Penulis memohon maaf atas sebarang persamaan karakter mahupun perkaitan dengan yang masih hidup dan sudah tiada. Adapun tulisan kecil ini cumalah hasil pemerhatian penulis yang kerdil di sisi-Nya. Niat di hati cumalah mahu mencerahkan beberapa sinonim yang sering dikaitkan dengan pelajar Malaysia di Mesir.

Banyak batang sagu rumbia,
Banyak bersagu sangat berguna;
Bersenang-senang hidup di dunia,
Banyak menimba ilmu yang berguna.

Sinonim 1
“Balik nanti jadi ustaz/ustazah lah kau.”
Patut diaminkan sahaja jika komen ini dilontarkan kepada anda. Barangkali hal ini ialah anugerah termanis buat pelajar di sini. Mesir yang dikenali juga sebagai Kaabah bagi penuntut ilmu ini ialah syurga loka buat para pencinta ilmu dan ulama yang sentiasa dahagakan ilmu untuk mengelokkan peribadi. Menawarkan taman-taman syurga yang harum dan melambai-melambai, dan para alim ulama yang mendidik jiwa, serta sistem pengangkutan awam yang juga tidak menghampakan walau sedikit macet. Bergegaslah, dan hiruplah madu ini sepuasnya, moga dengannya akan hilang kontang di jiwa.

Batang rumbia dikerat-kerat,
Banyak bersagu makan sehat;
Bersenang-senang hidup di akhirat,
Banyak berilmu, iman dan taat.

Sinonim 2
“Pergi sana nanti berisi lah awak.”
Ya. Mesir ialah syurga makanan bagi tekak yang berani mencuba. Dengan nilai mata wang yang rendah dan kuasa beli yang tinggi bagi kebanyakan pelajar, sememangnya sukar untuk mati kebuluran di sini. Makanlah, dan cubalah sajian tempatan, akan tetapi penulis ingin tekankan di sini peri pentingnya mencari premis makanan yang kebersihannya memuaskan. Hal ini ialah disebabkan masalah keracunan makanan amat kerap dilaporkan. Seyogia makanlah yang bersih moga pembelajaran menjadi lancar dan tubuh kekal sihat.

 

Kelapa muda beli di pasar,
Dapat dibuat makanan lezat;
Masa muda rajin belajar,
Supaya selamat dunia akhirat.

 

 

Sinonim 3
“Ibu dan ayah harap abang tidak ponteng kelas.”
Ibarat membuka pekung di dada, itulah yang penulis rasakan sewaktu mengulas isu ini. Pesanan ini amatlah relevan dengan situasi pelajar kita. Yang memburukkan masalah ini ialah kebanyakan kehadiran ke kuliah tidak diwajibkan dan tiada tindakan dikenakan. Maka, ramailah yang mengangkat bendera putih dalam jihad melawan rasa malas ke kelas lebih-lebih lagi pada musim sejuk. Rasa cukup dengan hanya mengulang kaji di rumah sangat berbahaya, dikhuatiri keberkatan ilmu akan hilang.

 

Batang arau dibelah-belah,
Untuk pagar keliling sekolah;
Jangan hiraukan letih dan lelah,
Agar berhasil kita sekolah.

 

Sinonim 4
“Kahwin awal.”
Penulis mengambil keputusan untuk berpijak atas pagar dalam isu ini. Baik atau buruknya impak pernikahan dalam tempoh pengajian tinggi bergantung kepada individu sendiri. Ada suara yang menekankan bahawa usaha pelajar akan menjadi lebih mantap dengan perkahwinan; dan ramai yang telah membuktikannya. Ada pula yang selepas bernikah asyik mengulit-ulit pasangan masing-masing hingga alpa tanggungjawab sebenar sebagai penuntut ilmu dan inilah yang kita wajib jauhi dengan sedaya upaya kita. Tidak kurang juga yang ingin memanfaatkan fasa hidup sebagai pelajar yang mempunyai banyak masa terluang untuk membina keluarga, dengan alasan alam pekerjaan kelak bakal dihantui dengan kesibukan.

