Alkisah terdapat sekumpulan manusia tinggal di sebuah kepulauan yang diberi nama Kepulauan Solomon. Ianya terletak di Pasifik Selatan. Dikisahkan, mereka ini mempunyai satu adat yang sangat unik. Adat apa agak-agaknya itu?

Mari saya ceritakan!

Penduduk Kepulauan Solomon  mempunyai satu adat iaitu menyumpah seranah pohon besar dengan tujuan mematikannya.

pohonsolomon1

Kebiasaannya, adat ini dipraktikkan apabila mereka mengalami kesukaran menebang pohon-pohon besar yang mempunyai akar yang utuh menggunakan kapak. Jadi, setiap hari dalam tempoh lebih kurang 40 hari, mereka akan berkumpul mengelilingi pohon yang ingin ditebang tersebut. Beberapa orang penduduk yang lebih gagah pula akan memanjat pohon tersebut sehingga ke atas. Apabila mereka yang memanjat sudah sampai ke atas, mereka bersama-sama penduduk yang berada di bawah pohon akan berteriak sekuat-kuatnya kepada pohon tersebut dengan kata-kata makian dan sumpah seranah. Mereka melakukan hal sedemikian selama berjam-jam setiap hari.

Agak-agak anda, akan ada kesankah perbuatan mereka  itu terhadap pohon tersebut?

Jawapannya, ya!

Ada kesannya.

Hasilnya, hari demi hari, daun-daun mulai kekeringan, dahan-dahannya mulai patah kerapuhan. Perlahan-lahan, pohon itu pun layu dan mati. Maka, mudahlah mereka menebang pohon tersebut setelah itu.

Lihatlah! Begitu dahsyat sekali kesan sumpah seranah yang dilemparkan terhadap makhluk yang bernyawa. Ianya ibarat racun yang mencabut terus roh makhluk tersebut, meskipun sebelumnya ianya merupakan makhluk gagah perkasa yang tidak boleh dikalahkan dengan mudah, seperti pohon tadi.

Adat ini sama sahaja konsepnya  seperti ujikaji yang dilakukan terhadap molekul air yang membentuk molekul yang cantik apabila dibacakan ayat-ayat suci al-Quran dibandingkan dengan molekul air yang membentuk molekul yang buruk apabila dipasangkan lagu-lagu berirama menyerabutkan seperti rock dan mempunyai seni kata yang kurang elok.

Kesimpulan daripada adat penduduk Kepulauan Solomon dan ujikaji tersebut adalah: Apa yang kita dengar berulang-ulang kali dalam kehidupan seharian memberi pengaruh yang besar kepada minda, roh dan jasad kita. Jadi, bijaklah dalam memilih perkara-perkara untuk didengar dan perlu bijak juga memilih perkataan untuk dituturkan kepada orang lain.

 

MEMOTIVASIKAN DIRI MELALUI KATA-KATA

“JANGAN, TIDAK & $!^&#”

                                  pohonsolomon2

Sepertimana yang saya katakan di atas, apa yang kita dengar dan terima akan memberi kesan kepada diri kita.

Jadi, dalam berkata-kata juga, kita perlu bijak menyusun perkataan, kerana setiap perkataan yang diucapkan akan memberi kesan kepada fokus pemikiran dan juga kepada kesejahteraan mental serta fizikal diri kita sendiri, sepertinya hal pohon yang disumpah seranah tadi.

Sebagai contoh, sila ikut arahan saya ini..

  1. ”Jangan fikirkan kucing hitam.”
  2. “Jangan bayangkan hantu berpakaian putih tidak berkepala sedang bertenggek di atas dahan pokok.”

 

ELAKKAN menggunakan perkataan negatif seperti ‘tidak’ dan ‘jangan’ atau perkataan-perkataan yang mempunyai maksud yang tidak baik seperti ‘bodoh’ dan ‘malas’ dalam percakapan mahupun lintasan hati. Seperti mana arahan saya di atas, perasankah anda semasa anda mengikuti arahan saya, anda hanya mengambil perkataan-perkataan selepas perkataan ‘jangan’ dan membuang terus perkataan ‘jangan’ di situ? Saya mengarahkan supaya anda tidak memikir dan membayangkan benda-benda tersebut, tetapi sebaliknya pula yang terjadi. Perkara yang tidak sepatutnya anda fikirkan tersebut bahkan menimbulkan keseraman pula pada anda.

Inilah bukti bahayanya penggunaan kata-kata negatif, meskipun tujuannya adalah supaya kita berfikiran positif, namun lain pula hasilnya kepada pemikiran kita, kita akan lebih terarah untuk berfikir secara negatif.

 

pohonsolomon3

 

 

Kunci dalam berkata-kata atau memberi arahan kepada diri, terutamanya dalam memberi motivasi kepada diri sendiri, adalah untuk menyatakan terus apa yang kita mahukan, bukannya apa yang tidak kita mahukan. Ianya supaya kita dapat terus fokus terhadap matlamat sebenar, dan menambahkan motivasi diri.

