Archives for EKONOMI

Grand Bazar Festival Memenuhi Selera Ahli

Abou Risy, 9 Mei – Biro Ekonomi PERUBATAN Cawangan Kaherah sesi 2014/2015 (BIKON), dengan kerjasama Majlis Ketua Batch (MKB) telah mengadakan satu bazar yang membuka tender gerai jualan bagi ahli yang berminat untuk berniaga.  Program yang berada dibawah kelolaan saudara Muhammad Badri bin Ahadin pelajar Tahun 4 Universiti Kaherah selaku pengarah program ini mendapat sambutan yang cukup hangat.

Bazar ini dibahagikan kepada dua sesi, iaitu  bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang , dibuka kepada akhawat manakala dari pukul 4.30 petang hingga 10.00 malam  pula bagi ikhwah.  Terdapat beberapa buah gerai jualan yang menyajikan pelbagai makanan enak, antaranya Bujang’s Corner, Akhawat Kaya, GENIIUS, Sofea’s Corner, Along’s Corner, Selera Che Siti , Truly Frutty, Anjung Seri, Sate Kajang serta banyak lagi.

Markas mula dipenuhi oleh para pengunjung seawal jam 9 pagi lagi.  Grand Bazaar Festival ini bukan sahaja dihadiri  oleh ahli PCK, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran mahasiswa dan mahasiswi dari cawangan Azhar, Ain Shams, serta Zaqazig.  Markas yang dihias indah dengan  berkonsepkan suasana kampung telah membangkitkan lagi kemeriahan bazar serta membuka selera para pengunjung untuk menikmati juadah di samping  mengeratkan silatur rahim antara satu sama lain.

 

Bazaar

Di samping itu, juadah makanan yang dijual pada tahun ini begitu mengiurkan. Antaranya ialah sate ayam, nasi minyak dan daging kerutuk, lontong, waffle, nasi dagang, roti jala dan kuah kari, nasi kerabu, laksa penang, air bandung pearl, air soya, mee udang diraja, mee jawa, rojak mee dan macam-macam lagi.  Selain itu, pelbagai kuih yang dijual ternyata mendapat sambutan hebat, antaranya ialah burger Malaysia, murtabak maggi, tepung pelita, cupcakes, sushi, tiramisu, kuih bengkang , biskut kacang serta banyak lagi.

“Suasana di sini sangat meriah dan ceria. Malah, menu makanan dan minuman juga pelbagai jenis dan berlainan, memang sangat menarik.  Perkhidmatan sangat memuaskan.  Grand Bazaar Festival anjuran PCK ini memang terbaik “, ujar saudari Ili Amnani bt. Ilyasnur, pelajar tahun 4, Universiti Zaqazig dengan begitu teruja.

“Selain kita dapat menikmati juadah-juadah Malaysia yang jarang kita dapati di sini, satu perkara yang memuaskan hati saya ialah Grand Bazaar Festival PCK telah mengeratkan ukhuwah kita dengan para sahabat dari Universiti Ain Shams, al-Azhar juga Universiti Zaqazig.  Syabas BIKON, MKB dan PCK. “, kata saudari Nurizzatul Hidayah binti Mohamad Nazri, pelajar Tahun 4, Universiti Kaherah.

Antara harapan pengarah dan juga timbalan pengarah program, mereka mengharapkan dengan berlangsungnya bazar ini maka tercapailah objektif  yang ingin dikecapi terutamanya untuk mengukuhkan lagi ikatan tali persaudaraan bukan sahaja dalam kalangan ahli PCK malah bersama ahli dari cawangan lain juga.

Disediakan oleh,

Hidayatul Naadiah bt Zulkifli
Unit Liputan
Biro Penerbitan dan Penerangan
Perubatan Cawangan Kaherah

 

[CODE ’13] Mini Bazar Pengubat Rindu Kepada Tanah Air

Kaherah, 26 April – Kelmarin merupakan hari kedua program Cairo Open Day  (CODE) berlangsung.  Aktiviti utama pada hari itu ialah pembukaan mini bazar di Markas PERUBATAN Abu Risy. Ini merupakan kali pertama, bazar yang menjual makanan Malaysia dibuka di kawasan Sayyeda Zainab.

Mini Bazar  telah mula diasak pengunjung sejak jam  2 petang lagi. Bagi mengelak kesesakan, pihak penganjur telah membahagikan waktu operasinya kepada dua sesi.  Jam 2 petang hingga 5 petang adalah untuk akhwat manakala jam 5 petang hingga 10 malam adalah untuk ikhwah.

