Bismillahirrahmanirrahim.

Al-Quranul Kareem dicapai kemas. Helaian terakhir surah Al-Furqan diselak. Kelihatan dua muka surat yang penuh dengan panduan untuk menjadi The Famous Ibadurrahman. Ibadurrahman iaitu hamba Tuhan yang Maha Pengasih.

Bermula dari ayat ke-63 sehingga ayat ke-75 Surah Al-Furqan menceritakan bagaimana sifat-sifat hamba terpilih yang mendapat gelaran Ibadurrahman. Moga-moga menjadi checklist kehidupan seorang muslim yang benar-benar meletakkan cinta Allah sebagai tujuan.

  • Ibrah ayat ke-63

“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.”

(Surah Al-Furqan : 63)

  Pertama: Tawadhu’ dan rendah hati

  • Berjalan dengan tidak angkuh dan tidak sombong
  • هَوْنًا : Berjalan dalam keadaan tenang dan tawadhu’
  • Sifat rendah hati mereka tidak dibuat-buat dan bukan lakonan
  • Kerendahan hati mereka terpancar melalui rasa keinsafan

Kedua: Bersikap lemah-lembut walaupun dilayan dengan kasar

  • Membalas kata-kata kasar orang yang jahil dengan:
    • Kata-kata yang baik atau kata-kata yang tidak mengandungi dosa
    • Memberi maaf dan tidak membalas kecuali dengan kebaikan
  • Seperti Baginda Rasulullah SAW, semakin orang yang jahil bertindak kasar kepada Baginda, semakin Baginda bersikap lemah lembut kepada mereka.

 

  • Ibrah ayat ke-64

“Dan orang-orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada Tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri.”

(Surah Al-Furqan : 64)

Ketiga : Rajin solat malam

  • Pada saat manusia lain nyenyak dibuai mimpi, Ibadurrahman banyak mendirikan solat malam dengan ikhlas kepada Allah dalam keadaan tunduk kepada-Nya.
  • Mereka memohon keampunan daripada Allah atas dosa-dosa yang telah mereka lakukan ketika siang hari mahupun malam hari, baik dalam keadaan terang atau tersembunyi.

Tahajjud

 

  • Ibrah ayat ke-65 dan ke-66

“Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, jauhkanlah azab neraka Jahanam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan. Sesungguhnya neraka Jahanam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat tinggal.”

(Surah Al-Furqan : 65-66)

 Keempat : Takut akan seksaan api neraka dan berdoa agar dijauhkan daripadanya

  • Hamba yang beriman yakin dengan sebenar-benar yakin akan wujudnya api neraka.
  • Mereka berdoa dengan sepenuh pengharapan agar dijauhkan dari api neraka dan berusaha menjauhi dosa agar tidak dimasukkan ke dalam neraka yang maha dahsyat seksaannya

 

  • Ibrah ayat ke-67

“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) bakhil, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah secara wajar.”

(Surah Al-Furqan : 67)

Kelima : Tidak boros dan tidak bakhil dalam berbelanja

  • Mereka tidak berlebihan dan tidak pula terlalu bakhil dalam membelanjakan harta pada tempat selain jalan Allah
  • Perbelanjaan mereka bersifat pertengahan (bersederhana) iaitu tidak terlalu boros dan tidak terlalu bakhil
  • Mereka tidak lalai dalam berbelanja sehingga mengurangi kewajipan yang sepatutnya
  • Mereka berbelanja dengan adil dan penuh kebaikan

 

  • Ibrah ayat 68 dan 69

“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syara’), dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,” 

(Surah Al-Furqan : 68-69)

Keenam : Menjauhi syirik, tidak membunuh dan tidak berzina

  • Hamba yang beriman akan menjauhi perbuatan syirik kerana mereka mengetahui bahawa syirik adalah dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT.
  • Ibnu Abbas memberitahu bahawa syirik akan memberi kesan kepada perilakunya kerana syirik mampu mengheret seseorang kepada dosa-dosa besar yang lain iaitu membunuh orang yang tidak sepatutnya dan berzina
  • Hamba yang beriman sudah tentu akan menjauhkan diri daripada ketiga-tiga perbuatan ini yang akan mengundang azab berlipat kali ganda. Nauzubillahi min zalik.

1-bahaya-syirik-inside

 

  • Ibrah ayat 70 dan 71

“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan kebajikan, maka orang-orang itu, maka Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan barangsiapa yang bertaubat serta berbuat kebajikan, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.”

(Surah Al-Furqan : 70-71)

Ketujuh : Bertaubat dengan sebenar-benar taubat

  • Hamba yang beriman sentiasa memperbaharui taubatnya.
  • Taubat membersihkan hati yang kotor lantas menggantikan amal-amal buruk dengan kebaikan dan kebajikan.
  • Hamba yang telah bertaubat akan dicampakkan ke dalam hati mereka rasa benci untuk kembali semula kepada kemaksiatan lalu Allah akan menggantikan keburukan mereka dengan kebaikan.

