Suasana di luar negara adalah berbeza jika dibandingkan dengan suasana di Malaysia . Misalnya, Mesir. Keadaan di Mesir dilihat tidak menyokong keselamatan yang baik khususnya  kepada mahasiswi. Segelintir daripada warga Mesir seringkali mengganggu mahasiswi-mahasiswi terutamanya yang keluar pada waktu malam. Dalam al-Quran ada dijelaskan tentang adanya kejahatan-kejahatan yang banyak pada waktu malam.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Falaq ayat 1,

“Dan Aku berlindung dari kejahatan malam apabila ia berlabuh”.

Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda :

“Kalaulah manusia tahu tentang keburukan berjalan seorang diri, nescaya aku tidak akan dapat mengetahui adanya orang yang sanggup berjalan seorang diri pada waktu malam”.

Ini menunjukkan bahawa waktu malam adalah sangat berbahaya terutama kepada perempuan yang dijadikan Allah SWT kurang dari segi kekuatan fizikal berbanding lelaki. Kurangnya kekuatan fizikal menjadikan mereka memerlukan bantuan lelaki untuk melindungi dan membantu. Kes-kes mahasiswi Malaysia yang menerima gangguan seksual daripada orang Arab di Mesir ini bukan lagi  satu perkara yang asing. Atas sebab ini, maka wujudlah sistem musyrif di bumi Mesir bertujuan membantu dan melindungi keselamatan mahasiswi daripada diganggu.

Mahasiswi yang keluar pada waktu malam tanpa tujuan yang mustahak boleh dilihat sebagai perbuatan yang mencari nahas. Lebih-lebih lagi jika tiada pantauan musyrif, sebenarnya perbuatan ini hanya mendedahkan diri kepada bahaya dan boleh membawa kepada kemudaratan. Dengan statistik kes-kes gangguan daripada mahasiswi Malaysia yang tidak berkurang saban tahun, sememangnya menjadi kewajipan bagi mahasiswi untuk tidak mendedahkan dirinya kepada bahaya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195,

 “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”.

Sistem musyrif sudah lama diaplikasikan dalam masyarakat mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir semata-mata ingin menjaga biah solehah dan keselamatan mereka sebagai pelajar di luar negara.

Bagaimana caranya?

Mahasiswi yang ingin keluar pada waktu malam ataupun ingin berjalan ke tempat yang jauh meminta pertolongan kepada mahasiswa(musyrif) sebagai peneman dengan tujuan membantu dan menjaga keselamatan mereka. Sistem musyrif yang dijalankan perlu kepada toleransi dua pihak, lelaki dan perempuan. Dan sistem musyrif tidak akan berjalan jika salah satu pihak tidak memberikan kerjasama dengan baik.Sepatutnya tiada alasan bagi mahasiswi untuk tidak menggunakan musyrif kerana terdapat keadaan yang mana Islam tidak menggalakkan perempuan keluar dari tempat tinggalnya kecuali apabila perlu dan memerlukan teman bagi menjaga keselamatan mereka. Bagi ikhwah pula, alasan seperti malas, penat dan tidak suka menjadi musyrif tidak boleh diguna pakai kerana sudah menjadi tanggungjawab seorang lelaki bukan sekadar mengawasi atau menjaga bahkan perlu memastikan mereka semua aman dan selamat sepanjang perjalanan.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 34,

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita”.

Akhirnya, semoga penjelasan tentang keperluan musyrif ini dapat menggerakkan hati mahasiswa mahasiswi Malaysia yang berada di Mesir untuk menggunakan inisiatif yang terbaik demi menjaga kemaslahatan dan memelihara biah solehah yang wujud dalam komuniti pelajar di Mesir. Nabi SAW bersabda:

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”.