[Kenyataan Rasmi : Jemputan Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Ke-3]
Dengan nama Tuhan yang menjadikan aku dan kamu, yang mencurahkan nikmat Islam dan iman, yang mengutuskan Nabi Muhammad SAW ke atas muka bumi, segala puji bagi-Nya dek tidak terhitung nikmat yang diberi.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda dan para sahabat.
Memetik surah al-Imran ayat 159:
“Maka, berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah lembut kepada mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaqwa”.
Beserta surah al-Hasyr ayat 18:
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”
Kenyataan rasmi kali ini menyentuh dua ayat yang menjadi salah satu asas pergerakan sebuah organisasi malahan wasilah-wasilah tarbiah yang tujuh.
Surah al-Imran ayat 159 meletakkan keperluan kepada kita untuk melaksanakan musyawarah atau mesyuarat dalam menghasilkan satu keputusan. Surah al-Hasyr ayat 18 pula secara umum mengajak kita melihat kembali segala amalan kita dalam mendepani hari akhirat nanti.
Fokus kepada muhasabah. Pada aspek tarbiah diri, kita sedia maklum akan kepentingannya dalam usaha sentiasa menambah baik diri. Adapun pada peringkat organisasi, kesannya tidak menerus kepada diri sendiri sebaliknya kepada masyarakat keseluruhan. Segala muhasabah yang disampaikan berteraskan gerak kerja yang meliputi birokrasi, perancangan pengisian, teknikaliti pengurusan mahupun muhasabah idea itu sendiri. Lantas soalnya, pada apa ianya dilihat, menjadi satu jalan tarbiah dalam mendidik rohani yang bersifat batin?
Soalan sebegini mampu diamati tatkala kita berada dalam jiwa ahli yang menggerakkan organisasi. Kesungguhan kita dalam membaiki silap organisasi meskipun puncanya bukan daripada kita, kepayahan dan keperitan menggalas tanggungjawab meskipun diri sentiasa menolak dek kerdilnya keupayaan diri, tergadainya masa dan duit, tidak mengizinkan badan berehat secukupnya hatta berlebihan sekali pun. Semua itu adalah nilai-nilai yang terhasil, tatkala diri merasakan kebaikan itu, bukan lagi untuk diri aku seorang sahaja. Ianya lebih luas. Sehinggakan seluas alam. Kerana nabi diutuskan (baginda seorang) sebagai rahmat seluruh alam.
Akhir, pedoman daripada pengisi seminar JUSTICE:
Dr. Azman bin Ibrahim
“Kalau semua orang nak cari kehidupan (kesenangan), siapa yang nak merawat anak bangsa aku?”
Dengan itu, Jabatan Setiausaha (JSU) PCK Sesi 2015/2016, dengan ini menjemput ahli PCK menjadi perwakilan Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) kali ketiga dalam membawa suara-suara ahli, mahupun menjadi pemerhati untuk kebaikan akan datang.
Moga Allah SWT mengurniakan kepada kita nikmat masyarakat yang baik, hinggakan satu saat nanti kita bakal merindui biah masyarakat ini.
Wallahualam.
Berikut adalah lampiran surat jemputan ke MTC kali ketiga: Klik Sini
“Kita Keluarga PCK”
komen membina peribadi mulia