Budaya berdebat menurut kaca mata sejarah telah pun bermula sejak zaman Greek lagi. Setelah kejatuhan empayar Parsi (479 SM) apabila Athens dan Sparta bergabung tenaga, ilmu mula dikembangkan oleh Socrates (470 SM-399 SM) di Athens. Konsep ‘bertanya’ dan berdiskusi untuk mengembangkan ilmu dan mempertajamkan akal yang digunapakai dalam Socratic’s Method, merupakan salah satu faktor berkembangnya cabang ilmu ini. Budaya berdebat tidak dapat lari daripada penggunaan alat-alat dalam minda seseorang individu. Secara tidak langsung, ilmu-ilmu asas dalam cabang ini seperti ilmu logik, linguistik, retorik dan juga syllogism (sebab dan akibat) merupakan senjata penting bagi mempraktiskannya.

Ahli falsafah Islam terkenal, Avicenna dalam satu karya penting beliau berkenaan mantik, On Remarks and Admonitions (al-Isyarat wa at-Tanbihat) membahaskan dengan cukup terperinci mengenai ilmu logik, ilmu fizik dan metafizik serta ilmu mistik. Lima rangka asas dalam ilmu logik iaitu penaakulan, dialektika, retorik, puisi dan falasi merupakan pra-syarat dalam proses berfikir. Mana mungkin seseorang individu itu mampu mendalami ilmu falsafah atau bidang ilmu yang lain tanpa menguasai asas-asas dalam berfikir ini. Sejarawan masyhur, Will Durant pula mengkategorikan ilmu logik, estetika, etika, politik dan metafizik sebagai elemen dalam ilmu falsafah.

 

n

 

Dalam sorotan sejarah, umat Islam mengalami kisah jatuh bangun empayarnya dari zaman ke zaman yang lain. Detik-detik pemindahan ilmu melalui jalan penterjemahan daripada karya-karya tulisan saintis Arab pada zaman Dinasti Abbassiyyah (1261 M-1517 M) ke bahasa asing yang lain (yang kian menjadi satu romantisme sejarah bagi umat Islam pada hari ini) merupakan justifikasi kesuburan budaya ilmu. Ilmu Bahasa Arab yang menjadi lingua franca pada zaman tersebut ibarat ilmu yang wajib dikuasai bagi menguasai dunia. Ini dibuktikan dengan terdapatnya ilmuan Yahudi dan Kristian pada zaman tersebut yang begitu bersungguh-sungguh berguru dan menelaah kitab-kitab tulisan Muslim pada ketika itu. Dikisahkan dalam buku The Medieval Library suntingan James Westfall Thompson,

“This same of John of Gorze was also the earliest instrument for the convergance of Arabic science north of the Alps and the earliest agent of its dissemination in Europe. In 953, the German emperor Otto the Great, sent John of Gorze on a diplomatic mission to the caliph Abd-er-Rahman III of Cordova, where John fell in with the distinguished Spanish-Jewish scholar Ibn Shaprut, who stood high in the favor of caliph. John was gone nearly three years and in that time learned the Arabic language. When he returned to Germany, in 956, he brought back with him a horseload of Arabic books.”

Setelah umat Islam mengalami kejatuhan yang maha dahsyat kesan daripada serangan Mongol dan penghapusan jutaan buku-buku daripada Baytul Hikmah sehingga digambarkan betapa hitamnya air sungai yang mengalir dengan tinta pada ketika itu, hinggalah kecelaruan fahaman dan praktis umat Islam pada hari ini yang memerlukan suatu kesedaran dan anjakan perubahan daripada umat Islam itu sendiri. Ilmuan-ilmuan Barat secara konsisten berlumba-lumba mengkaji dan menelaah teks-teks umat Islam sehingga ke hari ini, tetapi umat Islam hanya mampu membenarkan sahaja segala kemajuan dan perubahan yang mereka lakukan. Maka, weltanschauung terhadap ilmu itu sendiri wajib difahami dengan betul dan teliti serta jalan-jalan yang mampu menyuburkan budaya ilmu ini haruslah didokong oleh setiap individu bagi memimpin perubahan.

m

Analisis penghasilan kertas kerja ilmiah oleh beberapa negara dalam buku Crisis of Islam tulisan Bernard Lewis.

