KESINAMBUNGAN LEGASI PIMPINAN, HUBUNGAN DUA HALA DIPERERAT
Kasr al-Ainy, 12 April – Satu pertemuan telah diadakan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) bersama pihak Universiti Kaherah. Pihak AJKT PCK diwakili Pengerusi & Timbalan Pengerusi PCK 2016/2017, saudara Muhammad Basheer bin Yahya dan saudari Noor Asyireen binti Ayub. Turut serta beberapa orang wakil iaitu Naib Pengerusi I, Jabatan Setiausaha, Biro Akademik, dan mantan Pengerusi & Timbalan Pengerusi 2015/2016. Pihak universiti pula diwakili oleh Dr Hala’ Salah, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Dr Heba Mustafa, Koordinator Pelajar Malaysia.
Pertemuan sekitar jam 3.25 petang itu dimulakan dengan kata-kata aluan daripada saudara Zainol Izzuddin bin Zulkifli selaku mantan Pengerusi PCK seterusnya menyerahkan majlis kepada saudara Muhammad Basheer bin Yahya sebagai simbolik pertukaran pimpinan. Antara matlamat simbolik ini adalah untuk memastikan kesinambungan gerak kerja pimpinan sesi lepas dan sesi yang baru. Seterusnya sesi pengenalan pimpinan PCK yang baru telah diadakan dengan penyerahan carta organisasi PCK kepada pihak universiti.
Perbincangan diteruskan dengan beberapa persoalan dikemukakan daripada Pengerusi dan Biro Akademik berkenaan kebajikan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Kaherah.
Antara persoalan-persoalan yang ditimbulkan adalah melibatkan sijil rasmi graduan Universiti Kaherah yang masih tidak dikeluarkan, harga tiket makanan di universiti yang meningkat secara mendadak, kebajikan pelajar mengulang seterusnya kebajikan akademik pelajar secara amnya.Soalan-soalan dan perbincangan yang dinyatakan mendapat respon yang positif daripada pihak universiti serta beberapa tindakan akan diambil dalam masa yang terdekat.
Turut dinyatakan juga adalah permasalahan yang berlaku sewaktu International Day yang diadakan tempoh hari. Beberapa penjelasan telah diberikan daripada Dr Hala’ Salah berkenaan perkara tersebut. Jawapan yang diberikan sedikit sebanyak dapat memuaskan hati pihak pimpinan PCK.
Perjumpaan tersebut diakhiri dengan pemberian cenderahati kepada Dr Hala’ Salah dan sesi penggambaran. Perjumpaan rasmi seperti ini dilihat mampu menjadi ruang kepada persatuan untuk menyampaikan permasalahan ahli dan mengekalkan hubungan baik dengan pihak universiti.
Semoga perjumpaan ini dapat mengukuhkan tapak PCK yang sedia ada di samping membina ahlinya ke arah keperibadian insan yang hebat. Perjumpaan telah berakhir pada jam 4.40 petang.
Berita oleh: Muhammad Habibullah bin Isa.
komen membina peribadi mulia