“LANGKAH INI LANGKAH KITA BERSAMA”

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh,

Terima kasih saudara pengerusi sidang, sahabat saya, Mohd Zulkhairi bin Sahlani , Yang Berbahagia, Presiden PERUBATAN Haniz Iqbal bin Hazaidi dan Saudari Anis Zarina binti Zarini, ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN, barisan AJKT baharu dan lama, ahli-ahli Lembaga Penasihat, Yang Berusaha, saudara Muhammad Hasif Bin Kamaruddin Pengarah MTC Kaherah Kali Ke-3 serta seluruh Jawatankuasa Mesyuarat Tahunan Cawangan, seterusnya seluruh perwakilan dan ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah yang sentiasa dekat di hati.

 

1. Pertemuan kita kali ini diadakan dalam suasana kita kehilangan seorang kawan, teman dan pejuang, almarhumah Nur Izzaty Izyan binti Roselan pada petang Jumaat 18 Disember 2015 yang baru sahaja berlalu. Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan solihin. Al-Fatihah.

 

2. Mafhum firman Allah SWT dalam surah al- Baqarah, ayat 249:

 

…Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata: ‘Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah bersama orang-orang yang sabar.

 

Sidang perwakilan yang dirahmati Allah,

 

3. Kisah Jalut dan Talut merupakan suatu kisah yang agung dirakamkan di dalam al-Quran tentang kepentingan keyakinan terhadap janji Allah dan kesabaran yang dipohon kendatipun bilangan yang menyertai perang hanya segelintir daripada jumlah asal.

 

4. Perang Badar juga menukilkan sejarah yang hampir sama tentang keteguhan iman, keyakinan yang jitu dan disulamkan kesepaduan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Rasulullah yang akhirnya telah melakarkan sebuah kejayaan yang mustahil pada ukuran zahir. Bilangan bukan ukuran kejayaan.

 

5. Mutakhir ini kita melihat penyusutan ahli yang mendadak kepada komuniti kita, namun itu bukanlah satu penghalang kepada gerak kerja, bahkan ia merupakan satu cabaran dan anjakan paradigma terhadap perspektif sudut pandang dan penilaian semula tentang kekuatan dan kelemahan kita untuk sama-sama kita memacu PCK yang mapan.

 

6. Hari ini, bermulalah episod baru dalam lembaran nukilan sejarah PCK. Suka duka, pahit getir, kejayaan dan kegagalan telah menjadi rencah pesona dalam mencorakkan sejarah ini. Perlu kita pastikan bahawa itu semua menjadi titik tolak pembakar semangat dalam menempuh episod yang mendatang.

 

7. Kita bukanlah pemula sehingga kita rasa berputus asa, kita juga bukan penamat sehingga kita rasa lelah, tapi kita merupakan penyambung dan pewaris, moga-moga beroleh rahmat.

 

8. Legasi kali ini akan terus memacu perjalanan panjang ini dengan penekanan 4 aspek yang merupakan fulkrum pergerakan PCK untuk kita terus bergerak laju seiringan usia PCK yang semakin matang tanpa meninggalkan faktor komuniti kita yang mengecil.

 

Pertama: Fulkrum Akademik

 

“PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam melahirkan professional sains kesihatan yang rabbani dan kompeten.”

 

Sahabat- sahabat yang dikasihi,

 

9. Gelombang arus kemajuan yang menyusup dalam generasi hari ini melahirkan netizen yang sangat peka akan perubahan sekeliling. Seharusnya kita selaku pengamal perubatan yang berintegriti dan kompetitif perlu memainkan peranan yang besar dalam pembentukan masyarakat demi memastikan tahap kesihatan kita dan generasi akan datang terus unggul.

Maka, tidak dapat tidak, kita perlulah bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam menuntut ilmu kerana kita bukan hanya merawat penyakit semata tetapi kita merawat pesakit yang miliki ruh insaniah.

 

10. Tuntutan ikhlas dalam ibadah amat dititikberatkan dan menjadi salah satu syarat penerimaan ibadah. Buah kepada ikhlas dalam menuntut ilmu ialah lahirnya benih cintakan ilmu bukan semata-mata demi segulung ijazah malah akan membuatkan kita berasa rugi jika tertinggal satu hari dalam pembelajaran. Ayuh menuju sifar ponteng kelas.

 

11. PCK akan tetap komited dalam memberi bantuan untuk meningkatkan kecemerlangan ahli dalam peperiksaan dalam segenap ruang lingkup yang telah tersedia. Namun harus diingat kata-kata pakar falsafah Jerman, Arthur Schopenhauer;

 

“Will power is to the mind like a strong blind man who carries on his shoulders a lame man who can see.”

 

12. “Graduan Mesir tiada skil, kurang kompeten”, antara kata-kata yang popular saban tahun dan telah bersarang dalam benak fikiran kebanyakan daripada kita. Oleh itu, saya menyeru agar kita bersama-sama;

  •  Menyuburkan budaya hospital visit
  •  Menggunakan medium Cairo Medical Team sebagai tempat latihan dan ruang perkongsian sesama ahli.

 

13. Approximately one new word is added to the English language every two hours and around 4,000 new words are added to the English dictionary every year.Therefore, I would like to encourage each of us to polish our English as we will be using it in our daily routine basis at work . Because language is a subject that we can only sharpen by practicing it frequently.

