Abou Rish, 3 Mei 2015 – Seramai 42 orang ahli Novice Cairo Medical Team, Medximus, telah menyertai Small Group Discussion (SGD) yang ke-4 di Markas Perubatan Abou Rish. SGD kali ini bertujuan untuk mempersiapkan ahli dengan ilmu pengucapan awam dan konsultasi. Selain itu, ahli juga didedahkan dengan isu-isu kesihatan yang berkaitan masyarakat Mesir khususnya dan Malaysia amnya.

Meskipun program dijangkakan bermula pada pukul 2.45 petang, namun terdapat segelintir ahli yang tiba seawal jam 2.05 petang. Kebanyakan ahli yang lain juga berjaya datang awal ke program kali ini walaupun kelas tahun 4 berakhir agak lewat pada hari tersebut. Hal ini menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam kalangan ahli Medximus. Syabas!

Setelah pengerusi majlis, Nurul Emira binti Rashdan, mengalu-alukan kedatangan peserta, program dimulakan dengan tazkirah oleh saudara Muhammad Arif Imran bin Zainal Rashid. Arif telah menceritakan  pengalamannya berbicara dengan doktor pakar di Mesir mengenai hukum pendermaan organ ‘cornea’.

Slot ‘Talk With Senior’ pula telah disampaikan oleh saudari Zatil Hidayah Adnan. Dalam slot ini, peserta telah didedahkan mengenai pengucapan awam, kemahiran pembentangan dan konsultasi. Sebelum slot berakhir, beliau mengadakan kuiz berkenaan istilah-istilah perubatan dalam bahasa Melayu. Hal ini secara tidak langsung telah menyedarkan ahli tentang kepentingan penggunaan bahasa yang tepat dalam memberi konsultasi.

Program diteruskan dengan slot pembentangan oleh setiap kumpulan. Pembentangan ini telah diadakan dalam bentuk yang menarik seperti talkshow, forum dan role play. Istimewanya pembentangan kali ini adalah kerana pembentangan setiap kumpulan akan diadili oleh juri yang bukan calang-calang orangnya, iaitu Zainol Izzudin bin Zulkifli, Fatin Nabila bt Luqman dan Zatil Hidayah Adnan. Antara tajuk yang menguji kesediaan ahli untuk memberi konsultasi termasuklah ‘Contraceptive’ dan ‘Breastfeeding and Weaning.’

Setelah slot pembentangan berakhir, juri menyampaikan penilaian mereka terhadap setiap kumpulan. Banyak kritikan dan nasihat yang membina telah diberikan kepada peserta bagi tujuan penambahbaikan pada masa akan datang. Kumpulan terbaik pada SGD kali ini merupakan kumpulan 5 yang telah mengadakan talkshow ala-ala rancangan ‘Semanis Kurma’ dengan tajuk pembentangannya, ‘Pregnancy induced hypertension.’

11225666_892237040833515_1638512469_n

Di sediakan oleh:
Nur Amalina bt Mustaffa,
Ahli Med-Ximus,
Cairo Medical Team