Archives for BERITA - Page 3

Pertemuan Rasmi Kedua PCK Bersama Pihak Universiti

 

Universiti Kaherah, 16 November- PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) telah mengadakan pertemuan rasmi buat kali kedua pada sesi ini bersama pihak universiti bagi membincangkan isu-isu berkaitan hal ehwal akademik pelajar Malaysia.

Delegasi ini telah diketuai oleh Saudara Zainol Izzuddin Bin Zulkifli dan Saudari Noha Nabila Bt Mohd Akhir selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PCK. Turut hadir Naib Pengerusi I, Saudara Muhammad Zofir Wajdi Bin Arip, Naib Pengerusi II, Saudari Siti Aminah Bt Harun, Bendahari Kehormat, Saudara Muhammad Ikraam Bin Abdul Latif, Timbalan Setiausaha, Saudari Zateel Fahada Bt Rusli, Ketua Biro Penerbitan dan Penerangan, Saudara Muhammad Basheer Bin Yahya dan Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar, Saudara Mohammad Aqil bin Azman.

Pertemuan tersebut berjalan dengan lancar walaupun Dr. Hala’ Salah selaku Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Kasr El-Ainy tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Tempat beliau telah diganti oleh Dr. Heba Moustafa yang merupakan koordinator pelajar Malaysia.

Sifat keterbukaan dan mesra Dr Heba dengan pelajar Malaysia sangat membantu para delegasi untuk menyampaikan segala masalah dan isu yang berlaku. Antara perkara yang telah dipanjangkan oleh Biro Akademik PCK kepada pihak universiti adalah:

  • Surat sokongan dari Universiti Kaherah kepada salah seorang graduan 2011 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana (Master).
  • Isu pelajar yang mengulang tahun.
  • Yuran pelajar dan kebenaran untuk menduduki peperiksaan pertengahan tahun.
  • Hari Graduasi.
  • Kelas pengajian pelajar tahun 6.
  • Pembayaran transkrip result untuk pelajar G2G

Dr. Heba sangat menyambut baik segala permasalahan yang diutarakan dan  beliau berjanji akan melakukan beberapa tindakan segera  bagi memenuhi segala permohonan daripada pelajar Malaysia tersebut.

“As all of you are in the clinical year, I advise you to attend committedly all your classes, see as many patients as you can, and study everyday as you are going to have exams at the end of each round,” nasihat Dr Heba di akhir pertemuan tersebut.

Sebelum bersurai, Saudari Noha Nabila telah memberikan sedikit cenderahati kepada Dr Heba atas kesudian beliau meluangkan masa. Di samping itu, graduan daripada Batch Gen 8 di Malaysia telah mengirim sedikit buah tangan untuk diberikan kepada Dr Heba. Senyuman terukir  di bibir beliau apabila mengenangkan mereka.

Pertemuan berakhir tepat jam 4.20 petang. Diharapkan hubungan baik yang terjalin antara PCK dan pihak universiti sentiasa subur demi memastikan kebajikan pelajar Malaysia di universiti sentiasa terjaga.

 

PCK Bersama pihak uni 2

 

 

 

 

 

 

 

 

Larian Run For PEACE, Mengejar Isu Umat

Kaherah, 10 November – Run For PEACE yang diadakan pada 6 November yang lepas, telah disertai seramai 100 orang ahli daripada PERUBATAN Cawangan Kaherah, Ain Shams dan al-Azhar. Laluan larian bagi mahasiswa telah dijalankan di sepanjang Sungai Nil manakala bagi mahasiswi pula di Hadiqah Azhar.

“Objektif Run For PEACE ini adalah untuk mempromosikan PEACE cawangan dan meningkatkan kesedaran ahli tentang isu semasa umat Islam di samping mengutip dana sumbangan untuk dimasukkan ke dalam Tabung Kemanusian,” ujar Saudari Nur Syazwin Mohammad Shukri, Timbalan Biro Kebajikan PERUBATAN Cawangan Kaherah.

Tambahan lagi, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan ahli PERUBATAN supaya menjalankan gaya hidup yang sihat serta mengeratkan hubungan antara ahli PERUBATAN antara cawangan di Kaherah.

