Waktu pantas berlalu, hari silih berganti, usia memakan diri.

Namun aku masih seperti dahulu, masih bersama diriku yang dahulu,  hidup bertemankan dosa, hidup untuk memuaskan nafsu.

 

Aku masih setia, setia dengan janji untuk bertaubat, setia dengan azam untuk berubah, setia dengan angan-angan untuk menjadi diriku yang baru. Tanpa aku sedari, setia aku telah dimakan waktu. Setia aku terus hanyut dimakan usiaku.

 

Wahai Tuhan,

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, tentu aku akan putuskan setia aku.

 

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, tentu aku hanya tidur bertilamkan sejadah. Memohon taubat menangisi segala dosa sepanjang hidup.

 

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, tentu mulut aku hanya akan menyebut istighfar, kerana takut mengenangkan dosa yang banyak tidak terkira.

 

Andai aku tahu ini ramadan terakhirku, tentu solatku akanku kerjakan dengan penuh khusyuk, akanku jaga waktu solatku, akanku berlumba-lumba untuk solat berjemaah agar pahalaku mampu menjamin aku di akhirat kelak.

 

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, tentu aku akan hiasi setiap masaku dengan membaca al-Quran, akanku fahami setiap isi kandungannya, akanku amalkan setiap isi di dalam al-Quran.

 

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, aku pasti akan mendermakan semua hartaku kepada orang miskin. Kerana aku tahu pahala menderma itu sangatlah besar.

 

Andai aku tahu ini Ramadan terakhirku, pasti aku berlari mencium ibu bapaku, memohon ampun daripada mereka. Kerana Aku tahu, reda Allah itu terletak pada reda ibu bapa.

 

Duhai Ilahi,

Andai ini benar-benar Ramadan terakhirku, izinkanlah aku menjadi manusia yang baru dengan rahmat-MU. Izinkanlah aku menjadi manusia yang bersih dari dosa. Izinkanlah aku melanggar setiaku untuk terus bersujud kepada-Mu.

 

Duhai Ilahi,

Andai ini Ramadan terakhirku, Kau jadikanlah ramadanku ini yang akan membawa aku ke syurga,Ramadan yang akan menghapuskan segala dosa-dosa yang akan menghalangku dari neraka-Mu.

 

Duhai Ilahi,

Azab neraka itu sangat berat. Tidak tertanggung oleh aku. Namun aku sedar, amalan aku masih tidak cukup untuk menjadikan aku ahli syurga.

 

Duhai Ilahi,

Andai ini Ramadan terakhirku, dengan rahmat-Mu, berkatilah puasa aku, berkatilah solat aku, berkatilah amal ibadat aku. Matikanlah aku dengan kasih sayang-Mu. Rahmatilah aku dengan syurga-Mu.

 

 

“Hai jiwa yang tenang tenteram ! Kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan redha dan diredhai! Masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku…”

(Al-Fajr: 27-30)

 

 

 

WhatsApp Image 2018-06-01 at 07.08.36