 

Kelapa dibelah dibawa ke pekan,
Buat dijual jadi penghasilan;
Waktu sekolah berkawan-kawan,
Giat menuntut ilmu pengetahuan.

 

Sinonim 5
“Jaga-jaga, orang di sana jahat-jahat belaka.”
Orang jahat ada di mana-mana. Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Dan jika kita mengambil kira populasi penduduk yang padat dan kesempitan hidup yang mencengkam, maka sewajarnya kita siap siaga dan lebih berhati-hati serta memperkuat pergantungan kita dengan-Nya. Ramai juga yang baik-baik yang kita katakan sebagai anak cucu Nabi Musa Rasul Ulul Azmi kerana kemuliaan sikap mereka. Buya Hamka mengucapkan satu kata-kata hikmah apabila seorang pemuda mengadukan kisahnya bertemu pelacur di Tanah Suci: “Aku ke Amerika tetapi aku tidak menemui seorang pun pelacur.” Dalamnya ungkapan ini membawa kita merenung bahawa jika dalam hidup manusia dia memakai kaca mata kebaikan, maka ke mana pun langkah kaki membawanya, dia akan menjumpai kebaikan. Jika buruk yang dicari, nescaya itu juga yang bakal ditemukan. Apa pun dalam isu ini, kita mampu berusaha dan moga-moga Tuhan akan menjaga.

 

Anak landak berbulu kasar,
Lari masuk ke lubang batang;
Kalau anak kurang ajar,
Seperti nasi setengah matang.

 

Sinonim 6
“Carilah mutiara di balik debu pasir dan sampah tengik”.
Untuk merealisasikan sepotong ayat ini, pertama sekali pandanglah Bumi Kinanah ini dengan mata lebah, yang tegar mencari kelopak harum untuk diserikan agar menjadi buah dan untuk mendapatkan madunya. Antara unsur-unsur positif yang dapat kita kutip dalam perjalanan hidup di bumi Firaun ini ialah budaya memberi salam, membawa dan membaca al-Quran ke mana-mana, budaya memuliakan tetamu, dan sambutan rakyatnya yang luar biasa terhadap peristiwa-peristiwa Islam dan bulan Ramadan yang kita rindui. Mereka juga terkenal dengan cepatnya memaafkan dan tidak berdendam walaupun lekas marah. Sudut pandang lebah juga membawa kita memandang positif segala keserabutan dalam sistem negara ini yang boleh mengajar kita erti sabar dan boleh mendidik kita lebih berorganisasi.

 

Kalau kita pergi berlayar,
Cari dulu batu permata;
Kalau kita orang terpelajar,
Baik berilmu daripada berharta.

image

Sinonim 7
“Orang kuat persatuan.”
Selaku anak dagang yang merantau di bumi nan asing, lumrahlah jika seawal sampai di sini kita akan disambut oleh persatuan-persatuan. Persatuan pelajar berfungsi untuk menjaga kebajikan pelajar dan menjadi medium yang menghubungkan pelajar dengan pihak atasan. Berpersatuanlah dengan cara yang sihat, ia menjadi nilai tambah yang berguna buat pelajar di kemudian hari.

 

Terbang tinggi mengawang-awang,
Lalu kembali hinggap ke sarang;
Bercita tinggi bukan menerawang,
Tapi seterusnya kita berjuang.

 

Akhir kalam, penulis mengucapkan selamat datang kepada rombongan pelajar baru yang sudah mahupun bakal berangkat ke bumi ini, dengan ucapan selamat maju jaya dan pesanan agar sentiasa memperbaharui niat. Moga-moga usaha kita menuntut ilmu diganjari Ilahi dengan mudahnya jalan menuju syurga Firdausi.

 

Ke mana kancil akan dikejar,
Ke dalam belukar tempatnya lari;
Di masa kecil rajin belajar,
Bila besar selamatlah diri.

 

 

Rujukan :
http://10001pantun.blogspot.com/2012/09/pantun-penuntun-rajin-belajar.html

 

Rasyidah Anuar Musaddad, seorang ahli Gen11us yang akan naik ke Tahun 5. Seorang yang gemar membaca di masa lapangnya.