 

SIGNIFIKANKAH BERDEBAT?

Debat boleh dikategorikan mengikut pelbagai jenis bermula daripada sekecil-kecil perdebatan dalam dialog harian sehinggalah kepada perdebatan antara sosok-sosok ahli politik negara. Budaya berdebat yang sinonim dan mesra bagi mahasiswa ialah debat ala Parlimen yang lazimnya dipertandingkan bagi mengasah pemikiran dan mencambah idea mahasiswa. Keupayaan untuk berfikir secara kritis dan kritikal pada setiap kali ingin melontarkan hujah dan benar-benar menjawab hujah pembangkang mengikut konteks tertentu merupakan kelebihan unik yang tiada pada aktiviti-aktiviti keilmuan yang lain. Aktiviti ini juga mampu memupuk sifat cakna terhadap persekitaran semasa, menggalakkan pengkajian yang mendalam terhadap sesuatu isu yang dibahas dan mampu mematangkan pemikiran pembahas.

Alfred Snider, salah seorang pendidik yang membumikan budaya ini dalam sistem pendidikan wajar diambil sebagai contoh apabila beliau menjadikan debat sebagai satu alat dalam melatih pelajarnya untuk berfikir. Sesetengah negara yang tidak mampu menerapkan budaya ini mengikut tatacaranya yang betul dalam sistem pendidikan mereka kebanyakannya akan dilihat terkebelakang dari sudut pembangunan. Dalam struktur demokrasi negara misalnya, amat mustahil jika budaya berdebat tidak diimplementasikan kerana akan wujudnya kelompangan dalam sistem check and balance sesebuah negara dek kerana pemimpin yang tidak mahu idealismenya diperdebatkan. Negara Barat amat terkehadapan dalam mempraktikkan budaya ini. Justeru, tidak hairanlah mereka mampu memanipulasi dunia dan mengawal minda manusia dengan cukup licik sekali hanya melalui mainan propaganda.

Hal ini tidak menafikan keburukan yang terdapat dalam budaya ini jika ianya tidak diamalkan mengikut tatacara yang benar. Pengkajian melalui kaedah saintifik, pengambilan ‘quote’ daripada sumber asal, sikap tidak prejudis dalam menilai serta adab-adab berdebat yang lain perlu diberi penekanan bagi mengelakkan perkara yang sebaliknya daripada berlaku. Dalam tradisi keilmuan Islam, budaya berbeza pendapat misalnya diterjemahkan dengan cukup cantik sekali. Penulisan Tahafut al-Falasifah (The Incoherence of the Philosophers) oleh al-Ghazali apabila beliau tidak bersetuju dengan fahaman falsafah menurut Ibn Sina dan kemudiannya dibalas semula oleh Ibn Rusyd melalui penulisan Tahafut at-Tahafut (The Incoherence of The Incoherence) menunjukkan keharmonian perbezaan pendapat ketika itu. Metodologi ilmuan al-Azhar pada hari ini yang memulakan kritikan terhadap sesebuah fahaman atau pemikiran seseorang dengan kata-kata pujian terhadap sumbangan tokoh tersebut terlebih dahulu merupakan simbol pemeliharaan adab dalam perbezaan pendapat.

