Pendermaan organ/ tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan kita untuk tujuan pemindahan atau transplantasi kepada orang lain yang memerlukan kerana kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. . Pemindahan atau transplan organ terbukti sebagai kaedah rawatan yang berkesan untuk menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir (end stage organ failure), termasuk kegagalan jantung, paru-paru dan hati.

Pendermaan organ termasuk jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang (ginjal). Manakala pendermaan tisu ialah kornea, injap jantung, kulit, tulang,tendon, ligamen, arteri atau vena, amnion, sum-sum tulang dan sel stem.

Pendermaan-organ

Jenis Penderma

  1. Penderma Hidup

Penderma hidup hanya boleh mendermakan satu buah pinggang atau sebahagian hati, dan sum-sum tulang sahaja.

Pendermaan semasa hidup terbahagi kepada 2 jenis iaitu:

  • Pendermaan ada pertalian saudara (living related)
  • Pendermaan tiada talian saudara (living-non Related)

Pendermaan semasa hidup mempunyai pelbagai risiko walaupun risikonya rendah. Pendermaan ini terhad kepada mereka yang mempunyai pertalian darah atau mereka yang mempunyai hubungan emosi seperti suami isteri sahaja.

Ini untuk mengelakkan kegiatan jual beli organ berlaku.

  1. Penderma Kadaverik

Penderma Kadeverik adalah penderma yang telah meninggal dunia. Pendermaan ini amat digalakkan dan diutamakan di Negara kita. Ianya tidak memberikan risiko kepada penderma. Terutamanya kematian otak yang jantung dan paru-parunya masih bergerak. Penderma kadaverik juga terbahagi 2 jenis:

  • Kematian Otak

Hanya penderma yang kematian otak boleh mendermakan organ dan tisu seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang (ginjal), mata (kornea), tulang dan kulit.

Penderma yang mati otak adalah penderma yang disahkan meninggal dunia di hospital. Mati otak ialah satu keadaan apabila tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak yang mengawal aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan dengupan jantung tidak berfungsi.

Ini boleh terjadi akibat kecederaan otak yang menyebabkan bengkak ataupun pendarahan dalam kepala yang teruk, pendarahan spontan akibat pecah urat saluran darah yang tidak normal atau tekanan darah yang tinggi, strok yang teruk, barah otak dan sebagainya.

Untuk pendermaan organ, seseorang yang kematian otak tidak akan mempunyai tindakbalas dan tidak bernafas. Dengan bantuan mesin (ventilator) jantung akan berfungsi seketika. Namun organ-organ lain akan mengalami kerosakan dan akhirnya degupan jantung akan berhenti dengan sendiri walaupun dengan sokongan mesin.

Pengesahan kematian akan dilakukan oleh dua orang doktor pakar yang bertauliah melalui dua ujian yang berasingan. Doktor-doktor tersebut tiada kaitan dengan tugasan pengambilan atau transplantasi organ.

Ujian pengesahan yang dijalankan adalah mengikut protokol yang diterima pakai di merata dunia.

Setelah disahkan mati otak, sijil pengesahan akan dikeluarkan dan mesin bantuan pernafasan akan diberhentikan. Sekiranya untuk pendermaan organ, mesin akan diberhentikan di dewan bedah sebelum organ diperolehi. Jika bukan untuk pendermaan organ mesin akan diberhentikan di Unit Rawatan Rapi.

  • Kematian Jantung Berhenti Berdegup

Kematian ini adalah kematian normal dimana seseorang itu disahkan mati kerana jantung terhenti berdegup.

Penderma yang meninggal dunia secara jantung terhenti boleh mendermakan tisu sahaja seperti Mata (kornea), Tulang, Kulit dan Injap Jantung.

Mereka yang meninggal di hospital boleh mendermakan semua jenis tisu.

Bagi mereka yang meninggal di rumah hanya boleh mendermakan mata (kornea). Pihak keluarga perlu menghubungi hospital kerajaan terdekat bagi tujuan perolehan tisu tersebut di rumah.

Pandangan agama

Secara umumnya semua Agama mengiktiraf pendermaan organ sebagai amalan yang mulia. Tiada agama yang menghalang penganutnya untuk melakukan kebaikan.

Agama Islam melalui Majlis Fatwa Kebangsaan telah meletakkan Hukum Harus pada urusan pendermaan dan pemindahan organ pada bulan Jun 1970. Ianya diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit dan bukan untuk perniagaan (tiada unsur jual beli).

Kaedah rawatan transplantasi juga DIHARUSKAN sekiranya ia tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada penerima organ atau penderma organ (sekiranya penderma masih hidup). Islam juga mensyaratkan pendermaan organ dilakukan secara ikhlas dengan niat untuk membantu orang lain semata-mata kerana Allah SWT.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, sehingga Disember 2013, jumlah rakyat Malaysia yang telah berikrar menderma organ adalah seramai 243,000 orang.

“Setiap tahun kira-kira 15,000 orang yang menjalani hemodialisis, kalau mereka tidak buat rawatan itu, mereka perlu buat pemindahan buah pinggang supaya boleh jalani hidup normal.

“Tetapi, kurang daripada 100 kes setahun sahaja yang boleh jalani pemindahan buah pinggang kerana kita tidak cukup organ, jadi adalah mustahak untuk orang ramai berikrar sebagai penderma organ,” katanya.

Bilangan penderma organ yang berdaftar kini adalah sebanyak 266,000 dan jumlah ini hanyalah satu peratus daripada jumlah rakyat di Malaysia. Maka dengan ini, usaha yang berterusan perlu bagi menambah bilangan pengikrar yang mahu mendermakan organ mereka. Semoga kita semua dapat menjadi pusat info dan kefahaman dalam menggalakkan pendermaan organ.

Ditulis oleh:
Ahmad Azlan bin Mohamad Amin

Sumber:

https://www.malaysiakini.com/news/278008

http://www.sinarharian.com.my/nasional/kesedaran-derma-organ-masih-kurang-1.252200

http://www.dermaorgan.gov.my/

http://www.myhealth.gov.my/index.php/derma-organ