بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya, kita dapat merasai nikmat kewujudan kita sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini dalam iman dan Islam. Seterusnya selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia Nabi Muhammad SAW dan seluruh ahli keluarga baginda.

Setelah hampir dua bulan lebih kita melaksanakan program dan aktiviti selepas cuti musim sejuk yang lalu, kini tibalah masanya untuk kita berhenti seketika bagi memberi laluan kepada ahli untuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan.

Seperti yang kita maklum, pada bulan Mei ini fatrah peperiksaan pertengahan tahun bagi pelajar pre-klinikal bakal bermula. Sudah pastinya pelajar-pelajar pre-klinikal Universiti Kaherah memerlukan satu tempoh masa untuk menumpukan segala usaha dan tenaga dalam menelaah pelajaran. Oleh itu, PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) akan memberi laluan kepada ahli dengan memberhentikan (tawaqquf)  program dan aktiviti persatuan untuk semua pelajar klinikal dan pre-klinikal bermula 2 Mei 2018 sehingga berakhirnya peperiksaan.

Namun, terdapat beberapa bentuk program yang tidak akan diberhentikan berikutan kesesuaian program dengan keperluan ahli yang sedang menghadapi peperiksaan. Antaranya ialah

  • Exam Fever Campaign (EFC)
  • Smart Circleyang tidak berfokus kepada silibus
  • IHRAM

 

Saya mewakili seluruh barisan kepimpinan PCK menyeru kepada ahli agar mengambil peluang ini untuk mengulang kaji pelajaran sebaiknya. Marilah kita bersama-sama menjadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk mencari keberkatan Allah SWT serta mencapai kecemerlangan ke arah menjadi pengamal perubatan yang kompeten dalam segenap aspek.

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرُُ

Pengertiannya :

Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat (al-Mujadalah : 11)

Akhir kalam, selamat maju jaya kami ucapkan kepada semua ahli PCK. Pasakkan tekad untuk berjaya, teruskan usaha selagi masih diberi peluang. Jangan berputus asa mencari rahmat Allah, Dia bersama hamba-Nya yang tekun berusaha.

Sekian, terima kasih.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

presetHusaini

 

Husaini bin Abdul Malik

Naib Pengerusi I,

PERUBATAN Cawangan Kaherah 2018/2019