Archives for BERITA - Page 2

Malaysia Terus Mengharum

Kasr al-Ainy, 2 April – Pada tahun ini, para pelajar Malaysia di Universiti Kaherah tidak melepaskan peluang untuk menyertai program International Day yang diadakan pada setiap tahun.  Antara objektif utama program ini diadakan adalah untuk memperkenalkan negara Malaysia kepada orang luar terutamanya  pelajar-pelajar di Universiti Kaherah.

Program ini bermula pada pukul 9.00 pagi dengan pameran di booth negara masing-masing. Terdapat pelbagai tarikan di booth Malaysia yang berjaya menarik ramai pengunjung seperti poster-poster yang menunjukkan tempat menarik di Malaysia, permainan tradisional dan pakaian tradisional bagi beberapa etnik di Malaysia. Selain itu, para pengunjung turut berpeluang mencuba pakaian yang disediakan dan bergambar dengan pakaian tersebut.

PicsArt_04-11-06.04.34

PicsArt_04-11-06.02.56
PicsArt_04-11-06.15.41   PicsArt_04-11-06.21.19  PicsArt_04-11-06.32.49

Di samping itu, ramai pengunjung yang teruja untuk mencuba permainan congkak. Booth Malaysia bertambah meriah dengan kehadiran Dekan Fakulti Perubatan Kasr al-Ainy dan juga Timbalan Dekan. Pelajar Malaysia turut berkesempatan melawat booth negara-negara lain seperti Palestin, Nigeria, Syria, Nepal, Arab Saudi dan Jordan. Mereka berpeluang mengenali keunikan negara-negara lain di samping menambah kenalan dari pelbagai negara.

PicsArt_04-11-06.29.26

PicsArt_04-11-06.01.00

12919618_1028811677193945_4523969474923231818_n

PicsArt_04-11-06.16.53

PicsArt_04-11-06.19.44

PicsArt_04-11-06.18.21

International Day turut memberi peluang kepada para pelajar dari pelbagai negara untuk memperkenalkan makanan yang popular di negara masing-masing. Mereka sanggup beratur panjang menunggu giliran untuk mencuba pelbagai jenis makanan. Makanan yang disediakan oleh pelajar Malaysia antara makanan yang menjadi pilihan ramai pengunjung.

PicsArt_04-11-06.13.10

Pada pukul 3.00 petang pula, upacara dewan dan persembahan dimulakan. Setiap negara yang menyertai persembahan diberikan masa lebih kurang sepuluh minit untuk membuat persembahan. Persembahan pelajar Malaysia yang mendapat giliran kelima telah mendapat tepukan yang gemuruh daripada para penonton kerana persembahan yang agak berbeza daripada negara-negara lain iaitu persembahan silat dan kompang .

12417747_1028969987178114_9022609089592721544_n

Dengan berakhirnya program ini, diharapkan para pelajar Malaysia sebagai duta kecil negara dapat membantu mempromosikan Malaysia terutamanya dalam aspek pelancongan .

12967529_1034049123336867_8972458128222730174_o

AJK Pelaksana International Day 2016.

Berita oleh : Wan Fathiah Nasuha

MTC-3: NOR AFIFAH JILANI DIGELAR PERWAKILAN TERBAIK

Kasr al-Ainy, 26 Februari – Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) sesi 2015/2016, saudara Zainol Izzuddin bin Zulkifli, telah menulis semula bait lagu dalam satu posting di laman Facebook beliau yang dipetik oleh salah seorang perwakilan dalam sesi perbahasan Ucapan Dasar Pengerusi PCK 2016/2017. Di bawah bait lagu tersebut turut ditulis “- perwakilan terbaik -.”

Pada Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali ketiga PCK, saudari Nor Afifah binti Jilani, mahasiswi Tahun 5 Universiti Kaherah telah memetik bait lagu seperti berikut;

“Mengharap senang dalam berjuang,

Bagai merindu rembulan di tengah siang,

Jalannya tak seindah sentuhan mata,

Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba.

Tapi jalan kebenaran,

Tak akan selamanya sunyi,

Ada ujian yang datang melanda,

Ada perangkap menunggu masa”.

Lagu tersebut yang ditujukan khas buat pimpinan baru PCK sesi 2016/2017 turut diolah dan ditambah liriknya seperti berikut;

“Namun yakinlah kita mampu,

Menempuh jalan yang telah ditetapkan,

Oleh Allah yang Esa,

Kerana langkah ini langkah kita bersama.”

