PERUBATAN-SMALL-Color-

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya, kita dapat merasai nikmat kewujudan sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini dalam iman dan Islam. Seterusnya selawat dan salam keatas junjungan yang mulia Nabi Muhammad S.A.W dan seluruh ahli keluarga baginda.

Setelah hampir dua bulan lebih kita melaksanakan program dan aktiviti selepas cuti musim panas yang lalu, kini tibalah masanya untuk kita berhenti seketika bagi memberi laluan kepada ahli untuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan.

Seperti yang kita maklum, pada bulan Januari ini musim peperiksaan pertengahan tahun bagi pelajar pre-klinikal bakal bermula. Sudah pastinya pelajar pre-klinikal Universiti Kaherah memerlukan satu tempoh masa untuk menumpukan segala usaha dan tenaga dalam menelaah pelajaran. Oleh itu, PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) akan memberi laluan kepada ahli dengan menangguhkan (tawaquf)  program dan aktiviti persatuan khusus untuk pelajar pre-klinikal sahaja bermula 17 Disember 2017 sehingga berakhirnya peperiksaan.

Namun, terdapat beberapa bentuk program yang tidak akan diberhentikan berikutan kesesuaian program dengan keperluan ahli yang sedang menghadapi peperiksaan. Antaranya ialah

  • Exam Fever Campaign (EFC)
  • Smart Circle yang tidak berfokus kepada silibus

Manakala bagi pelajar-perlajar klinikal pula, program dan aktiviti akan dijalankan seperti biasa. Kelas-kelas Raudhah dan program-program kecil akan diteruskan seperti yang ada di dalam perancangan PERUBATAN.

 

Saya mewakili seluruh barisan kepimpinan PCK menyeru kepada ahli untuk mengambil peluang ini untuk mengulangkaji pelajaran sebaiknya. Marilah kita bersama-sama menjadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk mencari keberkatan Allah SWT serta mencapai kecemerlangan ke arah menjadi pengamal perubatan yang kompeten dalam segenap aspek.

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرُُ

Pengertiannya :

Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmupengetahuan beberapa darjat  (al-Mujadalah : 11)

Akhir kalam, selamat maju jaya kami ucapkan kepada semua ahli PCK. Pasakkan tekad untuk berjaya, teruskan usaha selagi masih diberikan peluang. Jangan berputus-asa mencari rahmat Allah, Dia bersama hamba-Nya yang tekun berusaha.

Sekian, terima kasih.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

Husaini
Husaini bin Abdul Malik,
Naib Pengerusi 1,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

Atikah

Nurul Atikah binti Mohd Rafi,
Naib Pengerusi 2,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.