Kasr Al-Ainy, 26 Mac 2018 – Satu pertemuan dua hala antara wakil Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Kaherah(PCK) sesi 2018/2019 bersama Doktor Hala’ Salah selaku timbalan dekan Fakulti Perubatan, Universiti Kaherah telah diadakan pada hari Isnin, 26 Mac 2018 bertempat di Pejabat Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan, Kasr Al-Ainy, Universiti Kaherah. Pihak AJKT PCK 2018/2019 diwakili oleh  Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah 2018/2019, iaitu saudara Muhammad Faris bin Ahmad Fath dan Timbalan Pengerusi, saudari Aida Ilyana binti Mohamad Zuki. Turut hadir bersama, Timbalan Jabatan Setiausaha, Ketua Biro Akademik serta mantan Timbalan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

Pertemuan sekitar jam 3 petang dimulakan dengan kata-kata aluan dan sesi pengenalan pimpinan PERUBATAN Cawangan Kaherah 2018/2019 oleh saudara Muhammad Faris bin Ahmad Fath. Tujuan pertemuan tersebut diadakan adalah untuk membawa suara pelajar Malaysia yang menuntut di universiti tersebut. Antara isu yang telah dikemukakan ialah berkenaan tarikh-tarikh peperiksaan akhir tahun, tarikh peperiksaan ulangan Tahun 6 dan tarikh permulaan sesi pembelajaran yang baharu. Selain itu, isu berkaitan akses ke fakulti farmasi dan sijil sementara para graduan turut dibincangkan.

Perjumpaan ini berakhir dengan penyerahan cenderahati daripada PERUBATAN Cawangan Kaherah sesi 2018/2019 kepada Dr. Hala’ Salah dan sesi penggambaran. Perjumpaan rasmi seperti ini merupakan satu kesempatan yang baik bagi PERUBATAN Cawangan Kaherah(PCK) sebagai satu medium dalam menyampaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh ahli kepada pihak atasan dan pada masa yang sama dapat mengekalkan hubungan dua hala ini. Perjumpaan bersurai pada jam 3.45 petang.

tike

Disediakan oleh,
Nur Huda Hanisah binti Abdul Mutalib,
Timbalan Setiausaha,
PERUBATAN Cawangan Kaherah Sesi 2018/2019.