PERUBATAN-SMALL-Color-

‎بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Maksudnya: Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.
(Surah as Syura ; 38)

 

Ayat ini memberi penjelasan berkenaan sifat-sifat manusia yang beriman di dalam al-Quran. Mereka mendirikan solat, bermesyuarat serta mendermakan hartanya pada jalan Allah. Maka, ayat ini jelas menyatakan bahawa mesyuarat merupakan satu ibadah yang dituntut dalam Islam. Bahkan, banyak lagi ayat-ayat al-Quran lain yang menceritakan berkenaan konsep bermesyuarat.

 

Perkataan syura atau mesyuarat berasal daripada perkataan “syara al-asal” yang bermaksud madu yang dibersihkan. Dari sudut yang lain, perkataan ini membawa maksud menarik seekor haiwan ternakan untuk mengetahui atau menguji kekuatannya. Maka, perkataan syura itu sendiri membawa erti  menarik pelbagai jenis pendapat, kemudian mengujinya untuk mendapatkan pemikiran yang lebih baik dan utama untuk dilaksanakan. Secara ringkas, syura ialah pertukaran pendapat antara anggota tertentu untuk mendapatkan hasil yang disepakati bersama oleh majoriti peserta dan pelaksanaannya adalah wajib bagi semua pihak.

 

Jika kita merungkai sejarah Islam, sistem mesyuarat ini seringkali digunakan sewaktu pemerintahan Rasulullah SAW. Sebagai contoh dalam kisah peperangan Uhud, meskipun pelbagai perbezaan pendapat oleh para sahabat sewaktu bermesyuarat sebelum turun ke medan, namun akhirnya kata putus tercapai hasil daripada perbincangan dan persepakatan di dalam mesyuarat.

 

Pengenalan Sistem Mesyuarat

 

Bertepatan dengan kaedah mesyuarat yang diguna pakai semasa zaman Rasulullah dan juga khulafa ar-rasyidin dalam menentukan khalifah yang pertama, Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA, maka Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawagan (MMPC) yang baru sahaja ditubuhkan ini juga akan dijadikan sebagai satu medan perbincangan bagi membincangkan nama-nama AJKT sesi hadapan. Perbincangan ini akan dilakukan secara berhikmah oleh ahli-ahli MMPC yang dilantik.

 

Oleh sebab itu, MMPC juga akan bergerak mengikut fasa sama seperti jalur masa dan fasa pilihan raya di cawangan lain. Setelah meneliti pelbagai aspek, Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC) telah menetapkan beberapa tarikh penting bagi menjayakan pemilihan AJKT di PCK. Butiran adalah seperti berikut:

 

Perkara                                                Tarikh

Nama calon Fasa 1: 8 Disember 2017

Tempoh bantahan: 9 – 12 Disember 2017

Nama calon Fasa 2: 13 Disember 2017

Pengumuman keputusan pemilihan AJKT: 17 Disember 2017

 

Perubahan Kerusi AJKT

 

Dalam usaha membentuk organisasi PCK yang optimum, perbincangan telah dibuat di peringkat Lembaga Penasihat PCK bagi menuntut penubuhan organisasi yang lebih kecil bertepatan dengan jumlah ahli yang sedikit. Organisasi yang optimum penting agar PCK mampu mencapai objektif serta visi dan misi PERUBATAN, dalam masa yang sama tidak membebankan tenaga ahli. Keputusan yang telah dibuat kemudiannya akan dinilai dan diluluskan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN berserta Presiden dan Timbalan Presiden PERUBATAN.

 

Oleh itu, sekiranya terdapat sebarang perubahan kerusi AJKT PCK pada sesi akan datang, maka perubahan tersebut adalah tertakluk kepada perbincangan ahli Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan. Semoga perbincangan yang dilakukan mendatangkan kebaikan bagi kita semua dan sebarang cadangan dan komentar penambahbaikan amatlah dialu-alukan daripada semua ahli PCK agar pemilihan pimpinan bagi sesi akan datang dapat berjalan dengan lancar dan jayanya.

Wa Allahu ta’ala a’lam.

Sekian, terima kasih.


“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

image001
Mohd Zulkhairi bin Sahlani,

Pengerusi Majlis Mesyuarat Pemilihan Cawangan (MMPC),

PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.