KAHERAH, 15 April- Program Hari Keluarga yang diberi nama LEGO 2.0 telah diadakan di Hadiqah Yabaniah, Helwan. LEGO, singkatan kepada ‘Let’s All Go Out’ itu merupakan acara tahunan ahli Cairo Medical Team (CMT) dan diadakan buat kali kedua pada tahun ini. Selaras dengan agenda PERUBATAN ke arah pemantapan ukhuwah antara ahli, program ini dilaksanakan untuk memupuk ukhuwah dan kebersamaan antara ahli CMT dari semua peringkat.

Dengan bertambahnya bilangan ahli Medteam, pastinya program yang berbentuk explorace ini dapat menyatukan kesemua ahli yang terdiri daripada Novice (MedCo), Junior (Med-Ximus) dan Senior (Jebat) dalam program mega ini. Seramai 119 orang peserta termasuk ahli jawatankuasa program telah menghadirkan diri seawal jam 8.00 pagi di stesen kereta api Sayeda Zeinab dan para peserta bertolak beramai-ramai menaiki kereta api ke Helwan. Perjalanan ini mengambil masa selama hampir 40 minit. Sekitar jam 9 pagi, kesemua peserta LEGO 2.0 tiba di Hadiqah Yabaniah dan sedikit taklimat mengenai explorace diberikan oleh pihak penganjur.

Peserta program kali ini dibahagikan kepada lima kumpulan dan setiap kumpulan diberi nama berdasarkan watak-watak dalam kartun Pokemon bagi menetapkan warna kumpulan masing-masing seperti Pikachu (Kuning), Bulbasaur (Hijau), Squirtle (Biru), Gengar (Ungu) dan Charmander (Oren).

 

DSC_0306

Kumpulan Bulbasaur merupakan juara LEGO 2.o

Explorace ini mempunyai lima checkpoint untuk setiap kumpulan menyelesaikan beberapa misi sama ada dalam bentuk permainan mahupun menjawab soalan berkaitan ilmu perubatan dan pengetahuan am. Dengan adanya misi rahsia, iaitu terdapat seorang spy dalam setiap kumpulan yang perlu melaksanakan misinya yang tersendiri tanpa pengetahuan ahli kumpulan yang lain, membuatkan LEGO 2.0 menjadi lebih menarik berbanding explorace yang diadakan sebelum ini.

Para peserta LEGO 2.0 telah menunjukkan sikap kerjasama yang sangat baik dan kesemuanya berjaya melaksanakan tugasan di setiap checkpoint. Hal ini secara tidak langsung, menunjukkan bahawa segala ilmu terutama ilmu berkaitan perubatan yang diperoleh daripada silibus-silibus Small Group Discussion (SGD), masih segar dalam minda mereka. Malah, peserta juga menunjukkan disiplin yang sangat membanggakan serta akur kepada peraturan sepanjang program berlangsung.

Explorace tamat tepat jam 11.40 pagi dan para peserta berhenti berehat untuk solat dan menikmati hidangan nasi hujan panas berlaukkan ayam masak merah dan sayur acar sebagai juadah tengah hari. Kemudian, program diteruskan lagi dengan majlis perasmian penutup yang dimulakan dengan ucapan Pengarah LEGO, saudara Zofir Wajdi bin Arip. Majlis penutup ini dirasmikan oleh saudari Nur Liyana binti Abdul Aziz, Timbalan Ketua Jabatan Akademik PERUBATAN sesi 2016/2017. Beliau menekankan kepentingan ukhuwah dan perkara yang perlu ahli CMT kuasai terutamanya kemahiran klinikal.

Selesai perasmian penutup, program diteruskan pula dengan tazkirah ringkas oleh saudara Ahmad Adib yang mengupas sedikit isi daripada kitab Tazkiyatun Nafs mengenai sifat bakhil,manakala Kuliah Tiga Minit disampaikan saudari Nurul Firdaus binti Hanafee mengenai strok haba. Walaupun cuaca agak panas, para peserta masih menunggu dengan sabar untuk mengetahui kumpulan manakah yang bakal merebut takhta juara explorace LEGO 2.0. Program dihangatkan lagi dengan pembongkaran nama spy bagi setiap kumpulan dan suasana menjadi semakin meriah.

DSC_0325

 

Kalah menang adat permainan, LEGO tahun ini telah menobatkan kumpulan Bulbasaur (ikhwah) dan Squirtle (akhawat) sebagai juara. Selain itu, sesi penyampaian cenderamata kepada ahli CMT terbaik serta kumpulan terbaik bagi ketiga-tiga generasi CMT turut diadakan. Program LEGO 2.0 ini berakhir pada jam dua setengah petang dan para peserta berkumpul untuk sesi bergambar sebelum bergerak pulang.

“Program LEGO 2.0 menjadi simbolik kesatuan ahli CMT daripada semua batch yang bekerjasama membantu meningkatkan kemahiran klinikal. Walaupun program ini hanya sehari, ia sudah cukup membentuk kerjasama dan ukhuwah yang jitu.” kata saudara Muhammad Hanafi daripada batch Med-Ximus yang dinobatkan sebagai peserta terbaik ikhwah dan juga merupakan tulang belakang kepada Cairo Medical Team (CMT).

Semoga program yang telah dilaksanakan ini dapat memberi manfaat kepada peserta seterusnya mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT sekaligus melahirkan mahasiswa perubatan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

DSC_0332

 

 

 

 

Disediakan oleh,
Siti Nur Hazwani Binti Abdul Aziz,
Setiausaha LEGO 2.0,
Cairo Medical Team(CMT),
PERUBATAN Cawanagan Kaherah Sesi 2016/2017.