Archives for ARTIKEL & KARYA

Artikel : ANDAI INI RAMADAN TERAKHIRKU

 

Waktu pantas berlalu, hari silih berganti, usia memakan diri.

Namun aku masih seperti dahulu, masih bersama diriku yang dahulu,  hidup bertemankan dosa, hidup untuk memuaskan nafsu.

 

Aku masih setia, setia dengan janji untuk bertaubat, setia dengan azam untuk berubah, setia dengan angan-angan untuk menjadi diriku yang baru. Tanpa aku sedari, setia aku telah dimakan waktu. Setia aku terus hanyut dimakan usiaku.

 

Wahai Tuhan,

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, tentu aku akan putuskan setia aku.

 

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, tentu aku hanya tidur bertilamkan sejadah. Memohon taubat menangisi segala dosa sepanjang hidup.

 

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, tentu mulut aku hanya akan menyebut istighfar, kerana takut mengenangkan dosa yang banyak tidak terkira.

 

Andai aku tahu ini ramadan terakhirku, tentu solatku akanku kerjakan dengan penuh khusyuk, akanku jaga waktu solatku, akanku berlumba-lumba untuk solat berjemaah agar pahalaku mampu menjamin aku di akhirat kelak.

 

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, tentu aku akan hiasi setiap masaku dengan membaca al-Quran, akanku fahami setiap isi kandungannya, akanku amalkan setiap isi di dalam al-Quran.

 

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, aku pasti akan mendermakan semua hartaku kepada orang miskin. Kerana aku tahu pahala menderma itu sangatlah besar.

 

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, pasti aku berlari mencium ibu bapaku, memohon ampun daripada mereka. Kerana Aku tahu, reda Allah itu terletak pada reda ibu bapa.

 

Duhai Ilahi,

Andai ini benar-benar Ramadan terakhirku, izinkanlah aku menjadi manusia yang baru dengan rahmat-MU. Izinkanlah aku menjadi manusia yang bersih dari dosa. Izinkanlah aku melanggar setiaku untuk terus bersujud kepada-Mu.

 

Duhai Ilahi,

Andai ini Ramadan terakhirku, Kau jadikanlah ramadanku ini yang akan membawa aku ke syurga,Ramadan yang akan menghapuskan segala dosa-dosa yang akan menghalangku dari neraka-Mu.

 

Duhai Ilahi,

Azab neraka itu sangat berat. Tidak tertanggung oleh aku. Namun aku sedar, amalan aku masih tidak cukup untuk menjadikan aku ahli syurga.

 

Duhai Ilahi,

Andai ini Ramadan terakhirku, dengan rahmat-Mu, berkatilah puasa aku, berkatilah solat aku, berkatilah amal ibadat aku. Matikanlah aku dengan kasih sayang-Mu. Rahmatilah aku dengan syurga-Mu.

 

 

“Hai jiwa yang tenang tenteram ! Kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan redha dan diredhai! Masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku…”

(Al-Fajr: 27-30)

 

 

 

WhatsApp Image 2018-06-01 at 07.08.36

 

 

[SAY NO TO IKHTILAT|ARTIKEL: LGBT, CAKNAKAH KITA?]

“Katakanlah (wahai Muhammad): Berjalanlah di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan itu.”
(Surah al-Anam: 11)

Laut Mati yang terletak di Jordan memang terkenal dalam masyarakat dengan kisah kaum Nabi Luth. Hal ini disokong dengan hasil penemuan tinggalan sejarah setelah aktiviti ekskavasi dijalankan di Tall el-Hammam, timur laut Laut Mati. Tinggalan sejarah  tersebut berupa runtuhan binaan sebuah kota yang dipercayai dihuni oleh kaum Nabi Luth satu ketika dahulu.

Kisah kesesatan kaum Nabi Luth juga dirakam dalam al-Quran dan diceritakan sejak turun-temurun sebagai pengajaran kepada umat manusia. Namun, sebahagian manusia seolah-olah tidak mengambil pengajaran terhadap kisah ini dan mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh umat terdahulu.

Dewasa ini, isu LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender) semakin berleluasa dan mula diperkatakan oleh masyarakat umum. Isu LGBT berkisar tentang kehidupan seksual yang tidak sihat dan di luar fitrah kejadian manusia. Amalan seperti ini menular dalam masyarakat kita seiring dengan menularnya fahaman-fahaman barat  dalam masyarakat.

Pengaruh-pengaruh luar seperti ini berhasil merosakkan minda dan moral sebilangan masyarakat kita. Majalah-majalah, bahan video dan audio yang mengandungi unsur-unsur yang tidak sihat seperti ini menjadi modus operandi utama yang sangat mudah untuk diterapkan dalam masyakarat kita yang sememangnya gemar kepada hiburan yang berlebihan dan melalaikan.

Isu LGBT di Malaysia menjadi lebih hangat dengan adanya pesta “Seksualiti Merdeka” pada tahun 2008 dan 2011. Pesta ini dianjurkan dan dijayakan oleh segolongan artis, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pesta  ini bertujuan untuk menyuarakan hasrat mereka agar golongan seperti mereka tidak dihina atau ditindas atas dasar kebebasan hak asasi manusia.

Pelbagai acara diatur oleh mereka seperti forum, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan untuk menarik minat masyarakat untuk mengenali mereka sekaligus mempromosi kegiatan mereka. Walau bagaimanapun, bantahan demi bantahan daripada NGO-NGO mahupun individu yang mewakili persatuan-persatuan tertentu disuarakan demi membendung kegiatan tidak sihat ini daripada terus berleluasa.

Aktiviti seks yang tidak sihat seperti ini bakal mengundang perkara yang tidak diingini seperti merebaknya penyakit-penyakit yang disebabkan oleh hubungan kelamin (sexual transmitted disease) selain mendapat kemurkaan Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA berbunyi, ”Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan (melaknat) para wanita yang menyerupai lelaki.” Hadis ini jelas membuktikan bahawa amalan transgender yang mengubah penampilan luaran seseorang menyerupai jantina yang berlawanan dengannya amatlah dilarang oleh syarak.

Jadi perkara-perkara sebegini mestilah dibendung bermula dari rumah lagi. Ibu bapa bertanggungjawab untuk mengajarkan anak-anak mereka tentang nilai-nilai Islam dan menyekat segala bentuk anasir luar yang cuba merosakkan pemikiran anak-anak.

Walau bagaimanapun, golongan yang telah terjebak dalam kegiatan ini tidak patut dipinggirkan. Mereka boleh dirawat dan kembali ke pangkal jalan andai setiap pihak sama ada NGO mahupun individu bersedia membimbing mereka bagi memulakan hidup baru. Kerajaan pula bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang sivil dan syariah yang sedia ada untuk membasmi kegiatan seperti ini serta memberi penerangan melalui media massa supaya rakyat sentiasa cakna dengan isu semasa dan sentiasa bersama kerajaan dalam menyelesaikan isu ini.

