Archives for KALAM PIMPINAN - Page 3

Kalam Pimpinan : Jalan ke Syurga

10151046_742841255750175_1380470374_n

بسم الله الرحمن الرحيم

Bismillahirrahmanirrahim

 “Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…”

Memahami firman Allah dalam ayat pertama surah al-Ala’, kita sebagai penghuni di bumi Allah yang hidupnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunah, maka menjadi satu kewajipan ke atas kita untuk melaksanakan tuntutan Allah ini. Mahu atau tidak, suka atau tidak, ia adalah satu kemestian bagi orang Islam terutamanya, dan ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW;

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِم

“Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim.” (HR Ibnu Majah dan lain-lainnya)

Manusia diciptakan ada yang berkulit cerah, sawo matang dan hitam manis. Ada yang rendah comel, tinggi lampai, dan sederhana tinggi. Ada pula yang berketurunan jawa, banjar, siam, arab dan sebagainya. Begitulah kita diciptakan. Allah menciptakan makhluknya pelbagai rupa dan bentuk serta memiliki sifat dan perilaku yang berbeza antara satu sama lain. Itulah kehebatan dan keunikan ciptaan Allah SWT.

Lantaran itu, siapa pun kita, dari mana pun asal kita, kita perlu berusaha untuk belajar. Dalam hal ini, kita tetap sama; seorang pelajar. Secara khususnya, kita sebagai mahasiswa perubatan, apakah ilmu yang wajib untuk kita pelajari dan hayati? Tepuk dada,tanyalah hati.

Kesedaran perlu lahir dalam jiwa mahasiswa dan mahasiswi sekarang, bahawa ilmu perubatan ini bukan ilmu yang mudah, dan boleh dipandang enteng. Kita perlu sedar bahawa Allah telah mentaklifkan kita dengan menjadikan kita sebagai insan terpilih untuk berada dalam bidang perubatan ini. Justeru itu, janganlah kita bermain-main dan bergurau senda lagi dengan tanggungjawab kita. Kita haruslah berusaha untuk mencapai kemuncak kejayaan terutamanya dalam profesion atau bidang yang kita ceburi kerana kita adalah sekelompok kecil yang diharapkan masyarakat dan negara untuk berkhidmat kepada mereka suatu hari nanti.

Pada zaman moden ini, di mana-mana sahaja ilmu boleh ditemui. Seperti kata pepatah, “maklumat di hujung jari”. Namun, perlu kita ketahui, dalam menuntut ilmu, ada digariskan adab-adabnya. Samalah seperti kita makan, tidur dan bercakap. Di situ ada adab-adabnya. Bahkan, dalam perlawanan bola sepak sendiri ada peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh pemain-pemain.

Persoalannya di sini, apakah adab-adab dalam menuntut ilmu?

Jawapannya terlalu banyak adab-adab yang diajar dalam Islam. Namun, antara adab yang paling menarik hati saya untuk disebutkan di sini ialah apabila kita belajar, kita perlu berguru. Tidak kiralah siapa pun guru kita, boleh jadi profesor di universiti, syeikh di masjid Azhar, ayah, keluarga, kawan dan mungkin mereka yang jauh lagi lebih muda dari kita. Janganlah kita melihat pada si pemberi ilmu, tapi lihatlah pada ilmu yang disampaikan olehnya. Imam al-Ghazali sendiri pernah berkata;

“Aku lebih suka mendengar nasihat dari orang muda kerana mereka masih tiada dosa dan penuh dengan kasih sayang.”

Sesetengah pihak menganggap cara belajar itu pelbagai, jadi mengapa perlu disempitkan skopnya? Cukuplah sekadar menelaah kitab-kitab atau buku-buku perubatan di rumah.

“Aku mumtaz kot. Aku tak perlu pergi kelas pun. Cukup je study kat rumah. Yang korang susah-susah pergi kelas tapi result macam tu jugak. buat pe?”

Pemikiran yang begini adalah salah sama sekali. Pemikiran ini perlu diperbetulkan. Ya, mungkin ada dalam kalangan kita berpendapat bahawa teknik penyampaian profesor semasa mengajar dalam kuliah, langsung tidak membantu kita dalam mencapai kemerlangan akademik. Namun, apa yang lebih penting di sebalik itu adalah keberkatan dalam menuntut ilmu. Kadang-kadang hati kita ini perlu diketuk. Cuba tanya pada diri sendiri. Apakah kita gembira, selesa dan tenang berada di rumah, saat sahabat-sahabat lain pergi ke kelas untuk belajar? Apakah kita bahagia dan berbangga dengan keputusan mumtaz kita dengan hanya study di rumah?

