Dari manifestasi moderniti Madrid, kemegahan katedral Seville dan lorong-lorong indah di Cordoba, akhirnya kami sampai ke Puebla de Don Fadrique untuk tujuan asal kami. Madrasah yang terletak dalam perkampungan kecil tiga jam dari bandar Granada itu dinamakan Alqueria de Rosales, yang bermaksud ‘Kariah Mawar’. Sinonim dengan namanya, kawasan madrasah tersebut ditumbuhi aneka warna bunga mawar dan dilatari pemandangan gunung-ganang nan hijau.

Idea untuk pengabdian singkat di madrasah tersebut timbul setelah daurah musim panas dua tahun sebelumnya di Tarim, Yaman kerana terhibur mendengar nuansa hidup dan coret pengalaman anak-anak santri dari Indonesia. Mereka kebiasaannya melalui tempoh pengabdian setelah selesai belajar di pesantren yang merujuk kepada budaya khidmat bakti, menghidupkan makna kalam:

من خدم قدم

Barangsiapa yang berkhidmat, dia mendahului

Satu perkara yang sangat menonjol dalam peribadi pelajar pesantren atau pondok ialah himmah mereka yang sangat tinggi dalam berkhidmat untuk orang lain. Walaupun kami hanya sekadar merasa sementara kehidupan santri di Darul Zahra, Tarim dan Baitul Quro, Melaka angan-angan untuk mencontohi jejak khidmat tersebut membawa kepada kembara panjang ini.

Bahkan ibarat ‘hendak ulam, pucuk menjulai’, permintaan asal untuk peluang sukarela ditawarkan pula kesempatan untuk menyertai daurah Al Ghazali Retreat yang menampilkan Syeikh Abdal Hakim Murad dan Dr Umar Faruq Abdallah, antara ilmuan Islam yang masyhur di barat yang telah lama berada dalam senarai para masyaikh yang ingin kami temui.

Sewaktu menaiki bas menuju ke Pueblo de Don Fadrique, kami bertemu tiga peserta lain yang turut menuju ke Alqueria. Menariknya Armaan, Shefa dan Aminah berkenalan sewaktu daurah Rihla di Turki dan ikatan persahabatan yang termeterai sewaktu itu mendorong mereka untuk berjanji bertemu pula di sini. Mereka sedikit sebanyak menceritakan pengalaman bertemu Syeikh Hamza Yusuf Hanson membuatkan kami terasa sedikit teruja berjumpa pengembara Muslim yang punyai kecenderungan yang sama.

Al Madrasa

11844038_947477551983672_606493606_n

Pengasas Alqueria de Rosales, Professor Abdus Samad Antonio Romero mendirikan kompleks madrasah tersebut di atas tanah wakaf seluas 400 ekar. Beliau yang memeluk Islam hampir empat dekad lalu merupakan seorang pakar sosiologi dan bekas datuk bandar Pueblo de Don Fedrique. Madrasah yang menyediakan pelbagai daurah musim panas tersebut turut dibantu pengurusannya oleh isteri dan anak-anaknya serta sukarelawan yang silih berganti setiap tahun.

Selain Bahasa Inggeris, sebahagian besar yang berada di madrasah tersebut berbahasa Sepanyol atau Perancis. Dan aku, yang cuma melepasi dua level kelas Perancis cuma mampu berbasi-basi menanyakan ‘es tu France?’ pada anak kecil yang duduk di kafeteria. Sekadar mencuba-cuba bahasa elegan itu.


‘Oui,’ jawabnya kemudian lari bersembunyi di belakang ibunya.

Dan demikianlah, terkadang berlaku adegan itik bercakap dengan ayam apabila berinteraksi dengan jurang bahasa yang tak dapat dielakkan.

Asrama lelaki dan perempuan yang kelihatan seperti rumah ladang pula terletak tidak jauh dari masjid untuk kediaman peserta daurah dan anak-anak muda dari Perancis dan UK yang bekerja sebagai sukarela. Aku kagum sendiri dengan kemahiran memasak mereka walaupun usia cuma belasan tahun. Tak berapa jauh daripada asrama tersebut pula tersedia kolam renang untuk rekreasi peserta, yang digunakan secara bergilir waktu untuk lelaki dan perempuan.