Muhammad Khalis bin Abu Husin,
Tahun 6,
Universiti Kaherah.

[ARTIKEL: PERPUSTAKAAN DI SEKITAR KAHERAH]

Sesebuah tamadun yang hebat dan berkembang maju pasti mempunyai kadar celik huruf yang tinggi. Sejajar dengan itu, masyarakat akan terdidik untuk menggiatkan lagi aktiviti membaca, menelaah dan mengkaji pelbagai aspek ilmu dalam kehidupan. Secara tidak langsung, penemuan-penemuan baru akan berjaya diterokai seiring dengan arus deras globalisasi.

Salah satu medium paling asas bagi membentuk masyarakat yang celik huruf adalah dengan mewujudkan perpustakaan. Perpustakaan yang baik ialah perpustakaan yang mampu memupuk budaya membaca dan cintakan ilmu dalam hati masyarakat tempat tersebut. Maka, penyediaan bahan-bahan bacaan yang berkualiti daripada segenap horizon ilmu, aktiviti-aktiviti yang menyemai sifat suka membaca sejak daripada kecil dan kemudahan perpustakaan yang sentiasa diperbaiki merupakan perkara paling fundamental bagi menjayakan hasrat ini.

Oleh itu, di sini terdapat senarai perpustakaan terbaik yang wujud di sekitar Kaherah. Sudah tentu ianya disusun mengikut perpustakaan yang mendapat tempat di hati penulis. Mungkin ia boleh dijadikan sebagai salah satu tempat untuk sebahagian daripada kita melakukan kajian dengan skop rujukan yang lebih luas serta sebagai alternatif untuk mendapatkan atmosfera baru bagi mengulangkaji pelajaran.

  1. Misr Public Library, Dokki (مكتبة مصر العامة، دقي)

1 lib

 

Alamat: 4, Gamal Hamdan Street, branch from Nile Road, Giza.

Kelebihan:

-Tempat yang sangat kondusif. Selesa untuk dijadikan tempat membaca atau belajar bagi yang tinggal berhampiran dengan Dokki atau Giza.

-Ada sedikit surat khabar dan majalah berbahasa Inggeris.

-Terdiri daripada lima tingkat. Ada tingkat khusus untuk kanak-kanak dan golongan dewasa.

-Sangat meriah dengan aktiviti kanak-kanak dan juga remaja. Pernah mengadakan bengkel khat bersiri.

-Pustakawan yang mesra dengan pengunjung.

-Buku-buku kebanyakannya bergenre sastera, agama, sejarah dunia, kesenian, sains sosial, novel dan lain-lain. Buku Jared Diamond, Dr. Muhammad Imarah, Syeikh Muhammad Ghazali, Anis Mansour, Dr. Mustafa Mahmoud dan Naguib Mahfouz boleh didapatkan di sana.

-Terkini, mempunyai kemudahan komputer sumbangan kerajaan Kuwait untuk memuat turun lebih 2900 jurnal dan 200 ribu buku akademik dalam bidang teknologi, sains, perubatan dan jurusan-jurusan lain secara percuma daripada laman Springer. Boleh rujuk dahulu buku-buku dan jurnal-jurnal yang ada pada pautan ini: http://www.springer.com/gp/

Kekurangan:

-Buku bahasa Inggeris yang tidak banyak. Sekitar 30% sahaja daripada semua buku yang ada.  Selebihnya berbahasa Arab.

-Majalah Times dan The Economist jarang dikemas kini kepada edisi yang terbaru.

-Mempunyai jualan buku secara berkala tetapi buku-bukunya sangat sedikit dan khusus untuk golongan kanak-kanak.

Waktu operasi: 10.00 pagi – 7.00 malam

Bayaran masuk:

-Keahlian untuk setahun sekitar LE 50 – LE 80.

-Bawa pasport dan sekeping gambar.

Direktori:

-Ambil metro aliran El-Marg-Helwan.

-Turun di stesen Metro Sayeda Zainab.

-Ambil tramco ke Giza. Berhenti di akhir jambatan (setelah merentasi Sungai Nil) sebelum sampai ke kampus utama Universiti Kaherah.

-Jalan sekitar 300-500 m ke kanan sehingga jumpa papan tanda Maktabah Masr Al-Ammah. Belok kanan dan jalan sekitar 100 m dan perpustakaan ini berada di kiri anda.

Laman berkaitan: https://www.facebook.com/mpl.egypt/?fref=ts

Rating: 4.5/5.0

 

  1. Cairo University Central Library, Giza (المكتبة المركزية جامعة القاهرة، الجيزة)

2 lib

Alamat: 5th, Ahmed Zewail Street, Giza, 11787, Egypt.

Kelebihan:

– Bangunan lima tingkat yang sangat besar dan selesa.

– Ada tingkat khusus untuk buku-buku yang disumbangkan daripada negara-negara luar. Termasuklah Amerika Syarikat dan Sepanyol yang mengambil separuh daripada ruang dewan tingkat itu. Selebihnya ialah negara Indonesia, China, Jepun dan baru-baru ini (2016), Malaysia.

– Ada tingkat khusus untuk tesis-tesis master dan PhD dalam semua bidang.

– Mempunyai bahan bacaan yang banyak dan pelbagai. Buku-buku Karen Armstrong, Michel Foucault, Bertrand Russell, Edward Said, SH Nasr, Arnold Toynbee, Martin Lings, Albert Hourani dan Dr. Mahathir Mohamad boleh didapatkan di sana.

– 50% buku berbahasa Arab, 40% berbahasa Inggeris dan 10% dalam bahasa-bahasa lain (Sepanyol, Indonesia, Jepun, Malaysia dan sebagainya.).

– Mengadakan pelbagai aktiviti. Termasuklah jualan buku, pameran-pameran, konferens    dan lain-lain lagi

– Berhampiran dengan Dewan Utama Universiti Kaherah yang agak aktif dengan wacana-wacana daripada ilmuwan.

– Berdekatan dengan fakulti lain seperti fakulti ekonomi, kesusasteraan, arkeologi dan kejuruteraan. Thomas Piketty, salah seorang pakar ekonomi Perancis, pernah mengadakan sesi bedah bukunya iaitu Capital in The First 21th Century dalam bahasa Inggeris di situ.

Kekurangan:

– Teknikal untuk masuk ke perpustakaan yang agak rumit.

– Rata-rata pustakawan agak tegas dan tidak mesra. Pengunjung tidak dibenarkan membelek-belek dan melihat judul buku di hadapan rak buku sebelum memilih buku yang hendak dibaca. Pengunjung perlu terus menyebut buku apa yang hendak dibaca kepada pustakawan tersebut dan mereka akan mencarikannya.