Dalam konteks kita sebagai mahasiswa di universiti, pihak universiti telah menyusun jadual kelas pengajian atau kuliah yang perlu kita hadiri setiap hari. Boleh dikatakan wajib untuk kita hadiri kerana kita adalah seorang pelajar. Manfaatnya bukan untuk profesor yang mengajar tapi untuk diri kita yang masih dalam persediaan membentuk dan membina diri untuk menjadi seorang doktor yang bukan hanya pada gelaran, sebaliknya seorang doktor yang berilmu tinggi dan memiliki sahsiah dan peribadi yang baik. Keberjayaan kita menjadi mahasiswa perubatan yang berdedikasi akan menatijahkan seorang pengamal perubatan yang berdedikasi juga di alam pekerjaan kelak, bahkan lebih dihormati dan disenangi oleh masyarakat.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

“Selamat datang wahai orang yang menuntut ilmu, sesungguhnya para penuntut ilmu itu akan dinaungi oleh sayap-sayap para malaikat yang saling bertindihan antara satu sama lain sampailah ke langit dunia, ini kerana kecintaan mereka kepada orang yang menuntut ilmu.”

(Ibnu Majah, Ahmad, Thabrani dan Ibnu Hibban)

 Sudah tentu fitrah kita sebagai orang Islam mahukan keistimewaan ini yang mana untuk dinaungi oleh sayap-sayap para malaikat dan jalannya cukup mudah. Hanya melatih diri kita untuk menjadi salah seorang yang berada dalam majlis-majlis ilmu. Tambahan lagi, anugerah yang Allah kurniakan kepada pencinta ilmu ialah apabila mereka melihat wajah gurunya, akan mendapat pahala. Justeru, sebagaimana kita boleh lazimi dalam sehari, kita perlu tidur selama 6 jam di sebelah malam, begitulah juga kita perlu lazimi diri kita untuk hadir ke kelas di sebelah pagi. Kita boleh!

Renungilah kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib;

Ilmu adalah warisan para Nabi, manakala harta ialah warisan Qarun dan Firaun. Ilmu boleh menjaga kamu, sedangkan harta itu kamu yang menjaganya. Orang yang memiliki ilmu mempunyai ramai teman, sedangkan pemilik harta mempunyai ramai musuh. Ilmu itu akan bertambah jika diamalkan, sedangkan harta akan berkurangan jika dibelanjakan. Pemilik ilmu akan dihormati, sedangkan pemilik harta dikenali sebagai si kedekut. Di hari kiamat pemilik ilmu akan memberi syafaat, manakala pemilik harta akan dihisab. Biarpun masa berlalu, ilmu tidak akan lapuk tetapi harta itu semakin lama semakin usang.  Ilmu dapat menerangi hati, tetapi harta boleh mengeraskan hati.

Orang berilmu mengakui dirinya hamba Allah SWT, sedangkan orang berharta mengakui dirinya pemilik.

Kita semua selaku mahasiswa perubatan perlu memanjatkan kesyukuran yang tinggi kerana diberi peluang oleh Allah untuk berada dalam bidang ini. Kita diberi peluang untuk mempelajari segala komponen-komponen yang berada dalam tubuh badan manusia, iaitu makhluk yang diciptakan Allah dengan sebaik-baik penciptaan. Maka, nikmat apa lagi yang kita mahukan?  Seharusnya, dengan kita melihat keagungan Allah di sebalik penciptaan manusia tersebut, kita semakin tunduk dan patuh pada perintah-Nya. Dan di antara perintah-Nya ialah, lakukan sesuatu kerja dengan itqan yakni tekun, termasuklah dalam belajar. Kita disarankan untuk menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh. Seperti kata pepatah;

“Tuntutlah ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahad.”

Pernahkah kita terfikir, begitu ramai yang berminat dan memohon untuk meneruskan pengajian dalam bidang ini, tapi mengapa kita terpilih? Ternyata Allah ada jawapannya. Tugas kita adalah melaksanakan apa yang menjadi kewajipan ke atas kita. Belajar dengan bersungguh-sungguh dalam bidang pengkhususan kita iaitu bidang perubatan. 

“Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.”

