari ini menjadi simbol, tanda cakna kita selaku mahasiswa perubatan kepada dunia. Jangan diremehkan pada warna pakaian. Simbolik baju ungu satu isyarat, 10 tahun akan akan datang, dunia akan berubah, hasil perubahan daripada mahasiswa prihatin seperti kita.

578066_444356552306130_1360166402_n

“Tukarkan Nota Kuliah Menjadi Nota Umum” –Tuan Zamri Mohamad

Kaherah, 23 Mac – “ Tukarkan nota kuliah menjadi nota umum ataupun buku ” kata Tuan Zamri Mohamad ketika memberi pengisian mengenai teknik-teknik menulis buku dalam Bengkel Penulisan PERUBATAN kali ke-2 bersama Syarikat Must Read Sdn. Bhd bertempat di Markas Abou Risy.

Bengkel ini dianjurkan bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang celik dan mahir serta bijak dalam berkarya selain menjadi tenaga pakar bagi penghasilan karya dalam PERUBATAN. Bengkel ini telah disertai oleh hampir 40 orang peserta terdiri daripada pelajar Universiti Kaherah dan Universiti Al-Azhar. Turut serta dalam bengkel ini ialah kakitangan Syarikat Must Read Sdn. Bhd. ,Tuan Abdul Kahar Abdul Hamid, Cik Najah Dawam dan Puan Shakira Khairudin.

“ Biar sedikit asalkan menjadi ”. Antara kata-kata beliau yang sering diungkapkan ketika memberi pengisian supaya semua peserta dapat terus bersemangat untuk menulis buku. Selain itu, Tuan Zamri juga turut berkongsi kaedah adaptasi dan teknik co-author dalam menulis buku. Terdapat juga slot perbincangan mengenai subjek-subjek yang dipelajari di universiti yang sesuai dijadikan buku dengan menggunakan penulisan yang lebih mudah difahami oleh masyarakat umum.

480834_443583335716785_88813481_n

“ Saya dapat mencambahkan lagi idea yang sedia ada untuk menulis buku. Selain itu, saya baru sedar bahawa penulisan ini dapat memberi saham kepada kita dan juga generasi yang akan datang. Saya juga sedar bahawa kita sebagai pelajar perubatan perlu membuktikan bahawa walaupun kita sibuk dengan study tetapi kita masih boleh menulis buku dengan menukar nota-nota kuliah kepada buku yang boleh dibaca oleh orang awam,” kata Afiqah Inani binti Mohd Haslin, pelajar tahun 2, Universiti Al-Azhar.

Rata-rata peserta berpuas hati dengan pencapaian bengkel ini. Namun bagi Siti Fatimah Az-zahraa’ binti Kamarulzaman, pelajar tahun 3 Universiti Kaherah, beliau berharap bengkel ini dapat diteruskan lagi dengan ditambah jumlah masanya.

483770_443582739050178_467378301_n

Berehatlah Aduhai Murabbi

“Tidak tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku sedang mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku”

 Begitulah ayat terakhir as-Syahid Syeikh al-Buti di dalam perbualan telefon beliau bersama al-Habib Ali al-Jufri.

2 minggu kemudian, Syeikh Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti menyahut panggilan Tuhan.

Malam jumaat 21 Mac 2013 itu, al-Buti syahid terkorban.

Didikan Yang Mulia Bagi Seorang Tokoh Yang Mulia

Al-Buti dilahirkan tahun 1929 di sebuah perkampungan kecil di Turki, Jilika. Ketika usianya mencecah 4 tahun, keluarga Syeikh al-Buti telah berpindah ke Damsyik, Syria. Seawal usia 6 tahun al-Buti telah berjaya mempelajari dan menghafaz keseluruh al-Quran di sana. Menariknya, pencapaian beliau itu telah mengambil tempat di bawah bimbingan seorang guru wanita. Bapanya, Syeikh Mulla Ramadhan, juga memainkan peranan sentral di dalam membimbing Syeikh al-Buti dengan menjadi guru utama beliau, mengajar pelbagai ilmu keagamaan kepada al-Buti semenjak beliau di peringkat pendidikan rendah lagi. Beliau dilatih oleh bapanya dengan zikir-zikir harian yang ma’thur. Aspek kerohian dan akhlak beliau justeru diacu sementelah beliau di usia rebung lagi. Sehingga ke akhir hayat beliau, zikir-zikir tersebut tidak lekang dari mulutnya.