Waktu operasi:

-Buka setiap hari kecuali Jumaat dan cuti am.

-9.00 pagi – 4.30 petang

Bayaran masuk:

-Kad keahlian: LE 40 beserta pasport, sekeping gambar dan borang keahlian daripada perpustakaan yang disertakan cop kuliah kita.

-Tiket sehari: LE 5

Direktori:

-Cara pertama: Ambil metro aliran El-Marg-Helwan. Berhenti di stesen Metro Sayeda Zainab. Ambil metro ke Giza. Berhenti di depan kampus utama Universiti Kaherah. Masuk dan jalan sekitar 1 km ke sehingga ke hujung universiti itu. Perpustakaan ini terletak di hujung sekali.

-Cara kedua: Ambil metro aliran Shoubra-El-Mounib. Berhenti di stesen Metro Cairo University. Turun dan masuk melalui pintu belakang Universiti Kaherah ini. Pintu masuk itu sekitar 200 – 500 m daripada stesen itu.

Laman berkaitan: http://www.cl.cu.edu.eg/

Rating: 4.0/5.0

 

  1. Maadi Public Library, Maadi (مكتبة المعادي العامة، المعادي)

3

Alamat: 2, Al-Nasr Street, New Maadi.

Kelebihan:

-Terdiri daripada tiga tingkat. Bahagian kanak-kanak diasingkan daripada bahagian dewasa.

-Banyak buku berbahasa Inggeris. Buku berbahasa Inggeris sekitar 45%, Bahasa Arab 50% dan Bahasa Mandarin 5%. Buku berbahasa Mandarin adalah hasil sumbangan Pusat Kebudayaan Negara China di Kaherah dan sebahagian buku berbahasa Inggeris pula hasil sumbangan daripada warga Amerika Syarikat.

-Buku-buku agak berkualiti, menarik dan langka. Terdapat buku SH Nasr (History of Islamic Philosophy dll), Roy Porter (The Cambridge History of Illustrated Medicine), Karl Popper, Ira Lapidus, Karen Armstong, Bernard Lewis, Kierkegaard, Neil Postman, Ernest Hermingway, Jane Austen dan lain-lain lagi.

-Majalah Times, The Economist dan Al-Ahram dikemas kini setiap minggu.

-Banyak ensiklopedia yang menarik.

Kekurangan:

-Tempat yang agak jauh daripada lokaliti pelajar Malaysia.

-Buku-buku kebanyakannya berdebu sedikit.

-Majalah dan akhbar kurang variasi.

Waktu operasi:

-Buka setiap hari kecuali Jumaat.

-10 pagi – 4 petang.

Bayaran masuk:

-Keahlian setahun: LE 50, pasport dan sekeping gambar.

-Tiket masuk sehari: LE 10

Direktori:

-Ambil metro aliran El-Marg-Helwan.

-Berhenti di stesen Metro Maadi.

-Ambil teksi ke sana. Boleh juga cari tramco yang ke Maidan Arab. Kemudian jalan sedikit sekitar 500 m ke perpustakaan tersebut.

-Perpustakaan ini bersebelahan dengan pusat Olimpik Maadi.

Laman berkaitan: http://www.maadilib.org.eg/english/main.asp

Rating: 4.0/5.0

 

  1. Bibliotheca Alexandrina, Iskandariah (مكتبة الإسكندرية‎‎) – luar Kaherah

4

Alamat: 138, Chorniche Al-Bahr, Chatby, Alexandria 21526, Egypt

Kelebihan:

-Perpustakaan terbesar di Afrika. Punya sejarah hebat yang tersendiri apabila ramai tokoh-tokoh besar dunia menjadikannya sebagai pusat kajian dan rujukan.

-Begitu subur dengan syarahan, konferens, muktamar, bengkel, aktiviti pembukuan, kebudayaan dan kesenian.

-Sangat kondusif dan mempunyai sumber bahan bacaan yang berkualiti lagi meluas.

-Salah seorang warganegara Mesir, Ahmed Essam telah menjadikan 13 ribu daripada buku yang ada di situ di dalam bentuk pdf. Tetapi 99% daripadanya adalah dalam bahasa Arab. Pautannya boleh diperoleh di sini: https://drive.google.com/drive/folders/0B39jsuKsL3G8bWUxamxNTWNPdms

-Mempunyai tiga muzium, pameran dan juga planetarium.

-Berhampiran dengan banyak tempat bersejarah yang lain seperti makam Nabi Danial, Imam Al-Busiri, kubu Qaitbay, Istana Montazah dan banyak lagi.

Kekurangan:

-Jauh daripada lokaliti pelajar Malaysia yang berada di Kaherah.

Waktu operasi:

-Buka setiap hari kecuali Jumaat.

-11 pagi sehingga 7 malam setiap hari kecuali hari sabtu (12 tengah hari hingga 4 petang).

Bayaran masuk:

-Tiket sehari: LE 5

Direktori:

-Ambil kereta api daripada Ramses (Kaherah) ke Iskandariah.

-Cari teksi atau tramco yang menuju ke Perpustakaan Alexandria ini.

-Ia terletak di sepanjang pesisiran pantai Alexandria.

Laman berkaitan:

-Laman sesawang: http://www.bibalex.org/en/default atau             https://www.bibalex.org/libraries/Presentation/Static/15110.aspx?id=0

-Youtube: https://www.youtube.com/channel/UCWL0DIfRIehsTp6NLIQg4Rw

Rating: 4.9/5.0

 

  1. Perpustakaan di Dewan Malaysia Abbasiyyah Kaherah (DMAK), Abbasiyyah.

5

Alamat: Street 47, As-Sarayat, Al-Waili, Cairo.

Kelebihan:

-Ada buku berbahasa Melayu. Buku berbahasa Melayu sekitar 20%, yang berbahasa Inggeris sekitar 30% dan bakinya berbahasa Arab.

-Tempat selesa dan cantik.

-Berdekatan dengan lokaliti pelajar yang tinggal di Abbasiyyah.

-Juga berhampiran dengan kelas-kelas seperti kelas khat dan bacaan Al-Quran serta wacana-wacana dan seminar-seminar umum di situ.

Kekurangan:

– Terhad kepada penghuni DMAK sahaja.

– Tempat yang kecil dan genre yang tidak pelbagai.

Waktu operasi: –

Bayaran masuk: –

Direktori:

-Ambil metro aliran El-Mounib-Shoubra.

-Turun di Stesen Metro Attabah dan tukar metro.

-Ambil metro yang menuju ke Abdou Pasha. Berhenti di situ dan jalan kaki sekitar 300-500 m ke Dewan Malaysia Abbasiyyah Kaherah ini.