“Saya suka program seperti ini. Program ini dapat menjadikan kita cakna kepada isu saudara kita di negara lain selain dapat menyihatkan tubuh badan. Ukhwah antara batch juga dapat dieratkan,” kata Saudari Engku Fatim Azzahra binti Syed Norzaim, pelajar Tahun 2, Universiti Kaherah.

“A good deed a day makes your heart healthy and bubbly all day,”  ungkap Saudari Nurizati Hamizah binti Abdul Rahim yang merupakan salah seorang peserta. Beliau juga memuji brunch pack  yang diberi sangat menarik dan program ini telah membuat hari beliau sangat bermakna.

“Saya berharap semoga program ini dapat menambahkan lagi kecaknaan ahli tentang isu umat Islam. PERUBATAN juga telah menyediakan medium yang lain untuk ahli cakna terhadap isu seperti hari PEACE, pengisian maya dan aktiviti-aktiviti kesukarelawan . Oleh itu, diharapkan ahli dapat memanfaatkan sebaiknya peluang tersebut,” ujar Saudari Syazwin lagi.

12187956_937066613035119_5681541796235708978_o

11220126_936075693134211_9217638172560291638_n

Bake Is Fun

Resipi roti dari bengkel  Bake is Fun
oleh Saudari Anis Nabilah

Sukatan bahan dalam resipi adalah untuk penyediaan 30 biji roti hotdog dan 48 biji roti ban.

  • Pastikan mood anda dalam keadaan baik.
  • Pastikan kuku anda pendek supaya mudah menguli.
  • Semua bahan mestilah diletakkan di suhu bilik (tidak boleh disimpan di dalam peti sejuk).
  • Yis tidak boleh terdedah kepada udara.
  • Semasa menuang bahan kering dalam bekas mengadun, yis tidak boleh diletak bersebelahan garam.
  • Pembuatan roti mestilah dalam ruang yang bersuhu bilik (jangan membuka kipas/penyaman udara)
  • Air yang terlalu panas atau sejuk boleh mematikan yis. Oleh itu, bagi cuaca di Mesir kita menggunakan air suam manakala di Malaysia kita menggunakan air sejuk.
  • Roti tidak boleh terlebih atau terkurang uli.
  • Sukatan bahan harus dipatuhi supaya roti yang terhasil lembut dan sedap.
  • Doh yang telah kembang dua kali ganda bermakna ia sudah sedia untuk dibakar. Doh tersebut tidak boleh dipicit mahupun disentuh dengan kasar supaya udara yang terhasil tidak keluar dan menyebabkan roti penyek dan mampat.PicsArt_1445698201091

Bahan kering:

  • 1 kg tepung roti (دقيق خبز /diik khubz)
  • 25 g susu tepung
  • 25 g yis (خميرة /khamira)
  • 10 g garam
  • 10 g serbuk pembaik roti (محسن خبز /muhsin khubz)
  • 200 g serbuk gula aising (سكر بدرة /sukkar budrah)

Bahan basah :

  • 2 biji telur
  • 450 ml air suam

Bahan minyak :

  • 80 g mentega/shortening (rawabi)PicsArt_1445698141984

Untuk ban kentang :

Tambahkan gula sebanyak 50 g dan mentega sebanyak 20 g.

Piping untuk ban kentang :

  • 1 cawan susu segar
  • 1 sudu tepung jagung
  • 1 sudu tepung gandum
  • 4 sudu gula halus

Masak di atas api yang perlahan dan bahan di atas digaul sehingga sebati. Kemudian tambahkan telur dan kacau sehingga likat. Masukkan pewarna dan kacau. Tutup api dan masukkan mentega. Kacau sebati.

  • 1 biji telur
  • Sedikit pewarna kuning
  • 1 sudu mentega

Sapuan atas ban kentang sebelum meletakkan piping :

  • 1 biji telur
  • 1 sudu besar susu
  • 1 sudu madu
  • PicsArt_1445698175179

 

Untuk roti sosej :

  • Sosej
  • Sayuran campur
  • Mayonis
  • Sos cili atau tomato

Cara membuat :