(Muslim, Abu Daud, Turmizi dan lain lain)

 Begitu tinggi martabat ilmu, sehinggakan Allah memberikan ganjaran syurga kepada mereka yang berusaha mencari ilmu. Walaubagaimanapun, sudah pasti dalam melalui suatu jalan, pasti akan menempuh onak dan duri. Ada perjalanan yang penuh liku. Ada perjalanan yang suram dan kelam. Begitulah juga dalam fasa menuntut ilmu, tidak boleh tidak, kita pasti akan menghadapi saat futur atau berputus asa, letih, malas dan sebagainya. Namun, sebagai orang Islam, kita perlu kembali kepada Allah. Letaklah pergantungan yang tinggi kepada Yang Maha Pencipta. Mintalah pertolongan hanya pada-Nya.  Dan yakinlah dengan segala ketetapan-Nya.

Oleh itu, sama-samalah kita menghargai detik waktu yang masih ada supaya kita menggunakannya sebaik mungkin. Masa terus berlalu. Semakin cepat dan pantas berlalu. Berlalu tanpa menunggu kita. Bagaimana pula kita? Kita masih lagi berada di takuk lama tanpa punya kesedaran dalam hati untuk berubah.

Ayuh! Mulai saat ini, tanamkan azam dalam diri untuk lakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Berpeganglah degan ayat Allah yang menyatakan Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah diri mereka dahulu. Maka, didiklah diri kita paling kurang sebagai orang yang cintakan ilmu. Hadis Nabi pernah menyebutkan tentang lima golongan:

 

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُنْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا أَوْ مُسْتَمِعًا أَوْ مُحِبًّا وَلَا تَكُنْ خَامِسًا فَتَهْلِكَى

(رواه بيهقى)

“Jadilah engkau orang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mahu mendengarkan ilmu, atau orang yang menyukai ilmu. Dan janganlah engkau menjadi orang yang kelima maka kamu akan celaka”
(HR. Baihaqi)

 

Akhir kalam, besarlah harapan saya agar semua mahasiswa PERUBATAN di Mesir secara umumnya dan PERUBATAN Cawangan Kaherah khususnya, memasakkan pendirian yang teguh dalam diri untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang boleh di bumi ardul kinanah ini seterusnya mengaplikasikan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian. Insya-Allah.

Saya sudahi dengan serangkap pantun,

Bijak sungguh si ali baba,
Berakhlak mulia penuh kesopanan;
Ilmu dicari keberkatan didamba,
Kejayaan diraih mendapat keredhaan.

Wallahutaalaa’lam.

 

 

zateel

 

 

 

 

 

 

 

“Achieve the Highest, Improve Others”

Zateel Fahada Binti Rusli
Timbalan Biro Akademik,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015.

Kalam Pimpinan : Rasulullah Dan Bahagia

10151046_742841255750175_1380470374_n

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Tuhan sekalian alam, selawat dan salam atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW atas segala rahmat yang turun melimpahi kita, nikmat iman dan Islam atas usaha baginda SAW, kecintaan baginda SAW kepada kita yang melebihi cinta kita kepada diri sendiri serta merentasi batas masa tetapi baginda tetap mengatakan, “Aku rindukan saudara-saudaraku”.

Sollu Ala Nabi.

Isnin, 12 Rabiul Awal, dunia ini dirahmati dengan lahirnya seorang nabi sebagai rahmat kepada sekalian alam, sehinggakan dunia pada hari ini masih lagi dirahmati kerana jasad baginda masih lagi berada di dunia ini.

Kisah arab yang masyhur dengan Layla dan Majnun, kecintaan seorang pemuda kepada seorang kekasih. Tatkala Layla sudah tiada lagi, Majnun melantunkan syair-syairnya:

Aku melewati dinding ini, dinding Layla.

Dan aku mencium tembok ini dan dinding yang ini.

Bukan cinta dari rumah-rumah yang telah mengambil hatiku.

Tapi dia yang berdiam di rumah-rumah.

Atas sebab itu kita pergi menziarahi Madinah, bukan kerana tempat itu, akan tetapi kerana baginda SAW di situ, baginda berjalan di sana. Kita mencintai baginda SAW walaupun baginda sudah tiada. Begitu jugalah kecintaan para sahabat.

Sollu Ala Nabi.

