“Segelap neraka, sekuat kematian, dan semanis cinta itulah nikmatnya kopi”

–Peribahasa Turki

Kopi itu hitam, kopi itu gelap. Aromanya menggoda, rasanya unik lagi mengancam. Dengan satu hirupan, maka cecair hitam ini akan mula menerobos ke dalam pusat otak kita. Menghasilkan seakan satu cahaya terang yang mula menerangi akal. Ia adalah satu minuman ajaib yang mampu menghasilkan satu perasaan yang tenang juga menajamkan akal peminumnya. Ajaib, menenangkan tapi tidaklah pula melembabkan.

11253846_1021522831205143_234490243_n

Digelar pada awal pengenalannya sebagai ‘arak muslim’ oleh barat, walaupun sebenarnya amatlah berbeda sekali sifatnya dengan arak. Sifat arak adalah menenangkan dan memabukkan. Arak menumpulkan daya fikir dan mengaburkan kesedaran peminumnya. Jelas berbeza dengan sifat kopi. Kopi menenangkan malah menajamkan daya fikir, gerak dan kesedaran peminumnya.

Minuman sosio-romantik ini berdasarkan statistik (CBS News, 2002) dinobatkan minuman yang kedua terkenal di dunia, (kedua kerana ditewaskan oleh air kosong) telah lama didakwa ramai sebagai sebuah medium gelap. Medium gelap yang menjadi asas percikan awal untuk nyalaan marak revolusi, kreativiti, kontroversi, perdagangan dan perhambaan di sepanjang laluannya menelusuri tamadun kemanusiaan terutamanya pada kurun ke 17.

Ada yang mengatakan hadirnya kopi ini dalam peradaban manusia dengan penuh keajaiban, ada pula mendakwa ia datang dengan membawa 1001 kejahatan. Namun tak kira sebagaimana kuat pun rahsia tentang kehebatan kopi ini ditutup dan dijaga, tiada raja, ulama, pendeta, penguasa mahupun pedagang yang mampu menghalang penyebarannya ke serata pelusuk dunia.

Dari timur ke barat, mencakupi seluruh glob, penduduk dunia dianggarkan meminum sebanyak 500 billion cawan kopi setahun. Separuh dari jumlah tersebut dinikmati pada waktu pagi, selaku pemula hari. Inilah sedikit sebanyak gambaran kuasa minuman ajaib ini : Kopi.

 

Alkisah, Bermula Cerita

Hikayat ini diceritakan dari mulut ke mulut, dari generasi ke generasi sebagai satu kisah yang cukup terkenal dan menjadi kebanggaan masyarakat Ethiopia.

1000 tahun dulu, Ethiopia, Afrika. Di kawasan berbukitan yang tenang dan nyaman ini tinggal seorang gembala kambing bernama Kaldi yang gemar mengalunkan melodi dengan serulingnya setiap hari, sambil memerhati kambing-kambingnya menuruni sisi bukit meragut dan menikmati tumbuhan dan buah-buahan. Di penghujung hari dia akan mengalunkan serulingnya untuk memanggil kambing-kambingnya agar mengikutinya untuk balik ke rumah.

Satu hari kambing-kambingnya tidak mengikut dia untuk balik semula ke rumah seperti kebiasaan. Kaldi meniup serulingnya berkali-kali, cuba memanggil kambingnya untuk balik. Senyap, tiada sebarang bunyi tapak kaki apatah lagi sahutan kambing-kambingnya. Dalam keliru dan kepenatan dia bangkit dari duduknya untuk mencari kambing-kambingnya.

Kaldi melompat, terkejut dia apabila menjumpai kambing-kambingnya berkelakuan aneh. Dengan penuh kehairanan, dia memerhatikan sahaja kambing-kambingnya. Kambing yang biasanya senyap dan tenang itu tiba-tiba melompat-lompat, mengembek, merengek, dan bersahutan menjerit. Keliru, Kaldi mengambil keputusan untuk terus memerhati kejadian pelik ini.

11262286_1021522801205146_1850844526_n

Dengan penuh hairan dan teruja, dia mengambil keputusan untuk terus mengamati kambing-kambing tersebut. Dia perasan kambing-kambingnya sedang asyik mengunyah sebuah pohon aneh berdaun gelap dan memiliki buah seakan-akan beri berwarna merah. Tidak pernah dia lihat pohon seperti itu. Sangkanya ini agaknya yang menggilakan kambing-kambingnya.

Kaldi tanpa berfikir panjang mengambil keputusan untuk mencuba beberapa biji dari buah-buahan tersebut. Dia mengunyah dan menelannya, tiba-tiba dia merasa dia telah mendapat satu jenis tenaga yang luar biasa. Badannya dipenuhi segala macam tenaga yang aneh, kepalanya terasa cerah dan ringan, dan jiwanya merasai satu ketenangan yang belum pernah dia rasakan.

