بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya, kita dapat merasai nikmat kewujudan kita sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini dalam iman dan Islam. Seterusnya selawat dan salam atas junjungan yang mulia Nabi Muhammad S.A.W dan seluruh ahli keluarga baginda.

Firman Allah S.W.T:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
(2:261)

Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Maha Mengetahui.

Sejajar dengan pembukaan sesi pengajian yang baharu, PERUBATAN Cawangan Kaherah di bawah kelolaan Jabatan Bendahari akan menjalankan kutipan yuran tahunan PERUBATAN.

Untuk makluman, PERUBATAN Cawangan Kaherah pada kali ini akan menjalankan sistem kutipan yuran secara kolektif. Kolektif yang dimaksudkan ialah sistem kutipan yuran ahli yang mengandungi tiga jenis kutipan yang disekalikan iaitu Tabung Kasih Sayang (TKS), Skim Bakti Markas (SBM) dan yuran PERUBATAN. Sistem ini dijalankan bertujuan untuk mengurangkan pertindanan kutipan yang pelbagai, seterusnya mengurangkan beban ahli melalui kutipan secara sekaligus. Nilai bagi setiap kutipan untuk seorang ahli adalah seperti berikut :

Yuran Tahunan PERUBATAN : LE 25

Tabung Kasih Sayang (TKS) : LE 25

Skim Bakti Markas (SBM) : LE 5 (ahli tiada tajaan) , LE 10 (ahli bertajaan)

Justeru, yuran bagi ahli yang mendapat tajaan adalah sebanyak 60 (Egyptian Pound) manakala bagi ahli yang tiada tajaan adalah sebanyak 55 (Egyptian Pound).

Seperti yang termaktub dalam perlembagaan PERUBATAN Fasal 8, Perkara 1 yang menyebut;

Setiap ahli perlu membayar yuran pendaftaran keahlian sebanyak 5 (lima) Egyptian Pound dan yuran tahunan sebanyak 20 (dua puluh) Egyptian Pound.

Hasil kutipan yuran ini akan digunakan bagi menampung perbelanjaan tahunan PERUBATAN. Di sini ingin diingatkan bahawa ahli yang telah membayar yuran sahaja yang layak untuk mengundi dan menghadiri Mesyuarat Tahunan PERUBATAN Cawangan (MTC) dan Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN (MAT).

Dengan ini diumumkan bahawa fasa kutipan yuran bagi PERUBATAN Cawangan Kaherah akan bermula pada 19/11/2018 dan berakhir pada sehari sebelum tarikh Mesyuarat Tahunan PERUBATAN Cawangan (MTC). Bayaran boleh dijelaskan kepada Bendahari organisasi batch masing-masing. Setiap bayaran yang dilakukan akan disertakan resit sebagai bukti.

Kerjasama daripada pihak anda kami dahulukan dengan ucapan terima kasih. Semoga keterlibatan semua ahli dapat memberi manfaat yang besar dalam menggerakkan PERUBATAN Cawangan Kaherah yang tercinta, di samping dapat menjadi saham amalan kebaikan kita di akhirat kelak.

Siiru ‘Ala Barakatillah. Sekian, terima kasih.

“Pengurusan Kewangan Berkualiti, Kredibiliti PERUBATAN Diperakui”

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

Jabatan Bendahari,

PERUBATAN Cawangan Kaherah 2018/2019.