Saidina Bilal setelah kewafatan Baginda SAW telah berpindah keluar dari Madinah dan tinggal di Syam. Saidina Bilal hanya pulang setelah 20 tahun berlalu dan para sahabat lain menggesa Saidina Bilal untuk melaungkan azan. Pada saat itu, Madinah dibanjiri tangisan, keluar semua penduduk Madinah kerana merasakan mereka akan didatangi oleh Baginda SAW dan dapat bersembahyang bersama. Sebegitu sekali kecintaan para sahabat meskipun setelah 20 tahun, hati-hati mereka masih lagi mencintai baginda SAW. Itulah dia kecintaan yang sebenar.

Sollu Ala Nabi.

Bukanlah saya di sini mengajak sahabat PCK untuk sibuk mencari kekasih; siapakah imamku, siapakah makmumku. Ini kerana kita sudahpun ada kekasih yang mencintai kita sejak awal kelahiran kita yang mana tingginya kecintaan insan tersebut hingga membawakan syafaat kepada kita. Bukankah cinta sebenar membawa kebahagian dunia dan akhirat?

Sollu Ala Nabi.

Berbicara pula bab bahagia. Kebahagiaan mahupun kebaikan akan membawa kepada kesenangan serta kegembiraan hati, sebaliknya keburukan dan kejahatan akan menyebabkan keresahan dan kegelisahan hati.

Abdullah bin Abdurrahman menceritakan kepada kami, Amru bin Ashim mengkhabarkan kepada kami, Hammad bin Salamah mengkhabarkan kepada kami daripada Humaid dan Tsabit, daripada Anas, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

” Jalan menuju syurga itu dipenuhi dengan hal-hal yang tidak disukai, sedangkan jalan menuju neraka dipenuhi dengan berbagai kenikmatan syahwat. “

(Sahih Muslim : 8/142-143)

Menelusuri hadis ini, syurga adalah kebahagiaan dan neraka adalah sengsara. Pada syurga itu dipenuhi dengan amalan kebaikan yang dibenci (الْمَكَارِهِ) dan neraka dipenuhi perkara yang dicintai nafsu (الشَّهَوَاتِ).

Lihat pula kepada perbandingan antara sifat yang disandarkan kepada syurga dan neraka dalam ayat al-Quran dan hadis di bawah:

Sandaran sifat pada neraka:

اِنَّ الْمُنَافِقِيْنَ فِى الدَّرْكِ الاَسْفَلِ مِنَ النَّارِ

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkat yang paling bawah dari neraka”.

(Surah An-Nisa’ : 4:145)

Sandaran sifat kepada syurga:

” Sesungguhnya di Syurga terdapat seratus darjat yang Allah sediakan untuk orang yang berjihad di jalan Allah. Antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi. Maka jika kamu meminta kepada Allah, mintalah al-Firdaus al-A’la. Sesungguhnya ia berada di tengah-tengah Syurga dan tempat yang paling tinggi. Di atasnya terdapat Arasy Allah. Daripadanya mengalir sungai-sungai Syurga. “

(Riwayat al-Bukhari)

Kedua-dua sandaran memberitahu kita bahawa menuju syurga itu seumpama mendaki atau menaik (دَرَجَةٍ) dan menuju neraka itu menurun (الدَّرْك).

Maka, jelas bagi kita mengapa melakukan amalan kebaikan itu susah seperti mana susahnya kita menaiki bukit dan senangnya kita tergelincir jatuh ke dalam maksiat seperti meluncur ke bawah hatta dengan sedikit kelalaian pun.

Sollu Ala Nabi.

Sebagai kesimpulan, kecintaan kepada baginda, kebahagian dan kesengsaraan, amalan kebaikan dan keburukan, semua sekali dikaitkan dengan satu ayat al-Quran;

“Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu semua mencintai Allah maka ikutlah aku (Nabi Muhammad), nescaya Allah SWT akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.

(Surah Ali Imran : 3:31).

Jika kita mencintai Allah, dan mencintai baginda Nabi Muhammad SAW, maka kita akan mengikuti apa yang baginda laksanakan. Bak kata orang bercinta: “Aku mengasihi apa yang kamu kasihi, aku laksanakan apa yang kamu laksanakan.”

Sollu Ala Nabi.

Akhir kalam, saya naqalkan kalam Syeikh Yusuf Al-Hasani:

“Aku boleh datang kepada kamu beribu kali untuk aku sampaikan kalam aku, tapi seandainya kamu tidak berfikir berkenaan diri kamu, aku hanyalah kerugian buat kamu”

Wallahualam.

 

azri

“Pengurusan Kewangan Berkualiti, Kredibiliti PERUBATAN Diperakui”

Muhammad Nur Azri Bin Mohd Hisam
Bendahari
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2014/2015