Sejak Hawa bersama Adam keluar dari syurga, riak-riak hidup sepanjang lorong kehidupan dunia ini seakan-akan tidak pernah sepi daripada kisah-kisah yang bersumberkan kaum hawa. Membincangkan masalah hawa merupakan perbincangan yang tidak akan pernah berakhir, selaras dengan kewujudan kaum wanita itu sendiri di pentas kehidupan ini. Allah SWT sengaja menjadikan wanita sebagai ciptaan-Nya untuk meramaikan insan di dunia ini.

Wanita Mulia

1) Asiyah yang Beriman.

Menjadi isteri kepada seorang raja yang zalim tidak menarik beliau untuk turut sama dengan suaminya. Beliau secara bersembunyi telah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Setelah keimanan beliau diketahui oleh Firaun, beliau tetap teguh dengan keyakinannya. Tidak pernah luntur sedikit pun walau setelah diseksa. Dengan tegas dan berani beliau berkata “Seksaanmu tidak akan menggoyahkan diriku. Tuhan menjaga keimananku. Imanku ada di hatiku dan engkau tidak akan boleh membakar hatiku. Jika engkau jatuhkan penyeksaan terhadapku, meskipun tubuhku dipotong-potong, cintaku kepada Tuhan tidak akan pernah hilang.” Beliau memohon kepada Allah agar didirikan buatnya rumah di syurga dan permintaannya dimakbulkan. Malah diperlihatkan kepadanya rumah tersebut pada setiap kali sebatan di tubuhnya di bawah terik mentari yang panas.

2) Rahmah Teladan Kesetiaan Seorang Isteri.

Rasulullah pernah berkata bahawa wanita solehah jauh lebih baik daripada dunia seisinya dan Rahmah ialah contoh nyata realiti itu. Ketika suaminya Nabi Ayub hidup dalam kemewahan, beliau tidak pernah terpukau dengan kenikmatan dunia yang dimilikinya. Malah ketika Nabi Ayub ditimpa sakit, tidak pernah walau sekali beliau meninggalkan Nabi Ayub, bahkan dijaganya dengan penuh tulus dan tekun tanpa mengeluh tatkala seisi dunia menyingkirnya. Beliau juga tidak pernah berpaling daripada Allah setelah seluruh kenikmatan agung iaitu harta dan anak yang pernah dimilikinya diambil Allah. Malahan sanggup menjual rambutnya demi mendapatkan sepotong roti sebagai bukti kasih dan cinta kepada Nabi Ayub.

3) Khadijah Muara Penyejuk Hati Rasulullah SAW.

Beliau merupakan isteri yang paling disayangi oleh Rasulullah SAW. Dilahirkan dalam keluarga yang sangat kuat berpegang dengan agama Samawi menjadikan Khadijah terpelihara daripada penyembahan berhala. Beliau memilih Nabi Muhammad SAW sebagai peneman hidup kerana terpesona dengan budi pekerti dan sifat amanah baginda meskipun baginda tidak berharta.

Malahan, beliau banyak menyumbang harta di jalan Islam dan beliaulah tulang belakang Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan ajaran yang benar ini. Beliau membantu Nabi Muhammad SAW beruzlah dalam menjauhi kehidupan yang dijalani oleh masyarakat jahiliah. Khadijah menyiapkan bekalan untuk baginda pada setiap tahun untuk menghabiskan bulan Ramadan di Gua Hira. Malah, setelah beliau meninggal dunia, Nabi Muhammad SAW sentiasa menyebut -nyebut nama beliau di hadapan isteri baginda yang lain kerana cinta baginda terhadap Khadijah tidak pernah pudar setelah sekian lama pemergian beliau.

Wanita Hina

1) Walihah Ikon Pengkhianatan Sepanjang Zaman.

Walihah dikira sangat beruntung kerana berpeluang menjadi isteri Nabi Allah, Lut. Namun, keyakinannya yang setengah hati dan hipokrit menjadikan dia sangat jauh dari agama. Dia telah memecahkan rahsia berkenaan keberadaan pemuda jelmaan malaikat yang bersembunyi di rumahnya kepada kaumnya yang sudah terpesong dengan menyukai sesama jantina. Walhal perkara ini sangat dibenci dalam agama malah jauh dari fitrah manusia itu sendiri. Malahan ketika Nabi Lut diperintahkan untuk meninggalkan kampungnya kerana azab bakal ditimpakan ke atas kaumnya, isterinya sanggup membelot dan bergabung dengan kaum kesayangannya dan akhirnya ditimpalah bencana ke atas mereka kerana kesongsangan itu.

2) Unaizah Si Penghasut Penyebab Kematian Unta Betina.

Seorang wanita tua yang digelar Ummu Ghanimah, penentang utama dakwah Nabi Salleh. Dia sanggup menawarkan seorang pemuda yang bernama Qidar ibnu Salis untuk mengahwini mana- mana puterinya dengan mahar Qidar ialah perlu menyembelih unta betina tersebut. Sedangkan unta betina itu diturunkan sebagai ujian kepada mereka sama ada mereka akan beriman atau kufur. Malah sebenarnya unta itu sangat memberi manfaat kepada mereka berupa susu yang diperah untuk kegunaan kaum Tsamud. Sungguh keji sekali perilaku wanita yang tidak mengenal erti cahaya Ilahi ini sehingga akhirnya menjadi penyebab kepada kematian unta betina yang tidak bersalah itu.

Di sini dapat disimpulkan bahawa pengaruh wanita dalam kehidupan manusia telah ada sejak dahulu lagi. Penglibatan mereka bukan sahaja dalam hal yang melibatkan rumahtangga, malah turut melibatkan perjalanan sesebuah kerajaan. Gerak-geri dan tindakan mereka mampu memberikan kesan yang besar dalam sesuatu perkara. Kemuliaan hati kaum hawa dapat menentukan halatuju seseorang menuju kegemilangan. Walau bagaimanapun, tipu daya wanita yang licik mampu menghancurkan sesebuah negara sekalipun jika mangsa tidak meyedarinya.

 

Artikel di atas merupakan ringkasan daripada sebuah buku yang bertajuk “Wanita Mulia Dan Wanita Hina”, karya Misbah Em Majidy.

Disediakan oleh:
Nur Aqeela binti Mohd Tahir