1.Logo PERUBATAN
Kasr al-Ainy, 17 Februari 2017- Mesyuarat Tahunan Cawangan Kaherah kali ke-4 baru saja melabuhkan tirainya pada hari Jumaat yang lalu. MTC kali ini diadakan julung-julung kalinya di Learning Resource Centre(LRC).

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh graduan Universiti  Kaherah, saudara Zainol Izzuddin bin Zulkifli pada persidangan pertama bersama pengerusi umum, saudari Nurul Shefaa binti Ayob menjadikan persidangan lebih santai. Persidangan pertama melibatkan para AJKT setiap biro menerima sebarang pertanyaan, muhasabah dan cadangan penambahbaikan daripada ahli.  Persidangan ditangguhkan pada jam 11.45 tengah hari bagi memberi laluan kepada perwakilan untuk solat Jumaat dan makan.

Persidangan sesi kedua diteruskan oleh saudara Mohamad Hifzhan Arimi bin Mohamad Hidzir sebagai pengerusi sidang yang juga merupakan graduan Universiti Kaherah. Persidangan dimulakan dengan pembentangan penyata akaun diikuti pembentangan dua buah usul. Pada MTC kali ini, usul yang dibawa lebih berfokus kepada tindakan yang perlu dilakukan seiring dengan pengecilan komuniti PCK.

Usul pertama telah dibentangkan oleh saudari Nur Amalina binti Mustaffa, pelajar Tahun 6 yang membawa matan “Menggesa perbincangan intensif antara PCK & PCS sebagai persediaan menghadapi pengecilan komuniti” mendapat sokongan majoriti para perwakilan dengan hanya 3 orang sahaja yang membantah usul ini. Usul ini terhasil daripada sifat kecaknaan pengusul terhadap masa hadapan generasi seterusnya selepas kepulangan  senior-senior di PCK, selain  merupakan kesinambungan daripada resolusi umum usul yang pernah dibawa pada MTC ke-2 yang lalu.
Manakala matan bagi usul kedua berbunyi, “Menyalurkan baki unjuran kewangan akaun dana PCK kepada PERUBATAN” yang diusulkan oleh saudari Nurul Atikah binti Mohd Rafi merangkap Timbalan Ketua Jabatan Bendahari PCK sesi 2016/2017,  telah lantang bersuara menerangkan proses unjuran akaun dana serta penilaiannya. Dan seperti yang diduga, pelbagai soalan dan cadangan telah dilontarkan oleh para perwakilan, tidak kurang juga yang mengeluarkan hujah bantahan kerana bimbang dengan kebajikan ahli PCK pada masa hadapan. Suasana senyap seketika semasa sesi pengiraan undi dijalankan dan akhirnya keputusan majoriti 55 perwakilan menyokong dan 29 membantah menjadikan usul ini diterima.
“Baki unjuran ini mampu membantu cawangan yang lebih memerlukan dan saya yakin PERUBATAN dapat menguruskannya dengan lebih baik.” ujar seorang perwakilan ketika sesi perbahasan. Persidangan diteruskan lagi dengan gimik penyerahan tampuk pimpinan kepada Pengerusi PCK sesi 2017/2018, saudara Wan Nusairi bin Wan Mohd Nasruddin.
“Jika hari ini kita merasakan kita sedikit, adakah kita lupa bilangan ahli Badar juga sedikit, namun masih tetap teguh memerangi musuh sehingga meraih kemenangan!”, kata beliau menaikkan semangat para perwakilan dalam ucapan dasarnya dan  disahut seruan takbir.
‘Gagasan Konservatif PCK’ yang diperkenalkan merujuk kepada usaha-usaha memperkasakan aspek fundamental yang sedia ada mengikut kemampuan cawangan.
Dalam ucapan dasar tersebut, saudara Pengerusi menekankan 4 teras utama berdasarkan misi PERUBATAN iaitu teras akademik, pembangunan insan, kesatuan dan profesionalisme. Beliau turut merasmikan pelancaran peruntukan Skim Bantuan Penggerak, istimewa buat para penggerak PERUBATAN Cawangan Kaherah yang banyak berkorban masa, harta dan tenaga tanpa meminta balasan. Akhir sekali, beliau berharap kita dapat merealisasikan lagi tema “Kita Keluarga PCK” kerana bilangan yang sedikit bukan suatu kekurangan sekiranya kita saling menyokong antara satu sama lain.

Acara yang dinanti-nantikan iaitu penyampaian anugerah kepada perwakilan terbaik bagi  siswa disandang oleh saudara Mohamed Noor Hafiz bin Mohamed Zamri dan siswi, saudari Nor Afifah binti Jilani. Turut disampaikan anugerah program terbaik, anugerah khas PROF bagi siswa dan siswi serta anugerah Permata yang disandang oleh saudara Ahmad Luqman bin Ibrahim dan saudari Rabiatul Adawiyah binti Ahmad, graduan Universiti Kaherah atas sumbangan mereka kepada  PERUBATAN terutamanya PCK. Rakaman suara Presiden PERUBATAN sesi 2016/2017, saudara Muhammad  Ikraam bin Abdul Latif menyampaikan mutiara hikmah yang menyentuh hati mengisi slot terakhir, khas buat para penggerak PERUBATAN.

“MTC diibaratkan seperti pelabuhan untuk bahtera PCK berehat seketika, melabuhkan sauhnya. Membaiki kekurangan dan menambah bekalan untuk meneruskan pelayaran yang masih jauh,” kata saudara Presiden. Semoga pelayaran ini terus dipandu oleh petunjuk-Nya. Wahai anak kapal PCK, selamat berlayar!

Disediakan oleh,
Najah Munirah binti Azman,
Setiausaha MTC-4,
PERUBATAN Cawanagan Kaherah Sesi 2016/2017.