Rutin harian kami sewaktu daurah melibatkan dars pagi selepas subuh bersama Syeikh Abdal Hakim Murad, diikuti syarah ‘Contentions’ beliau pada waktu Zuhur dan seterusnya dars selepas Asar bersama Dr. Umar Faruq Abdallah diikuti majlis zikir, sementara malam diisi dengan solat terawih. Kerja kami membersihkan kafeteria diselitkan pada waktu sebelum Zuhur dan selepas iftar. Setiap malam pula solat terawih kami diimamkan oleh dua orang huffaz bersuara muluk dengan bacaan gaya Maghribi.

Sepertimana Tarim, Yaman menjadi tumpuan masyarakat Asia Tenggara yang bermazhab Syafie, institut pengajian agama di negara-negara Maghreb menjadi tarikan Muslim daripada barat yang bermazhab Maliki. Andalusia yang turut berkongsi ragam Islam yang sama dengan negara jirannya turut merasa tempiasnya. Sewaktu di Tarim dahulu, seronok juga mempelajari beberapa poin tentang mazhab lain. Antaranya menurut mazhab Maliki tidak boleh wanita solat berimamkan wanita, kerana itu kadangkala kelihatan peserta daurah yang bersolat sendirian terpencil daripada jemaah dalam surau Daruz Zahra. Sementara di Alqueria kami dapat mendengar seruan azan menurut mazhab Maliki yang lafaz Allahu Akbar pada permulaan disebut sekadar dua kali dan bukannya empat seperti mazhab-mazhab lain. Lebih menonjol lagi sewaktu pengembaraan kami di Maghribi kemudiannya, melihat mereka berwudhu dengan mencedok air dalam bekas kecil yang cukup untuk seluruh anggota kerana menurut mazhab Maliki air musta’mal suci dan menyucikan, selain terdapat kebiasaan ‘sadl’ atau posisi tangan di sisi sewaktu qiyam dalam solat.

11855567_947477555317005_1832747204_n

 

Kami bertemu lagi dengan Sidi Ali Keller dari Firdause Ensemble di Alqueria yang beriktikaf di Mezquita (Masjid) Alqueria sempena sepuluh malam yang terakhir bersama beberapa individu lain. Iktikaf menurut mazhab Maliki, menuntut komitmen zikrullah sepenuh masa yang tegar hingga belajar dan menulis sewaktu iktikaf dianggap makruh. Minima masa yang dikira sebagai iktikaf ialah 24 jam di masjid. Mereka menghuni kamar yang bercantum dengan masjid dan memenuhkan masa dengan zikir dan bacaan al-Quran sementara makanan dibawa ke penempatan mereka. Begitu iltizam sehingga kelibat mereka yang beriktikaf itu jarang kami lihat di luar.

 

Sang Gunung

Kami yang telah penat berjalan dipanah mentari Ramadan seminggu lalu di selatan Sepanyol bukan sahaja merasa gembira disambut kenyamanan madrasah yang diteduhi gunung sekitar, bahkan dapat menumpang redup di bawah sang gunung ilmu yang mencurahkan sekian hikmah mereka melalui shuhbah seminggu itu.

11830877_947477548650339_1194791609_n


Dr. Umar Faruq Abdallah, pengerusi Nawawi Foundations
di Amerika mempunyai personaliti yang sangat ramah dan selalu menjadi yang terlebih awal memulakan bicara dan menegur sapa. Seorang yang tidak lokek menceritakan kisah hidupnya serta mudah didekati membuatkan peserta tidak segan-silu menanyakan permasalahan peribadi dan kekeluargaan kepadanya. Cara pemakaiannya yang serba putih pula sering kali mengingatkanku kepada Almarhum Syeikh Muhammad Alawi Al Maliki. Kebetulan pula, beliau dan Professor Abdus Samad Romero mengenali satu sama lain sewaktu menetap di Mekkah dan sempat menuntut dengan Imam Ahmad Mashhur al-Haddad dan Syeikh Muhammad Alawi Al Maliki.

