Kasr al-Ainy, 26 Februari – “Langkah Ini, Langkah Kita Bersama.” Itulah kata-kata keramat yang diperkenalkan oleh Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) Sesi 2016/2017, Saudara Muhammad Basheer bin Yahya, sedari bertanding jawatan tersebut dalam Piliharaya PERUBATAN Cawangan lagi. Ternyata sebaris slogan ini telah menyatukan warga PCK dalam Mesyaurat Tahunan Cawangan (MTC) Kali Ketiga yang buat julung-julung kalinya diadakan di Dewan Seminar B, Fakulti Perubatan Kasr al-Ainy.

Dua usul yang telah dibawa iaitu “Menghantar memorandum penghantaran semula pelajar ke Universiti Kaherah kepada badan-badan penaja” dan “Menggesa pihak berautoriti dalam mengurangkan yuran pelajar mengulang”. Kedua-duanya telah diusul oleh pelajar Tahun 5 Universiti Kaherah, Saudara Muhammad Aminuddin bin Khalid dan Saudari Fathinah binti Harun.

Usul pertama tersebut merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan usul yang dibawa oleh saudara Abul Akmal Arif bin Anuar, graduan Universiti Kaherah, pada MTC kali kedua tahun lalu. Beliau telah mengusulkan sebuah panel kajian khas dibentuk bagi mengkaji masalah pengurangan ahli PCK yang kian meruncing. Justeru, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk dan telah membentangkan hasil kajian mereka kepada semua perwakilan pada MTC kali ini. Seramai 92 orang perwakilan telah bersetuju dengan usul ini dan 16 orang pula berpendapat sebaliknya.

Salah seorang perwakilan yang membangkang bangkit menyatakan kebimbangan beliau.  Beliau memberi hujah sekiranya berlaku penghantaran semula pelajar ke Universiti Kaherah pada saat bilangan senior yang membantu sudah terlalu sedikit, mereka akan menghadapi  kesukaran dalam berhadapan suasana baru di negara orang. Walau bagaimanapun, saudara Aminuddin telah meredakan kebimbangan perwakilan tersebut dengan jawapannya, “Dalam lagu rasmi PERUBATAN pun telah menyebut ‘Kita Keluarga PERUBATAN’. Saya pasti PERUBATAN cawangan lain yang masih ramai ahlinya akan membantu adik-adik ini.”

Pada sesi pengundian usul kedua pula, seramai 99 orang telah  bersetuju dan hanya sembilan orang membangkang. Rata-rata yang tidak bersetuju berpendapat bawahasanya usul ini lebih sesuai untuk dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan kerana isu yuran universiti ini bukan hanya dihadapi oleh mahasiswa di PCK, malahan turut membelenggu pelajar di kesemua tujuh cawangan. Walau bagaimanapun, Presiden PERUBATAN sesi 2015/2016, Saudara Haniz Iqbal bin Hazaidi, telah bangun berhujah bagi memperbetulkan fahaman ini lantas mengubah pendirian sesetengah ahli mesyuarat.

MTC pada kali ini telah melabuhkan tirainya tepat jam 5 petang. “Alhamdulillah, selesai sudah MTC PCK kali ketiga. Sekalung tahniah kepada pimpinan yang baru dilantik. Semoga selepas ini kita sama-sama dapat mendokong pimpinan baru ini. Saya juga berharap agar semua perwakilan mendapat momentum baru untuk terus bergerak bersama PCK setelah kita bermuhasabah dan melontar idea bagi penambahbaikan PCK yang kita sayangi. Ribuan terima kasih juga saya ucapkan kepada AJKP MTC yang bertungkus lumus menjayakan mesyuarat kali ini,” ujar saudara Muhammad Hasif bin Kamaruddin, Pengarah MTC Kali Ketiga.

IMG_0331