LOGO

بسم الله الرحمن الرحيم

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. (Al Baqarah: 30)

Tanggungjawab untuk memimpin telah Allah pundakkan kepada manusia sejak penciptaan bapa kita, Nabi Adam a.s. Tugas ini disambung oleh para rasul selepas itu sehinggalah sampai kepada kita pada hari ini. Menurut perspektif Islam, kepimpinan merupakan sesuatu yang fundamental. Ia ibarat kepala yang mengetuai seluruh tubuh di dalam masyarakat dalam perjalanan hidup di dunia ini dan di akhirat kelak. Bukan sekadar itu, pemimpin juga memiliki tanggungjawab besar untuk mangatur dan memastikan tertegaknya syariat Allah di muka bumi.

Ibnu Khaldun telah mendefinisikan kepimpinan sebagai aturan kepada seluruh rakyat agar hidup mereka selari dengan aturan syariat demi memastikan kemaslahatan mereka di dunia dan di akhirat. Kita sedar dan faham betapa besarnya tugas seorang pemimpin dalam mengemudi masyarakat. Namun begitu, kita sering alpa bahawa kita mempunyai peranan penting dalam proses pemilihan tersebut.

Ibnu Taimiyah menekankan dua ciri asas pemilihan pemimpin iaitu qowiy (kuat) dan amin (amanah). Oleh yang demikian, mari sama-sama kita berusaha dan berdoa agar diberi petunjuk oleh Allah dalam memilih pemimpin yang terbaik dalam kalangan warga PCK.

Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Raya PERUBATAN 2015/2016

Saya mewakili pihak Lembaga Penasihat PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) telah berbincang dan membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan (JPC) bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan Kaherah bagi sesi 2016/2017.

Hal ini bertepatan dengan tugas penasihat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PERUBATAN pada Fasal 30 Perkara 5 (b), yang memperuntukkan untuk;

“Melantik Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan (JPC) untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan.”

Proses pemilihan ini akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan (JPC). Mereka bertanggungjawab untuk menjalan proses pilihanraya dengan telus dan adil berdasarkan perlembagaan PERUBATAN, fasal 27 Perkara 1 (a);

“Jawatankuasa Khas untuk pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan yang selepas ini disebut sebagai Jawatankuasa Pilihan Raya Cawangan (JPC) hendaklah ditubuhkan oleh Lembaga Penasihat PERUBATAN untuk mengendalikan segala urusan yang berkaitan dengan pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) PERUBATAN Cawangan”

Maka dengan ini, Penasihat PERUBATAN Cawangan Kaherah 2015/2016 telah bersetuju untuk melantik Ahmad Zahari bin Abdul Raub sebagai Pengarah dan Mardiah binti Mohamed Hanafi sebagai Timbalan Pengarah JPC 2015/2016 bagi PERUBATAN Cawangan Kaherah.

Besarlah harapan kami agar semua ahli PERUBATAN Cawangan Kaherah dapat turun memeriahkan lagi pilihanraya pada kali ini. Semoga segala usaha JPC dalam mengendalikan pemilihan pimpinan kita mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah.

 Sekian, terima kasih.

  

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa, ar-Rahmah”

boq

Afiq Zulhilmi bin Zairudin
Ketua Lembaga Penasihat
Perubatan Cawangan Kaherah