LOGO

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi atas kurniaan-Nya, masih lagi dapat menghela nafas dan berada dalam nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, sebagai tanda kasih sayang kita kepada baginda.

Bermula pada akhir Mei ini, kita bakal menempuhi fasa peperiksaan. Sudah pastinya setiap pelajar Universiti Kaherah memerlukan satu tempoh masa untuk menumpukan segala usaha dan tenaga dalam menelaah pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Oleh sebab itu, PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK) akan memberi laluan kepada ahli dengan memberhentikan (tawaqquf)  program dan aktiviti persatuan bermula 9 Mei 2015 sehingga berakhirnya peperiksaan.  S.I.P Talkshow yang akan diadakan pada 8 Mei ini akan menjadi aktiviti terakhir sebelum segala program diberhentikan.

Namun, terdapat beberapa bentuk program yang tidak akan diberhentikan berikutan kesesuaian program dengan keperluan ahli yang sedang menghadapi peperiksaan. Antaranya ialah program yang melibatkan akademik dan motivasi ahli seperti Exam Fever Campaign (EFC), pembawaan Smart Circle yang tidak berfokus kepada silibus, serta program untuk meraikan bulan Ramadan seperti Ihya’ Ramadan (IHRAM).

Saya mewakili seluruh barisan kepimpinan PCK menyeru kepada ahli untuk mengambil peluang ini untuk mengulangkaji pelajaran sebaiknya. Marilah kita bersama-sama menjadikan peperiksaan akhir tahun ini sebagai medan untuk mencari keberkatan Allah SWT serta mencapai kecemerlangan ke arah menjadi pengamal perubatan yang kompeten dalam segenap aspek.

Yakinlah dengan kemampuan yang Allah telah berikan seperti firman-Nya dalam surah al-Isra, ayat 70:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Akhir kalam, selamat maju jaya kami ucapkan kepada semua ahli PCK. Pasakkan tekad untuk berjaya, teruskan usaha selagi masih diberikan peluang. Jangan berputus-asa mencari rahmat Allah, Dia bersama hamba-Nya yang tekun berusaha.

Sekian, terima kasih.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Kita Keluarga PCK”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

jopir
MUHAMMAD ZOFIR WAJDI BIN ARIP
Naib Pengerusi 1
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2015/2016

aminah
SITI AMINAH BINTI HARUN
Naib Pengerusi 2
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2015/2016