Zeinhom, 11 Disember – Bertemakan “Fight Till The End, Together We Stand”, Clash of Cairenes (COC) telah melabuhkan tirainya pada Jumaat yang lepas. Program anjuran Biro Sukan & Aktiviti Luar PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) ini telah mendapat sambutan hangat daripada seluruh warga Kaherah termasuk ahli di Tahun Enam akhir. Program ini telah berlangsung sepanjang tahun menggantikan program Ultimate Family Outing (UFO) yang hanya diadakan sekali sahaja.

Segalanya bermula pada 1 Mei 2015 di mana COC 1.0 telah menyajikan ahli PCK dengan pertandingan indoor games. Acara yang dipertandingkan bagi mahasiswa ialah dam haji, dart, PES dan Counter Strike. Bagi mahasiswi pula telah diadakan pertandingan congkak, chess, scrabble dan Batu Seremban. COC 2.0 pula telah mencungkil bakat terpendam ahli dalam permainan bowling.

Setelah itu, COC 3.0 pula telah menjemput semua mahasiswa ke Nadi Zeinhom dan Nadi Abbasiyyah bagi mahasiswi untuk sama-sama menyertai pertandingan sukaneka. Royal Rumble dan Futsal Couple telah mencabar ketangkasan mahasiswa, manakala Volleyball dan Dodgeball telah menguji stamina mahasiswi.

COC Grand Finale merupakan kemuncak program ini. Ia merupakan hari penentuan bagi keempat-empat rumah sukan iaitu Aqua, Ignis, Terra dan Ventus untuk merebut gelaran juara. Bagi mahasiswi, tiga daripada empat acara yang dipertandingkan iaitu Rounders, Fit ‘Em All In, dan Synchronise ‘Ur Step telah dimenangi oleh rumah Ventus, manakala acara Find ‘Ur Owner telah dimenangi oleh rumah Ignis.

Acara Runescape bagi mahasiswa pula telah menyaksikan Aqua tersingkir dan mendapat tempat terakhir manakala rumah yang lain seri mendapat mata yang sama. Acara lain seperti futsal telah dimenangi oleh Terra, volleyball disapu bersih oleh Ventus, dan johan Stack ‘Em Up digarap oleh Aqua.

Gegak gempita sorakan setiap rumah sukan  berakhir tepat jam 4 petang setelah menyaksikan Ventus sebagai Johan Keseluruhan, Ignis  sebagai Naib Johan, Aqua di tempat ketiga dan Terra pula di tempat keempat. Anugerah Ahli Aktif telah disandang oleh Mohd Azri bin Abdul Rahman bagi mahasiswa dan Nabihah binti Mohammad Azman bagi mahasiswi.

Sesi Pengenalan Calon Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PCK 2016/2017 serta Sesi Penghargaan Musyrif telah diselitkan ketika majlis penutup. Sesi Pengenalan Calon AJKT pula telah diadakan secara berasingan antara mahasiswa dan mahasiswi sebelum itu lagi.

Tiga orang musyrif telah dipilih sebagai musyrif terbaik mengikut kawasan. Mereka adalah Muhammad Khalis bin Abu Hussin bagi kawasan Munira, Muhammad Munawir bin Azman bagi kawasan Sayeda Zainab, dan Muhammad Izzat Hafizi bin Zaaba bagi kawasan Abou Rish. Namun begitu, semua musyrif tetap diberi hadiah penghargaan.

“Fight till the end” ternyata telah menonjolkan semangat juang kesemua empat pasukan sepanjang COC berlangsung, manakala “together we stand” pula telah memaknakan kesatuan kesemua ahli PCK dalam menjayakan COC 2015. Semoga ‘piala ukhuwah’ ini dapat kita kekalkan.

 

12386523_996227520434466_832988953_n