Kasr al-Ainy, 26 Februari – Pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) sesi 2015/2016, saudara Zainol Izzuddin bin Zulkifli, telah menulis semula bait lagu dalam satu posting di laman Facebook beliau yang dipetik oleh salah seorang perwakilan dalam sesi perbahasan Ucapan Dasar Pengerusi PCK 2016/2017. Di bawah bait lagu tersebut turut ditulis “- perwakilan terbaik -.”

Pada Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali ketiga PCK, saudari Nor Afifah binti Jilani, mahasiswi Tahun 5 Universiti Kaherah telah memetik bait lagu seperti berikut;

“Mengharap senang dalam berjuang,

Bagai merindu rembulan di tengah siang,

Jalannya tak seindah sentuhan mata,

Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba.

Tapi jalan kebenaran,

Tak akan selamanya sunyi,

Ada ujian yang datang melanda,

Ada perangkap menunggu masa”.

Lagu tersebut yang ditujukan khas buat pimpinan baru PCK sesi 2016/2017 turut diolah dan ditambah liriknya seperti berikut;

“Namun yakinlah kita mampu,

Menempuh jalan yang telah ditetapkan,

Oleh Allah yang Esa,

Kerana langkah ini langkah kita bersama.”

Dalam sesi perbahasan Ucapan Dasar Pengerusi itu, saudari Nor Afifah juga turut meminta kerjasama kesemua perwakilan untuk menepuk tangan bersama dalam kiraan tiga. Setelah kesemua perwakilan memberikan kerjasama dan berbuat demikian, barulah beliau menjelaskan tujuan dan maksud yang ingin beliau sampaikan. Memetik kata-kata Pengerusi PCK sesi 2016/2017, saudara Muhammad Basheer bin Yahya, “Langkah ini, langkah kita bersama,” saudari Nor Afifah menjelaskan bahawa dalam melangkah dan bergerak bersama PCK, keadaan kita boleh diibaratkan seperti tepukan tangan tersebut, walaupun tidak seragam rentaknya, ada yang lambat dan ada yang cepat, tetapi kita semua tetap bersama dan menyumbang sedikit sebanyak kepada bunyi tepukan yang terhasil. Begitu jugalah keadaan kita di PCK yang mempunyai pelbagai kerenah, tetapi dengan kerjasama semualah PCK ini dapat terus bergerak dan melangkah.

“Kalau ada Anugerah Perwakilan Terbaik, akak (kakak) akan beri kepada awak, Epa (panggilan kepada Nor Afifah). Epik ucapan awak semalam, memang penutup MTC terbaik.” komen saudari Ainatul Mardhiah binti Mohammadin, salah seorang Penasihat PCK sesi 2015/2016. Walaupun tiada anugerah sedemikian yang diberikan kepada Nor Afifah, tetapi rata-rata perwakilan lain bersetuju dengan hujah beliau dan menyifatkannya sebagai ucapan yang sampai ke hati.

gambar MTC-kak Epa perwakilan terbaik 2016