Laman berkaitan: –

Rating: 3.5/5.0

 

  1. Great Cairo Library, Zamalek (مكتبة القاهرة الكبرى، زمالك)

6

Alamat: 15, Mohamed Mazhar Street, Zamalek, Cairo

Kelebihan:

-Perpustakaan yang luas dan mempunyai banyak variasi buku daripada pelbagai bidang.

-Mempunyai koleksi buku bahasa Inggeris yang memuaskan.

Kekurangan:

-Buku-buku yang agak lama.

-Terdapat satu tingkat (tingkat bawah sekali) mempunyai pencahayaan dan pengudaraan yang agak teruk.

Waktu operasi:

-Setiap hari kecuali jumaat.

-9 pagi – 4 petang

Bayaran masuk:

-Percuma kerana ia merupakan perpustakaan awam.

-Bawa pasport dan kerneh untuk pengenalan diri.

Direktori:

-Ambil bas atau tramco daripada jalan Kasr Al-Ainy ke stesen tramco terakhir yang terletak selepas Tahrir. Ia terletak di kawasan bawah jambatan.

-Ambil tramco dari situ ke Zamalek. Sampai sahaja di Zamalek, ambil teksi ke perpustakaan ini.

Laman berkaitan: –

Rating: 2.5/5.0

 

  1. International Institute of Islamic Thought (IIIT), Aboul Fida’, Zamalek

7

Alamat: Imarah 26, Gazirah Wustho Street, Abou al-Fida’, Zamalek.

Kelebihan:

– Banyak buku berkaitan falsafah, pemikiran, pendidikan dan agama. 95% daripadanya dalam Bahasa Arab dan selebihnya dalam Bahasa Inggeris.

– Mempunyai wacana dan diskusi buku (teks-teks Timur dan Barat) secara berkala oleh ilmuwan-ilmuwan di sini seperti Dr. Muhammad Imarah, Syeikh Hassan Syafie dan lain-lain.

-Pernah mengadakan pembacaan dan perbincangan mengenai buku Orientalism karangan Edward Said dan Al-Muwafaqat oleh Imam As-Syatibi.

-Seperti biasa, sesetengah program wacana, jamuan ringan ada disediakan untuk para peserta.

-Terdapat juga buku-buku terbitan IIIT seperti tulisan Dr. Taha Jabir Al-Ulwani, Ismail Faruqi dan AbdulHamid A. AbuSulayman.

-Berdekatan dengan banyak kedai buku yang menarik seperti Diwan Bookstore.

Kekurangan:

-Buku bahasa Inggeris yang sedikit sekitar 20-30%. Selebihnya dalam bahasa Arab.

-Tempat agak jauh daripada lokaliti

Waktu operasi: –

Bayaran masuk: Tiada.

Direktori:

-Ambil bas atau tramco daripada jalan Kasr Al-Ainy ke stesen tramco terakhir yang terletak selepas Tahrir. Ia terletak di kawasan bawah jambatan.

-Ambil tramco dari situ ke Zamalek. Sampai sahaja di Zamalek, ambil teksi ke perpustakaan ini.

Laman berkaitan:

-Facebook: https://www.facebook.com/iEpist

-Youtube: https://www.youtube.com/channel/UC2-MaItTX0vSkirpvm0yGwA

Rating: 3.5/5.0

 

  1. American Studies Library, American Embassy, Garden City

8

Alamat: 5, Tawfik Diab Street, Cairo.

Kelebihan:

-Juga dikenali sebagai Information Resource Center (IRC).

-Sangat kondusif.

-Terdapat lebih 14 ribu buku, filem, dokumentari, majalah, audio buku, alat bantu mengajar Bahasa Inggeris dan e-readers.

-Banyak kemudahan. Boleh menonton filem di atas kerusi yang empuk, melayari internet pada bila-bila masa di komputer, ada kemudahan untuk mendengar audio.

-Sangat aktif. Terdapat aktiviti pada kebanyakan hari seperti wacana, bengkel, tayangan dan diskusi filem. Rata-ratanya terbuka kepada awam dan jadual bulanan boleh diperoleh pada laman sesawang mereka.

Kekurangan:

-Kawalan yang ketat untuk masuk. Telefon bimbit yang telah dimatikan perlu ditinggalkan di luar.

-Buku yang tidak pelbagai. Kebanyakannya buku-buku terbitan negara Amerika Syarikat dan topik yang berkaitan dengan negara mereka.

Waktu operasi:

-Buka setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu. Juga tutup pada cuti awam Mesir dan Amerika Syarikat.

-10.00 pagi – 4.00 petang

Bayaran masuk:

-Tiada. Bawa pasport dan kerneh untuk pengenalan diri.

Direktori:

-Ambil metro aliran El-Marg-Helwan.

-Turun di Stesen Metro Sayeda Zainab.

-Pergi ke Jalan Kasr Al-Ainy dan ambil bas ke Tahrir.

-Kedutaan ini terletak 300-500 m sekitar kawasan situ.

Laman berkaitan: https://eg.usembassy.gov/education-culture/irc/

Rating: 3.5/5.0

 

  1. Perpustakaan French Institute of Egypt in Mounira (Institut français d’Égypte)

9

Alamat: 1, Madrassat Al-Huquq Al-Franseyya Street, Mounira, Sayeda Zainab.

Kelebihan:

-Berhampiran dengan lokaliti pelajar yang tinggal di Mounira dan Sayeda Zainab.

-Tempat yang cantik dan kondusif. Sesuai untuk dijadikan tempat mengulangkaji pelajaran atau membaca.

-Meliputi banyak genre termasuklah politik, falsafah, sains dan agama hinggalah ke pedagogi, kesusasteraan dan geografi.

-Menyediakan khidmat kelas/kursus bahasa Perancis.

Kekurangan:

-99% buku dan kemudahan audio berbahasa Perancis, 1% pula berbahasa Arab.

Waktu operasi:

-Buka setiap hari kecuali hari Sabtu.

-11 pagi – 7 malam (Berbeza-beza juga mengikut hari. Jadual boleh diperoleh di perpustakaan tersebut).

Bayaran masuk:

-Keahlian setahun: LE 120 (untuk berkunjung sahaja) atau LE 135 (untuk meminjam empat buku dan lima majalah).

-Tiada tiket untuk masuk selama sehari.

Direktori:

-Ambil metro aliran El-Marg-Helwan.

-Berhenti di Stesen Metro Sayeda Zainab. Pergi ke arah Mounira. Institut ini terletak sekitar 300 m daripada stesen metro itu. Perpustakaannya pula terletak di dalam institut tersebut.

-Bersebelahan dengan Perpustakaan Arkeologi.

Laman berkaitan: http://www.institutfrancais-egypte.com/fr/mounira/

Rating: 4.0/5.0

 

  1. Egyptian National Library and Archives, Courniche (دار الكتب و الوثائق المصريه، كورنيش)

10

Alamat: 121, Nile Corniche, Ramlet Boulaq, Boulaq, Cairo

Kelebihan:

-Merupakan perpustakaan negara Mesir suatu ketika dahulu.