11251666_1021522824538477_2140158173_n

Dan begitulah kisahnya pertemuan pertama peradaban manusia dengan pohon ajaib ini. Mulanya yang dinikmati hanyalah buahnya. Perlahan-lahan daya ingin tahu manusia menolak mereka untuk mencuba pelbagai cara untuk menikmati buah dan daun dari pohon ini. Daunnya dijemur dan dijadikan teh, buahnya direbus dan dibuat minuman, buahnya digaul dengan lemak untuk dijadikan bekal, bijinya juga direbus dan dimasak untuk menghasil minuman.

Cubaan demi cubaan dilakukan hasil dari keinginan manusia untuk menikmati sepenuhnya pohon ajaib ini. Sebelum akhirnya mereka menjumpai cara terbaik untuk menikmati buah tersebut sebagai minuman. Minuman tersebutlah yang kita namakan sebagai kopi pada hari ini.

Biji Ajaib Yang Menggoda

Kopi adalah sejenis minuman yang amat kompleks penghasilannya. Kopi bermula hanyalah dengan biji kecil hijau, yang diselaputi buah beri merah. Buah ini tumbuh atas sebuah pohon yang dinamakan dengan bahasa kita, Pokok Kopi.

Ya, coffee bean ini berasal dari keluarga beri bukannya kacang. Biji kopi ialah biji tumbuhan yang berasal dari keluarga tumbuhan Rubiaceae, yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 66 spesis dari genus Coffea. Dua spesis yang paling banyak diekspliotasi secara komersil ialah Coffea Arabica, yang mana penghasilannya terdiri daripada dua pertiga pengeluaran kopi seluruh dunia, dan C. Canephora, biasanya digelar dengan nama Coffea Robusta, yang meliputi baki satu pertiga pengeluaran kopi secara komersil sedunia.

11304290_1021522807871812_522037892_n

Buah merah ini dipilih dengan teliti agar hanya yang matang akan dipetik. Setelah dipetik, biji mesti dikeluarkan dengan cepat kerana kandungan glukosa dalam buah, akan melalui proses fermentasi dan akan menjejaskan kualiti biji kopi di dalam buah tersebut. Tempat penanaman kopi juga memperngaruhi biji kopi. Contohnya, tanah yang tinggi akan menghasilkan bijian yang lebih tahan dan beraroma bila dibakar. Biji dari pokok yang ditanam di tanah rendah pula akan mudah hangus dan hancur dibakar, menghasilkan kopi yang pahit.

Seterusnya, biji hijau dari buah kecil ini diasingkan dan dikeringkan untuk membuang segala sisa gula dari isi buah kopi tadi. Setelah kering, biji hijau ini kemudiannya dibakar dengan rata, cermat dan teliti. Sekiranya tidak dilakukan dengan rata dan cermat, ia akan menghasilkan biji kopi yang hangus dan hangit, atau mungkin sebahagiannya masih mentah dan tidak punya sebarang rasa untuk dinikmati.

11289943_1021522811205145_469173940_n

Ketika proses pembakaran ini dilakukan lebih 1500 reaksi kimia akan berlaku. Biji-biji kecil asalnya hijau dan lengai ini akan mula beransur hitam dan mengeluarkan aroma bau yang begitu nikmat. Hasilnya di akhir pembakaran, ialah biji hitam pekat yang mengeluarkan bauan aroma yang menggoda jiwa-jiwa yang menghidunya. Biji-biji hitam ini kemudiannya dikisar untuk dijadikan serbuk kopi yang akan dijadikan minuman oleh penduduk di seluruh pelusuk dunia, dengan cara pembuatannya mengikut pilihan dan kegemaran peribadi.

Ada pelbagai variasi cara pembuatan, sukatan dan pengolahan serbuk ini. Juga ada lebih dari 66 jenis biji kopi di seluruh dunia yang masing-masing menghasilkan aroma dan rasa yang berbeza selepas diproses. Apapun, idea penghasilan di sebalik metod yang kompleks ini hingga sekarang menimbulkan kekaguman di kalangan pengkaji serta penggemar kopi kerana proses demi proses ini tidak digunapakai dalam penghasilan makanan dan minuman yang lain yang pernah wujud di muka bumi.

 

Hirupan Pertama, Kopi Sumbangan Romantika Islam?

Rata-rata penggemar dan peminum kopi masani mungkin tidak menyedari atau tahu bahawa susur galur sejarah pengenalan kopi ini bersangkut dengan golongan Sufi di kawasan selatan Semenanjung Arab. Para pengikut dan pengamal tarikat Shadziliyyah diceritakan telah menyebar luas minuman kopi ini ke seluruh Kerajaan Islam ketika itu, sekitar kurun ke-13 hingga kurun ke-15 masihi.