Syeikh Abdal Hakim Murad pula mempunyai personaliti yang berbeza, mengimbangkan input yang kami terima sepanjang daurah tersebut. Sentiasa serius dan fokus pada topik yang ingin disampaikannya, beliau jarang menyentuh topik-topik luar. Seorang graduan University of Cambridge dan Al-Azhar Universiti, bicaranya sedikit, tapi banyak sekali mutiara ilmu, hikmah dan adab yang terkandung dalam penyampaiannya. Merupakan dekan Cambridge Muslim College yang melahirkan ramai para imam yang kompeten di UK, beliau banyak menulis makalah kritikan terhadap feminisme, liberalisme dan ghazwatul fikr lain yang wujud di barat. Sewaktu pengajian suaranya mendatar dan bersahaja tapi sewaktu majlis zikir semangatnya bagai tak dapat disembunyikan dalam getaran suara yang meralitkan, sehingga corak-corak geometri yang menghiasi dinding masjid itu terasa bagaikan menari dalam keasyikan.

image4


Menariknya Dr. Umar Faruq, yang sangat gemar menyisipkan kupasan tentang sejarah, seni bina dan seni bina tamadun Islam pernah menerangkan bahawa corak geometri berwarna-warni terang Andalus ini bukanlah sekadar tata hias mencantikkan pandangan, sebaliknya juga menjadi suatu makna untuk menarik hamba yang tenggelam dalam keasyikan khalwat, zikir atau ibadahnya, apa yang disebut ahli sufi sebagai ‘
fana fillah’ untuk kembali ke dunia nyata. Betapa mereka yang menemui kelazatan dalam ibadahnya itu mampu untuk tenggelam karam dalam cinta sedangkan kita kian tenggelam lemas dalam ketidak-khusyu-kan!

Daurah Al Ghazali Retreat membahaskan magnum opus Imam Al Ghazali, kitab Ihya Ulumuddin. Dr Umar Faruq membentangkan bab The Marvels of the Heart sementara Syeikh Abdal Hakim Murad membincangkan bab Condemnation of Status and Ostentation, serta koleksi Contentions yang ditulis beliau. Sesi pengajian Contentions, untaian kata-kata yang ditulis beliau menyentuh pelbagai isu semasa dan falsafah. Kemampuan multilingual beliau juga tergambar pada terma bahasa Perancis, Arab, Parsi dan Turki yang ditulis dalam aforisme tersebut. Jika Rawha bersama Habib Umar bin Hafidz di Darul Mustafa merupakan siraman rohani yang menyuburkan hati, sesi Contentions bersama Syeikh Abdal Hakim Murad menjadi siraman akal yang menyuburkan intelek.

Erti Khalifah

Dunia ini tempat ujian dan bukanlah syurga untuk manusia, sebaliknya syurga untuk tumbuh-tumbuhan, haiwan dan sekalian makhluk lain. Menurut syariah dan tauhid, manusia mempunyai tanggungjawab terhadap alam. Manusia adalah tonggak yang memastikan kelangsungan langit dan bumi kerana pengakhiran dunia hanya tiba setelah lenyapnya sekalian manusia yang menyebutkan kalimah Allah di muka bumi. Maka kalian sepertimana Adam AS adalah nafas alam’

[Dr. Umar Faruq Abdallah, Marvels of the Heart]

Menginap di Alqueria memberi peluang bagi kami untuk menanam apresiasi yang tinggi terhadap persekitaran alam semulajadi. Professor Romero yang merupakan antara penggerak gerakan ekologi tempatan dan antarabangsa mempunyai ladang tanaman sendiri di kawasan madrasah. Buah-buah segar seperti pic, ceri dan plum dipetik segar daripada ladang dan dihidangkan untuk sajian berbuka di halaman masjid sebelum solat Maghrib. Bahkan kami dipelawa untuk mengunjungi ladang dan memetik buah sendiri.

11855557_947477558650338_1191412308_n


Keperihatinan mereka kepada alam tidak jauh beza dengan komitmen madrasah Darul Mustafa di Tarim, yang menyediakan kursus Permaculture, kaedah agrikultur mapan yang memanfaatkan ekosistem setempat. Bahkan pihak madrasah Darul Mustafa turut membawa tenaga pengajar internasional untuk mendidik masyarakat setempat tentang kaedah Permaculture dan disiarkan secara langsung dalam siaran radio. Sungguh terasa kagum dengan ilmuan Islam yang bukan sekadar berbicara tentang agama dan hak makhluk tetapi berusaha mengaplikasikannya dalam kehidupan. Demi merealisasikan tugas manusia untuk menjadi nafas alam, dan bukannya yang kian menyesakkan dada sekalian makhluk dengan tinggalan karbon yang tinggi.