-Luas dan mempunyai banyak pilihan buku.

-Kadangkala terdapat pameran menarik di luar perpustakaan.

-Terdapat juga wacana secara berkala.

Kekurangan:

-Sangat tidak selesa. Kelihatan lama, terbiar dan tidak dijaga dengan baik.

-95% daripadanya adalah buku-buku lama. Langsung tiada penerbitan buku yang baru.

-Pencahayaan dan pengudaraan yang kurang baik. Perpustakaan tampak suram dan kurang aktif.

Waktu operasi:

-Setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu.

-9 pagi – 6 petang

Bayaran masuk:

-Percuma kerana ia merupakan perpustakaan awam.

-Bawa pasport dan kerneh   untuk  pengenalan diri.

Direktori:

-Ambil bas atau tramco daripada jalan Kasr Al-Ainy ke stesen tramco yang terakhir di Tahrir. Ia terletak selepas medan Tahrir dan di kawasan bawah jambatan.

-Ambil tramco atau teksi dari situ ke perpustakaan ini. Ia terletak di sepanjang Corniche.

Laman berkaitan: http://www.darelkotob.gov.eg/index.html

Rating: 2.0/5.0

 

  1. French Institute of Eastern Archeology, Mounira (Institut français d’archéologie orientale – IFAO)

11

Alamat: 37, el-Shaikh Ali Youssef, al-Inshaa wa al-Mounira, Sayeda Zainab, Cairo

Kelebihan:

-Mengandungi 82 ribu buah buku dalam bidang Egyptologi, papyrus, kajian klasik, Byzantine, Koptik dan Arab.

-Terdapat banyak juga buku arkeologi, sejarah dan falsafah yang berkualiti.

-Majoriti buku berbahasa Inggeris dan Perancis.

-Tempat yang kondusif.

Kekurangan:

-Khusus untuk pelajar-pelajar master dan PhD dalam bidang arkeologi sahaja.

-Pelajar luar hanya dibenarkan masuk ke kedai bukunya yang kecil sahaja. Buku-bukunya 95% dalam bahasa Perancis dan 5% dalam bahasa Arab dan Inggeris. Namun, pelajar boleh mendapat diskaun sebanyak 50% untuk semua buku dan 80% untuk sebahagian buku.

Waktu operasi:

-9.00pagi – 5.00 petang

Bayaran masuk: –

Direktori:

-Ambil metro aliran El-Marg-Helwan.

-Berhenti di Stesen Metro Sayeda Zainab. Pergi ke arah Mounira. Perpustakaan ini terletak sekitar 300 m daripada stesen metro itu.

-Bersebelahan dengan Institut français d’Égypte.

Laman berkaitan: http://www.ifao.egnet.net/bibliotheque/

Rating: 4.0/5.0

 

  1. Dominican Institute for Oriental Studies (IDEO) Library, Abbasiyah (Institut dominicain d’études orientales)

12

Alamat: Masna Al-Tarabeesh Street, 1 P.O. Box 18, Abbasiyah, 11381, Cairo.

Kelebihan:

-Terdapat aktiviti kebudayaan dan kajian manuskrip secara berkala.

-Ruang membaca yang selesa.

-Pernah menganjurkan konferens di Bayt Sinnari, Sayeda Zainab bertajuk The Sciences of Islam – between repetition and innovation dengan kerjasama Bibliotheca Alexandrina dan Bayt Sinnari. Konferens ini membahaskan kajian manuskrip terhadap teks-teks klasik Islam seperti Fakhr Ad-Din Ar-Razi, As-Syatibi, Az-Zamakhsyari, Hunayn Ibn Ishaq, Avicenna, Al-Asy’ari, Al-Qurtubi dan As-Sanusi.

Kekurangan:

-Perpustakaan hanya boleh dimasuk oleh pelajar master dan PhD sahaja.

-Tidak boleh masuk ke perpustakaan. Buku-buku dan jurnal-jurnal yang ingin dibaca, boleh dicari di dalam komputer di sana. Kemudian, pustakawan akan membawa buku tersebut ke ruang membaca.

Waktu operasi:

-Ada hari-hari tertentu.

-9 pagi – 5 petang

Bayaran masuk: Tiada

Direktori:

-Cara pertama (dari Sayeda Zainab): Ambil bas dari depan masjid Sayeda Zainab menuju ke Abbasiyah. Berhenti sebelum sampai di pasaraya Aulad Ragab. Sebelum stesen minyak Mobil, jalan kaki sekitar 300-500 m ke simpang kanan jalan Al-Tarabeesh itu. Institut ini terletak di sebelah kiri anda.

-Cara kedua: Ambil metro aliran El-Mounib-Shoubra. Tukar gerabak metro di Attabah. Pergi ke Stesen Metro Al-Geish. Turun daripada metro dan jalan kaki ke institut ini.

Laman berkaitan: http://www.ideo-cairo.org/en/library-en/

Rating: 2.5/5.0

______________________________________________________________________________

Perpustakaan mini:

  1. Perpustakaan di dalam Kuliah Perubatan Kasr Al-Ainy

Terdapat lebih daripada lima buah perpustakaan kecil yang boleh dijadikan tempat belajar dan mengulangkaji pelajaran di dalam fakulti perubatan Universiti Kaherah. Antaranya ialah di perpustakaan baru, perpustakaan lama, di muzium, di LRC, di kuliah pergigian, di atas syu’un tulab (khusus untuk pelajar master) dan dua buah librari di bawah yang juga agak unik untuk dimanfaatkan.

  1. Maktabah Kasr Al-Ainy li al-Isti’arah

13

Terletak di bawah tanah. Sekitar 50 m dari pejabat ri’ayah syabab. Perpustakaan kecil ini diusahakan oleh pelajar perubatan warga Mesir sendiri supaya mereka dapat membaca bahan bacaan di luar kuliah.

Di sini, anda boleh meminjam dan meminta buku yang hendak dibaca sekiranya buku yang anda cari tiada di situ. Anda perlu mendaftar dan menulis tajuk buku yang dikehendaki. Kemudian, mereka akan beli untuk anda. 20% daripada buku yang ada dalam bahasa Inggeris dan selebihnya dalam bahasa Arab. Genre yang ada ialah genre falsafah, agama, sains, pengetahuan am, novel dan sebagainya.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari pautan ini: https://www.facebook.com/KasrLibrary

  1. Perpustakaan di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.

14

Terletak di tingkat lima Jabatan Obstetrik dan Ginekologi. Walaupun bersaiz kecil dan buku-bukunya semua berkenaan subjek Obstetrik dan Ginekologi, namun ia amat tenang dan selesa untuk dijadikan sebagai tempat belajar.