Dalam sesi perbahasan Ucapan Dasar Pengerusi itu, saudari Nor Afifah juga turut meminta kerjasama kesemua perwakilan untuk menepuk tangan bersama dalam kiraan tiga. Setelah kesemua perwakilan memberikan kerjasama dan berbuat demikian, barulah beliau menjelaskan tujuan dan maksud yang ingin beliau sampaikan. Memetik kata-kata Pengerusi PCK sesi 2016/2017, saudara Muhammad Basheer bin Yahya, “Langkah ini, langkah kita bersama,” saudari Nor Afifah menjelaskan bahawa dalam melangkah dan bergerak bersama PCK, keadaan kita boleh diibaratkan seperti tepukan tangan tersebut, walaupun tidak seragam rentaknya, ada yang lambat dan ada yang cepat, tetapi kita semua tetap bersama dan menyumbang sedikit sebanyak kepada bunyi tepukan yang terhasil. Begitu jugalah keadaan kita di PCK yang mempunyai pelbagai kerenah, tetapi dengan kerjasama semualah PCK ini dapat terus bergerak dan melangkah.

“Kalau ada Anugerah Perwakilan Terbaik, akak (kakak) akan beri kepada awak, Epa (panggilan kepada Nor Afifah). Epik ucapan awak semalam, memang penutup MTC terbaik.” komen saudari Ainatul Mardhiah binti Mohammadin, salah seorang Penasihat PCK sesi 2015/2016. Walaupun tiada anugerah sedemikian yang diberikan kepada Nor Afifah, tetapi rata-rata perwakilan lain bersetuju dengan hujah beliau dan menyifatkannya sebagai ucapan yang sampai ke hati.

gambar MTC-kak Epa perwakilan terbaik 2016

MTC 3 – DUA ANUGERAH KHAS MENGINSPIRASI WARGA PCK

Kasr al-Ainy, 26 Februari – Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) Kali Ketiga PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) ternyata mempunyai kelainannya yang tersendiri. Berbanding tahun lalu yang hanya menyaksikan satu anugerah khas  disampaikan namun MTC kali ini telah menganugerahkan dua anugerah khas.

Dua anugerah tersebut ialah Anugerah Tokoh Pilihan dan Anugerah Khas PERUBATAN Frontliners (PROF). Anugerah Tokoh Pilihan merupakan sebuah anugerah yang disampaikan kepada dua orang graduan Universiti Kaherah, seorang lelaki dan seorang wanita, yang telah banyak terserlah ketokohan mereka sepanjang bergelar penuntut di Universiti Kaherah serta menjadi contoh teladan kepada kawan-kawan dan para junior. Anugerah Tokoh Pilihan ini telah diberikan kepada Saudara Ahmad Kamil bin Ahmad Fahmi dan Saudari Nur Adibah Husna binti Aladdin.

“Adik-adik yang saya sangat sayangi, hakikatnya Allah yang mencambahkan benih kasih sayang antara kita. Empat fulkrum yang PCK bawakan, hatta atas dasar apa sekalipun akan tertegak jika ada khauf dan raja’. Khauf ialah sentiasa takut kepada Allah yang memerhati setiap tindak-tanduk kita. Raja’ ialah sentiasa mengharapkan Allah menerima amalan kita yang tak sesempurna mana. Dua elemen ini menjamin lidah dan anggota daripada menyakiti orang. Langkah kita sentiasa langkah bersama,” ujar saudari Adibah  tatkala diminta untuk memberikan nasihat kepada para junior di PCK.

Anugerah Khas PROF pula ialah anugerah yang disampaikan kepada ahli PCK yang telah banyak menyumbang tenaga dan buah fikiran sebagai penggerak PERUBATAN amnya dan PCK khususnya. Anugerah Khas PROF ini telah dinobatkan kepada Saudara Muhammad Badri bin Ahadin, mahasiswa Tahun 6 dan Saudari Hafizati binti Ishak, mahasiswi Tahun 5.