 

  • Ibrah ayat ke-72

“Dan orang-orang yang  tidak memberikan kesaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah,mereka berlalu (sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya.”

(Surah Al-Furqan : 72)

Kelapan : Tidak memberi kesaksian palsu

  • Sentiasa menjaga lidah mereka daripada memberikan kesaksian palsu iaitu berdusta secara sengaja kepada orang lain.
  • Tidak mengucapkan kata-kata dusta.

 Kesembilan : Menjaga kehormatan diri

  • Mereka menjauhi majlis-majlis yang terdapat perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang haram.
  • Mereka tidak terlibat dengan majlis yang sia-sia dan melalaikan yang penuh dengan maksiat.

 

  • Ibrah ayat ke-73

“Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka,mereka tidak bersikap sebagai orang-orang yang tuli dan buta.”

(Surah Al-Furqan : 73)

Kesepuluh : Hati yang sering menyambut seruan Tuhannya

  • Mereka yang apabila diberi nasihat, peringatan dan pengajaran daripada Al-Quran:
    • Tidak akan bersikap seperti orang buta dan tuli.
    • Jiwanya akan tunduk, mendengar dan taat serta mengambil manfaat daripada Al-Quran
    • Akan mendengar dan mengambil petunjuk daripadanya dan mereka tidak berpaling atau memalingkan pandangan atau hati mereka.
    • Mereka menerima peringatan sehingga bertambahlah iman mereka dan bertambah sempurna kepercayaan mereka. Mereka bertambah semangat, gembira dan senang hati.


  •  Ibrah ayat ke-74

“Dan orang-orang yang berkata: “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

(Surah Al-Furqan : 74)

Kesebelas : Mendoakan diri, pasangan dan keturunan agar menjadi orang yang beriman

  • Mereka yang berdoa kepada Allah agar mendapat pasangan dan keturunan yang:
    • Taat kepada Allah dan menyembah Allah semata-mata (tidak berbuat syirik kepada-Nya).
    • Yang suka membuat amal ketaatan sehingga menjadi penyejuk mata mereka di dunia dan akhirat.
    • Memperelok ibadahnya kepada Allah, tidak berbuat maksiat dan tidak membuat kejahatan.
    • Mendapat hidayah Islam.
  • Hasan Al-Basri apabila ditanya mengenai ayat di atas, beliau pun berkata:

“Yang ingin dilihat Allah pada hamba muslim dari isteri, saudara, dan sahabat karibnya adalah mereka semua taat kepada Allah. Demi Allah, tidak ada sesuatu yang lebih menyenangkan pandangan mata seorang muslim melebihi ketaatan pada Allah yang dia lihat pada anak, cucu, saudara dan sahabat karibnya.”

  • Mereka yang mendoakan agar dirinya menjadi pemimpin yang dapat menunjuk ke arah kebaikan.

tumblr_nmnblt94841tyzazuo1_1280

 

  •  Sabar – Kunci Mendapat Gelaran Ibadurrahman

“Mereka itu akan diberi balasan dengan martabat (kedudukan) yang tinggi (di dalam Syurga) kerana kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat, mereka kekal di dalamnya. Syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan kediaman. Katakanlah (kepada orang-orang musyrik), Tuhanku tidak akan mempedulikanmu jika tidak kerana ibadahmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadah kepada-Nya) padahal sungguh kamu telah mendustakan-Nya? Kerana itu kelak azab akan menimpamu.”

(Surah Al-Furqan : 75-77)

 

  • Betapa cantik susunan panduan Allah kepada hambanya untuk menjadi seorang Ibadurrahman. Bermula daripada menjaga hati dan lidah sehinggalah mendoakan diri, keturunan dan pasangan.
  • Proses untuk menjadi seorang yang bergelar Ibadurrahman memerlukan kesabaran dan proses yang panjang.
  • Proses ini pasti akan diuji dengan nafsu dan bisikan syaitan, maka Allah meletakkan taubat dengan sebenar-benar taubat untuk hamba-hambaNya kembali ke pangkuan-Nya dan terus sabar secara berperingkat dalam membentuk diri sehingga menjadi seseorang yang layak digelar
  • Koreksi diri dan tanya hati, adakah kita sekadar mahu menjadi hamba yang mengucapkan kalimah syahadah atau mahu menjadi hamba yang beriman dengan syahadah yang diucapkan?

 

…Wa Allahu Ta’ala A’lam…

#IQRA’

Kempen Ihya’ Al-Quran ( IQRA’) 2015 PERUBATAN Cawangan Kaherah 2015/2016

Sumber rujukan:

  1. Al-Quran
  2. http://langitilahi.com/16551/
  3. http://alkubrawiyyah.blogspot.com/2010/08/ciri-ciri-ibadurrahman.html
  4. http://sangibadurrahman.blogspot.com/2012/06/sifat-ibadurrahman.html