Dalam konteks yang lebih luas, berdebat mampu membina pengaruh dan meluaskan sayap dakwah. Kepetahan dan kebijaksanaan Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik dalam berhujah telah memberi sumbangan yang sangat besar dalam arena dakwah. Mereka antara nama yang mampu membuktikan kebenaran di khalayak ramai melalui jalan perdebatan. Seseorang yang ingin mencari kebenaran itu umpama seorang yang mencari untanya yang hilang. Boleh jadi dia jumpa dengan untanya itu, dan boleh jadi untanya hilang diambil orang. Inilah perumpamaan yang dibuat oleh Imam al-Ghazali. Imam Syafie pula ketika berdebat, beliau hanya mengharapkan kebenaran keluar daripada mulutnya sendiri ataupun daripada musuhnya. Objektif utama dalam berdebat hakikatnya bukanlah untuk menentukan bahawa kita sahaja yang betul sedangkan hujah yang dibawa pun penuh dengan falasi dari segi bentuk, ekspresi dan makna serta mungkin juga penuh dengan ad hominem (al-Mugholatah al-Khorijiyyah) apabila hujah dijawab dengan hujah yang terkeluar daripada topik, tetapi objektif yang sebenar ialah ingin mencapai dan membuktikan kebenaran itu sendiri.

,

 

MAHASISWA MESIR & PERANAN

Kepesatan teknologi maklumat pada hari ini yang membawa kepada kebanjiran maklumat secara tidak sedar semakin membuatkan masyarakat pada hari ini meraba-raba mencari cahaya. Masyarakat kini tidak mampu membezakan yang mana kaca dan yang mana permata. Jalan untuk memperolehi ilmu secara autentik dan benar iaitu melalui berguru dan membaca semakin menjauh daripada realiti hari ini. Sejarah merakamkan bahawa pada abad ke-18 dan ke-19 dahulu, jumlah graduan al-Azhar tidak mencecah sepuluh orang pada setiap tahun. Hal ini kerana, syarat untuk bergelar graduan pada ketika itu adalah apabila guru pada ketika itu sendiri yang hanya boleh mengiktiraf keilmuan individu tersebut sebelum lesen mengajar boleh diberikan kepadanya. Maka, tidak hairanlah mereka mampu duduk bertemu lutut dengan guru mereka selama berjam-jam pada setiap hari seterusnya ilmu dan peribadi mereka dilentur dengan baik sekali sehingga terhasil kilauan mutiara pada diri mereka.

Ini tidak lari daripada mesej Prof al-Qaradhawi dalam Risalah al-Azhar yang menyebut bahawa seseorang lepasan al-Azhar itu bukannya hanya menuntut di Jami’ah (Universiti) sahaja, malahan menuntut di Jami’ (Masjid al-Azhar) itu lebih utama kerana ia adalah tradisi keilmuan yang turun-temurun dan bersambung salasilahnya kepada ulama’ terdahulu serta ia merupakan pusat pentarbiahan dan kerohanian yang utama melalui para guru yang bersifat pembimbing (murabbi). Elemen ketiga yang disebut juga tidak kurang pentingnya iaitu Jam’iyyah (Persatuan) kerana ini merupakan medan dakwah dan islah yang cukup ampuh bagi seseorang muslim untuk bergerak dan bernafas dalam sesebuah komuniti. Di sinilah kemahiran-kemahiran (soft skills) mampu diasah dan kegagalan untuk menyeimbangkannya dengan tuntutan akademik hanya menatijahkan perkara yang sebaliknya.

b

 

Ini juga dihuraikan dengan cukup baik oleh Syaikh Usamah al-Azhari dalam al-Ihya’ al-Kabir (Towards a Grand Renewal) dengan penekanan penguasaan ilmu-ilmu alat dan pemahaman konteks semasa yang tepat oleh penuntut-penuntut ilmu di kiblat ilmu ini. Rugi sekali sekiranya ratusan graduan yang pulang ke tanah air saban tahun hanya pulang membawa segulung sijil tanpa mampu memahami teks-teks klasik dalam khazanah Islam dan mengadunnya dengan teks-teks kontemporari bagi membina semula batu-bata tamadun Islam yang retak sekian lama menanti penambahbaikan dan perubahan.

 

 

Nuruddin Azri bin Zulkifli, pelajar tahun empat, Universiti Kaherah.