Negara kita Malaysia kian diuji dengan kegawatan ekonomi selaras dengan pasang surut nilai harga minyak dunia dan matawang ringgit. Kadar permintaan semakin meningkat berbanding kemampuan negara untuk menghasilkan sumber daripada semua aspek menjerumuskan negara ke arah ’Pull Down Inflation’.  Oleh itu, tidak dapat dinafikan persaingan untuk mendapatkan tempat dalam sektor perkhidmatan awam semakin hari semakin mencabar kerana kekurangan prasarana dan peruntukan.

Pengajian dalam bidang perubatan yang dahulunya dijanjikan prospek kerjaya yang cerah kini tidak terkecuali menjadi mangsa selepas pelaksanaan dasar jawatan kontrak bagi graduan lepasan bidang perubatan. Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengambil pegawai perubatan siswazah (House-Officer)  yang cemerlang sahaja untuk diserapkan ke dalam sektor kerajaan bagi menjawat jawatan sebagai pegawai perubatan tetap (MO).

Oleh itu, masih belum terlambat untuk kita sedari selaku pelajar perubatan untuk bertanya kepada diri sendiri, apakah persediaan yang telah kita lakukan untuk menghadapi realiti ini?

Berikut merupakan 11 langkah yang diolah berdasarkan buku ‘How To Become A Good & Successful Medical Student’ karangan Prof. Dr. Muhaya Haji Mohamad untuk dijadikan panduan dan nasihat buat kita semua:

  1. Pasakkan niat dan matlamat yang jelasPenghujung yang baik bergantung pada permulaannya. Jika anda mampu membentuk matlamat yang jelas seiring dengan niat yang murni di awal pengembaraan hidup, pastinya destinasi yang ingin dicapai akan dipandu dengan lebih berfokus. Begitulah juga kita dalam menceburi bidang perubatan ini, lakarlah halatuju anda untuk mencapai matlamat yang lebih besar di dalam bidang ini tanpa mengenepikan matlamat akhir kehidupan sebagai seorang muslim. Pastikan juga setiap kali anda bangun daripada tidur, anda mempunyai matlamat yang ingin dicapai pada hari tersebut agar gerak kerja harian lebih berfokus kepada matlamat akhir anda.

 

  1. Kuasa keberkatan masaSetiap manusia dikurniakan 24 jam sehari semalam secara sama rata tanpa ada perbezaan walaupun sedetik. Cuma yang membezakan keberkatan masa diantara kita adalah bagaimana masa tersebut dirancang dan digunakan sebaiknya. Sebagai contoh, kita bayangkan bagaimana al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali mampu menghasilkan lebih kurang 400 buah buku dalam tempoh 35 tahun yang di antaranya ialah kitab Ihya’ Ulumuddin (9 jilid) dan tafsir Yakut at-Takwil (40 jilid) dan dalam masa yang sama mampu memegang tanggungjawab sebagai mufti dan rektor Madrasah Nizamiah.Oleh itu, mulakanlah hari-hari anda dengan membuat perancangan tentang bagaimana anda ingin memanfaatkan hari anda. Anda digalakkan untuk membuat “to-do list” dan “to-study list” sebagai panduan harian. Bezakan setiap satu item yang disenaraikan mengikut prioriti menggunakan “Time Management Matrix” yang diasaskan oleh Stephen Covey berkonsepkan empat pembahagian kerja iaitu penting dan segera, penting tetapi tidak segera, tidak penting tapi segera, tidak penting dan tidak segera.

    Di penghujung hari anda, biasakanlah diri untuk membuat refleksi diri tentang kemanakah masa anda diluangkan pada hari itu? Adakah ia bermanfaat pada diri anda, keluarga dan agama? Adakah perkara-perkara yang telah dilakukan mampu membantu anda untuk mencapai matlamat akhir anda?

 

  1. Memaksimumkan manfaat daripada kuliah yang dihadiriBerapa ramai pelajar yang mampu bermujahadah untuk hadir ke kuliah kerana risaukan bilangan kehadiran yang cukup untuk menduduki peperiksaan tetapi malangnya tidak ramai yang mampu mengambil manfaat yang maksimum melalui kuliah yang dihadiri.Cara terbaik yang dianjurkan oleh penulis adalah melalui kaedah PCR iaitu Preview the lecture, Concentrate in class and Review the lecture. Tidak dinafikan kaedah ini memerlukan daya usaha untuk dilaksanakan tetapi ingatlah bahawa usaha inilah yang membantu meningkatkan kefahaman anda sekaligus memudahkan anda untuk menjawab peperiksaan kelak. Pepatah arab ada menyebutkan “jika anda tidak berdiri sekarang nescaya kelak anda tidak mampu untuk duduk”.

