Kasr al-Ainy, 26 Februari – Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) Kali Ketiga PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) ternyata mempunyai kelainannya yang tersendiri. Berbanding tahun lalu yang hanya menyaksikan satu anugerah khas  disampaikan namun MTC kali ini telah menganugerahkan dua anugerah khas.

Dua anugerah tersebut ialah Anugerah Tokoh Pilihan dan Anugerah Khas PERUBATAN Frontliners (PROF). Anugerah Tokoh Pilihan merupakan sebuah anugerah yang disampaikan kepada dua orang graduan Universiti Kaherah, seorang lelaki dan seorang wanita, yang telah banyak terserlah ketokohan mereka sepanjang bergelar penuntut di Universiti Kaherah serta menjadi contoh teladan kepada kawan-kawan dan para junior. Anugerah Tokoh Pilihan ini telah diberikan kepada Saudara Ahmad Kamil bin Ahmad Fahmi dan Saudari Nur Adibah Husna binti Aladdin.

“Adik-adik yang saya sangat sayangi, hakikatnya Allah yang mencambahkan benih kasih sayang antara kita. Empat fulkrum yang PCK bawakan, hatta atas dasar apa sekalipun akan tertegak jika ada khauf dan raja’. Khauf ialah sentiasa takut kepada Allah yang memerhati setiap tindak-tanduk kita. Raja’ ialah sentiasa mengharapkan Allah menerima amalan kita yang tak sesempurna mana. Dua elemen ini menjamin lidah dan anggota daripada menyakiti orang. Langkah kita sentiasa langkah bersama,” ujar saudari Adibah  tatkala diminta untuk memberikan nasihat kepada para junior di PCK.

Anugerah Khas PROF pula ialah anugerah yang disampaikan kepada ahli PCK yang telah banyak menyumbang tenaga dan buah fikiran sebagai penggerak PERUBATAN amnya dan PCK khususnya. Anugerah Khas PROF ini telah dinobatkan kepada Saudara Muhammad Badri bin Ahadin, mahasiswa Tahun 6 dan Saudari Hafizati binti Ishak, mahasiswi Tahun 5.

“Pertamanya, alhamdulillah atas anugerah yang telah diberikan. Jutaan terima kasih buat PROF kerana memberi peluang kepada saya untuk menyumbang serta telah mencungkil dan mengasah bakat melalui pentauliahan menjadi AJKP dalam program yang telah dilaksanakan. Moganya dengan penganugerahan ini dapatlah memberi motivasi pada diri dan sahabat-sahabat untuk terus memberi dalam kehidupan seharian,” komen Hafizati selepas menerima anugerah tersebut.

Keempat-empat penerima anugerah tersebut sememangnya layak dan sangat memberi inspirasi kepada seluruh warga PCK. Ketika ditanya tentang kepentingan sesi anugerah sedemikian diadakan, Timbalan Pengarah MTC Kali Ketiga, saudari Nurul Asyiqin binti Ibrahim telah berkata, “Sesi penganugerahan tersebut bertujuan untuk memberi semangat kepada ahli untuk terus bergerak melalui medium PERUBATAN. Selain itu, ahli PERUBATAN yang terpilih juga dapat menjadi qudwah kepada ahli lain, sekaligus membantu melengkapkan lagi PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam kalangan ahli PCK.”

 

IMG_0407