 

Sepertimana arahan saya yang kedua tadi, sekiranya anda dan saya berada dalam situasi kebetulan ternampak benda menakutkan tersebut, dan saya ingin menenteramkan serta berusaha supaya kita berdua tidak memikirkan hantu tersebut, apa yang perlu saya lakukan? Antara perkara bijak yang perlu saya lakukan adalah menyatakan terus benda apa yang perlu difikirkan pada waktu tersebut  supaya kita berdua tidak terbayang-bayang kelibat menakutkan itu lagi.

 

Antara arahan yang boleh digunakan adalah: “Baiklah, sekarang cuba bayangkan kita sedang menulis kalimah Allah. ‘Alif. Lam. Lam. Ha. ‘ berulang-ulang kali.” Kemudian anda dan saya pun menulis kalimah ALLAH tersebut di dalam minda berulang-ulang kali seperti yang diarahkan. ‘Alif. Lam. Lam. Ha.’

 

Berkesan bukan? Terus hilang bayangan menakutkan tadi. Kalimah Allah pula yang terbayang difikiran. Itulah dia kuasa pemilihan perkataan yang sesuai dalam memberi arahan, yang boleh digunapakai untuk memotivasikan diri.

 

Jadi, ayuh kita tukarkan ayat-ayat  yang mempunyai perkataan-perkataan negatif dalam hidup kita menjadi positif kesemuanya, agar minda kita sentiasa positif mendepani hidup yang mendatang.

 

Tukarkan “Saya tidak akan gagal” menjadi “Saya pasti berjaya dengan cemerlang, insyaAllah (dengan izin Allah).” Bukankah anda menukarkan perasaan takut gagal disini kepada semangat untuk berjaya?

 

Satu pesanan di sini, elakkan dari menggunakan perkataan ‘mungkin’ dalam memberi motivasi kepada diri, kerana ‘mungkin’ itu menunjukkan adanya keraguan, dan keraguan selalunya tidak akan membuahkan hasil yang baik. Dalam memberikan motivasi pada diri, kita haruslah yakin secara pasti  (sudah tentu dengan disandarkan keyakinan itu pada Allah), bahawa apa yang kita impikan itu bakal terwujud. Ianya mempunyai konsep yang sama seperti berdoa, yakni perlukan keyakinan yang mantap.

 

Tukarkan ayat “Saya tidak bodoh. Cuma saya malas dan agak lambat dalam menghafal.” kepada :

“Saya sangat bijak. Saya sangat rajin. Sekarang, saya mempunyai ingatan yang sangat kuat.”

Contoh lain apabila kita mengantuk di dalam kelas,kita selalunya akan katakan pada diri kita: “Jangan mengantuk!!” sambil cuba membeliakkan mata menghalangnya daripada terus terpejam. Tetapi apa yang berlaku, mata kita akan kembali terpejam selepas bertahan tidak tidur selama beberapa saat.

Mungkin kita boleh cuba menggunakan ayat lain dalam memujuk diri untuk tidak tidur seperti “Aku segar! Aku sangat segar sekarang! Aku tengah fokus dan boleh fokus sampai ke akhirnya!”

 

Nota tambahan: Perkataan  ‘sekarang’ mampu membuatkan kita lebih yakin dengan kemampuan diri kita yang sekarang, bukan hanya mengharapkan ianya ‘akan’ berlaku pada masa akan datang. Jadi, elakkan penggunaan perkataan ‘akan’.

 

Ulangi kalam motivasi tersebut berulang-ulang kali! Tekankan kepada perkataan ‘sangat’ serta bayangkan betul-betul yang anda sememangnya sangat segar ketika itu.

motivasi

 

Selepas apa yang telah saya kongsi, cubalah praktikkan penggunaan kata-kata positif dalam memberi motivasi pada diri selepas ini. Ianya sangat berkesan.

 

Ulangi ayat-ayat motivasi tersebut di mulut atau dalam hati, kerana ulangan akan memberikan impak yang kuat kepada minda. Setiap kali kita mengulang-ulang kalam motivasi itu, setiap kali itulah juga minda kita akan semakin membenarkannya, sekaligus memberikan motivasi yang lebih berkesan kepada diri.

 

Jadi, motivasi apa yang anda inginkan untuk diri anda? Tulis motivasi tersebut di atas satu kertas dan letakkan pada satu tempat yang mudah dilihat supaya ianya berulang-ulang kali memasuki minda anda. Sematkan sekemasnya motivasi itu di minda setiap kali anda teringatkannya.

 

Sesungguhnya, motivasi yang datang dari dalam diri kita sendiri adalah lebih berkesan dan lebih bertahan lama daripada motivasi yang kita peroleh dari luar. Ianya akan mempengaruhi perilaku dan perwatakan kita yang juga akan terlihat seperti orang-orang yang bermotivasi. Boleh jadi, kita pula yang menjadi inspirasi kepada orang lain selepas itu.

Jadi, selamat memotivasikan diri dan orang lain!

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ditulis oleh Nurul Sheefa Binti Ayob, pelajar tahun lima, Universiti Kaherah.