  1. Campurkan semua bahan kering dalam satu bekas. Gaulkan sehingga mesra.
  2. Telur dikacau di dalam air suam.
  3. Masukkan air yang bercampur telur dalam bahan kering tadi.
  4. Uli sampai tepung tidak melekat di tangan.
  5. Masukkan mentega dan uli.
  6. Uli selama 20 minit.
  7. Sapukan minyak dalam bekas lain.
  8. Bulatkan doh yang siap diuli menjadi satu bulatan besar, letakkan dalam bekas yang diminyakkan.
  9. Tutup bekas itu dengan cling wrap.
  10. Rehatkan selama 30-45 minit/sehingga doh naik dua kali ganda.
  11. Sapukan mentega pada loyang.
  12. Cucuk doh yang telah kembang. Untuk memastikan ia benar-benar kembang,doh akan menghasilkan lubang apabila dicucuk.
  13. Tumbuk doh untuk mengeluarkan angin.
  14. Bentukkan doh dan susun dalam loyang dengan jarak yang sesuai
  • (ban kentang : 40 g sebiji)
  • (roti sosej : 60 g sebiji,bulatkan dan leperkan doh, letak sebatang sosej , potong sosej kepada 8 potongan dengan tidak memutuskan doh, tarik potongan doh dan adunkan membentuk bunga).
  • Kemudian rehatkan dalam loyang selama 45 minit-1 jam supaya doh kembang lagi.
  1. Sebelum membakar, sapukan atas ban kentang dengan sapuan yang disebutkan, dan paipkan bahan piping atas ban. Untuk roti sosej, letakkan sayuran campur, keju mozzarella , sos dan mayonis .
  2. Bakar selama 15-20 minit dengan suhu 200 darjah untuk ban, dan 150 darjah untuk roti sosej.
  3. Selepas roti masak, anda boleh sapukan sedikit mentega di atas roti yang telah siap untuk menghasilkan kesan kilatan pada roti.

Selamat mencuba!

PicsArt_1445698112923

Syantah Ramadan : Mengingatkan diri supaya lebih bersyukur

Kaherah, 13 Julai – Sebanyak 200 bungkusan telah diedarkan kepada  pesakit di Hospital Kanak-kanak Abou Rish. Program Syantah Ramadan ini dianjurkan oleh PEACE PERUBATAN Cawangan Kaherah dengan kerjasama Biro Pembangunan Insan  dan Biro Kebajikan  PERUBATAN Cawangan Kaherah. Ia merupakan aktiviti tahunan setiap kali Ramadan menjelma. Puluhan ahli PCK telah turun padang bagi sama-sama menjayakan aktiviti kesukarelawanan ini.

Kutipan sumbangan yang berjalan dari 13 Jun sehingga 4 Julai telah mencatatkan jumlah yang besar jika dibandingkan dengan jumlah pelajar Malaysia yang semakin mengecil di Universiti Kaherah iaitu sebanyak LE 19, 352 dan USD 1392. Hasil sumbangan ini juga akan diagihkan kepada rumah anak yatim dan masjid-masjid di sekitar Sayeda Zainab.

Program yang bermula pada jam 2 petang itu turut dihadiri oleh Dr Hala’ Salah,  Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Kasr El-Alny,  Dr Heba Moustafa selaku koordinator pelajar Malaysia,  dan Haniz Iqbal bin Hazaidi, Presiden PERUBATAN. Terpancar sinar kebahagiaan di wajah pesakit dan keluarga tatkala menerima bungkusan yang berisi spageti, makaroni, tepung, gula, minyak serta beberapa permainan kanak-kanak.

“Saya berasa sangat seronok sebab dapat menyertai program Syantah Ramadan pada tahun ini. Apabila saya nampak kelegaan di wajah mereka, saya rasa puas. Mungkin sumbangan kita yang berbentuk barang makanan ini setakat barang dapur biasa yang kita boleh dapati hari-hari. Tapi bagi mereka, ini merupakan keperluan asasi rumah yang mereka sangat kehendaki,” ujar Siti Nur Suhaila, Timbalan Ketua Batch GEN11US yang turur hadir petang itu.

Majlis penutup pula bermula pada pukul 3.30 petang . Ucapan daripada Presiden PERUBATAN  pembuka tirai majlis tersebut. Di dalam ucapan beliau, surah Al-‘Adiyat telah dibacakan dan beliau mengingatkan ahli agar sentiasa meningkatkan rasa syukur kepada Allah. Program syantah Ramadan bukan setakat mengajar kita untuk menghadirkan semangat ingin memberi, malah turut mengingatkan kita bahawa apa yang kita ada sudah cukup jika hendak dibandingkan dengan mereka yang kurang bernasib baik. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana Syantah Ramadan yang diketuai oleh saudara Muhammad Badri bin Ahadin dan timbalannya, Nurul Sakinah Binti Roslan.