  1. Perpustakaan Masyru’una bi al-‘aql Nabda’, Sayeda Zainab (مشروعنا بالعقل نبدأ)

15

Terletak bangunan belakang  KFC Sayeda Zainab. Semua bukunya dalam bahasa Arab dan agak sedikit daripada sudut kuantiti. Buku-buku bergenre falsafah, politik dan sains sosial boleh didapatkan di sini. Pusat ini sangat aktif dengan nadwah, daurah, syarahan dan tayangan filem.

Lokasi: 22, Khairat Street from Maidan Lazougli,  Sayeda Zainab.

Direktori:

-Daripada dalam KFC Sayeda Zainab, keluar dan belok kiri sehingga jumpa sekolah. Belok kiri dan ikut jalan kiri yang pertama.. Jalan terus sekitar 200-300m sehingga jumpa bangunan 22. Naik tingkat 6 dan perpustakaan ini terletak di situ.

Laman berkaitan:

-Laman rasmi: https://www.facebook.com/Mashroo3na/

-Facebook: http://mashroo3na.com/

 

  1. Maktabah di Masjid Sayeda Zainab (مكتبة الأوقاف المصرية السيدة زينب)

16

Terletak di sebelah masjid Sayeda Zainab. Ia terletak di bawah Kementerian Waqaf Republik Mesir dan menghimpunkan lebih 8 ribu manuskrip.

______________________________________________________________________________

 

Perpustakaan yang telah ditutup dan dipindahkan:

  1. Maktabah Syeikh Hassan Syafie, Hussein

17

Sebelum tahun 2015, perpustakaan ini terletak di dalam masjid Al-Azhar iaitu di bilik sebelah kanan sebelum masuk ke tengah-tengah ruang terbuka masjid tersebut. Kini, ia sudah ditukar menjadi sebuah pejabat rujukan fatwa. Buku-buku yang ada adalah hasil wakaf Syeikh Hassan Syafie, pakar akidah dan falsafah. 30% daripadanya berbahasa Inggeris dan selebihnya dalam Bahasa Arab. Pengunjung yang pernah bertandang ke sini pasti sedar akan kewujudan buku Marx (Das Capital), William Chittick, SH Nasr dan banyak teks-teks klasik falsafah, politik dan ekonomi yang lain pada rak tersebut. Antara koleksi menarik yang lain ialah pelbagai jenis tafsir seperti tafsir As-Sya’rawi, Ar-Razi dan lain-lain lagi.

  1. British Council & Library, Agouza

18

Terletak di Agouza, berdekatan dengan Dokki. Pusat ini menawarkan kursus-kursus dan ujian bahasa Inggeris seperti IELTS dan lain-lain lagi.

______________________________________________________________________________

 

Senarai yang disebutkan di atas merupakan sebahagian daripada perpustakaan yang sempat penulis lawati. Ianya tampak banyak tetapi pada hakikatnya hanya beberapa perpustakaan sahaja yang benar-benar dimanfaatkan oleh penulis. Tempoh operasi dan caj masuk sudah tentu bersifat relatif dan akan sentiasa berubah mengikut peredaran masa.

Tidak dinafikan, banyak lagi perpustakaan yang tidak disebutkan seperti perpustakaan di universiti-universiti lain, markas setiap persatuan pelajar, perpustakaan milik peribadi dan sebagainya.

 

Rujukan

  1. Virginia Maxwell, Siona Jenkins. Egypt. 2006. Lonely Planet publication. 8th Edition.
  2. Wikipedia.
  3. Google Images, pamplet-pamplet dan laman rasmi yang berkaitan.

______________________________________________________________________________

*Artikel ini ditulis oleh Nuruddin Azri bin Zulkifli, pelajar tahun lima Kuliah Perubatan Universiti Kaherah. Antara hobi beliau ialah meneroka tempat-tempat dan buku-buku baharu di samping mengenali budaya masyarakat setempat. Beliau boleh dihubungi melalui azri248@gmail.com.

*Penulisan ini pada asalnya mengkhususkan perpustakaan awam atau swasta di Mesir yang boleh dimanfaatkan oleh para mahasiswa di sini. Sumber bahan bacaan dalam bahasa Inggeris merupakan sasaran utama perpustakaan yang dicari. Sebarang penambahbaikan, pembetulan dan cadangan boleh diutarakan kepada penulis.

 

[ARTIKEL: 7 LANGKAH YANG MESTI DILAKUKAN OLEH PELAJAR PERUBATAN PADA MASA INI BAGI MENEMPUH REALITI MASA HADAPAN]

Negara kita Malaysia kian diuji dengan kegawatan ekonomi selaras dengan pasang surut nilai harga minyak dunia dan matawang ringgit. Kadar permintaan semakin meningkat berbanding kemampuan negara untuk menghasilkan sumber daripada semua aspek menjerumuskan negara ke arah ’Pull Down Inflation’.  Oleh itu, tidak dapat dinafikan persaingan untuk mendapatkan tempat dalam sektor perkhidmatan awam semakin hari semakin mencabar kerana kekurangan prasarana dan peruntukan.

Pengajian dalam bidang perubatan yang dahulunya dijanjikan prospek kerjaya yang cerah kini tidak terkecuali menjadi mangsa selepas pelaksanaan dasar jawatan kontrak bagi graduan lepasan bidang perubatan. Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengambil pegawai perubatan siswazah (House-Officer)  yang cemerlang sahaja untuk diserapkan ke dalam sektor kerajaan bagi menjawat jawatan sebagai pegawai perubatan tetap (MO).

Oleh itu, masih belum terlambat untuk kita sedari selaku pelajar perubatan untuk bertanya kepada diri sendiri, apakah persediaan yang telah kita lakukan untuk menghadapi realiti ini?

Berikut merupakan 11 langkah yang diolah berdasarkan buku ‘How To Become A Good & Successful Medical Student’ karangan Prof. Dr. Muhaya Haji Mohamad untuk dijadikan panduan dan nasihat buat kita semua:

  1. Pasakkan niat dan matlamat yang jelasPenghujung yang baik bergantung pada permulaannya. Jika anda mampu membentuk matlamat yang jelas seiring dengan niat yang murni di awal pengembaraan hidup, pastinya destinasi yang ingin dicapai akan dipandu dengan lebih berfokus. Begitulah juga kita dalam menceburi bidang perubatan ini, lakarlah halatuju anda untuk mencapai matlamat yang lebih besar di dalam bidang ini tanpa mengenepikan matlamat akhir kehidupan sebagai seorang muslim. Pastikan juga setiap kali anda bangun daripada tidur, anda mempunyai matlamat yang ingin dicapai pada hari tersebut agar gerak kerja harian lebih berfokus kepada matlamat akhir anda.