Seorang Syeikh tarikat Syadziliyyah dari selatan Yaman, telah diperkenalkan dengan amalan meminum kopi dari sebuah kaum di Ethiopia, Afrika. Ketika itu, tumbuhan tanah tinggi itu (daunnya, buahnya dan minuman yang terhasil darinya) digelar dengan nama Bunn. Berkemungkinan besar, walaupun tidak dapat dipastikan dengan tepat, ahli sufi ini ialah Abu’l Hasan ‘Ali ibn Umar. Beliau menetap di kawasan Ethiopia ini dengan kebenaran Sultan Sadaddin II, raja bagi kawasan selatan Ethiopia. Setelah lama menetap dan tercapai segala hajatnya di Ethiopia, Syeikh ‘Ali ibn Umar kembali semula ke Yaman sekitar kurun ke-13 masihi dengan membawa benih bunn ini dan pengetahuan penting, bahawa buah dari pohon bunn ini bukan hanya boleh dimakan, bahkan mampu memberi kesegaran yang luar biasa bagi yang memakannya.

Dikisahkan bahawa Syeikh ‘Ali ibn Umar, menceritakan bahawa beliau mengalami masalah untuk kekal segar dan bangun pada malam hari untuk melakukan ritual dan amalan malam. Setelah habis segala ikhtiar beliau lakukan dan setelah lama memohon doa, pada suatu malam beliau bermimpi melihat kelibat malaikat menunjukkan beliau pohon bunn ini dan mengajarkan beliau untuk membakar benihnya dan setelah itu, menghancurkan sehingga menjadi serbuk halus untuk dibancuh dengan air panas. Hasilnya ialah minuman yang mereka gelar sebaga qahwah, iaitu kopi.

Langkah kompleks pemprosesan pohon bunn ini akhirnya disebarluaskan, pada awalnya, di sekitar pengikut tarikat Syadziliyyah sahaja. Ajaran tarikat Syadziliyah, amat menganjurkan para ahlinya untuk tidak meninggalkan kerjaya harian, dan aktif dalam apa pun bidang kerja mereka. Jadi sewaktu mula diperkenalkan, kopi digunakan oleh ahli sufi sebagai alat, setiap malam dihidangkan dari tangan ke tangan, untuk dapat terus kekal segar menunaikan ibadat pada malam hari, tanpa perlu merasa penat untuk meneruskan kehidupan biasa keesokan harinya.11289945_1021522827871810_170441303_n

Tanpa mengambil masa yang lama, kopi mula tersebar luas di sekitar kawasan Yaman. Penyebaran kopi sekitar Yaman menjadi punca awal penyebaran kopi oleh para pedagang ke seluruh jajahan takluk empayar Uthmaniyyah, sekitar Tanah Arab dan  Mesir. Bermula dengan warung kopi (coffee house)  pertama yang dibuka pada 1545 masihi, ia mula bercambah dengan pantas dan ibarat cendawan tumbuh seluruh jajahan Kerajaan Uthmaniyyah sebelum diperkenalkan ke Negara barat yang lain.

 

Kopi, Aroma Rindu Sang Pencinta

Berbagai kisah dan hikayat, dari pelbagai jenis sumber kita bacakan sekitar minuman penuh ekstasi, kopi. Di mana pun ia diperkenalkan, ia menjadi lambang kemesraan dan alat merapatkan hubungan sosial masyarakat. Mungkin juga hembusan rindu yang halus yang dinikmati oleh para pencinta golongan Syadziliyyah, 600 tahun yang dulu, yang mengecapi nikmat kesunyian malam dengan mengingat Sang Pencipta menyebabkan kita begitu gemar menghirup dan menikmati minuman ini. Atau mungkin sekadar benda harian yang aromanya memukau, sekadar kita nikmati demi memuas kehendak haiwani semata. Bergantung kita hendak melihat sang kopi ini bagaimana, kerana akhirnya nikmat sebenar itu hanya akan dicapai dengan niat yang benar.

11267614_1021522861205140_434298934_n

 

Artikel ini ditulis oleh saudara Emir Haziq bin Haji Mohamad Lela,mahasiswa tahun 2 Universiti Kaherah.Beliau juga pernah menulis artikel Bahasa Inggeris yang bertajuk  “Violence Against Women—It’s Actually a Men’s Issue.”

Rujukan

  1. Mark Pendergrast. (2010). Uncommon grounds : the history of coffee and how it transformed the world. New York: Basic Books.
  2. Robert W. Thurston, Jonathan Morris, and Shawn Steiman. (2013). Coffee : a comprehensive guide to the bean, the beverage, and the industry. United Kingdom: Rowman & Littlefield.
  3. Ernesto Illy. (2002). The complexity of coffee. New York: Scientific American, Inc.
  4. Coffee industry–supplied information on coffee, caffeine and health: coffeescience.org
  5. International Scientific Association of Coffee: asic-cafe.org
  6. International Coffee Organization: ico.org
  7. Coffee –Wine of Islam : http://www.superluminal.com/cookbook/essay_coffee.html