Keseriusan syariah terhadap hak alam dan makhluk mengingatkan aku kepada hikayat dongeng Muslim abad ke-10 tulisan Ikhwan al Safa yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris meneritakan tentang tuntutan undang-undang yang dikemukakan umat haiwan terhadap umat manusia di hadapan watak Raja Jin. Raja Jin yang kemudiannya berpihak kepada hujah pendakwaraya sang haiwan yang tertindas akhirnya menyimpulkan kepada manusia:

Jika engkau khilaf, haiwan akan mula hilang, satu demi satu, selama-lamanya, dari muka bumi; dan udara di penempatan dan kubumu akan menjadi berbahaya untuk pernafasan … musim-musim akan diterbalikkan dan iklim akan berakhir … haiwan yang engkau makan akan membawa penyakit dan kematian kepadamu … dan kelak engkau tidak akan lagi mentadbir bumi’

[The Animals’ Lawsuit Against Humanity]

Menariknya kisah dongeng yang ditulis beribu tahun dahulu itu seperti mencerminkan realiti keadaan kita yang gagal menjadi khalifah masa kini. Walau kedengaran seperti dongeng haiwan yang menghiburkan, tapi persoalan yang lebih menggerunkan apakah kita nanti kelak akan dibangkitkan berhadapan dengan tuntutan yang sama di mahkamah Allah?

Sewaktu khutbah Jumaat yang diberikan sang imam pula, kami mendengar petikan kalam waliullah yang masyhur di Marrakech, Abu Al Abbas As-Sabti yang sangat terkenal dengan kedermawannya bahkan hingga ke hari ini makam beliau sentiasa dipenuhi fakir miskin yang mengharapkan kebaikan hati mereka yang mencontohi jejak beliau.

الوجود ينفعل بالجود

Kewujudan dipengaruhi dengan kedermawanan.

Sepertimana air yang diam statik akan tercemar membusuk dan air yang mengalir kekal segar dan menyegarkan persekitarannya, demikian kewujudan manusia sebagai khalifah hanya bermakna dan melahirkan kesan apabila ia memberi, berbakti untuk yang lain. Segala material duniawi termasuk keupayaan tubuh fizikal yang dipinjamkan Allah akan habis begitu sahaja apabila dimanfaatkan untuk diri sendiri sementara jika diberikan kepada yang lain akan tertulislah dalam kitab amalan pahala yang kekal milik kita, menjelaskan maksud salah satu aforisme Syeikh Abdal Hakim Murad;

Your wealth is only yours once you have given it away.

[Contentions 14: 13]

Malahan kami juga sempat menghirup aliran kebaikan orang lain sewaktu dalam pengembaraan. Sesampainya ke madrasah keadaan kewangan kami telah meruncing. Runsing juga memikirkan bagaimana mahu meneruskan perjalanan ke Maghribi tanpa baki wang yang cukup. Namun dek terlalu asyik meneguk nektar spiritual dan menikmati makanan enak yang tersaji sepanjang daurah, persoalan kewangan tak sengaja kami lupakan. Beberapa hari sebelum berangkat, entah bagaimana kuasa Allah menggerakkan hati seorang saudara jauh di Malaysia menyedekahkan kami sejumlah wang. Ternyata Allah yang mengerakkan hati untuk kembara ini, Dia jualah yang mencukupkan bekalan hamba dalam perjalanan. Walaupun harus berjimat untuk beberapa bulan yang mendatang tapi tak terasa bandingannya pitis yang sedikit dengan pengalaman yang segunung.

11824000_947477565317004_555951126_n

 

Hoja Nasreddin

Para peserta daurah Al Ghazali Retreat terdiri daripada pelbagai bangsa sama ada imigran Indo-Pak, Turki dan Arab yang tinggal di negara barat atau warga asal UK, Amerika, Perancis, Belanda dan sebagainya. Apabila disebutkan kewarganegaraanku, keluarlah segala puji-pujian tentang keindahan Malaysia dan budi pekerti rakyatnya. Pernah juga Asli, seorang gadis Turki mengusikku dengan perkataan sayang daripada vokabulary bahasa Melayu yang diketahuinya. Hanan, seorang lagi teman pula gemar sekali berbicara dengan Ammiyah Mesir apabila mengetahui aku menetap di Mesir. Ramai teman baru yang kutemui, dengan latar hidup berbeza dan pencapaian akademik dan professional yang mengagumkan daripada pelbagai bidang. Meskipun sebahagian peserta perempuan tidak berhijab di luar, mereka tidak merasa canggung dan kekok apatah lagi Syeikh Abdal Hakim Murad menyebutkan peri pentingnya atmosfera yang tidak menghukum zahir manusia lain untuk menggalakkan keterbukaan dalam majlis ilmu.