 

14. Saya juga menggesa agar kita meningkatkan tsaqafah dalam diri baik dari sudut isu semasa, sirah, tauhid mahupun ilmu Fikah perubatan. Mengambil ibrah daripada hadis;

 

مَنْ أَرَادَ الدُّنْيَا فَعَلَيْهِ بِاْلعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَ الآخِرَهَ فَعَلَيْهِ بِالْعِلْمِ، وَمَنْ أَرَادَهُمَا فَعَلَيْهِ باِلعِلْمِ

ِ“Barangsiapa yang menginginkan dunia maka hendaklah berilmu.Barangsiapa yang menginginkan akhirat, maka hendaklah dengan ilmu.Barangsiapa yang menginginkan keduanya, maka hendaklah dengan ilmu.”

Kedua: Fulkrum Pembangunan insan

 

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ 

َٰ

Sahabat- sahabat yang saya kasihi,

15.  Demi mendokong dasar PERUBATAN, PCK sangat menitik beratkan setiap gerak kerja kita mengikut garis panduan syariat. Kita bukan hanya mengejar matlamat sehingga sanggup membelakangkan syariat, kerana mengambil ibrah daripada surah zalzalah ayat 7-8.

 

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ

وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُۥ

Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalnya)!

 

16. Pembentukan komuniti yang cemerlang bermula daripada pembentukan individu muslim yang baik. Di atas kesedaran konsep ini, saya menggesa diri saya dan kalian, agar kita sama-sama;

  •  Mengisi mutabaah amal
  •  Menekankan peri pentingnya solat fardhu berjemaah
  •  Menyertai secara aktif dalam penglibatan SC
  •  Menghadiri dan mencatat poin-poin penting dalam Raudhah
  •  Mengoptimumkan ruang pengumpulan ahli untuk saling berpesan akan kesabaran dan kebenaran

 

Ketiga: Fulkrum Kesatuan

 

Dari Tamim Ad Dariy, katanya Nabi SAW bersabda: “Agama itu ialah nasihat.” Tanya kami: “Nasihat bagi siapa, ya Rasulullah?” Jawab beliau, “Bagi Allah, bagi Kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi para pemimpin kaum muslimin, dan bagi orang ramai.”

Sidang hadirin yang dirahmati,

17. Kesepaduan memerlukan satu kesefahaman dan kerjasama yang erat antara dua pihak yang saling membantu dalam melahirkan suatu gerak kerja dan hasil yang sangat kemas dan tersusun. Oleh hal yang demikian, tidak dapat tidak memerlukan satu timbal balik yang murni antara dua pihak tersebut agar matlamat tersebut dapat dicapai.

 

18. E-aduan merupakan satu sistem baru yang dicipta pada sesi 2015/2016 dengan sedikit sentuhan inovasi pada sesi 2016/2017 dengan harapan agar garapan percambahan idea dan introspeksi terus subur dalam kalangan kita. Ini membuktikan PCK sangat bersungguh-sungguh dalam mencapai satu jalinan kerjasama antara PCK dan ahli, khususnya.

 

19. Tautan ukhuwah yang dibina yang hanya berlegar di ruang sosial maya tanpa perkumpulan zahir, tidak mampu mencapai suatu impian komuniti yang ideal, yang mampu saling membahu dalam susah dan senang. Oleh itu, suka untuk saya tekankan akan peri pentingnya penyuburan budaya ziarah-menziarahi di samping turut mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan oleh PCK mahupun OB.

 

20. Sehubungan dengan itu, saya menyeru agar kita bersama-sama mengambil berat dan cakna akan keadaan komuniti, baik dari segi keselamatan atau kebajikan.

 

Keempat : Fulkrum Profesionalisme

 

Para pendengar yang masih setia,

21. Profesionalisme telah diangkat menjadi salah satu fokus PERUBATAN bermula dari sesi 2012/2013 dan seiring kematangan usia penubuhan PERUBATAN, PCK amat berbesar hati untuk meneruskan professionalisme sebagai salah satu fulkrum untuk sesi 2016/2017.

22. Muhasabah Separuh Penggal dibuat sebagai salah satu langkah penambahbaikan dari segi gerak kerja, pengurusan dan etika demi memastikan PERUBATAN terus memacu keunggulan.

 

23. Fakta menunjukkan 95% daripada gambaran personaliti seseorang dibentuk daripada pemakaian; pakaian, kekemasan rambut, tudung dan kasut. Bertitik tolak daripada kenyataan di atas,saya menyeru supaya kita sama-sama meneruskan budaya pemakaian formal pada hari Isnin.

 

Ke Bukit Sama Di daki, Ke Lurah Sama Dituruni

 

24. Pola penyusutan ahli yang mendadak telah menjadi satu topik perbualan kita sejak dua sesi lepas sehingga tercetusnya idea Panel Kajian Khas dan hasil telah pun dibentangkan sebentar tadi. Tahniah diucapkan. Namun, hari ini kita sudah di puncak, kejayaan demi kejayaan telah kita raih hasil gandingan kita bersama sejak awal penubuhan PCK dahulu. Saya sangat optimis bahawa kebimbangan ini hanyalah picisan, andai usaha sama kita terus dipererat disulami jalinan kasih sayang yang utuh antara kita.

 

25. Saya tutup ucapan dasar pengerusi PERUBATAN Cawangan Kaherah sesi 2016/2017 dengan serangkap madah kata Buya Hamka;

 

Semangat yang lemah buanglah jauh,

jiwa yang kecil segera besarkan,

yakin percaya iman pun teguh,

zaman hadapan penuh harapan.

Sekian, wasalam.

 

basiq

Muhammad Basheer Bin Yahya

Pengerusi,

PERUBATAN Cawangan Kaherah Sesi 2016/2017.