Kaherah, 1 April – Festival Hari Antarabangsa Universiti Kaherah kali ke-6 telah berlangsung dengan jayanya. Kemeriahan pada hari itu amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Pelbagai negara seperti Malaysia, Palestin, Yaman, Jordan, Indonesia dan Mesir tidak melepaskan peluang untuk menyertai acara yang gilang-gemilang tersebut.  Festival ini dimulakan dengan aktiviti pameran dari jam 11.00 pagi hingga jam 3.00 petang. Manakala, acara persembahan pula bermula pada jam 3.00 petang dan berakhir jam 8.30 malam bertempat di dewan utama Cairo University Conference Centre.

Semua pelajar Malaysia di Universiti Kaherah telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meperkenalkan kehebatan negara kepada dunia. Antara perkara yang menarik perhatian pengunjung ialah pameran pakaian tradisional bagi setiap kaum yang terdapat di Malaysia serta simulasi permainan tradisional seperti congkak dan sepak takraw.  Selain itu, gerai makanan Malaysia yang menyediakan pelbagai jenis kuih-muih tradisional seperti kuih ketayap, cendol dan kuih lapis juga mendapat sambutan yang hangat.

Gerai pameran Malaysia telah menerima kunjungan istimewa daripada Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kaherah, Profesor Dr. Fathy Khodair, diiringi Naib Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kaherah, Profesor Dr. Hala Salah. Yang Mulia Tuan Terutama Duta Malaysia, Dato’ Ku Jaafar bin Ku Shaari juga tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menjayakan Hari Antarabangsa ini.

Pelajar tahun 1 dan tahun 3  bertanggungjawab dalam acara persembahan. Dikir barat yang mereka persembahkan telah berjaya menarik perhatian hadirin di dalam dewan. Persembahan silat pula telah dilakukan oleh sepasukan mahasiswa yang dibawa khas dari Universiti al-Azhar. Warganegara lain begitu terpersona melihat persembahan tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menguruskan gerak kerja program ini. Saya berasa bangga kerana mempunyai sahabat-sahabat yang bersemangat dan sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk semua ini.  Alhamdulillah. Misi kita tercapai dan saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja kita. Semoga segala usaha keras daripada semua pihak mendapat ganjaran yang tinggi. Malaysia Boleh!”, ujar saudari Fairuz Nabilah binti Borhanudin, tahun 4, kuliah Perubatan Universiti Kaherah, selaku timbalan pengarah festival ini.

11096803_874967299227156_152208602_n

Hidayatul Naadiah binti Zulkifli
Unit Liputan
Biro Penerbitan dan Penerangan
PERUBATAN Cawangan Kaherah 2015/2016