Pembukaan gerai GEN 9, gerai GEN11US , gerai Imarah 11 dan gerai BIKON  telah menyebabkan kepelbagaian makanan dapat dilihat kelmarin. Gerai-gerai ini dibuka atas inisiatif Biro Ekonomi PCK yang menjual tender masakan kepada mereka.  Antara menu makanan yang menjadi tarikan pengunjung ialah nasi kerabu, laksa penang, chocolate milkshake dan pasembor.

Namun tidak dinafikan, beberapa masalah teknikal telah berlaku.  Sedikit komentar daripada salah seorang pengunjung Nurul Nadiah Binti Hassan  ialah tempat makan yang disediakan terlalu sempit. Tambahan lagi, pilihan minuman adalah terhad kerana rata-rata pemilik gerai terlalu memfokuskan kepada penyediaan makanan sahaja.

“Alhamdulillah,dengan adanya bazar kelmarin, kami dapat menghilangkn rindu pada makanan-makanan traditional Malaysia khususnya nasik kerabu. Kami juga dapat mengetahui dan mengenali pelbagai aneka makanan traditional negeri-negeri lain seperti pesembor dan sebagainya,”  ujar Siti Syahida Binti Jamaluddin, pelajar Tahun 3 Universiti Kaherah.

Kata Zainol Izzuddin bin Zulkifli , salah seorang pengunjung, “Bazar ni satu langkah bijak daripada PCK untuk mantapkan ekonomi PCK sendiri. Di samping itu, ia juga dapat mengeratkan silaturrahim antara ahli.” Semoga program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang. Program berakhir tepat jam 10 malam.

DSC_0095

[CODE ’13] Perasmian Cairo Open Day

Kaherah, 25 April – Satu program mega bagi PERUBATAN Cawangan Kaherah iaitu Cairo Open Day (CODE) akan berjalan selama 3 hari iaitu bermula dari 25 April hingga 27 April 2013. Dengan tema “Enjoy, Engage & Enlighten”, program ini bertujuan untuk memperkenalkan PERUBATAN Cawangan Kaherah kepada ahli di samping menjadi satu medium bagi pimpinan beramah mesra dengan ahli.

CODE telah dirasmikan oleh saudara Abd Rahim bin Samad, Presiden PERUBATAN 2013/2014. Di dalam ucapan, beliau mengajak semua ahli untuk sama- sama cakna dan mengambil bahagian dalam program yang julung-julung diadakan ini. Beliau turut menyeru kepada semua ahli untuk sentiasa mengambil tahu perkembangan terbaru PRU 13 dan bagi yang dapat pulang diharapkan dapat memilih pemimpin yang terbaik. “ Semoga apa yang dipangkah diberkati oleh Allah,” kata beliau sebelum mengakhiri ucapan.

Program CODE dimulai dengan kelas tsaqafah yang bertajuk Fiqh ad-Daulah fil Islam yang disampaikan oleh Ustaz Solihudin bin Mohamad Jahar. “ Kita ada peranan masing-masing dan setiap peranan kita ini akan ditanya di akhirat, “ kata Ustaz Solihudin ketika memulakan pembentangan kertas kerja Fiqh Kenegaraan Menurut Islam yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin bin Abd Rahman. Antara item yang dibincangkan dalam kelas tsaqafah bersempena CODE kali ini ialah kewujudan politik dalam Islam, cabaran pemisahan Islam dan politik serta hak bukan Islam dalam pemerintahan Islam.

DSC_0012

Pelancaran CODE turut diserikan dengan Roadshow Majlis Tertinggi PERUBATAN yang dihadiri oleh 6 orang ahli MTP ikhwah dan 5 orang ahli MTP akhawat. Sesi pengenalan ahli MTP dijalankan bagi memperkenalkan pimpinan kepada semua ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah memandangkan MTP merupakan sejarah pertama pentadbiran baru PERUBATAN. Selain memperkenalkan diri, setiap ahli MTP turut memberi sedikit perkongsian kepada ahli yang hadir.

Semoga program CODE ini dapat memberi manfaat kepada semua ahli. Dijemput kepada semua ahli untuk hadir ke Mini Bazaar yang dijalankan pada hari Jumaat dan Mini Conference pada hari Sabtu.

DSC_0022