Dr Hala pula telah memuji kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh pelajar Malaysia dalam menjayakan program ini. Tambahnya lagi, pelajar Malaysia mungkin mengalami ‘kejutan budaya’ semasa di tahun pertama dan kedua, tetapi sekarang mereka telah dapat menyesuaikan diri dan bergaul dengan masyarakat tempatan Mesir dengan lebih baik. Beliau turut mengingatkan pelajar tahun 6 supaya mengulangkaji pelajaran dengan tekun dan mendoakan mereka semua berjaya dalam peperiksaan. Majlis berakhir dengan sesi fotografi bersama Dr Heba dan Dr Hala’.

Pihak jawatankuasa pelaksana berharap agar program pada tahun ini dapat mendidik ahli agar sentiasa bersyukur, menyelami keperihan hidup orang yang kurang berkemampuan dan berlumba-lumba membuat kebaikan terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

11745715_876001935808254_8449359803994861354_n

SGD 4–Melatih Kreativiti Ahli Dalam Memberi Konsultasi

Abou Rish, 3 Mei 2015 – Seramai 42 orang ahli Novice Cairo Medical Team, Medximus, telah menyertai Small Group Discussion (SGD) yang ke-4 di Markas Perubatan Abou Rish. SGD kali ini bertujuan untuk mempersiapkan ahli dengan ilmu pengucapan awam dan konsultasi. Selain itu, ahli juga didedahkan dengan isu-isu kesihatan yang berkaitan masyarakat Mesir khususnya dan Malaysia amnya.

Meskipun program dijangkakan bermula pada pukul 2.45 petang, namun terdapat segelintir ahli yang tiba seawal jam 2.05 petang. Kebanyakan ahli yang lain juga berjaya datang awal ke program kali ini walaupun kelas tahun 4 berakhir agak lewat pada hari tersebut. Hal ini menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam kalangan ahli Medximus. Syabas!

Setelah pengerusi majlis, Nurul Emira binti Rashdan, mengalu-alukan kedatangan peserta, program dimulakan dengan tazkirah oleh saudara Muhammad Arif Imran bin Zainal Rashid. Arif telah menceritakan  pengalamannya berbicara dengan doktor pakar di Mesir mengenai hukum pendermaan organ ‘cornea’.

Slot ‘Talk With Senior’ pula telah disampaikan oleh saudari Zatil Hidayah Adnan. Dalam slot ini, peserta telah didedahkan mengenai pengucapan awam, kemahiran pembentangan dan konsultasi. Sebelum slot berakhir, beliau mengadakan kuiz berkenaan istilah-istilah perubatan dalam bahasa Melayu. Hal ini secara tidak langsung telah menyedarkan ahli tentang kepentingan penggunaan bahasa yang tepat dalam memberi konsultasi.

Program diteruskan dengan slot pembentangan oleh setiap kumpulan. Pembentangan ini telah diadakan dalam bentuk yang menarik seperti talkshow, forum dan role play. Istimewanya pembentangan kali ini adalah kerana pembentangan setiap kumpulan akan diadili oleh juri yang bukan calang-calang orangnya, iaitu Zainol Izzudin bin Zulkifli, Fatin Nabila bt Luqman dan Zatil Hidayah Adnan. Antara tajuk yang menguji kesediaan ahli untuk memberi konsultasi termasuklah ‘Contraceptive’ dan ‘Breastfeeding and Weaning.’

Setelah slot pembentangan berakhir, juri menyampaikan penilaian mereka terhadap setiap kumpulan. Banyak kritikan dan nasihat yang membina telah diberikan kepada peserta bagi tujuan penambahbaikan pada masa akan datang. Kumpulan terbaik pada SGD kali ini merupakan kumpulan 5 yang telah mengadakan talkshow ala-ala rancangan ‘Semanis Kurma’ dengan tajuk pembentangannya, ‘Pregnancy induced hypertension.’

11225666_892237040833515_1638512469_n

Di sediakan oleh:
Nur Amalina bt Mustaffa,
Ahli Med-Ximus,
Cairo Medical Team