    Pada sesi klinikal pula, manfaatkanlah peluang untuk berinteraksi dengan pesakit dan tampil kehadapan untuk membentangkan kes kepada pensyarah anda. Latihan ini mampu membantu anda untuk menambah keyakinan diri di samping mendapat peluang untuk melakukan pemeriksaan ke atas pesakit dengan tunjuk ajar secara langsung oleh pensyarah anda. Dapatan tambahan inilah yang akan membantu anda ketika peperiksaan klinikal dan lebih-lebih lagi ketika menjadi pegawai perubatan siswazah kelak.

 

  1. Mengaitkan teori asas dengan klinikalKemampuan sesorang pegawai perubatan untuk mengaitkan teori asas dengan situasi klinikal adalah salah satu perkara utama yang perlu dilatih semenjak bangku pendidikan lagi. Nilai inilah yang bakal menentukan seseorang pegawai perubatan itu mahir atau tidak.Oleh itu, biasakanlah diri anda bermula daripada sekarang berkaitan cara-cara untuk menyelesaikan kes-kes yang anda perolehi sendiri daripada pesakit dengan mengaitkan segala ilmu asas yang telah dipelajari bermula daripada ilmu anatomi sehinggalah ilmu pembedahan dan diterjemahkan melalui jalan untuk menguruskan pesakit tersebut.

    Tiada jalan mudah untuk anda memahiri teknik ini kerana anda mestilah rajin untuk membelek semula buku-buku yang telah anda pelajari dua atau tiga tahun sebelum melainkan anda seorang yang genius kerana mampu mengingati kesemuanya.

 

  1. Memantapkan asas-asas klinikalMeskipun asas-asas klinikal ini boleh dilatih ketika tempoh anda bekerja sebagai doktor pelatih tetapi sedarlah bahawa graduan yang sudah memahiri asas-asas klinikal mempunyai nilai “x factor’’ berbanding graduan lain dan yang paling penting, mereka tidak perlu bersusah payah untuk mengasah kemahiran asas ini. Secara tidak langsung, mereka mampu memfokuskan untuk memantapkan lagi kemahiran-kemahiran tambahan yang diperlukan.Walaupun graduan luar negara dilabel sebagai kurang kompeten kerana kekurangan kemahiran asas klinikal, tidak menjadi alasan untuk kita tidak mengambil peluang bercuti di Malaysia dengan membuat elective posting di hospital-hospital kerajaan. Mulakan dengan membiasakan diri dalam memahami sistem-sistem pengurusan bidang kesihatan di Malaysia kemudian mohonlah untuk diberi tunjuk ajar bagi memantapkan asas klinikal anda.

 

  1. Berpersatuan dan bersukanSebagai nilai tambah, pelajar yang menggiatkan diri dalam persatuan mampu melatih daya kepimpinan dan kemahiran menyelesaikan masalah. Selain itu, penting untuk bakal pegawai perubatan sekalian untuk mempelajari kaedah menguruskan tekanan. Hal ini diperoleh secara tidak langsung jika anda ditugaskan untuk memikul amanah sebagai orang penting dalam persatuan. Oleh itu, beranikanlah diri memikul tanggungjawab melalui persatuan.  Sebagai contoh yang realistik, PERUBATAN di Mesir sekian lama menjadi wadah integrasi pelajar sains kesihatan bagi melahirkan ahli yang rabbani dan kompeten.Akal yang cerdas lahir daripada tubuh badan yang cergas. Oleh itu, anda disarankan untuk membiasakan diri melakukan apa-apa senaman atau aktiviti yang mampu mengeluarkan peluh. Aspek kesihatan merupakan antara aset terpenting bagi seorang pegawai kesihatan kerana sebelum kita berusaha untuk menjaga kesihatan orang lain, kita mestilah menjaga kesihatan diri sendiri terlebih dahulu.

 

  1. Hubungan dengan pencipta dan sesama makhlukAkhir sekali, perkara yang paling penting bagi seorang pelajar perubatan yang meyakini bahawa tiada yang berkuasa melainkan Allah adalah dengan menjaga hubungan secara vertical (dengan tuhan) dan horizontal (sesama makhluk). Taatilah segala perintah-Nya dan yakinlah dengan kuasa doa. Jika terlanjur melakukan dosa segeralah pulang ke pangkuan taubat kepada-Nya kerana ilmu itu ialah cahaya dan cahaya tidak akan menerangi manusia yang melakukan kemaksiatan.Berbuat baiklah kepada manusia terutamanya ibu bapa dan guru-guru anda kerana mereka ialah kunci kepada rahmat yang dicurahkan oleh Allah kepada hamba-Nya. Biasakan diri untuk memohon keampunan dan doa daripada mereka serta titipkanlah mereka di dalam doa anda.

Ditulis oleh:

Wan Nusairi bin Wan Mohd Nasruddin,
Tahun 5,
Universiti Kaherah.