بسم الله الرحمن الرحيم

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

Tujuan penciptaan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk menjadi khalifah yang mentadbir dunia mengikut perintah dan syariat yang ditetapkan oleh Allah. Menjadi sunnatullah bagi alam ini, setiap kawanan makhluk pasti akan ada pemimpin dalam kalangan makhluk tersebut. Sebagai contoh kawanan gajah di rimba, akan ada ketuanya. Inikan pula manusia yang dimuliakan oleh Allah. Pastinya memerlukan ketua dan barisan pemimpin untuk mengatur pelbagai urusan. Rasulullah SAW sendiri mengajar kita untuk melantik seorang ketua dalam kalangan tiga orang yang sedang bermusafir.
Allah berfirman di dalam al-Quran:

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Maksudnya: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;

Dalam Islam, terdapat banyak kaedah pemilihan pemimpin baik sekecil-kecil jawatan sehinggalah jawatan yang tertinggi. Jika kita teliti sirah golongan terdahulu, mereka melaksanakan pelbagai kaedah pemilihan yang bertepatan dengan syarak dan memberi manfaat untuk Islam serta masyarakat keseluruhannya. Antaranya ialah kaedah pemilihan secara syura atau dikenali sebagai kaedah perbincangan. Pelantikan Saidina Abu Bakar RA sebagai khalifah pertama umat Islam adalah hasil syura antara para sahabat daripada kaum Muhajirin dan Ansar.

PERUBATAN Cawangan Kaherah seawal usia penubuhannya beberapa tahun yang lalu sentiasa komited dalam menjaga kebajikan ahli PERUBATAN yang berada di lokaliti Sayeda Zainab. Hal ini kerana organisasinya yang diterajui oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi ( AJKT) konsisten menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

‘Yang patah tumbuh, yang hilang berganti’. Lazimnya setiap tahun akan tiba fasa pertukaran tampuk kepimpinan PERUBATAN di semua cawangan. Selari dengan keadaan semasa cawangan yang mengalami pengurangan bilangan ahli secara drastik, Lembaga Penasihat PERUBATAN telah bersidang dan memutuskan supaya kaedah pemilihan yang baru digunapakai oleh PERUBATAN Cawangan Kaherah bagi menggantikan sistem pilihan raya.

Kaedah pemilihan yang baharu ini adalah selari dengan perlembagaan PERUBATAN  pada Fasal 20 Ceraian (d),

“Antara tugas-tugas ahli Lembaga Penasihat PERUBATAN adalah menentukan kaedah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan”

Justeru, Lembaga Penasihat PERUBATAN telah mengeluarkan satu cadangan penyelesaian iaitu dengan menubuhkan Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC)  bagi menggantikan sistem pilihan raya sedia ada. Ahli MMPC akan bermesyuarat bagi mencalonkan tampuk pimpinan PCK pada masa akan datang.

Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) 2018/2019 sebagai wakil Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) 2018/2019

Sebagaimana yang diketahui umum, Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan akan bertindak sebagai jawatankuasa khas bagi memastikan proses pemilihan dalam keadaan bebas dan bersih serta berjalan lancar. Namun begitu, sejajar dengan penubuhan MMPC maka Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan (JPC) bagi sesi 2018/2019 akan bertindak sebagai wakil kepada Jawatankuasa Pilihanraya PERUBATAN (JPP) 2018/2019.

Setelah perbincangan dibuat di peringkat Lembaga Penasihat Cawangan dan dipersetujui oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN, kami bersetuju untuk melantik saudara Muhamad Hakimi bin Mohd Budi sebagai Pengarah dan saudari Nik Nurin Nadiah binti Nik Ahmad Rizal sebagai Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan 2018/2019. Bagi Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan pula, saudara Mohd Hilmi bin Mohd Nafiah dilantik sebagai Pengerusi dan akan dibantu oleh Timbalan Pengerusi, saudari Engku Fatim Azzahra’ binti Syed Norzai’m

Jawatankuasa Pilihanraya Cawangan serta Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) akan bergerak mengikut jalur masa yang telah disusun dan akan diselaraskan dengan pilihan raya PERUBATAN di cawangan lain. Oleh kerana PERUBATAN Cawangan Kaherah merupakan cawangan pertama yang menggunakan sistem baharu ini, besarlah hajat kami agar sebarang cadangan penambahbaikan diutarakan demi kemaslahatan bersama.

Sekian, terima kasih.

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

Wan Nusairi Bin Wan Mohd Nasruddin

Ketua Lembaga Penasihat,

PERUBATAN Cawangan Kaherah 2018/2019