Menginjak usia remaja, Syeih al-Buti meneruskan pendidikan peringkat menengah baliau di Ma’had at-Tawjiyyah al-Islami. Kebanyakan penuntut di situ sebenarnya lebih dewasa dari beliau. Secara tidak langsung, beliau seringkali berguru dengan pelajar-pelajar yang lebih dewasa di institut tersebut. Antara guru utama yang beliau dampingi di sana ialah dua orang ulama besar Damsyik iaitu Shaykh Hassan Habannakah dan Shaykh al-Maradini.

Setelah tamat pengajian di peringkat menengah pada tahun 1953, beliau memilih untuk memasuki menyambung pengajian Universiti Al-Azhar As-Syarif di Mesir. Pada tahun 1956 beliau telah memperoleh ijazah beliau yang pertama dengan keputusan yang amat cemerlang dari Fakulti Syariah di samping turut memperoleh Diploma Pendidikan dari Fakulti Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar. Usai belajar, beliau pulang ke Damsyik dan menjadi salah seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah di Bandar Homs. Pemergian beliau tidak lama. Tahun 1960, Syeikh al-Buti kembali ke Universiti al-Azhar bagi meneruskan pengajian syariah beliau di peringkat doktor falsafah, sehinggalah tamat pada tahun 1965.

Hikayat Seorang Pemuda Yang Tidak Pernah Tua

Syeikh al-Buti tenaganya persis seorang syabab. Syeikh senantiasa aktif di dalam pelbagai muktamar dan seminar antarabangsa di seluruh dunia. Beliau umpamanya, merupakan anggota Dewan Tertinggi di dalam beberapa badan akademik yang temasyhur, antaranya Royal Society of the Islamic Civilisation Researches di Amman dan High Council of Oxford Academy di England. Malah, di samping mempunyai kepakaran dalam Bahasa Arab, beliau turut menguasai bahasa Turki dan Kurdi, dan amat fasih berbahasa Inggeris.

Seawal usia 14 tahun, Syeikh al-Buti telah menjinakkan diri dengan dunia penulisan. Beliau menggubah sebuah puisi yang terkenal di dalam bahasa Kurdi menjadi sebuah cerita berbentuk novel dalam bahasa Arab. Kecerdasan dan kecergasan mindanya yang mampu menulis buku seawal usia muda menarik perhatian masyarakat. Oleh itu, tidak hairanlah beliau mampu menghasilkan sebanyak lebih 70 buah karya ilmiah mencakupi pelbagai bidang disiplin ilmu Islam yang kekal menjadi rujukan umat dalam pelbagai latar belakang sehingga kini.

Beberapa karyanya yang terkenal telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu. Antaranya ialah Fiqh al-Sirah an-Nabawiyyah, sebuah kitab yang masyhur dan menjadi antara bacaan yang dianggap wajib bagi kader-kader jamaah haraki di dalam menggarap kefahaman sunnah perjuangan Baginda s.a.w. yang sebenar. Sekadar menyebut nama beberapa kitab yang lain adalah; Manhaj al-Hadharahal-Insaniyyah Fi al-Qur’an, al-Islam wa Musykilat al-Syabab, al-Salafiyyah : Marhalah Zamaniyyah Mubarakah La Madhhab Islami, Man al-Mas’ul Takhallufil Muslimiina, al-Jihad fil Islam; Kaifa Nafhamuhu wa Kaifa Numarisuhu dan pelbagai lagi karya yang tinggi nilai keilmuannya.

