بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya, kita dapat merasai nikmat kewujudan kita sebagai seorang hamba di atas muka bumi ini dengan iman dan Islam. Seterusnya selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia Nabi Muhammad SAW dan seluruh ahli keluarga baginda.

Setelah hampir dua bulan lebih kita melaksanakan program dan aktiviti selepas cuti musim sejuk yang lalu, kini tibalah masanya untuk kita berhenti seketika bagi memberi laluan kepada ahli untuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan dan pemilihan Organisasi Batch yang baharu.

  1. Penangguhan Program

Seperti yang kita sedia maklum, pada bulan Mei ini fatrah peperiksaan akhir tahun bagi semua pelajar pre-klinikal dan klinikal bakal bermula. Sudah pastinya pelajar-pelajar Universiti Kaherah memerlukan suatu tempoh masa untuk menumpukan segala usaha dan tenaga dalam menelaah pelajaran. Oleh itu, PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) akan memberi laluan kepada ahli dengan menangguhkan (tawaquf) program dan aktiviti persatuan kepada batch klinikal dan pre-klinikal yang akan menghadapi fatrah peperiksaan bermula pada 7 Mei 2017 sehingga berakhirnya peperiksaan.

Namun, terdapat beberapa bentuk program yang tidak akan diberhentikan berikutan kesesuaian program dengan keperluan ahli yang sedang menghadapi peperiksaan. Antaranya ialah

  • Exam Fever Campaign (EFC)
  • Smart Circle yang tidak berfokus kepada silibus
  • Program Ihya’ Ramadan (IHRAM)

Saya mewakili seluruh barisan kepimpinan PCK menyeru kepada semua ahli agar mengambil peluang ini untuk mengulangkaji pelajaran sebaiknya. Marilah kita bersama-sama menjadikan peperiksaan ini sebagai medan dalam mencari keberkatan Allah SWT serta mencapai kecemerlangan ke arah menjadi pengamal perubatan yang kompeten dalam segenap aspek.

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرُُ

Maksud: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. (Surah al-Mujadalah: 11)

  1. Pemilihan Organisasi Batch Sesi 2017/2018

Tempoh pengajian masih berbaki sedikit sahaja lagi sebelum musim peperiksaan bermula. Seiring dengan tamatnya cuti musim panas akan datang, maka tamatlah sesi pentadbiran Organisasi Batch bagi sesi 2016/2017.

Oleh itu, pemilihan batch akan dilaksanakan bagi menentukan siapa yang bakal menerajui tampuk kepimpinan batch sesi hadapan.

Jabatan Naib Pengerusi dengan kerjasama Organisasi Batch telah bersetuju untuk menyelaraskan dan mengadakan pemilihan (bukan pilihanraya) disebabkan oleh bilangan ahli batch pre-klinikal yang semakin mengecil.

Berikut merupakan butiran penyelarasan:

  1. Pemilihan yang dimaksudkan ialah teknikal pemilihan yang mudah dan efisien. Ia tidak melibatkan kempen dan hebahan secara besar-besaran dalam memilih organisasi batch yang baru.
  1. Tarikh bagi pemilihan tersebut adalah sepanjang bulan Mei. Teknikal terpulang kepada Organisasi Batch masing-masing.
  1. Tarikh pengumuman keputusan dan pelantikan Organisasi Batch yang baru akan diumum pada bulan September sejurus sesi pengajian baru bermula.
  1. Pengecualian untuk batch GeneXIIs, pilihanraya masih diteruskan dan akan bermula dari 29 April sehingga tarikh pengundian pada 11 Mei ini.

Justeru itu, kerjasama ahli PCK amatlah diharapkan dalam membantu menjayakan pilihanraya batch masing-masing. Pepatah Melayu ada mengatakan “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Ayuh, kita sama-sama berkempen menyokong calon-calon yang bakal bertanding.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada barisan pimpinan Organisasi Batch sesi 2016/2017 yang menjadi tulang belakang PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK), atas segala jasa dan pengorbanan mereka dalam membantu gerak kerja batch mahupun PCK.

Akhir kalam, selamat maju jaya kami ucapkan kepada semua ahli PCK. Pasakkan tekad untuk berjaya, teruskan usaha selagi masih diberikan peluang. Jangan berputus-asa mencari rahmat Allah, Dia bersama hamba-Nya yang tekun berusaha.

Sekian, terima kasih.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”
Husaini
Husaini bin Abdul Malik,
Naib Pengerusi I,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

Atikah
Nurul Atikah binti Mohd Rafi,
Naib Pengerusi II,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.