 

  1. Kuasa keberkatan masaSetiap manusia dikurniakan 24 jam sehari semalam secara sama rata tanpa ada perbezaan walaupun sedetik. Cuma yang membezakan keberkatan masa diantara kita adalah bagaimana masa tersebut dirancang dan digunakan sebaiknya. Sebagai contoh, kita bayangkan bagaimana al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali mampu menghasilkan lebih kurang 400 buah buku dalam tempoh 35 tahun yang di antaranya ialah kitab Ihya’ Ulumuddin (9 jilid) dan tafsir Yakut at-Takwil (40 jilid) dan dalam masa yang sama mampu memegang tanggungjawab sebagai mufti dan rektor Madrasah Nizamiah.Oleh itu, mulakanlah hari-hari anda dengan membuat perancangan tentang bagaimana anda ingin memanfaatkan hari anda. Anda digalakkan untuk membuat “to-do list” dan “to-study list” sebagai panduan harian. Bezakan setiap satu item yang disenaraikan mengikut prioriti menggunakan “Time Management Matrix” yang diasaskan oleh Stephen Covey berkonsepkan empat pembahagian kerja iaitu penting dan segera, penting tetapi tidak segera, tidak penting tapi segera, tidak penting dan tidak segera.

    Di penghujung hari anda, biasakanlah diri untuk membuat refleksi diri tentang kemanakah masa anda diluangkan pada hari itu? Adakah ia bermanfaat pada diri anda, keluarga dan agama? Adakah perkara-perkara yang telah dilakukan mampu membantu anda untuk mencapai matlamat akhir anda?

 

  1. Memaksimumkan manfaat daripada kuliah yang dihadiriBerapa ramai pelajar yang mampu bermujahadah untuk hadir ke kuliah kerana risaukan bilangan kehadiran yang cukup untuk menduduki peperiksaan tetapi malangnya tidak ramai yang mampu mengambil manfaat yang maksimum melalui kuliah yang dihadiri.Cara terbaik yang dianjurkan oleh penulis adalah melalui kaedah PCR iaitu Preview the lecture, Concentrate in class and Review the lecture. Tidak dinafikan kaedah ini memerlukan daya usaha untuk dilaksanakan tetapi ingatlah bahawa usaha inilah yang membantu meningkatkan kefahaman anda sekaligus memudahkan anda untuk menjawab peperiksaan kelak. Pepatah arab ada menyebutkan “jika anda tidak berdiri sekarang nescaya kelak anda tidak mampu untuk duduk”.

    Pada sesi klinikal pula, manfaatkanlah peluang untuk berinteraksi dengan pesakit dan tampil kehadapan untuk membentangkan kes kepada pensyarah anda. Latihan ini mampu membantu anda untuk menambah keyakinan diri di samping mendapat peluang untuk melakukan pemeriksaan ke atas pesakit dengan tunjuk ajar secara langsung oleh pensyarah anda. Dapatan tambahan inilah yang akan membantu anda ketika peperiksaan klinikal dan lebih-lebih lagi ketika menjadi pegawai perubatan siswazah kelak.

 

  1. Mengaitkan teori asas dengan klinikalKemampuan sesorang pegawai perubatan untuk mengaitkan teori asas dengan situasi klinikal adalah salah satu perkara utama yang perlu dilatih semenjak bangku pendidikan lagi. Nilai inilah yang bakal menentukan seseorang pegawai perubatan itu mahir atau tidak.Oleh itu, biasakanlah diri anda bermula daripada sekarang berkaitan cara-cara untuk menyelesaikan kes-kes yang anda perolehi sendiri daripada pesakit dengan mengaitkan segala ilmu asas yang telah dipelajari bermula daripada ilmu anatomi sehinggalah ilmu pembedahan dan diterjemahkan melalui jalan untuk menguruskan pesakit tersebut.

    Tiada jalan mudah untuk anda memahiri teknik ini kerana anda mestilah rajin untuk membelek semula buku-buku yang telah anda pelajari dua atau tiga tahun sebelum melainkan anda seorang yang genius kerana mampu mengingati kesemuanya.

 

  1. Memantapkan asas-asas klinikalMeskipun asas-asas klinikal ini boleh dilatih ketika tempoh anda bekerja sebagai doktor pelatih tetapi sedarlah bahawa graduan yang sudah memahiri asas-asas klinikal mempunyai nilai “x factor’’ berbanding graduan lain dan yang paling penting, mereka tidak perlu bersusah payah untuk mengasah kemahiran asas ini. Secara tidak langsung, mereka mampu memfokuskan untuk memantapkan lagi kemahiran-kemahiran tambahan yang diperlukan.Walaupun graduan luar negara dilabel sebagai kurang kompeten kerana kekurangan kemahiran asas klinikal, tidak menjadi alasan untuk kita tidak mengambil peluang bercuti di Malaysia dengan membuat elective posting di hospital-hospital kerajaan. Mulakan dengan membiasakan diri dalam memahami sistem-sistem pengurusan bidang kesihatan di Malaysia kemudian mohonlah untuk diberi tunjuk ajar bagi memantapkan asas klinikal anda.

 

  1. Berpersatuan dan bersukanSebagai nilai tambah, pelajar yang menggiatkan diri dalam persatuan mampu melatih daya kepimpinan dan kemahiran menyelesaikan masalah. Selain itu, penting untuk bakal pegawai perubatan sekalian untuk mempelajari kaedah menguruskan tekanan. Hal ini diperoleh secara tidak langsung jika anda ditugaskan untuk memikul amanah sebagai orang penting dalam persatuan. Oleh itu, beranikanlah diri memikul tanggungjawab melalui persatuan.  Sebagai contoh yang realistik, PERUBATAN di Mesir sekian lama menjadi wadah integrasi pelajar sains kesihatan bagi melahirkan ahli yang rabbani dan kompeten.Akal yang cerdas lahir daripada tubuh badan yang cergas. Oleh itu, anda disarankan untuk membiasakan diri melakukan apa-apa senaman atau aktiviti yang mampu mengeluarkan peluh. Aspek kesihatan merupakan antara aset terpenting bagi seorang pegawai kesihatan kerana sebelum kita berusaha untuk menjaga kesihatan orang lain, kita mestilah menjaga kesihatan diri sendiri terlebih dahulu.

 

  1. Hubungan dengan pencipta dan sesama makhlukAkhir sekali, perkara yang paling penting bagi seorang pelajar perubatan yang meyakini bahawa tiada yang berkuasa melainkan Allah adalah dengan menjaga hubungan secara vertical (dengan tuhan) dan horizontal (sesama makhluk). Taatilah segala perintah-Nya dan yakinlah dengan kuasa doa. Jika terlanjur melakukan dosa segeralah pulang ke pangkuan taubat kepada-Nya kerana ilmu itu ialah cahaya dan cahaya tidak akan menerangi manusia yang melakukan kemaksiatan.Berbuat baiklah kepada manusia terutamanya ibu bapa dan guru-guru anda kerana mereka ialah kunci kepada rahmat yang dicurahkan oleh Allah kepada hamba-Nya. Biasakan diri untuk memohon keampunan dan doa daripada mereka serta titipkanlah mereka di dalam doa anda.