“Pertamanya, alhamdulillah atas anugerah yang telah diberikan. Jutaan terima kasih buat PROF kerana memberi peluang kepada saya untuk menyumbang serta telah mencungkil dan mengasah bakat melalui pentauliahan menjadi AJKP dalam program yang telah dilaksanakan. Moganya dengan penganugerahan ini dapatlah memberi motivasi pada diri dan sahabat-sahabat untuk terus memberi dalam kehidupan seharian,” komen Hafizati selepas menerima anugerah tersebut.

Keempat-empat penerima anugerah tersebut sememangnya layak dan sangat memberi inspirasi kepada seluruh warga PCK. Ketika ditanya tentang kepentingan sesi anugerah sedemikian diadakan, Timbalan Pengarah MTC Kali Ketiga, saudari Nurul Asyiqin binti Ibrahim telah berkata, “Sesi penganugerahan tersebut bertujuan untuk memberi semangat kepada ahli untuk terus bergerak melalui medium PERUBATAN. Selain itu, ahli PERUBATAN yang terpilih juga dapat menjadi qudwah kepada ahli lain, sekaligus membantu melengkapkan lagi PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam kalangan ahli PCK.”

 

IMG_0407

MTC 3: USUL DITERIMA

Kasr al-Ainy, 26 Februari – “Langkah Ini, Langkah Kita Bersama.” Itulah kata-kata keramat yang diperkenalkan oleh Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) Sesi 2016/2017, Saudara Muhammad Basheer bin Yahya, sedari bertanding jawatan tersebut dalam Piliharaya PERUBATAN Cawangan lagi. Ternyata sebaris slogan ini telah menyatukan warga PCK dalam Mesyaurat Tahunan Cawangan (MTC) Kali Ketiga yang buat julung-julung kalinya diadakan di Dewan Seminar B, Fakulti Perubatan Kasr al-Ainy.

Dua usul yang telah dibawa iaitu “Menghantar memorandum penghantaran semula pelajar ke Universiti Kaherah kepada badan-badan penaja” dan “Menggesa pihak berautoriti dalam mengurangkan yuran pelajar mengulang”. Kedua-duanya telah diusul oleh pelajar Tahun 5 Universiti Kaherah, Saudara Muhammad Aminuddin bin Khalid dan Saudari Fathinah binti Harun.

Usul pertama tersebut merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan usul yang dibawa oleh saudara Abul Akmal Arif bin Anuar, graduan Universiti Kaherah, pada MTC kali kedua tahun lalu. Beliau telah mengusulkan sebuah panel kajian khas dibentuk bagi mengkaji masalah pengurangan ahli PCK yang kian meruncing. Justeru, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk dan telah membentangkan hasil kajian mereka kepada semua perwakilan pada MTC kali ini. Seramai 92 orang perwakilan telah bersetuju dengan usul ini dan 16 orang pula berpendapat sebaliknya.

Salah seorang perwakilan yang membangkang bangkit menyatakan kebimbangan beliau.  Beliau memberi hujah sekiranya berlaku penghantaran semula pelajar ke Universiti Kaherah pada saat bilangan senior yang membantu sudah terlalu sedikit, mereka akan menghadapi  kesukaran dalam berhadapan suasana baru di negara orang. Walau bagaimanapun, saudara Aminuddin telah meredakan kebimbangan perwakilan tersebut dengan jawapannya, “Dalam lagu rasmi PERUBATAN pun telah menyebut ‘Kita Keluarga PERUBATAN’. Saya pasti PERUBATAN cawangan lain yang masih ramai ahlinya akan membantu adik-adik ini.”

Pada sesi pengundian usul kedua pula, seramai 99 orang telah  bersetuju dan hanya sembilan orang membangkang. Rata-rata yang tidak bersetuju berpendapat bawahasanya usul ini lebih sesuai untuk dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan kerana isu yuran universiti ini bukan hanya dihadapi oleh mahasiswa di PCK, malahan turut membelenggu pelajar di kesemua tujuh cawangan. Walau bagaimanapun, Presiden PERUBATAN sesi 2015/2016, Saudara Haniz Iqbal bin Hazaidi, telah bangun berhujah bagi memperbetulkan fahaman ini lantas mengubah pendirian sesetengah ahli mesyuarat.