Antara personaliti yang paling tersemat dalam ingatanku ialah Basirah yang digelar Hanan sebagai ‘Hoja’ kepunyaannya. Wanita Sepanyol yang selalu mencuit hati kami dengan gelagatnya merupakan seorang yang baik hati dan komikal. Ditambah pula kosa kata bahasa Inggeris beliau yang terhad tetapi tetap bersemangat berbicara membuatkan kami kian terhibur.

Sewaktu bersiar-siar sekitar kawasan madrasah pada waktu malam, Asli memulakan bicara, “Malam ini langit kelihatan dipenuhi bintang,”

Beginilah rupa langit kalau di pergunungan Sinai,” ucapku.

Ah, pemandangan langit di Morocco juga secantik begini,” tambah Zahra, merindui kampung halamannya.

Namun Hoja yang selalu bertindak diluar dugaan itu tiba-tiba melompat.

Barangkali malam ini malam Lailatulqadar!” jerit wanita Sepanyol yang lanjut usianya itu.

Dia melompat-lompat lagi teruja. Gelagatnya yang menggelikan hati itu buat aku ketawa sendiri. Hoja mencapai tangan Hanan. Terkinja-kinjalah dua orang wanita separuh usia itu dalam gelap malam di lereng gunung sekitar madrasah. Berlatarkan malam berbintang penuh dan gelak ketawa yang lain. Dan ah, sungguh aku jatuh hati pada langit kelam dihiasi bintang di sini.

Malam terakhir di Alqueria pula, sambil menikmati bunyi cengkerik dan aroma teh, dan ditemani suara merdu nyayian qasidah seorang peserta, Zahra menceritakan sedikit sebanyak tentang Basirah yang pernah ke Mauritania bersama anak-anaknya. Beliau yang memeluk Islam untuk menghawini seorang lelaki Muslim kemudiannya diceraikan dan membesarkan anak-anaknya sendiri. Aku terdiam, betapa dalam lagak cerianya itu ada kisah yang tak diketahui. Sebelum berpisah beliau memberi hadiah kenang-kenangan meskipun mengambil masa yang lama untuk menjelaskannya dalam bahasa Inggeris kepadaku.

Hoja Nasreddin, watak cerita rakyat yang dalam kelucuan tingkah laku dan percakapannya ada hikmah yang ingin disampaikan, begitu juga Basirah di mata kami.

Menginap di Alqueria, duduk menelaah dengan manusia dari pelbagai latar belakang, berdampingan dengan ilmuan yang dihormati terasa begitu membahagiakan. Kuliah Syeikh Abdal Hakim Murad begitu mencabar minda, kalau terlalai seketika pasti terpinga sendiri bagaimana sudah masuk falsafah dan -isme yang lain pula. Dr Umar Faruq pula begitu teruja bercerita tentang kehebatan tamadun Islam membawa pendengar ke seluruh glob dunia. Jarang sekali tidak terhanyut asyik dalam ceriteranya.

Maka akhirnya sang Mariposa telah bertemu dengan bunga La Rosa yang dicita, dalam sebuah kariah di kaki gunung di Pueblo de Don Fadrique. Meski sedih berpisah daripada kuntum bunga tersebut, sang Mariposa mengucup selamat tinggal, berterima kasih pada bunga yang mengajarnya erti kemanisan nektar. Pada 25 Ramadan, kami dengan berat hati meninggalkan warga Alqueria de Rosales dan rakan-rakan yang baru bertaut di hati. Kaki kami melangkah lagi, meneruskan perjalanan ke Quentar sebelum ke bandar Granada. Seruan Alhambra kian menggamit rasa.

Ummu Helma Hassan merupakan mahasiswi tahun 5 fakulti perubatan Universiti Kaherah. Travelog ini catatan perjalan beliau pada musim panas tahun lalu menyertai daurah dan mengabdikan diri selama seminggu di madrasah Alqueria de Rosales, Sepanyol beserta menziarahi zawiyah di Maghribi kemudian menunaikan haji, dalam jejak kembara panjang ditemani kekandanya.