Universiti Kaherah, 16 November- PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) telah mengadakan pertemuan rasmi buat kali kedua pada sesi ini bersama pihak universiti bagi membincangkan isu-isu berkaitan hal ehwal akademik pelajar Malaysia.

Delegasi ini telah diketuai oleh Saudara Zainol Izzuddin Bin Zulkifli dan Saudari Noha Nabila Bt Mohd Akhir selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PCK. Turut hadir Naib Pengerusi I, Saudara Muhammad Zofir Wajdi Bin Arip, Naib Pengerusi II, Saudari Siti Aminah Bt Harun, Bendahari Kehormat, Saudara Muhammad Ikraam Bin Abdul Latif, Timbalan Setiausaha, Saudari Zateel Fahada Bt Rusli, Ketua Biro Penerbitan dan Penerangan, Saudara Muhammad Basheer Bin Yahya dan Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar, Saudara Mohammad Aqil bin Azman.

Pertemuan tersebut berjalan dengan lancar walaupun Dr. Hala’ Salah selaku Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Kasr El-Ainy tidak dapat hadir atas sebab-sebab tertentu. Tempat beliau telah diganti oleh Dr. Heba Moustafa yang merupakan koordinator pelajar Malaysia.

Sifat keterbukaan dan mesra Dr Heba dengan pelajar Malaysia sangat membantu para delegasi untuk menyampaikan segala masalah dan isu yang berlaku. Antara perkara yang telah dipanjangkan oleh Biro Akademik PCK kepada pihak universiti adalah:

  • Surat sokongan dari Universiti Kaherah kepada salah seorang graduan 2011 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana (Master).
  • Isu pelajar yang mengulang tahun.
  • Yuran pelajar dan kebenaran untuk menduduki peperiksaan pertengahan tahun.
  • Hari Graduasi.
  • Kelas pengajian pelajar tahun 6.
  • Pembayaran transkrip result untuk pelajar G2G

Dr. Heba sangat menyambut baik segala permasalahan yang diutarakan dan  beliau berjanji akan melakukan beberapa tindakan segera  bagi memenuhi segala permohonan daripada pelajar Malaysia tersebut.

“As all of you are in the clinical year, I advise you to attend committedly all your classes, see as many patients as you can, and study everyday as you are going to have exams at the end of each round,” nasihat Dr Heba di akhir pertemuan tersebut.

Sebelum bersurai, Saudari Noha Nabila telah memberikan sedikit cenderahati kepada Dr Heba atas kesudian beliau meluangkan masa. Di samping itu, graduan daripada Batch Gen 8 di Malaysia telah mengirim sedikit buah tangan untuk diberikan kepada Dr Heba. Senyuman terukir  di bibir beliau apabila mengenangkan mereka.

Pertemuan berakhir tepat jam 4.20 petang. Diharapkan hubungan baik yang terjalin antara PCK dan pihak universiti sentiasa subur demi memastikan kebajikan pelajar Malaysia di universiti sentiasa terjaga.

 

PCK Bersama pihak uni 2