Kaherah, 13 Julai – Sebanyak 200 bungkusan telah diedarkan kepada  pesakit di Hospital Kanak-kanak Abou Rish. Program Syantah Ramadan ini dianjurkan oleh PEACE PERUBATAN Cawangan Kaherah dengan kerjasama Biro Pembangunan Insan  dan Biro Kebajikan  PERUBATAN Cawangan Kaherah. Ia merupakan aktiviti tahunan setiap kali Ramadan menjelma. Puluhan ahli PCK telah turun padang bagi sama-sama menjayakan aktiviti kesukarelawanan ini.

Kutipan sumbangan yang berjalan dari 13 Jun sehingga 4 Julai telah mencatatkan jumlah yang besar jika dibandingkan dengan jumlah pelajar Malaysia yang semakin mengecil di Universiti Kaherah iaitu sebanyak LE 19, 352 dan USD 1392. Hasil sumbangan ini juga akan diagihkan kepada rumah anak yatim dan masjid-masjid di sekitar Sayeda Zainab.

Program yang bermula pada jam 2 petang itu turut dihadiri oleh Dr Hala’ Salah,  Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Kasr El-Alny,  Dr Heba Moustafa selaku koordinator pelajar Malaysia,  dan Haniz Iqbal bin Hazaidi, Presiden PERUBATAN. Terpancar sinar kebahagiaan di wajah pesakit dan keluarga tatkala menerima bungkusan yang berisi spageti, makaroni, tepung, gula, minyak serta beberapa permainan kanak-kanak.

“Saya berasa sangat seronok sebab dapat menyertai program Syantah Ramadan pada tahun ini. Apabila saya nampak kelegaan di wajah mereka, saya rasa puas. Mungkin sumbangan kita yang berbentuk barang makanan ini setakat barang dapur biasa yang kita boleh dapati hari-hari. Tapi bagi mereka, ini merupakan keperluan asasi rumah yang mereka sangat kehendaki,” ujar Siti Nur Suhaila, Timbalan Ketua Batch GEN11US yang turur hadir petang itu.

Majlis penutup pula bermula pada pukul 3.30 petang . Ucapan daripada Presiden PERUBATAN  pembuka tirai majlis tersebut. Di dalam ucapan beliau, surah Al-‘Adiyat telah dibacakan dan beliau mengingatkan ahli agar sentiasa meningkatkan rasa syukur kepada Allah. Program syantah Ramadan bukan setakat mengajar kita untuk menghadirkan semangat ingin memberi, malah turut mengingatkan kita bahawa apa yang kita ada sudah cukup jika hendak dibandingkan dengan mereka yang kurang bernasib baik. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana Syantah Ramadan yang diketuai oleh saudara Muhammad Badri bin Ahadin dan timbalannya, Nurul Sakinah Binti Roslan.

Dr Hala pula telah memuji kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh pelajar Malaysia dalam menjayakan program ini. Tambahnya lagi, pelajar Malaysia mungkin mengalami ‘kejutan budaya’ semasa di tahun pertama dan kedua, tetapi sekarang mereka telah dapat menyesuaikan diri dan bergaul dengan masyarakat tempatan Mesir dengan lebih baik. Beliau turut mengingatkan pelajar tahun 6 supaya mengulangkaji pelajaran dengan tekun dan mendoakan mereka semua berjaya dalam peperiksaan. Majlis berakhir dengan sesi fotografi bersama Dr Heba dan Dr Hala’.

Pihak jawatankuasa pelaksana berharap agar program pada tahun ini dapat mendidik ahli agar sentiasa bersyukur, menyelami keperihan hidup orang yang kurang berkemampuan dan berlumba-lumba membuat kebaikan terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

11745715_876001935808254_8449359803994861354_n