Kasr Al-Ainy, 27 Mac 2017 – Satu pertemuan dua hala antara wakil Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Kaherah(PCK) sesi 2017/2018 bersama dengan Doktor Hala’ Salah selaku timbalan dekan Fakulti Perubatan, Universiti Kaherah telah diadakan pada hari Isnin, 27 Mac 2017 bertempat di Pejabat Timbalan Dekan, Fakulti Perubatan, Kasr Al-Ainy, Universiti Kaherah. Pihak AJKT PCK 2017/2018 diwakili oleh  Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018, iaitu saudara Wan Nusairi bin Wan Mohd Nasruddin dan Timbalan Pengerusi, saudari Najihah binti Janudin. Turut hadir bersama, iaitu Naib Pengerusi I dan II, Jabatan Setiausaha, Biro Akademik, wakil biro Penerbitan dan Penerangan berserta mantan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah 2016/2017.

Pertemuan sekitar jam 3 petang dimulakan dengan kata-kata aluan dan sesi pengenalan pimpinan PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018 oleh saudara Wan Nusairi bin Wan Mohd Nasruddin. Seterusnya, sesi pengenalan diteruskan dengan penyerahan carta organisasi PERUBATAN Cawangan Kaherah sesi 2017/2018 kepada pihak universiti sebagai tanda kenang-kenangan.

Tujuan pertemuan tersebut diadakan adalah untuk membawa suara pelajar Malaysia yang menuntut di universiti tersebut. Antara isu yang telah dikemukakan ialah berkenaan permohonan pembayaran yuran dalam bentuk draf bank bagi pelajar Tahun 1 Government to Government (G2G). Selain itu, isu berkaitan dengan kebenaran dan kemudahan kepada mahasiswa/wi Kasr Al-Ainy untuk menggunakan perpustakaan di kampus utama Universiti Kaherah yang bertempat di Giza. Seterusnya, soalan-soalan seperti status pejabat Syu’un Tullab(Student Administration) yang dibuka pada cuti musim panas, keadaan kelas pelajar Tahun 5, tarikh peperiksaan akhir ulangan Tahun 6, jadual peperiksaan akhir tahun bagi semua pelajar juga turut dibincangkan oleh pihak berkenaan.

Selain itu, masalah mengenai dua orang pelajar jurusan Farmasi juga dapat diselesaikan dengan baik dan pihak universiti sudi menghulurkan bantuan bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan Timbalan Dekan Fakulti Farmasi berkenaan. Pihak universiti menyambut baik cadangan mengenai penghebahan dan mempromosikan Universiti Kaherah di Malaysia bagi menambah semula bilangan pelajar Malaysia yang sedang mengecil di universiti itu.

Perjumpaan ini berakhir dengan penyerahan cenderahati daripada PERUBATAN Cawangan Kaherah sesi 2017/2018 kepada Dr. Hala’ Salah dan sesi penggambaran. Perjumpaan rasmi seperti ini merupakan satu kesempatan yang baik bagi PERUBATAN Cawangan Kaherah(PCK) sebagai satu medium dalam menyampaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh ahli kepada pihak atasan dan pada masa yang sama dapat mengekalkan hubungan dua hala ini. Perjumpaan bersurai pada jam 5 petang.

17458215_1406966786045097_7450676443201013323_n

Disediakan oleh,
Muhammad Faris bin Ahmad Fath,
Setiausaha,
PERUBATAN Cawanagan Kaherah Sesi 2017/2018.