MTC pada kali ini telah melabuhkan tirainya tepat jam 5 petang. “Alhamdulillah, selesai sudah MTC PCK kali ketiga. Sekalung tahniah kepada pimpinan yang baru dilantik. Semoga selepas ini kita sama-sama dapat mendokong pimpinan baru ini. Saya juga berharap agar semua perwakilan mendapat momentum baru untuk terus bergerak bersama PCK setelah kita bermuhasabah dan melontar idea bagi penambahbaikan PCK yang kita sayangi. Ribuan terima kasih juga saya ucapkan kepada AJKP MTC yang bertungkus lumus menjayakan mesyuarat kali ini,” ujar saudara Muhammad Hasif bin Kamaruddin, Pengarah MTC Kali Ketiga.

IMG_0331

 

COC 15: Pertarungan Merebut Piala Ukhuwah

Zeinhom, 11 Disember – Bertemakan “Fight Till The End, Together We Stand”, Clash of Cairenes (COC) telah melabuhkan tirainya pada Jumaat yang lepas. Program anjuran Biro Sukan & Aktiviti Luar PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) ini telah mendapat sambutan hangat daripada seluruh warga Kaherah termasuk ahli di Tahun Enam akhir. Program ini telah berlangsung sepanjang tahun menggantikan program Ultimate Family Outing (UFO) yang hanya diadakan sekali sahaja.

Segalanya bermula pada 1 Mei 2015 di mana COC 1.0 telah menyajikan ahli PCK dengan pertandingan indoor games. Acara yang dipertandingkan bagi mahasiswa ialah dam haji, dart, PES dan Counter Strike. Bagi mahasiswi pula telah diadakan pertandingan congkak, chess, scrabble dan Batu Seremban. COC 2.0 pula telah mencungkil bakat terpendam ahli dalam permainan bowling.

Setelah itu, COC 3.0 pula telah menjemput semua mahasiswa ke Nadi Zeinhom dan Nadi Abbasiyyah bagi mahasiswi untuk sama-sama menyertai pertandingan sukaneka. Royal Rumble dan Futsal Couple telah mencabar ketangkasan mahasiswa, manakala Volleyball dan Dodgeball telah menguji stamina mahasiswi.

COC Grand Finale merupakan kemuncak program ini. Ia merupakan hari penentuan bagi keempat-empat rumah sukan iaitu Aqua, Ignis, Terra dan Ventus untuk merebut gelaran juara. Bagi mahasiswi, tiga daripada empat acara yang dipertandingkan iaitu Rounders, Fit ‘Em All In, dan Synchronise ‘Ur Step telah dimenangi oleh rumah Ventus, manakala acara Find ‘Ur Owner telah dimenangi oleh rumah Ignis.

Acara Runescape bagi mahasiswa pula telah menyaksikan Aqua tersingkir dan mendapat tempat terakhir manakala rumah yang lain seri mendapat mata yang sama. Acara lain seperti futsal telah dimenangi oleh Terra, volleyball disapu bersih oleh Ventus, dan johan Stack ‘Em Up digarap oleh Aqua.

Gegak gempita sorakan setiap rumah sukan  berakhir tepat jam 4 petang setelah menyaksikan Ventus sebagai Johan Keseluruhan, Ignis  sebagai Naib Johan, Aqua di tempat ketiga dan Terra pula di tempat keempat. Anugerah Ahli Aktif telah disandang oleh Mohd Azri bin Abdul Rahman bagi mahasiswa dan Nabihah binti Mohammad Azman bagi mahasiswi.

Sesi Pengenalan Calon Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PCK 2016/2017 serta Sesi Penghargaan Musyrif telah diselitkan ketika majlis penutup. Sesi Pengenalan Calon AJKT pula telah diadakan secara berasingan antara mahasiswa dan mahasiswi sebelum itu lagi.

Tiga orang musyrif telah dipilih sebagai musyrif terbaik mengikut kawasan. Mereka adalah Muhammad Khalis bin Abu Hussin bagi kawasan Munira, Muhammad Munawir bin Azman bagi kawasan Sayeda Zainab, dan Muhammad Izzat Hafizi bin Zaaba bagi kawasan Abou Rish. Namun begitu, semua musyrif tetap diberi hadiah penghargaan.

“Fight till the end” ternyata telah menonjolkan semangat juang kesemua empat pasukan sepanjang COC berlangsung, manakala “together we stand” pula telah memaknakan kesatuan kesemua ahli PCK dalam menjayakan COC 2015. Semoga ‘piala ukhuwah’ ini dapat kita kekalkan.

 

12386523_996227520434466_832988953_n