“Katakanlah (wahai Muhammad): Berjalanlah di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang yang mendustakan itu.”
(Surah al-Anam: 11)

Laut Mati yang terletak di Jordan memang terkenal dalam masyarakat dengan kisah kaum Nabi Luth. Hal ini disokong dengan hasil penemuan tinggalan sejarah setelah aktiviti ekskavasi dijalankan di Tall el-Hammam, timur laut Laut Mati. Tinggalan sejarah  tersebut berupa runtuhan binaan sebuah kota yang dipercayai dihuni oleh kaum Nabi Luth satu ketika dahulu.

Kisah kesesatan kaum Nabi Luth juga dirakam dalam al-Quran dan diceritakan sejak turun-temurun sebagai pengajaran kepada umat manusia. Namun, sebahagian manusia seolah-olah tidak mengambil pengajaran terhadap kisah ini dan mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh umat terdahulu.

Dewasa ini, isu LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender) semakin berleluasa dan mula diperkatakan oleh masyarakat umum. Isu LGBT berkisar tentang kehidupan seksual yang tidak sihat dan di luar fitrah kejadian manusia. Amalan seperti ini menular dalam masyarakat kita seiring dengan menularnya fahaman-fahaman barat  dalam masyarakat.

Pengaruh-pengaruh luar seperti ini berhasil merosakkan minda dan moral sebilangan masyarakat kita. Majalah-majalah, bahan video dan audio yang mengandungi unsur-unsur yang tidak sihat seperti ini menjadi modus operandi utama yang sangat mudah untuk diterapkan dalam masyakarat kita yang sememangnya gemar kepada hiburan yang berlebihan dan melalaikan.

Isu LGBT di Malaysia menjadi lebih hangat dengan adanya pesta “Seksualiti Merdeka” pada tahun 2008 dan 2011. Pesta ini dianjurkan dan dijayakan oleh segolongan artis, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pesta  ini bertujuan untuk menyuarakan hasrat mereka agar golongan seperti mereka tidak dihina atau ditindas atas dasar kebebasan hak asasi manusia.

Pelbagai acara diatur oleh mereka seperti forum, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan untuk menarik minat masyarakat untuk mengenali mereka sekaligus mempromosi kegiatan mereka. Walau bagaimanapun, bantahan demi bantahan daripada NGO-NGO mahupun individu yang mewakili persatuan-persatuan tertentu disuarakan demi membendung kegiatan tidak sihat ini daripada terus berleluasa.

Aktiviti seks yang tidak sihat seperti ini bakal mengundang perkara yang tidak diingini seperti merebaknya penyakit-penyakit yang disebabkan oleh hubungan kelamin (sexual transmitted disease) selain mendapat kemurkaan Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA berbunyi, ”Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai wanita dan (melaknat) para wanita yang menyerupai lelaki.” Hadis ini jelas membuktikan bahawa amalan transgender yang mengubah penampilan luaran seseorang menyerupai jantina yang berlawanan dengannya amatlah dilarang oleh syarak.

Jadi perkara-perkara sebegini mestilah dibendung bermula dari rumah lagi. Ibu bapa bertanggungjawab untuk mengajarkan anak-anak mereka tentang nilai-nilai Islam dan menyekat segala bentuk anasir luar yang cuba merosakkan pemikiran anak-anak.

Walau bagaimanapun, golongan yang telah terjebak dalam kegiatan ini tidak patut dipinggirkan. Mereka boleh dirawat dan kembali ke pangkal jalan andai setiap pihak sama ada NGO mahupun individu bersedia membimbing mereka bagi memulakan hidup baru. Kerajaan pula bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang sivil dan syariah yang sedia ada untuk membasmi kegiatan seperti ini serta memberi penerangan melalui media massa supaya rakyat sentiasa cakna dengan isu semasa dan sentiasa bersama kerajaan dalam menyelesaikan isu ini.

Muhammad Khalis bin Abu Husin,
Tahun 6,
Universiti Kaherah.