1.Logo PERUBATAN

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah tuhan yang menciptakan langit dan bumi kerana dengan nikmat yang dikurniakan-Nya, PERUBATAN Cawangan Kaherah masih lagi berdiri teguh menabur bakti di bumi Sayyeda Zeinab. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW kerana dengan berkat perjuangan baginda kita dapat merasai nikmat Iman dan Islam.

Allah SWT berfirman di dalam surah at-Taubah:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚفَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”

Berdasarkan ayat di atas Allah SWT menegaskan janji-Nya kepada orang yang beriman yang berjuang di jalan-Nya dengan balasan syurga. Kebajikan kepada muslim yang lain merupakan salah satu jalan daripada jalan-jalan menuju kepada Allah. Sebagai seorang muslim, tidak dapat disangkal bahawa tidak ada tempat yang lebih baik untuk dijadikan sebagai kediaman di akhirat selain syurga.

Kelangsungan PERUBATAN sebagai persatuan yang ulung di Mesir tidak lain tidak bukan adalah kerana adanya ahli-ahli yang sentiasa komited untuk menjayakan semua pembawaan yang telah disusun di peringkat pimpinan. Tenaga, masa dan duit merupakan modal penting bagi seorang ahli yang menjadi penggerak PERUBATAN untuk terus komited dalam melaksanakan tugas mereka.

PERUBATAN Cawangan Kaherah yang dulunya dikenali sebagai cawangan yang majoriti ahlinya terdiri daripada pelajar tajaan JPA. Duit bukanlah menjadi suatu halangan bagi ahli untuk terus menjadi penggerak ketika itu. Namun begitu dek perubahan zaman, situasinya berbeza selepas pembekuan penghantaran pelajar jurusan kedoktoran di Universiti Kaherah oleh JPA. Kewangan kini telah menjadi salah satu faktor yang menjadi penghalang bagi penggerak.

Oleh yang demikian, PERUBATAN Cawangan Kaherah telah melancarkan “Skim Bantuan Penggerak (SBP)” pada MTC kali ke-4 yang lepas bagi membantu sahabat-sahabat pendokong PCK yang mempunyai masalah kewangan untuk bergerak. Maka dengan itu, sedikit pencerahan berkenaan dengan skim ini adalah seperti di bawah:

Antara panduan yang telah digariskan bagi membuat permohonan skim ini ialah:

  1. Setiap pemohon hendaklah jujur dalam membuat permohonan.
  2. Pemohon merupakan ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah sahaja.
  3. Tempoh masa permohonan: TIGA hari sebelum atau selepas penggunaan.
  4. Tujuan permohonan hanya pada keperluan bukan kehendak semata.

Permohonan hendaklah dibuat secara terus kepada Jabatan Bendahari PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018. Berikut adalah peruntukan di bawah skim ini yang telah disepakati oleh barisan Majlis Tertinggi iaitu peruntukan pengangkutan ke muhafazah mengikut tempat:

CAWANGAN NILAI PERUNTUKAN
Iskandariah  LE 60 per kepala
Tanta  LE 30 per kepala
Mansurah  LE 40 per kepala
Zagazig  LE 20 per kepala

Adapun begitu, permohonan selain daripada ketetapan yang telah dinyatakan akan diluluskan mengikut budi bicara Pengerusi dan Timbalan Pengerusi.

Harapannya agar dengan wujudnya skim ini dapat memberi manfaat kepada semua ahli serta sedikit sebanyak akan melancarkan lagi gerak kerja penggerak PCK baik di peringkat pimpinan mahupun ahli.

Siiru ‘ala barakatillah.

Sekian, terima kasih.

‘Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati’

“At-Taqwa, As-Syifa, Ar-Rahmah”

A WAN

Wan Nusairi Bin Wan Mohd Nasruddin,
Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.

Najihah

Najihah Binti Janudin,
Timbalan Pengerusi,
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2017/2018.