Al-Buti merupakan salah seorang tokoh ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah kontemporari yang telah berperanan besar di dalam membantu umat Islam menjawab pelbagai persoalan yang timbul di sekitar permasalahan akidah, tasawwuf dan fiqh. Keilmuan yang luas, pengorbanan yang besar serta peranan dan usaha keras beliau dalam memperkukuhkan dan memurnikan akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah di zaman kontemporari yang serba mencabar ini melayakkan beliau memperoleh gelaran ‘Imam al-Ghazali Kontemporari’ di kalangan ulama dan umat Islam. Namun, Syeikh tetap merendah diri dengan gelaran tersebut dan menganggap beliau masih lagi mempunyai terlalu banyak kekurangan dibandingkan dengan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali.

Dunia Islam Berkerut Dahi

Sewaktu konflik di Syria, Syeikh Al-Buti dikhabarkan seolah-olah menyokong legimitasi pemerintahan Bashar al-Assad. Ijtihad beliau bahawa al-Assad tidak boleh dijatuhkan secara revolusi menjadi perbahasan dan perbincangan hangat di kalangan umat Islam. Menurut beliau, “tidak boleh menjatuhkan pemimpin secara revolusi selagi pemimpin itu muslim dan tidak kafir secara nyata”. Pun begitu, khabar tersebut masih bersimpang siur kesahihannya sebenarnya.

Ada yang menafsirnya sebagai ijtihad beliau untuk kebaikan rakyat Syria dan umat Islam di sana. Kata mereka, ijtihad beliau adalah bertujuan agar pertumpahan darah rakyat yang tidak bersalah dapat dihentikan di samping mengelak mudharat yang lebih besar iaitu campurtangan kuasa asing dari Barat -Amerika dan Israel- yang berhasrat mahu menghancurkan umat Islam.

Luar Biasa Ilmunya

Benar, rakyat Syria mendambakan sebuah perubahan. Namun bagi al-Buti, perubahan tersebut bukanlah datang di dalam bentuk pemberontakan bersenjata. Niat murni beliau ini jelas tergambar di dalam khutbah jumaat terakhir Syeikh. Syeikh al-Buti ketika itu, bersungguh-sungguh mendoakan kesejahteraan, keselamatan dan kebahagiaan rakyat Syria yang ditindas, di samping mendoakan kehancuran dan kecelakaan ke atas ‘tangan-tangan’ jahat lagi zalim yang merancang perlakuan kejam dan penindasan yang melampau ke atas rakyat Syria. Kebersamaan Syeikh al-Buti bersama rakyat-rakyat Syria yang tertindas tidak boleh dinafikan oleh musuh Islam sekalipun.

Berehatlah Aduhai Murabbi

Walau apapun tafsiran dan tanggapan terhadap as-Syahid, kita selaku umat Islam telah diajarkan al-Quran dan as-Sunnah agar sentiasa teliti di dalam menilai dan menghukum seseorang. Jika sekalipun ijtihad beliau itu terdapat celanya, itqankan diri kita untuk bersangka baik dengan ulama agung ini. Ingatlah bahawa keburukan as-Syahid tidak pernah menafikan sejumlah banyaknya sumbangan beliau ke arah pemurnian akidah, tasawwuf dan fiqh untuk umat Islam sejagat. Andai Allah telah menyelamatkan kita dari menjadi ‘tangan’ yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan beliau, maka jauhkanlah diri kita dari meletakkan lidah kita ke arah kebinasaan dengan ‘memakan’ daging ulama ini. Ketahuilah bahawa sesungguhnya daging ulama itu beracun.

Semoga Allah merahmati dan memberi ganjaran yang sebanyak-banyaknya kepada Mujtahid zaman ini, Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan Al-Buti atas sumbangan besarnya pada keilmuan Islam dan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah Al-Asya’riah. Sesungguhnya telah mulialah hidupnya sebagai seorang ulama, bersemadinya sosok ini pula dalam keadaan yang lebih mulia sebagai seorang syuhada. Nyata pemergian beliau ialah satu kerugian yang amat besar bagi umat ini. Kepada Allah jua kita memohon agar as-Syahid Syeikh Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti dikurniakan kedudukan yang tinggi di sisi Allah, di samping memohon semoga Allah sentiasa membimbing kita semua ke arah kebaikan dan redha-Nya.

 

Nukilan Emir Haziq bin Haji Mohamad Lela

Mahasiswa Perubatan tahun 1, Universiti Kaherah

Unit Karya BPP

PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) 2013/2014