Ditulis oleh:

Wan Nusairi bin Wan Mohd Nasruddin,
Tahun 5,
Universiti Kaherah.

Artikel: Wanita Mulia dan Wanita Hina

Sejak Hawa bersama Adam keluar dari syurga, riak-riak hidup sepanjang lorong kehidupan dunia ini seakan-akan tidak pernah sepi daripada kisah-kisah yang bersumberkan kaum hawa. Membincangkan masalah hawa merupakan perbincangan yang tidak akan pernah berakhir, selaras dengan kewujudan kaum wanita itu sendiri di pentas kehidupan ini. Allah SWT sengaja menjadikan wanita sebagai ciptaan-Nya untuk meramaikan insan di dunia ini.

Wanita Mulia

1) Asiyah yang Beriman.

Menjadi isteri kepada seorang raja yang zalim tidak menarik beliau untuk turut sama dengan suaminya. Beliau secara bersembunyi telah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Setelah keimanan beliau diketahui oleh Firaun, beliau tetap teguh dengan keyakinannya. Tidak pernah luntur sedikit pun walau setelah diseksa. Dengan tegas dan berani beliau berkata “Seksaanmu tidak akan menggoyahkan diriku. Tuhan menjaga keimananku. Imanku ada di hatiku dan engkau tidak akan boleh membakar hatiku. Jika engkau jatuhkan penyeksaan terhadapku, meskipun tubuhku dipotong-potong, cintaku kepada Tuhan tidak akan pernah hilang.” Beliau memohon kepada Allah agar didirikan buatnya rumah di syurga dan permintaannya dimakbulkan. Malah diperlihatkan kepadanya rumah tersebut pada setiap kali sebatan di tubuhnya di bawah terik mentari yang panas.

2) Rahmah Teladan Kesetiaan Seorang Isteri.

Rasulullah pernah berkata bahawa wanita solehah jauh lebih baik daripada dunia seisinya dan Rahmah ialah contoh nyata realiti itu. Ketika suaminya Nabi Ayub hidup dalam kemewahan, beliau tidak pernah terpukau dengan kenikmatan dunia yang dimilikinya. Malah ketika Nabi Ayub ditimpa sakit, tidak pernah walau sekali beliau meninggalkan Nabi Ayub, bahkan dijaganya dengan penuh tulus dan tekun tanpa mengeluh tatkala seisi dunia menyingkirnya. Beliau juga tidak pernah berpaling daripada Allah setelah seluruh kenikmatan agung iaitu harta dan anak yang pernah dimilikinya diambil Allah. Malahan sanggup menjual rambutnya demi mendapatkan sepotong roti sebagai bukti kasih dan cinta kepada Nabi Ayub.

3) Khadijah Muara Penyejuk Hati Rasulullah SAW.

Beliau merupakan isteri yang paling disayangi oleh Rasulullah SAW. Dilahirkan dalam keluarga yang sangat kuat berpegang dengan agama Samawi menjadikan Khadijah terpelihara daripada penyembahan berhala. Beliau memilih Nabi Muhammad SAW sebagai peneman hidup kerana terpesona dengan budi pekerti dan sifat amanah baginda meskipun baginda tidak berharta.

Malahan, beliau banyak menyumbang harta di jalan Islam dan beliaulah tulang belakang Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan ajaran yang benar ini. Beliau membantu Nabi Muhammad SAW beruzlah dalam menjauhi kehidupan yang dijalani oleh masyarakat jahiliah. Khadijah menyiapkan bekalan untuk baginda pada setiap tahun untuk menghabiskan bulan Ramadan di Gua Hira. Malah, setelah beliau meninggal dunia, Nabi Muhammad SAW sentiasa menyebut -nyebut nama beliau di hadapan isteri baginda yang lain kerana cinta baginda terhadap Khadijah tidak pernah pudar setelah sekian lama pemergian beliau.

Wanita Hina

1) Walihah Ikon Pengkhianatan Sepanjang Zaman.

Walihah dikira sangat beruntung kerana berpeluang menjadi isteri Nabi Allah, Lut. Namun, keyakinannya yang setengah hati dan hipokrit menjadikan dia sangat jauh dari agama. Dia telah memecahkan rahsia berkenaan keberadaan pemuda jelmaan malaikat yang bersembunyi di rumahnya kepada kaumnya yang sudah terpesong dengan menyukai sesama jantina. Walhal perkara ini sangat dibenci dalam agama malah jauh dari fitrah manusia itu sendiri. Malahan ketika Nabi Lut diperintahkan untuk meninggalkan kampungnya kerana azab bakal ditimpakan ke atas kaumnya, isterinya sanggup membelot dan bergabung dengan kaum kesayangannya dan akhirnya ditimpalah bencana ke atas mereka kerana kesongsangan itu.

2) Unaizah Si Penghasut Penyebab Kematian Unta Betina.

Seorang wanita tua yang digelar Ummu Ghanimah, penentang utama dakwah Nabi Salleh. Dia sanggup menawarkan seorang pemuda yang bernama Qidar ibnu Salis untuk mengahwini mana- mana puterinya dengan mahar Qidar ialah perlu menyembelih unta betina tersebut. Sedangkan unta betina itu diturunkan sebagai ujian kepada mereka sama ada mereka akan beriman atau kufur. Malah sebenarnya unta itu sangat memberi manfaat kepada mereka berupa susu yang diperah untuk kegunaan kaum Tsamud. Sungguh keji sekali perilaku wanita yang tidak mengenal erti cahaya Ilahi ini sehingga akhirnya menjadi penyebab kepada kematian unta betina yang tidak bersalah itu.

Di sini dapat disimpulkan bahawa pengaruh wanita dalam kehidupan manusia telah ada sejak dahulu lagi. Penglibatan mereka bukan sahaja dalam hal yang melibatkan rumahtangga, malah turut melibatkan perjalanan sesebuah kerajaan. Gerak-geri dan tindakan mereka mampu memberikan kesan yang besar dalam sesuatu perkara. Kemuliaan hati kaum hawa dapat menentukan halatuju seseorang menuju kegemilangan. Walau bagaimanapun, tipu daya wanita yang licik mampu menghancurkan sesebuah negara sekalipun jika mangsa tidak meyedarinya.

 

Artikel di atas merupakan ringkasan daripada sebuah buku yang bertajuk “Wanita Mulia Dan Wanita Hina”, karya Misbah Em Majidy.

Disediakan oleh:
Nur Aqeela binti Mohd Tahir